[BACA BAHAGIAN SATU] Sejak Cikgu Selvi mendapat gred DG44, secara mendadak, dia
mula diberikan beban kerja dan jumlah mata pelajaran di luar akal rasional. Dia
terpaksa mengajar lima kelas Bahasa Inggeris, tiga kelas Sains, tiga kelas
Muzik dan tiga kelas Pendidikan Jasmani.
Secara purata, Selvi perlu menanda 700 buku
setiap minggu. Setiap dua hari, Puan Saraswathi akan menyemak buku-buku
berkenaan secara rambang dan sengaja mencari kesalahan.
Pelbagai tekanan diberikan secara
berterusan oleh guru besar itu. Misalnya, Saraswathi turut mempersoalkan
mengapa Selvi tidak memberikan kerja rumah kepada murid-murid pada cuti hujung
tahun!
Pada waktu itulah Selvi mula tidak mampu
mengawal tekanan dan penderaan mental yang diterima. Akan tetapi, penderaan itu
berterusan sehingga Selvi hanya mampu menangis pada setiap mesyuarat.
Sebaik sesi persekolahan bermula pada
Januari 2012, Saraswathi masuk ke setiap kelas di mana Selvi mengajar. Dia akan
sengaja mencari kesalahan dan menghinanya dengan sangat teruk di hadapan
murid-murid setiap kelas.
“Guru besar akan sentiasa mengungkitkan
bahawa sebagai guru DG44 yang mengatasi DG32 (guru besar itu), maka prestasi saya
mesti lebih baik daripada dia,” Selvi mengeluh sambil mengimbas pengalaman itu.
Oleh kerana sudah tidak mampu menanggung
segala penderaan mental dan emosional, Selvi pengsan di dalam kelas pada suatu
hari semasa sedang dihina bertubi-tubi oleh Saraswathi.
Apabila dibawa ke pusat perubatan, pakar
mengesahkan Selvi mengalami depressive
disorder dan diberikan cuti sakit selama sepuluh hari. Sepanjang tempoh itu
pun Saraswathi tidak berhenti daripada terus memberikan tekanan.
Guru besar meminta guru-guru lain dan
kerani menelefon secara bertali-arus untuk menyuruh Selvi membatalkan cuti dan
datang semula ke sekolah.
Saraswathi turut menelefon pegawai di
pejabat pendidikan daerah (PPD) dan mengadu kononnya Selvi berpura-pura sakit.
Kononnya doktor pakar memberikan surat cuti sakit yang palsu.
“Saya berada dalam keadaan mamai dan
ketakutan selama sepuluh hari itu. Suami saya menceritakan (kemudian) bahawa
apabila cuti sakit tamat, saya berpaut pada kakinya dan merayu supaya tidak
diminta pergi semula ke sekolah berkenaan. Saya sudah tidak tahan dengan
penderaan Saraswathi,” Selvi mengakui.
Kemurungan Mencetuskan Idea Bunuh Diri
Rawatan susulan diterima di Pusat Perubatan
Universiti Malaya (PPUM). Selvi diberikan ubat anti depression pada dos tinggi kerana doktor mendapati keadaannya
agak teruk.
Anak-anak juga menerima kesan daripada
keadaan kesihatan Selvi. Anak bongsu berumur lapan tahun pada waktu itu. Selvi
masih dalam trauma dan sering kali tidak tahu apa yang sedang dilakukannya.
Emosi dan keadaan mentalnya sangat
terganggu. Beberapa kali Selvi dikatakan cuba mencederakan anaknya sendiri.
Selvi hanya tahu mengenai insiden itu apabila diceritakan beberapa bulan
kemudian.
Sementara itu, Saraswathi tidak berhenti
daripada mengganggu dengan terus menghubungi pegawai PPD dan mengadu kononnya
Selvi berpura-pura atau berlakon seperti orang sakit kerana malas bekerja.
“Rakan-rakan kerja mengirim e-mel dan SMS
untuk bertanya khabar. Semua SMS dan e-mel balasan saya dicetak oleh guru
besar.
“Salinan itu dikemukakan kepada PPD sebagai
bahan bukti kononnya saya masih mampu berkomunikasi secara waras, maka
sepatutnya dipaksa kembali ke sekolah,” guru itu menceritakan.
