Hampir sedekad selepas menghasilkan sebuah
novel yang tebal – malah terlalu tebal dalam konteks sastera Melayu pada waktu
itu – kenapa pula Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said (Pak Samad) menulis
sebuah novel yang hampir satu per tiga ketebalannya?
Novel Salina
(1961) – atau judul asalnya Gerhana –
menang hadiah penghargaan peraduan menulis novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada
1957. Apabila diterbitkan dalam bentuk buku, tebalnya melebihi 450 halaman dan
dianggap “novel Melayu yang paling tebal pada zamannya”.
Novel ketiga, Sungai Mengalir Lesu (1967) pula sekitar 150 halaman sahaja dan
lebih sesuai dikategorikan sebagai sebuah novelet; sebagaimana The Old Man and the Sea (1952) karya
Ernest Hemingway.
Pasti ada sebab mengapa Pak Samad secara penuh sedar memilih
untuk menulis novel yang pendek/nipis. Tambahan pula, sekiranya diperhatikan, Salina memfokuskan kepada satu watak
utama, manakala Sungai Mengalir Lesu
menumpukan kepada sekelompok watak iaitu penduduk sebuah kampung.
Pak Samad ternyata seorang individu yang
penuh misteri. Misalnya, rata-rata peminat sastera – serta masyarakat umum yang
peduli – maklum bahawa beliau lahir pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing
Dalam, Melaka.
Bagaimanapun, buat pertama kali, poster
khas yang disediakan oleh Gemilang Publishing Sdn Bhd untuk Sudut Sasterawan Negara di perpustakaan
SJKC Kuen Cheng 2, Kuala Lumpur pada 17
Februari 2014 merakamkan maklumat sebenar mengenai tarikh dan tempat lahir Pak
Samad; iaitu pada 8 Februari 1932 di Singapura.
Tidak
keterlaluan jika dikatakan bahawa Sungai
Mengalir Lesu adalah karya (novel) yang paling disenangi oleh Pak Samad.
Perkara ini dapat diperhatikan sekiranya novel berkenaan diteliti sebagai karya
yang merakamkan jiwa dan pengalaman pengarang. Perkara ini turut saya nyatakan
semasa menjadi pembicara novel berkenaan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur
dan Selangor (KLSCAH) pada 1 April 2014. [BACA BAHAGIAN SATU] - [BACA BAHAGIAN DUA] - [BUKU-BUKU PAK SAMAD] - [ALKISAH HUTANG LUKISAN] - Sila kirim mesej peribadi (DI SINI) jika berminat membeli novel Sungai Mengalir Lesu (RM40). Stok terhad.