Saturday, 7 February 2015

Dari Buddha ke Maitreya

Dalam pada kita mempromosikan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk dengan rakyat yang saling memahami, hormat-menghormati dan bertolak-ansur, realiti yang wujud menunjukkan seolah-olah sebaliknya.

Misalnya, ada pihak yang tidak tahu membezakan antara ajaran Hindu dan Buddha, serta Thaipusam dan Wesak.

Pihak yang melakukan kesilapan dan campur-aduk dalam hal ini pula bukan calang-calang orang.

Pada Mei 2011, seorang pelakon yang menang Anugerah Skrin (2009), Festival Filem Malaysia (2009), Anugerah Bintang Popular (2009) dan Shout Awards (2010) menjadi lebih popular di ruang siber berikutan kejahilannya sendiri.

Liyana Jasmay mencatatkan pada Twitter (kesalahan bahasa dikekalkan): “Well I guess, its time to hit the sack. Happy wesak day to those who celebrates it and happy cucuking your badan and nose semua! Hati hati!”

Selepas menjadi bahan ketawa para pengikut (followers), pelakon dan penyanyi itu meminta maaf atas kesilapan yang dilakukan.

Contoh lebih klasik adalah kes yang berlaku pada Februari 2012 di mana laman Twitter dan Facebook milik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyampaikan ucapan “Selamat Menyambut Thaipusam kepada mereka beragama Buddha”.

JKM terpaksa mengeluarkan kenyataan rasmi pada 8 Februari 2012 untuk “memohon maaf terutama kepada mereka yang beragama Hindu serta Buddha dan seluruh rakyat Malaysia atas kejadian ralat kesalahan penghantaran ucapan.”

Hinduisme (Sanatana Dharma) adalah suatu ajaran yang sangat kompleks dan tidak terlepas daripada salah tafsir dan salah faham golongan Hindu dan Bukan Hindu.

Ajaran Buddhisme yang diasaskan oleh Siddhartha Gautama Buddha memang mempunyai pelbagai persamaan dengan ajaran Hindu. Kedua-duanya bermula di India sebelum tersebar ke seluruh pelosok dunia.

Walau bagaimanapun, agak keterlaluan untuk mengandaikan penganut Buddha mencucuk badan dan hidung semasa sambutan Hari Wesak.

Begitulah juga, amat memalukan jika sebuah jabatan kerajaan tidak tahu penganut agama mana menyambut Thaipusam.

Gautama bukan dewa atau nabi

Sejak kecil, keluarga saya yang tinggal di Aulong Lama, Taiping memang sudah biasa dengan sambutan kebudayaan dan keagamaan di kuil (Hindu), masjid (Islam), gereja (Kristian), tokong (Cina), gurdwara (Sikh) dan wat (Buddha).

Sejak tahun 2010, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menganjurkan siri Konvoi Rumah Ibadat yang membawa peserta pelbagai kaum dan agama ke rumah-rumah ibadat pelbagai agama.

Tujuan utama konvoi itu adalah memupuk persefahaman dan saling menghormati serta meraikan kepelbagaian.

Dalam konteks negara kita, agak mustahil dan tidak masuk akal untuk seseorang memberikan alasan “tidak tahu” mengenai perkara-perkara asas berkaitan agama-agama utama di Malaysia.

Kejahilan seperti itu wajar segera diganti dengan sikap ambil tahu sebagai usaha membina sebuah negara bangsa atau Bangsa Malaysia.

Sejumlah makalah yang memberikan penjelasan mengenai perkara-perkara berkaitan ajaran Hindu menggunakan Bahasa Malaysia boleh dirujuk di blog saya. Manakala makalah ini pula memuatkan catatan ringkas mengenai Buddhisme.

Kisah hidup Gautama mula-mula ditulis menggunakan bahasa Pali oleh sami-sami Buddha di Sri Lanka.

Sebelum itu, ajaran disampaikan secara lisan dalam bentuk sutra (Sanskrit) atau sutta (Pali) iaitu frasa-frasa pendek yang mudah dihafaz.

Fakta sudah berbaur dengan mitos, legenda dan kisah-kisah yang tidak dapat dibuktikan kesahihannya apabila muka direkodkan secara bertulis.

Ajaran Buddha mengenai dharma (kebenaran) juga tersebar ke seluruh Asia dalam beberapa bentuk (misalnya Theravada dan Mahayana) melalui beberapa laluan.

Sepanjang laluan itu yang dikenali sebagai The Silk Route, ia mengalami perubahan akibat pengaruh setempat. Atas sebab itulah kita mendengar pelbagai kisah dan versi mengenai Gautama dan ajaran Buddha.

Dalam ajaran Buddhisme, Gautama bukan seorang dewa atau nabi. Gautama sendiri tidak pernah mengatakan dirinya utusan Tuhan.

