Menjelang perayaan Thaipusam (3 Februari 2015), ramai yang
mungkin teringat kembali akan penghinaan yang dilakukan oleh tokoh ultra kiasu,
Ridhuan Tee Abdullah sekitar dua tahun
dahulu.
Menerusi tulisan bertajuk “Kesabaran umat Islam ada had” (Sinar Harian, 18 Februari 2013), dia
antara lain menggelarkan penganut Hindu yang berhimpun di Batu Caves
sebagai “lautan manusia satu warna”.
Hampir setiap tulisan lelaki itu mengutuk,
menghina dan menzalimi orang Bukan Melayu dan Bukan Islam; serta
terang-terangan berciri anti-dakwah iaitu memberikan imej negatif mengenai Islam.
Tidak lupa juga tokoh kegemaran presiden
Umno, Datuk Seri Najib Razak yang diletakkan sebagai
calon kerusi Parlimen Shah Alam pada Pilihan Raya Umum Ke-13 tetapi kalah
teruk akibat ditolak majoriti pengundi.
Klip video menunjukkan lelaki rasis dan
fanatik itu, Zulkifli Noordin, mempersenda penganut
dan agama Hindu tersebar luas di ruang siber pada penghujung Mac 2013. Dia satu
lagi contoh tokoh anti-dakwah.
Selepas “menyusun sepuluh jari saya mohon
maaf sekiranya saya mengguris hati mereka (penganut Hindu)” (Free Malaysia Today, 3 April 2013),
keluar pula satu lagi klip video bertarikh 6 Mac 2013 di mana dia menuturkan
ayat seperti “k** mana bawa kitab Hindu dia” dan “k** ni bawa kitab Hindu
sumpah” (The Malaysian Insider, 5
April 2013).
Kita sering melaung-laungkan kehebatan dan
keunikan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang dihuni masyarakat pelbagai kaum, budaya, agama dan kepercayaan
serta saling memahami dan hormat-menghormati.
Hakikat yang nyata adalah bahawa realiti
“saling mengenali dan memahami” yang boleh membawa kepada “saling menerima
perbezaan dan saling hormat-menghormati” belum wujud. Slogan “1 Malaysia” hanya wahana politik untuk
Najib dan Rosmah Mansor terus berkuasa.
Dalam keadaan “kondusif” seperti inilah
wujud pihak etnosentrik dan pelampau seperti Perkasa, Isma, Ridhuan Tee dan “ustaz” tertentu
yang terus berusaha meracuni fikiran orang Melayu-Islam dengan “ajaran sesat”
mengenai kaum Bukan Melayu dan agama Bukan Islam.
Mujurlah tidak ramai yang terpengaruh
dengan hasutan serta cubaan memecah-belah masyarakat pelbagai kaum dan agama
yang dilakukan pihak tertentu seolah-olah atas motif politik dan habuan
kewangan.
Jangan tanya kenapa tidak makan lembu
Dalam pada itu, di pihak orang Hindu,
mereka sering hanya mampu mengeluh dan merungut apabila berdepan dengan segala
dakyah yang dilakukan oleh orang luar yang berniat jahat.
“Sebagai minoriti kurang 8 peratus, tidak
ada apa-apa yang boleh orang India dan Hindu lakukan,” kata seorang rakan
menerusi mesej peribadi di Facebook
sambil mengeluh kaumnya dan agamanya sering dipersenda.
Ajaran Hindu (Sanatana Dharma) selaku agama
tauhid pertama dan tertua memang agak kompleks yang sering disalah tafsir oleh
pengikut ajaran itu sendiri; apatah lagi orang luar yang kurang tahu.
Maka, baru-baru ini, saya cuba berbincang
dengan beberapa kenalan yang merupakan mengamal ajaran Hindu. Topik kami
berlegar sekitar perkara-perkara yang diharap dapat difahami dan dihormati oleh
rakan-rakan Bukan Hindu.
Tentulah perbincangan kami – serta makalah
ini – bukan bertujuan untuk berdakwah bagi menyebarkan ajaran Hindu. Tidak sama
sekali. Sebaliknya, sekadar mahu memberi peluang kepada penganut Hindu
meluahkan isi hati dalam kehidupan masyarakat majmuk, dikelilingi rakan-rakan
pelbagai agama.
