Mogok lapar yang dibuat oleh Datuk G Kumar
Aaman di hadapan pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS), Putrajaya pada 22 Januari
2015 mendapat reaksi yang pelbagai daripada masyarakat.
Walaupun isu itu adalah berkaitan masalah
dalaman parti MIC, memandangkan ia sudah dibawa ke
jalanan dan dilaporkan secara meluas di media pelbagai bahasa, tentulah orang
ramai mahu mengambil tahu dan berhak memberikan pandangan.
Topik berkenaan turut disentuh dalam
pertemuan saya dengan Penasihat Agung Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan),
Datuk A Samad Said yang lebih mesra dengan
panggilan Pak Samad.
“Parti MIC wujud lebih awal daripada Umno dan MCA. Dalam mana-mana badan
siasah (politik), apa yang menjadi masalah bukan organisasi itu sendiri, tetapi
orang yang mengisi serta memegang jawatan di dalamnya,” kata Sasterawan Negara
itu bagi memulakan perbualan.
Pada pandangan Pak Samad, soal perebutan
kuasa adalah sesuatu yang sangat lumrah dalam mana-mana pertubuhan. Asalkan
laluan dan cara yang digunakan untuk memegang kuasa adalah betul mengikut lunas
perlembagaan pertubuhan, maka tidak menjadi masalah.
Sekiranya aspek itu diabaikan, maka masalah
yang timbul daripada perebutan kuasa itu akan mengganggu proses demokrasi. Jika
proses demokrasi itu tidak dipatuhi, dihormati dan ditegakkan, maka susah
jadinya.
“Saya tidak begitu mengikuti perkembangan
MIC secara mendalam. Cuma saya tertarik apabila timbul isu ada orang parti itu
melancarkan mogok lapar baru-baru ini. Reaksi daripada pemimpin lain dalam MIC
juga menarik untuk ditekuni,” kata tokoh kelahiran Singapura itu.
Menurut laporan Bernama (22 Januari 2015), ROS mengisytiharkan sebagai tidak sah
dan batal pemilihan bagi jawatan tiga naib presiden dan 23 jawatan anggota
Jawatan Kerja Pusat (CWC) yang diadakan semasa perhimpunan agung MIC pada
November 2013, serta mencadangkan pemilihan semula diadakan dalam tempoh 90
hari.
Sekali gus, ROS tidak menerima keputusan
Datuk Seri G Palanivel melantik Kumar sebagai setiausaha agung MIC baru-baru
ini bagi menggantikan Prakash Rao yang dilucutkan jawatan.
Tindakan Kumar menganjurkan mogok lapar
“hingga nafas terakhir” disifatkan oleh timbalan presiden, Datuk Seri Dr S
Subramaniam sebagai “bukan sebahagian daripada budaya Malaysia” dan “Ini ialah
budaya India. Biarkan sahaja budaya itu di benua tersebut”.
Mogok lapar bukan budaya kita?
Mengulas perkara itu, Pak Samad
berpandangan bahawa kalau di Benua Kecil India, mogok lapar adalah perkara
biasa. Menjelang pilihan raya di India, kita lihat ada pihak menganjurkan puasa
atau mogok lapar sebagai wahana bagi pernyataan keazaman, keikhlasan dan
kesungguhan dalam bertanding.
“Maka, tidak salah jika ada mana-mana pihak
mahu mengadakan mogok lapar bagi memperjuangkan sesuatu di Malaysia. Amalan berpuasa dan menganjurkan mogok lapar
memang bukan sesuatu yang baru atau asing dalam budaya kaum India.
“Puasa meningkatkan kekuatan spiritual
seperti yang diketahui mana-mana agama dan budaya yang mengamalkan berpuasa.
Secara logik, tidak salah menganjurkan mogok lapar dan berpuasa demi menuntut
keadilan dan kehidupan yang murni,” kata sasterawan berusia 83 tahun itu yang
pernah menganjurkan Mogok Seni (1990) dan Mogok Sastera (2000).
Pak Samad yang terkenal dengan novel Salina, Sungai Mengalir Lesu dan Hujan Pagi tidak setuju dengan pandangan
bahawa tindakan menganjurkan mogok lapar perlu ditinggalkan di negara India.
“Saya fikir tidak boleh berkata begitu
kerana walaupun menjadi warganegara Malaysia, budaya dan adat turun-temurun
masih boleh menjadi pegangan. Usah kita lupa bahawa Tamadun India adalah suatu
tamadun besar dunia. Mustahil kita boleh meminta orang, khususnya kaum India di
Malaysia, melupakannya begitu sahaja,” katanya.
Pada pendirian Pak Samad, kalaulah berpuasa
atau mogok lapar dianjurkan dengan niat yang baik dan demi memperjuangkan
keadilan, maka tidak salah. Apatah lagi jika dibuat demi memperjuangkan hak
masyarakat dan kaum.
Namun, dalam konteks mogok lapar yang
dilakukan Kumar baru-baru ini, Pak Samad mengingatkan bahawa ia berikutan isu
pelantikan jawatan yang tidak diluluskan oleh ROS.