Patung-patung Buddha di wat bukan bertujuan untuk memujanya tetapi menzahirkan terima kasih kepada pengasas ajaran itu. Itulah juga yang dilakukan semasa Hari Wesak.

Wat adalah istilah yang merujuk kepada “tokong” atau “kuil” Buddha. Istilah lain yang digunakan adalah vihara iaitu tempat yang turut menyediakan kemudahan tempat tinggal bagi sami Buddha.

Apabila membaca mengenai Lembah Bujang di Kedah, Angkor Wat di Kemboja dan Borobudur di Jawa, kita menemui perkataan “stupa”.

Perkataan Sanskrit ini merujuk kepada makam, bangunan atau kuil kecil yang dibina khusus untuk menyimpan barangan yang ada kaitan dengan Gautama dan ajaran yang disampaikannya.

Lahir di India, hidup di China

Ada juga stupa yang menempatkan abu jenazah sami-sami Buddha. Amalan ini bermula selepas Gautama meninggal dunia dan jenazahnya dibakar.

Abu itu dibahagi kepada lapan bahagian dan ditempatkan di dalam lapan stupa di lapan tempat berlainan bagi meraikan Gautama sebagai chakravartin (Pemimpin Dunia).

Stupa adalah makam dalam tradisi Hindu. Di Sri Lanka, ia dikenali sebagai dagoba. Pembinaan dagoba dengan 3, 5, 7, 9 atau 11 tingkat amat terkenal di China sejak ajaran Buddha dibawa ke sana pada abad pertama.

Perkataan yang digunakan kini adalah pagoda berikutan kesilapan orang Eropah menyebut dan mengeja dagoba.

Nama yang diberikan di Thailand ialah chedi, manakala chorten di Tibet dan Bhutan. Kompleks wat atau tokong Buddha biasanya disebut chaitya atau vihara.

Bahasa yang digunakan bagi teks Buddhisme adalah Sanskrit dalam kalangan pengamal Theravada di India. Pengikut aliran yang sama di Sri Lanka pula menggunakan bahasa Pali.

Ajaran Buddha turut tersebar ke Korea, Jepun, Vietnam, Asia Tenggara dan kebanyakan negara Asia. Maka, masing-masing menggunakan bahasa sendiri untuk menyampaikan ajaran Buddha. Untuk rekod, tidak ada bahasa rasmi bagi ajaran ini.

Maklumat lebih menyeluruh mengenai asal-usul, ajaran dan perkembangan ajaran Buddha boleh dibaca dalam buku The Complete Illustrated Encyclopedia of Buddhism (2011) yang turut menjadi rujukan saya sejak memilikinya pada Januari 2013.

Filem Little Buddha (1993) lakonan Keanu Reeves juga boleh membantu pemahaman, khususnya bagi kanak-kanak dan remaja.

Filem Elaam Arivu (2011) lakonan Suriya pula menyentuh mengenai Bodhidharma, seorang sami Buddha dari India yang membawa meditasi Chan, perubatan ayurveda, dan kungfu Shaolin ke China.

Catatan di beberapa negara di Nusantara menunjukkan Bodhidharma mengembara pada abad keenam dari India ke China melalui Sumatera, Jawa, Bali dan Tanah Melayu sambil menyebarkan ajaran Buddha aliran Mahayana.

Sekiranya sejarah dan asal-usul silat dikaji, akan jelas bahawa sami Buddha itu yang mengajar seni bela diri itu kepada orang Melayu.

Sebagaimana Hinduisme amat kompleks, begitulah juga Buddhisme. Kedua-duanya tidak terlalu rigid, lalu membenarkan – malah mengharapkan – penganut melakukan interpretasi mengikut pemahaman dan tahap spiritual masing-masing.

Patung sami-sami Buddha

Konsep “Empat Kebenaran Mulia” (The Four Noble Truths) dan “Jalan Lapan Lapis” (The Noble Eightfold Path) menjadi asas dalam ajaran Buddha.

Gautama tidak pernah mengaku dirinya nabi, atau mengaku menerima wahyu daripada Pencipta. Sebaliknya, ajaran yang disampaikannya adalah falsafah hidup.

Gautama dipercayai reinkarnasi ke-25 bagi buddha manakala Maitreya adalah reinkarnasi terakhir yang akan muncul apabila ajaran Buddha sudah tidak menjadi ikutan orang ramai.

Dalam bukunya Gautama Buddha Seorang Nabi? (2014), Kamaludin Endol menegaskan: “Maitreya terakhir yang dimaksudkan oleh Gautama Buddha tidak syak lagi adalah Nabi Muhammad.”

Kamaludin turut menghuraikan tentang kemunculan kembali Nabi Isa (Jesus) untuk berganding bersama-sama Imam Mahadi selaku “penyelamat akhir zaman” yang diutusan untuk menghancurkan Zionis Yahudi dan puak Kristian.

