Apakah komik dan kartun akan mampu
menggugat sebuah kerajaan yang memerintah sebuah negara lebih 57 tahun?
Persoalan ini mungkin kurang masuk akal
tetapi wajar juga direnungkan sebentar. Apatah lagi melihat pada perkembangan
terbaru melibatkan kartunis Zunar, atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar
Ulhaque.
Buku kartun terbaru beliau berjudul Ros in Kangkong Land sepatutnya dilancarkan
di Taman Tasik Jaya, Petaling Jaya pada 14 Februari 2015. Saya turut pergi atas undangan rakan-rakan
kartunis.
“Buku yang sepatutnya dilancarkan hari ini
telah dirampas oleh polis tetapi kita bernasib baik kerana berjaya membawa
beberapa naskhah sahaja untuk majlis pelancaran,” Zunar mengumumkan kepada
peminat dan orang ramai yang berkumpul dengan penuh minat untuk memiliki buku
terbarunya.
Menurut laporan Malaysiakini (14 Februari 2015), buku berkenaan mengandungi
karikatur Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Saya mengenali Zunar dan isterinya serta Kumpulan Kartunis Independen (KKI) yang
dinaungi Zunar. Saya berpeluang menjadi penterjemah bagi sejumlah kartunnya
untuk pameran solo di Galeri Shah Alam pada September 2012.
Hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah
bahawa Zunar amat kritikal dan kritis serta berani mengkritik pemerintah.
Keberanian itulah yang dikatakan “menakutkan” kuasawan.
Seperti turut dilaporkan Utusan Malaysia (11 Februari 2015), kartunis
kontroversi itu direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung komennya
dalam Twitter yang dikatakan berbaur
hasutan berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari sebelumnya.
Zunar dibebaskan dengan jaminan polis pada
Jumaat. Beliau datang ke majlis pelancaran buku pada Sabtu dengan memakai baju
dan seluar warna ungu, hampir sama dengan baju yang dipakai semasa ditahan
reman.
Tangan kirinya dipasang gari mainan untuk
“mengingatkan” khalayak bahawa dia baru-baru ini ditahan polis.
Buku Dirampas, Majlis Pelancaran Diteruskan
Sepanjang hampir sejam saya berada di Taman
Tasik Jaya, Zunar kelihatan ceria, sementara isteri dan ahli KKI yang
bersama-sama membantu menguruskan majlis pelancaran sibuk dengan tugas
masing-masing.
Walaupun selepas mendapat berita lebih 200
naskhah buku Ros in Kangkong Land
dirampas pihak berkuasa, Zunar tetap bertenang. Beliau segera memaklumkan
bahawa orang ramai masih boleh membuat tempahan dan buku akan dikirim dalam
masa terdekat.
Amat nyata bahawa perkembangan terbaru
(rampasan buku) tidak akan mematahkan semangat perjuangan Zunar. Beliau
menegaskan akan terus menghasilkan buku-buku dan kartun baru yang “lebih keras”
tanpa tunduk pada tekanan kuasawan.
Sehingga makalah ini ditulis, belum ada
sebarang kenyataan rasmi daripada pihak polis berhubung rampasan buku
berkenaan. Zunar pula tidak menolak kemungkinan ditahan semula berikutan
penerbitan buku ini.
Isterinya, Fazlina Rosley menerusi catatan
di Facebook mengimbas kejadian pada
24 September 2010 di mana buku Cartoon-o-phobia
dilancarkan tanpa kehadiran si pelukis kerana Zunar ditahan di bawah Akta
Hasutan dan dipenjarakan selama dua hari.
“Lima tahun kemudian, hari ini (14 Februari
2015), buku Zunar dilancarkan tanpa buku itu,” katanya yang menyifatkan segala
apa yang berlaku sebagai “Drama di Bolehland”.
Selepas dibebaskan daripada tahan reman
pada Jumaat, Zunar terus melepaskan gian dengan menikmati roti telur dan teh
tarik kegemarannya. Kemudian, beliau menerusi Facebook merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang terus
menyokong perjuangannya.
“Saya memberi jaminan ‘Perjuangan Melalui
Kartun’ untuk menentang kerajaan kartun akan diteruskan!” Demikian katanya
tanpa sedikit pun rasa gentar.
Mengenai buku terbaru yang khabarnya
dirampas polis, Zunar tanpa berselindung mengaku Ros in Kangkong Land didedikasikan kepada Rosmah yang menjadi
sumber inspirasinya.
Rosmah Jadi Sumber Inspirasi Berterusan
“Buku ini mengenai Rosmah yang merupakan
idola dan individu yang memberikan banyak inspirasi kepada saya. Setiap kali
Rosmah buka mulut, saya dapat inspirasi. Setiap kali dia diam, saya tak ada
inspirasi,” katanya semasa berucap kepada hadirin di Taman Tasik Jaya pada
Sabtu.
Antara buku kartun satira penuh kontroversi
yang dihasilkan oleh Zunar termasuk Pirates
of the Carry-BN (2013), Ini-Kartun-Lah
(2013), 1 Moolaysia (2012) dan 1 Funny Malaysia (2010). Kebanyakan buku
ini diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) atas alasan “mengancam
ketenteraman awam”.
Zunar pada awal bulan ini mengumumkan
menerusi blognya bahawa beliau diundang berucap
mengenai topik hak berkarya dalam sebuah forum sempena Sesi Hak Asasi Manusia
di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Geneva pada 6 Mac 2015.
“Dalam ucapan (forum), saya akan menekankan
bahawa hak ekspresi seniman harus diletak di tempat teratas dan tidak boleh
dikompromi.
“Saya juga akan menyentuh mengenai komitmen
yang sangat minimum oleh PBB bagi melindungi artis termasuk kartunis, sehingga
menyebabkan ekstrimis dan regim korup seperti di Malaysia terus menekan
kreativiti para seniman,” katanya.
Ketegasan dan keberanian Zunar untuk terus
berjuang menerusi kartun mendapat pengiktirafan antarabangsa melalui anugerah
Keberanian Dalam Melukis Kartun Editorial daripada Rangkaian Hak Asasi Kartun
Antarabangsa (CRNI) pada 2011, dan anugerah Hellman Hammtt sebagai “pembela hak
asasi” daripada Human Rights Watch pada 2011.
Melihat kepada segala perkembangan ini –
khususnya sejak gerakan Reformasi
pada 1998 – pertanyaan yang masih bermain dalam minda masyarakat umum adalah
apakah Zunar mampu menggunakan kartun dan komik untuk mengugat kerajaan,
kuasawan dan pemerintah?
Zunar tanpa berselindung menggunakan frasa
“Kerajaan Kartun” dan beliau bertegas untuk tidak sesekali berhenti daripada
berjuang menerusi kartun untuk menumbangkan “kerajaan kartun” berkenaan.
Mengulas perkembangan terbaru berikutan
rampasan buku Ros in Kangkong Land
oleh pihak berkuasa, Zunar dalam kenyataannya yang disiarkan di The Malaysian Insider (14 Februari 2015)
menyatakan kesediaan untuk ditahan semula oleh polis.
Katanya, segala tindak-tanduk kerajaan
pusat terhadapnya sejak beberapa tahun lalu memberikan gambaran jelas
seolah-olah Putrajaya adalah “kartun”.
[Makalah ini ditulis pada 14 Februari 2015 dan disiarkan di Kuala Lumpur Post pada 15 Februari
2015. © Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan mana-mana blog
kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]