[Dhanen menghasilkan lagu-lagu yang tersebar secara viral di
ruang siber dan menerima lebih 2,000 klik sehari.]
Kali pertama saya berpeluang bertemu Dhanen
Mahes adalah pada 10 Julai 2011, iaitu sehari selepas perhimpunan Bersih 2.0 di
Kuala Lumpur. Rupa-rupanya penyair urban (urban
poet) berumur 28 tahun yang menggunakan nama “Ksatriya” itu memang lucu
dalam realiti, sebagaimana di Facebook.
Namun, pada masa sama, graduan kejuruteraan
elektronik dan telekomunikasi dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu
sentiasa berfikiran matang dan mampu berhujah secara bernas.
Saya tertarik untuk mengenalinya secara
lebih dekat – serta menulis sedikit catatan untuk memperkenalkannya kepada umum
– selepas berpeluang menikmati lagu “Salam” sebelum ia dicalonkan dalam
kategori lagu RnB terbaik di VOICE Independent Music Awards (VIMA) 2011.
Dhanen yang suka akan muzik, membaca,
permainan komputer, berenang dan
bersenam, mula terlibat secara serius dalam bidang muzik pada akhir tahun 2010.
“Sebenarnya saya tidak pernah terfikir
secara serius bahawa lautan gelora bidang muzik akan dilayari. Tentulah semasa
muda, saya ada membayangkan diri sebagai pemuzik yang popular dan kaya, namun
saya tidak pernah percaya bahawa bakat bermain atau menggubah muzik ada dalam
diri,” pemuda berkenaan menceritakan.
Katanya, semasa dia kecil, ibu bapa ada
menghantarnya untuk belajar bermain piano. Namun, kelas piano yang amat
menekankan penghafazan dan bukan pemahaman menjadikan Dhanen membenci bermain
muzik pada usia kanak-kanak.
“Guru di kelas piano itu juga ada berkata
bahawa saya tidak ada bakat langsung dalam muzik, kerana gagal menghafaz
skala-skala yang diberikan. Bagi saya, penghafazan tanpa pemahaman adalah amat menjengkelkan,” kata Dhanen yang lahir
dan membesar di Butterworth, Pulau Pinang sebelum berpindah ke Lumut, Perak
semasa berumur empat tahun.
Lalu, saya berminat untuk tahu bagaimana
pula pemuda berkenaan boleh terlibat dalam muzik sehingga berjaya sampai ke
suatu tahap yag begitu membanggakan.
Menjawab soalan itu, Dhanen mendedahkan
bahawa teguran guru muzik tersebut dibawa sehinggalah tahun 2010. Pada masa
itu, kumpulan Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM) menganjurkan pertandingan
menulis lagu yang bertemakan aspirasi belia Malaysia.
“Saya menulis lirik lagu untuk tujuan
dipersembahkan oleh kumpulan yang lain. Malangnya, pada masa itu tidak ramai
pemuzik yang berminat mengambil bahagian atas sebab tertentu. Saya hampir putus
asa, tetapi ada rakan yang menggalakkan saya mempersembahkan sendiri lagu itu.”
Rakan yang pernah mendengar Dhanen menyanyi
dan “rap” beberapa lagu popular, akhirnya berjaya meyakinkan pemuda berkenaan
bahawa ada bakat terpendam dalam dirinya.
“Pada masa sama, ada rakan lain yang
memperkenalkan saya kepada Encik Sivasilan, seorang pemuzik dan pemilik studio
di Pulau Pinang. Dipendekkan cerita, kami mula berkerjasama untuk menghasilkan
lagu rap berjudul ‘Bangkit Malaysian Revolution’ untuk SABM,” Dhanen
menghuraikan sambil menambah bahawa lagu berkenaan terpilih untuk dimuatkan
dalam CD kompilasi “Bangkit”.
Seterusnya, Dhanen menghasilkan lagu-lagu
seperti “100 Stories” yang terus
tersebar secara viral di ruang siber dan menerima lebih 2,000 klik sehari.
Bakat dan kebolehannya terus diasah melalui karya seperti “Monday Blues 1”.
“Saya juga ada bertemu seorang jurutera
bunyi bernama Samwise yang amat berkaliber dalam menghasilkan muzik bermutu
tinggi. Kami berkerjasama menghasilkan berbagai gubahan, antaranya lagu ‘Salam’
yang dicalonkan dalam kategori lagu RnB terbaik di VIMA,” kata pemuzik muda itu
yang ternyata terharu apabila dicalonkan bagi anugerah terbesar muzik ‘indie’
peringkat antarabangsa.
Lagu “Salam” memang sangat menyentuh jiwa
dan minda. Maka saya turut memuatkan klip lagu berkenaan di blog saya (DENGAR
DI SINI) sebagai tanda sokongan.
Dhanen ternyata ada banyak idea untuk
sentiasa menggubah lagu baru. Dia mengakui bahawa pengalaman dan sokongan yang
diterima memberikan semangat kepadanya untuk terus menghasilkan lagu yang
berkualiti dan relevan.
Lagu-lagu berkenaan pula boleh dimuat turun
dan didengar secara percuma di laman http://www.facebook.com/rebelrhyming
yang Dhanen kendalikan.
“Melalui cara ini, saya dapat berhubung
dengan lebih dekat lagi bersama khalayak serta berpeluang mendalami pengalaman
dan perasaan kehidupan sehari rakyat Malaysia dan dunia,” kata pemuda itu yang
kini tinggal di Bayan Baru.