Bagi penganut ajaran Buddha pula, Gautama dan Maitreya tiada kaitan dengan Nabi Muhammad, Nabi Isa atau Imam Mahadi.

Maitreya hanya akan turun dari kayangan untuk menyebarkan ajaran Dharma apabila orang ramai mula meminggirkan ajaran Buddha.

Memang ada pelbagai kisah, cerita, mitos dan legenda mengenai Gautama dan ajaran Buddhisme.

Kisah yang paling terkenal adalah hikayat klasik Xi You Ji (Journey to the West) yang menceritakan kisah Xuan Zang (Hsuan-tsang) memulakan pengembaraan ke benua Tian Zhu (India) pada tahun 629 Masehi untuk mendalami ajaran Buddha dan membawa pulang kitab-kitab suci.

Terdahulu, pada tahun 399 Masehi, Faxian (Fa-hsien) melakukan pengembaraan melalui Laluan Sutera untuk tujuan sama.

Apabila teks-teks ajaran Buddha berjaya dibawa ke China, kerja-kerja terjemahan dilakukan secara profesional. Pagoda khas dibina untuk menempatkan kitab-kitab ini.

Patung-patung (bukan berhala) Buddha yang ditemui tidak semestinya mewakili Gautama.

Patung Laughing Buddha yang berperut buncit dan ketawa gembira sebenarnya gambaran Budai, seorang sami Buddha yang hidup di China pada kurun keenam.

Asoka menjadi raja kerajaan Mauriya di India pada tahun 268 Sebelum Masehi. Puteranya, Mahinda, mengetuai misi menyebarkan ajaran Buddha di Sri Lanka. Patung Mahinda menyerupai Gautama boleh dilihat di Sri Lanka.

Sami berbaju kuning, perang dan kelabu

Mengikut sejarah, sekitar tahun 440 Masehi, Empayar Gupta mengalami kejatuhan di India dan bersama-sama kejatuhan itu, ajaran Buddha mula merosot.

Ajaran Buddha yang sampai ke Tibet pada abad ke-7 pula semakin terkenal sehingga kemudian diiktiraf sebagai agama rasmi.

Ajaran Hindu, Buddha dan Jain bergerak seiring sejak mula. Hal ini amat jelas melalui bukti-bukti sejarah yang turut ditemui di lokasi kerajaan Srivijaya, Mataram dan Lembah Bujang di Asia Tenggara.

Kelima-lima epik agung Tamil (Aimperukapiyam) yang dihasilkan antara kurun pertama dan kesepuluh turut membuktikan hal ini.

Ajaran Buddha memang tidak asing di Malaysia. Apa yang menarik, terdapat pelbagai mazhab atau aliran yang menjadi ikutan penganut di sini.

Selain daripada Theravada dan Mahayana, ada juga aliran Hinayana, Chan, Zen, Son, Nichiren, Shingon, Tantric, Tiantai, Yogacara dan Vajrayana.

Atas sebab itulah juga kita sering bertemu sami Buddha (bhikkhu atau bhikkhuni) yang memakai pakaian/kain yang berbeza warna.

Selepas meninggalkan istana, Gautama khabarnya menyerahkan pakaian mewah kepada seorang gelandangan sebagai ganti bagi pakaian milik gelandangan itu.

Sami Buddha memakai pakaian berbentuk kain panjang yang menutup tubuh. Secara tradisi, ia menggunakan bahan pewarna murah untuk menjadikan kain berkenaan menampakkan ciri musafir.

Pada mulanya, sami Buddha di India menggunakan serbuk kunyit untuk mewarnakan kain/pakaian menjadi kuning. Sami-sami di Tibet menggunakan pewarna daripada kayu yang mudah ditemui di sana.

Jika anda bertemu sami Buddha yang memakai pakaian warna kelabu, mereka pengikut ajaran Buddha dari Korea. Warna kelabu itu mengingatkan orang ramai bahawa suatu hari nanti, tubuh manusia akan dibakar menjadi abu.

Penganut ajaran Buddha mengamalkan pemakanan sayur-sayuran. Wat dan vihara menyediakan makanan kepada sesiapa yang datang berkunjung.

Ada banyak restoran vegetarian yang diusahakan oleh penganut Buddha. Tempat makan begini turut menjadi pilihan kaum India dan penganut Hindu.

Memandangkan ada banyak wat di Malaysia, orang ramai bolehlah melawat ke sana asalkan berpakaian kemas dan sopan.

Saya percaya bahawa anda akan mendapat suatu kesedaran yang baru hasil pemerhatian dan pertemuan dengan sami-sami Buddha di sana. [Baca juga – BuddhaSebar Islam?]

[Makalah ini ditulis pada 21 Januari 2015 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 26 Januari 2015. © Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!