15 Mar 2015

Guru SJKT dan Bunuh Diri – Bahagian 1


Benarkah tekanan kerja serta “penderaan” mental oleh guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) menyebabkan ada guru bertindak nekad mahu membunuh diri?

Persoalan ini muncul dalam minda selepas tersebar berita kononnya seorang guru di sebuah SJKT di Johor cuba mengambil nyawa sendiri dengan meminum racun.

Beberapa orang – khususnya guru-guru SJKT – menghubungi saya untuk berkongsi maklumat mengenai kes tersebut serta beberapa kes seumpama itu.

Secara umum, apa yang didapati adalah bahawa kebanyakan guru tidak tahan dengan penderaan mental yang diberikan oleh guru besar; sebagai tambahan kepada beban kerja yang terpaksa ditanggung atas arahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Program New Deal (Tawaran Baru atau Bai’ah) yang menjanjikan “habuan” besar kepada guru besar dikatakan menyebabkan kebanyakan guru besar SJKT lupa diri dan hilang pertimbangan rasional.

Guru besar terbabit yang mahu mencapai cita-cita peribadi mula memaksa guru-guru bekerja lebih masa – termasuk pada hari cuti – tanpa memikirkan hakikat guru-guru juga ada keluarga.

Menurut sebuah rencana di Utusan Malaysia (18 Februari 2011), guru besar selaku pemimpin dan pentadbir akan menikmati habuan RM7,500 jika berjaya membawa sekolahnya melepasi tahap kecemerlangan yang ditetapkan.

Bagi sekolah rendah, 70 penilaian berdasarkan keputusan UPSR manakala 30 peratus meliputi pengurusan dan pentadbiran sekolah. Pencapaian murid dalam akademik dan kokurikulum turut diambil kira.

Bagi SJKT pula, guru besar khabarnya menerima habuan agak lumayan daripada MIC bagi setiap murid yang mendapat 7A dalam UPSR.

Maknanya, ada lebih daripada satu habuan yang menanti guru besar jika berjaya melonjakkan pencapaian murid.

Bukan Sekadar Kes Terpencil Seperti Disangka

Terdapat 523 buah SJKT di seluruh negara. Agak menarik untuk diperhatikan bahawa kebanyakan kes “penderaan” melibatkan guru besar wanita dan guru wanita.

(Ada juga kes guru besar lelaki melakukan gangguan seksual atau meminta habuan seks bagi “meringankan” beban kerja guru wanita; tetapi itu bagi makalah yang lain pula.)

Seorang guru SJKT menghubungi saya untuk berkongsi pengalaman. Beliau meminta identiti kesemua individu terbabit dirahsiakan.

Apa yang penting, beliau mahu kisah dan pengalaman yang dikongsikan itu sampai kepada pengetahuan umum.

“Saya tidak mahu orang beranggapan kes yang berlaku di Johor baru-baru ini sebagai suatu kes terpencil.

“Sebenarnya kes seperti ini banyak berlaku tetapi sering disembunyikan demi menjaga maruah dan nama baik SJKT,” kata Cikgu Selvi (bukan nama sebenar).

Sebaik mendapat berita mengenai kes yang berlaku itu, Selvi segera terkenang akan pengalaman yang dilaluinya sendiri.

Dia bersedia untuk berkongsi pengalaman pahit itu demi membuka mata orang ramai serta menarik perhatian kementerian dan jabatan pendidikan.

Katanya, memang kes guru besar membuli, menekan dan mendera guru secara fizikal dan emosional berleluasa di beberapa SJKT. Semuanya demi memastikan guru besar dapat melonjakkan nama dan menerima habuan atas kejayaan sekolah yang ditadbirnya.

Saraswathi Halang Guru Pakai Sari Ke Sekolah

Pada sekitar tahun 2008, Selvi mula mengajar di sebuah SJKT di Selangor. Masalah hanya timbul apabila Puan Saraswathi (bukan nama sebenar) berpindah ke sekolah berkenaan hampir setahun kemudian.

Saraswathi seorang guru besar cemerlang. Entah mengapa, sejak awal-awal lagi, Saraswathi kurang menyenangi Selvi.

Menurut Selvi, guru besar itu sering bercakap secara kasar, menyindir dan menghinanya tanpa apa-apa alasan.

Secara kebetulan, kereta yang dipandu oleh Selvi adalah lebih mahal (mewah) berbanding kereta Saraswathi.

Pada suatu hari, guru besar itu mengarahkan Selvi supaya tidak lagi membawa kereta berkenaan ke sekolah kerana kononnya menjejaskan kedudukannya sebagai ketua.

“Dia juga mengarahkan saya tidak memakai sari ke sekolah. Kononnya ibu bapa dan pihak PIBG membuat aduan.

“Saya bukanlah guru yang muda. Anak-anak saya sudah besar-besar belaka. Entah apa yang menjadi isu jika saya memakai sari ke sekolah,” Selvi meluahkan perasaannya.

Saraswathi sentiasa mencari peluang untuk mengkritik, menghina dan memburuk-burukkan Selvi, sama ada di kelas atau dalam mesyuarat.

Guru itu mula menyedari bahawa guru-guru wanita lain juga menjadi sasaran tetapi mereka hanya berdiam diri.

Mesyuarat Dipenuhi Leteran, Penghinaan

Mesyuarat diadakan pada setiap hari Sabtu, dari 8 pagi hingga 5 petang. Kononnya untuk meningkatkan prestasi sekolah dalam akademik dan kokurikulum, selaras program New Deal.

Akan tetapi, dua jam pertama pada setiap mesyuarat digunakan untuk menghina para guru dengan kata-kata kesat yang meletakkan guru terbabit lebih hina daripada anjing jalanan.

Amalan Saraswathi hampir menyerupai budaya politikus kaum India yang gemar melakukan perkara sama dalam mesyuarat bagi memastikan semua orang bawahannya menjadi pak turut yang tidak akan berani melawan dalam apa-apa keadaan.

“Kalau ada cuti sekolah selama dua minggu, minggu pertama (Isnin-Sabtu) pasti diisi dengan mesyuarat sepanjang hari.

“Para guru terpaksa hadir untuk mendengar leteran dan penghinaan yang bertubi-tubi,” Selvi menceritakan dengan nada sedih.

Pada tahun 2011, Selvi mendapat gred DG44 berdasarkan kelayakan manakala Saraswathi masih berada pada paras gred DG32.

Gaji guru besar itu masih lebih tinggi daripada Selvi tetapi Saraswathi mula mengungkitkan soal maruah dan kedudukannya.

Guru besar itu mula menyindir dengan berkata, “Lihatlah nama anjing mana yang ada pada kedudukan teratas pada senarai nama” kerana nama-nama disusun mengikut tangga gred DG.

Secara automatik, nama Selvi berada di atas nama Saraswathi dalam senarai. Maka guru besar itu secara terang-terangan melipat-gandakan tekanan dan penghinaan terhadap Selvi yang ternyata tidak disukainya. – Bersambung

[Makalah ini ditulis pada 5 Februari 2015 dan disiarkan di The Malay Mail Online pada 9 Februari 2015. BACA MAKALAH BERKAITAN SJKT DI SINI. © Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]