Apa yang diharapkan oleh Shammine adalah supaya rakan-rakan
daripada agama lain memahami serta menghormati pendirian orang Hindu dalam soal
tidak makan daging lembu.
“Bagi orang Hindu yang mengamalkan vegetarian, mereka tidak makan ikan
serta apa-apa jenis daging, apatah lagi daging lembu,” kata pensyarah ini yang
berasal dari Taiping, Perak dan kini mengajar di
sebuah institusi pengajian di Selangor.
Memang menjadi kebiasaan di mana orang
mempersoalkan mengapa orang Hindu tidak makan daging lembu tetapi boleh minum
susu lembu. Perkara ini sebenarnya pernah saya jelaskan menerusi sebuah makalah
dalam majalah Dewan Budaya (Mei 2004)
dan didokumentasikan di blog saya.
Shammine turut menceritakan bagaimana di
kebanyakan tempat kerja, sekiranya ada kursus atau majlis, sayur-sayuran
dimasak bercampur ikan bilis, ayam atau lembu.
“Sama ada orang Hindu vegetarian atau tidak, kami tidak boleh makan sayur-sayuran yang
dimasak seperti itu. Selalunya rakan-rakan Bukan Hindu akan mencadangkan supaya
daging lembu dikeluarkan dan sayur sahaja dimakan,” beliau menceritakan dengan
nada kecewa dan marah.
Orang Hindu juga ada waktu sembahyang?
Pengalaman yang hampir sama dikongsikan
oleh Nyanaambigai Rajanthran yang
tinggal di Tanjung Malim, Perak. Beliau sudah terlalu kerap menerima “cadangan”
supaya daging lembu dikeluarkan sebelum sesuatu hidangan dimakan.
Pensyarah itu yang lahir di Kuantan, Pahang
berharap rakan-rakan Bukan Hindu akan memahami budaya orang Hindu serta
menghormatinya. Tentulah tidak logik untuk mana-mana rakyat Malaysia mengatakan
bahawa mereka tidak tahu orang Hindu tidak makan daging lembu.
Shakti
Nagesvari yang berasal dari Teluk Intan, Perak
turut berkongsi pengalaman dan pandangan dalam topik yang dibincangkan. Perkara
pertama yang beliau mahu orang Bukan Hindu fahami dan hormati adalah hakikat
orang Hindu tidak menyembah batu; sebaliknya menyembah Tuhan yang digambarkan menerusi berhala (bukan patung).
“Ada beberapa perkara mengenai Sanatana
Dharma (Hinduisme) yang mungkin tidak dapat difahami orang Bukan Hindu, tetapi
perlulah dihormati dan bukannya dijadikan bahan cemuhan atau lawak,” kata
Shakti yang kini sedang menyiapkan tesis dalam bidang kesusasteraan India dan
Nigeria di Universiti Sains Malaysia (USM).
Beliau mengaku amat menyampah apabila
berulang kali ditanya soalan-soalan yang menyakitkan hati serta menunjukkan
sikap tidak sensitif dalam kalangan orang ramai terhadap amalan dan budaya
orang Hindu.
Misalnya, orang bertanya, jika Krishna
adalah Tuhan, siapa pula Muruhan dan dewa berkepala gajah (Ganesha). Atau bertanya mengapa berhala
dewi (wanita) di kuil selalu berpakaian seksi.
“Ada pula orang yang terkejut apabila
diberitahu orang Hindu berpuasa. Mereka sangka
orang Hindu hanya mengamalkan vegetarian.
Malah, ada pula yang hairan orang Hindu ada waktu sembahyang yang ditetapkan,”
katanya yang ternyata pelik mengapa perkara-perkara asas seperti ini pun tidak
diambil tahu oleh orang ramai yang hidup dalam kalangan masyarakat majmuk.
Pertanyaan lain yang sering ditanya ada
kaitan dengan upacara keagamaan Hindu. Shakti mengakui bahawa soalan yang
ditanya adalah wajar: Kenapa perayaan orang Hindu selalu bising dan berakhir
dengan keganasan? Kenapa orang India selalu dilaporkan bergaduh semasa perayaan
Thaipusam?