Selvi sudah tidak mampu menanggung segala
tekanan dan gangguan emosional apabila dihubungi secara bertalu-talu oleh
sekolah untuk memintanya datang semula. Wajah Saraswathi sentiasa terbayang di
depan mata.
Guru itu mula menjadi bertambah murung pada
waktu tertentu dan ganas pada waktu lain. Anak-anaklah yang turut menerima
kesan daripada semua ini. Anak bongsu yang tidak memahami apa-apa turut menjadi
mangsa.
Selvi mengaku bahawa ada suara dalam hati
yang menyarankan supaya segala penderitaan itu ditamatkan dengan cara mencabut
nyawa sendiri. Suara halus itu sentiasa muncul dalam fikiran dan cuba
menghasutnya.
Beberapa kali Selvi mengambil keputusan
membunuh diri dengan terjun dari tingkat enam pangsapuri. Mujurlah anak
bongsunya berjaya menghalang.
Kisah Yang Perlu Dijadikan Pengajaran
Anak-anak yang belajar dan menginap di luar
semakin risau. Prestasi pelajaran mereka juga terjejas teruk kerana memikirkan
kesihatan ibu mereka.
Keadaan diri Selvi tidak terurus. Anak
sulung yang belajar di luar negara terkejut besar melihat keadaan ibunya
sewaktu pulang bercuti. Selvi dibawa semula ke PPUM.
Doktor mengesahkan keadaannya semakin teruk
dan diberi cuti sakit 90 hari. Selvi pulang ke rumah ibu bapanya di Perak untuk
menerima penjagaan rapi. Anak bongsu dibawa bersama.
Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan
(KPPK) tampil membantu sebaik sahaja kes ini dibawa kepada perhatian mereka
oleh anak sulung Selvi.
Setiausaha Agung KPPK, Lok Yim Pheng,
bersemuka dengan Saraswathi untuk membincangkan isu yang timbul. Selvi juga
dihantar kepada kaunselor khas di Jabatan Pelajaran Negeri Selangor untuk
khidmat kaunseling.
Guru itu tidak henti-henti berdoa dan
memohon “dibebaskan” daripada terus menjadi mangsa penindasan dan kezaliman
Saraswathi.
Selvi sudah serik dengan sikap guru besar
itu yang bukan hanya memusnahkan hidupnya, tetapi hidup seluruh keluarganya.
Akhirnya, berkat campur tangan KPPK, pada
Mei 2012, Selvi ditukarkan ke sekolah lain dan beliau bertugas dengan cemerlang
di sana sehingga hari ini. Prestasi murid-muridnya meningkat dari hari ke hari.
“Pada mulanya, saya masih dalam proses
pemulihan. Saya cukup bertuah kerana guru besar di sekolah baru amat prihatin
dan penyayang.
“Sokongan guru-guru dan kakitangan di SJKT itu juga menjadi terapi positif
yang berjaya mengembalikan saya kepada diri saya yang asal,” Selvi mengakhiri
ceritanya.
Kisah Selvi wajar menjadi rujukan, panduan
dan pengajaran kepada semua pihak terbabit bagi memastikan guru-guru tidak
dijadikan mangsa kerakusan, kezaliman, penindasan dan ketamakan guru besar
serta sistem pendidikan negara yang kacau-bilau. [Baca juga - Tamil School Teacher Tries to Commit Suicide] [Baca juga - Anda Mahu Terus Membisu?]
[Makalah ini ditulis pada 5 Februari 2015 dan disiarkan di The Malay Mail Online pada 10 Februari
2015. BACA MAKALAH BERKAITAN SJKT DI SINI. © Uthaya Sankar SB 2015. Makalah ini banyak dikongsi dalam kalangan guru besar
SJKT dan politikus. Kononnya pandangan guru besar SJKT patut turut disiarkan supaya
adil. Maka, peluang telah dibuka sehingga 14 Mac 2015 untuk mana-mana pihak
tampil memberikan komen untuk disiarkan. Bagaimanapun, tidak ada sesiapa yang
menghubungi penulis untuk diwawancara. Apa yang nyatakan, kes seperti yang dipaparkan menerusi makalah ini bukan kes terpencil, sebaliknya berleluasa! SUARAKAN MASALAH ANDA DI SINI. Harap maklum bahawa anda membaca makalah
ini serta segala kandungan mana-mana blog
kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]