Maka timbul pula persoalan apakah mogok
lapar benar-benar dibuat demi masyarakat atau demi mempertahankan jawatan dalam
parti. Pak Samad percaya ROS tentu ada alasan munasabah mengapa pelantikan itu
tidak diluluskan.
“Saya fikir masalah MIC itu lebih berupa
masalah pertarungan kuasa antara dua kumpulan yang berbeza pandangan. Nampaknya
belum ada penyesuaian dalam kalangan ahli dan pemimpin badan siasah itu sejak
Palanivel mengambil alih pucuk pimpinan daripada Samy Vellu,” kata Pak Samad
semasa kami berbual di Bangsar pada 24 Januari 2015.
Pergolakan dalam parti bukanlah sesuatu
yang baru atau khusus dalam MIC sahaja. Sama ada Umno, Pas, DAP, MCA atau
mana-mana badan siasah, masalah ini berlaku. Demikian diakui tokoh berkenaan.
Tinggalkan politik berasaskan kaum
Pada pandangan Pak Samad, selepas lebih 57
tahun merdeka, kita perlu memikirkan soal Bangsa Malaysia. Badan-badan politik
juga harus begitu; bukan parti-parti yang berasaskan kaum yang hanya tertumpu
pada usaha memperjuangkan nasib kaum masing-masing.
Beliau berharap MIC tidak sekadar kekal
dalam kelompok kecil bagi kaumnya sahaja. Pak Samad mengimpikan supaya ada
pemimpin muda dalam MIC yang mampu menjangkau fikiran konvensional untuk
melihat kepentingan Bangsa Malaysia kerana kita semua hidup bersama sebagai
suatu bangsa.
“Begitulah sepatutnya sikap dan pemikiran
seorang pemimpin. Malangnya dalam siasah di Malaysia, masing-masing masih
memikirkan soal diri. Itu bukanlah pemimpin sebenar. Pemimpin sepatutnya
memikirkan kebajikan ahli dan masyarakat.
“Dalam politik, kita sepatutnya merendamkan
individualiti demi kebajikan umum. Kalau tidak mampu, jangan masuk politik.
Nasihat ini bukan hanya bagi MIC tetapi bagi mana-mana parti politik. Kita
lihat keretakan dalam Umno dan Pas juga berikutan isu-isu yang hampir sama,”
ulasnya.
Pergolakan yang berlaku dalam MIC sekarang
ini tentu sahaja mendapat perhatian masyarakat; khususnya selepas mogok lapar
tidak sampai 24 jam oleh Kumar di hadapan pejabat ROS.
“Masyarakat mungkin tidak terlibat secara
sepenuhnya kerana masing-masing sibuk dengan urusan keluarga dan mencari
nafkah. Tetapi masyarakat sesekali masih
mengikuti perkembangan pergolakan dalam parti-parti politik.
“Apabila tiba pilihan raya umum, barulah
mereka akan membuat keputusan sama ada pemimpin dan parti-parti politik itu
wajar disokong atau tidak,” kata Pak Samad sambil tersenyum kecil di sebalik
janggut dan misai putihnya.
Kita sering mendengar tentang habuan wang dan beras yang diberikan kepada pengundi kaum India menjelang
pilihan raya. Menyentuh hal ini, Pak Samad berharap amalan memberi wang untuk
mendapatkan undi tidak berlaku dalam kalangan politikus muda, khususnya MIC.
“Angkatan muda perlu merombak. Mereka perlu
mampu melihat apa yang gagal dilakukan datuk-nenek mereka. Perlu melihat
pemimpin lalu yang hanya mampu membahagiakan sekelompok pihak.
“Hal ini bukan hanya dituntut daripada
pemimpin muda dalam MIC tetapi juga dalam Umno dan badan-badan siasah lain.
Angkatan baru inilah yang harus muncul dengan politik yang bersih dan
memperjuangkan keadilan serta demokrasi yang sebenar,” katanya penuh harapan.
Malangnya, menurut Pak Samad, dalam
parti-parti politik, sering ada rahsia-rahsia setiap individu yang dipegang
oleh individu lain. Kemudian, digunakan untuk sama ada menumbangkan orang itu
atau menuntut habuan bagi diri sendiri.
Dalam isu pergolakan dalaman dan perebutan
kuasa dalam MIC yang sedang berlaku sekarang, Sasterawan Negara itu berharap
para pemimpin terbabit bersedia untuk berjuang mengikut landasan demokrasi dan
keadilan.
“Kalau tidak, masalah akan menjadi semakin
rumit dan merugikan kaum India sendiri sebagai minoriti,” kata Pak Samad dengan
penuh makna tersirat. [Baca juga – Keranda,
Mogok Lapar dan Tangan Ajaib]
[Makalah ini ditulis berdasarkan wawancara pada 24 Januari 2015 dan
disiarkan di Kuala Lumpur Post pada 25 Januari 2015.
© Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan mana-mana blog
kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]