21 Mar 2015

Jesus dan Isa: Serupa Tapi Tak Sama?


Perselisihan pendapat antara sekelompok penganut Islam dan Kristian di Malaysia bukanlah sesuatu yang baru. Sekiranya diperhatikan, seolah-olah “perang salib” masih berlarutan secara langsung atau tidak langsung.

Misalnya, Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 6 Mei 2014 mendapat bantahan pelbagai pihak, seperti disiarkan di kebanyakan portal berita dalam talian.

Sehingga kini, walaupun laporan polis sudah dibuat, kes itu seolah-olah disenyapkan dan hasil siasatan tidak diketahui.

Anehnya, golongan penganut Kristian sendiri memilih untuk berdiam diri dalam isu seminar anti-Kristian itu. Mungkin kerana mereka menyerahkan tugas dan tanggungjawab “membela” agama kepada pihak gereja semata-mata.

Begitu juga dalam isu penggunaan kalimah “Allah” oleh Herald terbitan gereja Katolik (Kristian) yang masih menjadi bualan ramai walaupun kes sudah selesai di mahkamah.

Reaksi, pandangan, kritikan dan hujah-hujah berhubung kalimah Allah bukan sahaja dikemukakan oleh orang Islam dan Kristian, tetapi juga oleh masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Menerusi bukunya Islam Menjawab 20 Hujah Mubaligh Kristian (2014), Abu Sofeya berkata, mubaligh Kristian begitu gigih dan terlatih, serta mempunyai dana yang banyak untuk menyebarkan ajaran Kristian kepada orang Islam.


Sejak kecil, satu lagi pertelingkahan dan perselisihan pendapat yang saya perhatikan dalam kalangan orang Islam dan Kristian adalah mengenai kewafatan Nabi Isa @ Jesus Christ.

Perdebatan antara orang Islam dan Kristian mengenai topik ini bukanlah sesuatu yang baru. Contoh yang paling jelas boleh dirujuk pada Surah Ali Imran.

Saya sering tertanya-tanya mengapa ada dua “versi” berbeza bagi individu yang sama. Individu yang benar-benar wujud dalam sejarah dunia.

Bukannya seperti Rama dalam epik Ramayana, atau Hang Tuah dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah yang masih boleh dipertikaikan kewujudannya.

Makalah penuh boleh dibaca dalam buku Malaiur Manikam Wajib baca: Hujah balas penganut Kristian

[Makalah ini ditulis pada 4 Februari 2015 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 10 Februari 2015. © Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]