Hakikat yang perlu diakui adalah bahawa
banyak perkara mengenai ajaran Hinduisme sudah bercampur-aduk dengan budaya dan
adat kaum India. Kebanyakan perkara yang menimbulkan masalah dan sering
mengungkitkan kemarahan masyarakat (Hindu dan Bukan Hindu) bukanlah sebenarnya
ajaran Hindu.
Sebaliknya, kebanyakan perkara yang
“bermasalah” itu adalah budaya India yang diserap masuk dalam ajaran Hindu.
Akibatnya, kesucian ajaran Hinduisme sebagai agama tauhid pertama dan tertua
sering tercemar, dicemuh dan ditertawakan orang ramai.
Realiti musuh di dalam selimut
“Pengajaran dan pemahaman Hinduisme dalam
kalangan penganut sendiri semakin merosot. Penganut Hindu di Malaysia khasnya
masih belum faham dengan jelas konsep Sanatana Dharma. Maka, orang Hindu perlu
membetulkan pemahaman dan penghayatan ajaran Hindu sebelum mengharapkan orang
lain menghormati dan memahami kita,” Shakti menegaskan.
Mengulas perkara sama, Manikavasagar Maruthaiah dari Puchong bersetuju bahawa maklumat
yang diketahui orang Bukan Hindu mengenai agama ini sering kali merupakan
“fakta tidak betul” yang disampaikan pula oleh orang Hindu yang tidak mengenali
agamanya sendiri.
Tidak dapat tidak, saya amat bersetuju
dengan hujah-hujah yang dikemukakan oleh rakan-rakan ini. Cara paling mudah
untuk menguji kebenaran kata-kata mereka adalah dengan bertanya kepada
mana-mana remaja atau belia beragama Hindu: “Berapa Tuhan orang Hindu?”
Percayalah bahawa anda akan mendengar
jawapan yang pelbagai – kecuali jawapan yang betul dan benar mengikut ajaran
Sanatana Dharma. Masing-masing mungkin akan menggaru-garu kepala dan
tersengih-sengih kerana tidak mampu memberikan jawapan yang betul dan benar.
Kalaupun mereka memberikan jawapan,
berwaspadalah kerana jawapan itu kemungkinan besar mitos yang pernah mereka
dengar daripada datuk-nenek, sami-sami di kuil, golongan guruji palsu atau daripada orang yang
mengaku pakar tetapi sebenranya jahil tentang Hinduisme.
“Agak malang kerana apa yang masyarakat
Bukan Hindu tahu tentang Hinduisme adalah berdasarkan apa-apa yang mereka
nampak dan dengar daripada golongan yang tidak mengamalkan ajaran Hindu yang
sebenar.
“Kelompok masyarakat India yang mengamalkan
ajaran Hindu yang sudah terpesong tentulah tidak mampu menjawab dan memberikan
penjelasan kepada pertanyaan dan persoalan yang dikemukakan rakan-rakan Bukan
Hindu,” kata Manikavasagar yang lahir di Taiping.
Hujah yang dikemukakan oleh pengurus
teknologi maklumat (IT) itu sangat penting diberikan perhatian oleh pertubuhan
agama seperti Malaysia Hindu Sangam (MHS) dan para penganut Hindu yang tidak
rela melihat agama mereka dicemarkan oleh “orang dalam” sendiri.
Maka, dalam pada orang Hindu mengharapkan
orang Bukan Hindu memahami dan menghormati amalan keagamaan mereka, perlu juga
difikirkan cara untuk berdakwah kepada remaja, belia dan orang dewasa yang
hanya Hindu pada nama.
Orang Hindu perlu memperkasakan diri dengan
pengetahuan dan amalan sebenar Hinduisme (Sanatana Dharma) supaya mampu menjadi
contoh dalam masyarakat. Kemudian, secara automatik orang ramai akan mula
memahami dan menghormati orang Hindu dan ajaran Hindu. [Baca juga – PK Mencari Tuhan di Malaysia]
[Makalah ini ditulis pada 23 Januari 2015 berdasarkan komen rakan-rakan
dan disiarkan di The Malay Mail Online pada 26 Januari 2015.
BACA MAKALAH BERKAITAN HINDUISME DI SINI. © Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan mana-mana blog
kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]