Berbalik pada “Salam”, lagu itu berkisar
tentang seorang penyair dan perjalanannya melalui kejadian yang seakan-akan
neraka. Dhanen memberitahu saya bahawa karya itu bersifat alegori dan
dipengaruhi karya klasik “Dante’s Inferno”.
Sebuah lagi karyanya yang mendapat sambutan
adalah “spoken word poetry” berjudul
“The Revolution Will Not Be Digitized”
yang merupakan olahan daripada puisi klasik karya Gil Scott Heron bertajuk “The Revolution Will Not Be Televised”.
“Saya menggantikan ‘televised’ dengan ‘digitized’
sebagai memberi nafas baru kepada karya klasik itu yang digubah pada tahun
60-an iaitu zaman kebangkitan hak sivil di Amerika Syarikat,” kata Dhanen yang
menganggap Heron, Lupe Fiasco dan Pearl Jam sebagai idola.
Sebuah lagi lagu berjudul “Monday Blues 1” mengambil inspirasi
daripada lagu bertemakan “blues”
tetapi diberikan gubahan ala hip-hop
yang amat menarik. Kehidupan seharian warga Kuala Lumpur diterokai melalui
lirik yang mudah difahami, tetapi masih ada isi tersurat bagi pendengar yang
peka.
Bagi sesiapa yang berpeluang mendengar
persembahan Dhanen pasti menyedari dan mengakui hakikat ini. Pada 2 April 2011,
pemuda ini turut terlibat dalam persembahan “Rock for Rights Penang” yang menampilkan 16 artis dan kumpulan
muzik.
“Saya juga mengambil bahagian dalam ‘Democracy Unplugged’ pada 17 Disember
2011. Konsert peringkat
Georgetown itu dianjurkan oleh Suaram Pulau Pinang dengan kerjasama kerajaan
negeri sebagai menyokong prinsip demokrasi, hak bersuara dan hak berkumpul
melalui persembahan muzik,” kata Dhanen yang turut terlibat dalam pelbagai
persembahan akustik di sekitar pulau berkenaan.
Saya cuba terus mencungkil dari mana pemuda
yang sentiasa tersenyum itu mendapat idea bagi lagu “Salam” yang sungguh merdu
itu. Pasti ada cerita tersendiri di sebalik penghasilannya.
“Lagu itu lahir daripada puisi bertajuk ‘Ahimsa’ yang saya tulis berikutan
insiden perkauman di sebuah sekolah di negara ini tidak lama dahulu. Kejadian
itu mendapat publisiti yang amat meluas, khususnya di ruang siber.
“Namun, reaksi orang ramai menimbulkan
tanda tanya dalam diri saya. Rata-rata mengecam tindakan rasis, tetapi mereka
sendiri menggunakan kata-kata yang juga bersifat perkauman apabila mengemukakan
komen! Tentulah sifat begini tidak konstruktif dan hanya memburukkan keadaan,”
Dhanen menceritakan.
Pemuda itu turut meneliti konflik di luar
negara, dari Timur Tengah ke Eropah; dari Libya ke New York.
“Berapa banyak nyawa yang melayang kerana
rasa benci dibalas rasa benci dan peluru dibalas peluru? Saya pernah melihat
foto asap daripada letupan bom di Libya lalu terfikir, mungkin beginilah rupa
neraka,” pemuda itu menceritakan kisah di sebalik penghasilan lagu “Salam”.
Katanya, dia hanya mengambil masa beberapa
jam untuk menulis lirik lagu tersebut. Hanya beberapa pertukaran dan
penyuntingan kecil dilakukan pada draf pertama sebelum beliau berpuas hati
dengan draf akhir.
Bagaimanapun, proses gubahan muzik bagi
“Salam” mengambil masa hampir setahun. Hal ini disebabkan gaya muzik yang unik,
dan juga kerana cabaran mencari vokalis yang sesuai.
Akhirnya, lagu “Salam” lahir dengan vokal
oleh Regina Ibrahim sementara Samwise menangani pengaturan muzik dan Eric Beng
memetik gitar.
Saya turut bertanya suatu soalan nakal
kepada Dhanen, iaitu adakah lagu “Salam” ada sebarang kaitan dengan frasa
“Salam 1Malaysia” yang sangat popular dalam kalangan politikus dan media elektronik
arus perdana.
“Lagu ini tiada kaitan dengan propaganda
politik yang lapuk mahupun yang akan lapuk,” tegasnya sambil menambah secara
penuh tersirat: “Slogan 1Malaysia pula membuatkan saya teringat pada keju
Perancis yang berkulat dan berbau masam. Namun ada juga yang menggemarinya.”
Memandangkan bahawa ada kelompok manusia
bersikap etnosentrik yang sering mempolitikkan penggunaan frasa/perkataan
tertentu yang dikatakan boleh digunakan secara eksklusif oleh penganut agama
tertentu sahaja, saya bertanya sama ada Dhanen pernah mendapat komen sama.
“Pelik dan terkejut apabila ada insan yang
menegur bahawa ‘salam’
cuma boleh digunakan oleh penganut agama tertentu. Tidak pernah pula saya
dipanah petir semasa menyapa rakan-rakan dan kenalan dengan ucapan salam,” kata
pemuda itu yang bakal melancarkan lagu terbaru bertajuk “Bogeyman” dalam masa terdekat.
(Catatan ini ditulis pada 30 Mei 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 11 Jun 2012. © Uthaya Sankar SB)