[Sebuah memoir yang
membuktikan bahawa perjuangan dan demonstrasi adalah “harus” dalam keadaan
tertentu.]
Buku berbentuk memoir ini sudah saya miliki
sejak 23 Februari 2012 tetapi kembali menarik perhatian apabila ada pihak tertentu
tampil mengeluarkan kenyataan bahawa demonstrasi (tunjuk perasaan) dan perhimpunan dilarang dalam agama Hindu.
Memoir Bahasa Tamil bertajuk “Thalamaithuvam Or Uyirpporaatham” (2007)
boleh diterjemahkan ke Bahasa Malaysia sebagai “Kepimpinan: Suatu Perjuangan Antara Hidup dan Mati” dan menyajikan
pengalaman S. V. Lingam, seorang tokoh kaum India yang disegani tetapi kurang diberi
perhatian dalam sejarah tanah air.
Buku kulit tebal dengan lebih 150 halaman
ini saya sifatkan sebagai suatu bahan dokumentasi sejarah yang wajar diberi
perhatian oleh semua pihak; khususnya masyarakat India-Hindu yang buat masa ini
agak keliru berikutan kenyataan presiden Malaysia Hindu Dharma, Dr N. S.
Rajendran dan presiden Hindu Sangam, R. S. Mohan seperti dilaporkan Bernama pada 18 Mei 2012.
Lingam pula menceritakan secara terperinci
dan mendalam – berserta fakta dan dokumen rasmi sebagai sokongan – mengenai
penglibatan beliau dalam pelbagai tunjuk perasaan, perhimpunan dan mogok lapar
sejak tahun 1960-an.
Beliau yang menjadi ahli MIC sejak 1958,
iaitu semasa berusia 16 tahun, menganjurkan mogok lapar selama empat hari pada
tahun 1964 dan selama sebelas hari pada 1966. Kedua-dua mogok lapar itu adalah umpama
perjuangan “ahimsa” Mahatma Gandhi serta selaras dengan
hukum “dharma” yang dituntut dalam ajaran
agama Hindu; iaitu demi keadilan, hak dan maruah rakyat.
Pada tahun 1969, Lingam berpindah dari Durian
Tunggal, Melaka dan kembali ke tempat kelahirannya iaitu Shah Alam, Selangor.
Walaupun berubah tempat tinggal, beliau tidak pernah berundur daripada memimpin
sekelompok masyarakat – khasnya kaum India yang tertindas – untuk terus
memperjuangkan apa yang menjadi hak mereka mengikut undang-undang.
Buku ini disertakan juga dengan foto-foto
lama dan keratan akhbar yang menjelaskan tujuan dan kesan perjuangan Lingam
secara bersendirian dan berkumpulan.
Walaupun catatan berupa memoir dilakukan
dari sudut pandangan pengarang, beliau tidak lupa memasukkan juga sumbangan dan
pandangan pelbagai pihak lain dalam perkara-perkara tertentu.
Buku ini pasti membantu rakan-rakan dan
kenalan Lingam untuk mengimbau kenangan silam di mana mereka sama-sama terlibat
secara langsung atau tidak langsung dalam memperjuangkan maruah dan hak pekerja
ladang dan bakal guru sekolah Tamil.
Memoir Thalamaithuvam
Or Uyirpporaatham turut memuatkan kata-kata aluan daripada Datuk Seri S.
Samy Vellu, Datuk G. Palanivel, Tan Sri K. R. Somasundram, Datuk G. Sankaran
dan anehnya kata-kata semangat daripada presiden Hindu Sangam waktu itu, Datuk
A. Vaithilingam dan Rajendran sendiri yang sudah pun menjadi presiden Malaysia
Hindu Dharma pada waktu itu.
Semasa meneliti halaman demi halaman buku
ini, saya semakin yakin bahawa memoir ini merupakan suatu dokumen sejarah yang
“terlepas” daripada pandangan umum. Namun, buku ini yang terbit pada 2007 belum
terlewat untuk dipromosi dan diperkenalkan kepada orang ramai.
Sekiranya buku The Malaysian Indian Dilemma (2009)
karya Janakey Raman Manickam mendokumentasikan bahan-bahan sejarah berbentuk arkib
yang sukar diperoleh, buku Thalamaithuvam
Or Uyirpporaatham pula mengumpulkan pengalaman peribadi seorang individu
yang sentiasa berjuang sejak usia remaja demi menegakkan hak, keadilan dan
kebenaran.
Saya menyarankan supaya orang ramai
(India-Hindu) membaca memoir ini sebelum, misalnya, Hindu Sangam dan Malaysian
Hindu Dharma menggunakan kuasa yang ada untuk mengeluarkan “fatwa”
mengharamkan buku ini.
(Uthaya Sankar SB boleh
dihubungi menerusi e-mel uthayasb@yahoo.com.my untuk maklumat lanjut mengenai buku-buku yang diulasnya. Ulasan buku
ini ditulis pada 27 Mei 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 6 Jun 2012 dengan judul “Baca Buku Ini Sebelum Ia Diharamkan”. © Uthaya Sankar SB 2012. Sila
KLIK DI SINI untuk
maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku.)