[Walaupun cerpen
ditulis menggunakan bahasa kebangsaan, budaya dan kepercayaan kaum Cina
diterapkan dalam karya untuk membantu proses pemahaman pembaca pelbagai kaum.]
“Bersabar cucuku. … Cucuku, beribadatlah
selalu. Carilah dalam sembahyangmu,” kata suara halus yang tenang sebelum ghaib
dalam cerpen “Kedai”. Serta-merta hujan dan kilat tidak ada lagi. [BACA BAHAGIAN SATU]
Sebagai seorang pembaca kumpulan cerpen Bendera Putih (2015) karya Chai Loon Guan,
saya mengandaikan bahawa kejadian nenek-moyang yang sudah meninggal dunia
muncul dalam bentuk cahaya dan suara misteri merupakan sesuatu yang lumrah
dalam budaya kaum Cina.
Sementara itu, kalau kedai warisan usang
dalam cerpen “Kedai” usianya menjangkau “dua dekad setengah” (25 tahun), rumah
pusaka usang milik watak Ah Ti dalam cerpen “Rumah” pula berusia tiga dekad (30
tahun).
Tentulah Ah Ti dalam cerpen “Rumah” tidak
ada sebarang kaitan dengan watak-watak namesake dalam cerpen-cerpen lain.
Kali ini dia seorang perokok tegar dan pengusaha kebun sayur di atas tanah
terbiar yang terletak tidak jauh dari rumah pusaka.
Ah Ti dan isterinya, Ah Moi – tidak sama
dengan Ah Moi dalam cerpen “Ayah” – menghadapi dilema selepas menerima notis
berpindah dari rumah pusaka yang digambarkan mempunyai zink karat dan siling
usang.
Rupa-rupanya rumah pusaka itu dibina oleh
mendiang datuknya di atas tanah terbiar. Kini sudah ada pemaju yang
mengambil-alih tanah berkenaan. Ah Ti dan Ah Moi pergi bertemu “Tauke Lim, buaya
darat tu” (sepatutnya “lintah darat”) yang digambarkan memiliki wajah
berseri-seri, gemuk, putih melepak, pendek dan bermata bulat yang galak.
Seperti yang dapat diduga, pasangan
suami-isteri “Cina miskin” itu gagal mendapat keadilan daripada “Cina kaya”.
Hal ini amat berbeza dengan nasib watak Ah Hai dalam “Sayonara Pura Singa”,
“Irrashaimase Tanah Melayu!” dan “Bendera Putih” yang berlatarkan tahun
1926-45.
Penerapan unsur ajaran Buddha
Mungkinkah Ah Hai bernasib baik kerana ada
hubungan kekeluargaan dengan Pak Cik Teh, pemilik Syarikat Sin Teck Soon di
Tanjong Malim? Hubungan itu pula berlarutan dari daerah Engchun, Tiongkok
(China).
Kedatangan sin kheh (orang baru) seperti Ah Hai diberikan sokongan,
perlindungan dan bantuan oleh orang lama, kheh
thau (ketua) dan saudara-mara di Tanah Melayu untuk maju.
Bagaimanapun, pada masa kini, seolah-olah
“Cina kaya” seperti Tauke Lim terlalu mementingkan diri sendiri dan keuntungan.
Maka mereka langsung tidak memikirkan soal mahu membantu “Cina miskin” seperti
yang pernah berlaku dahulu.
Cerpen “Abang Skizofrenia” menampilkan
watak “Aku” (Ah Guan) yang mengimbas kisah abangnya yang dikatakan menghidap
penyakit mental berikutan kemalangan jalan raya sewaktu berumur 21 tahun. Abang
Chuan meninggal dunia selepas usia melewati 63 tahun.
Fakta sains dan psikologi mengenai
skizofrenia kurang meyakinkan tetapi saya tidak mahu menyentuh mengenainya.
Sebaliknya saya tertarik pada beberapa citra budaya Cina dan ajaran Buddha yang diselitkan oleh Chai Loon
Guan dalam cerpen ini.
Unsur ajaran Buddha dimasukkan secara bijak
dan bersahaja oleh individu yang menggelarkan dirinya “penulis bukan Melayu yang menulis
karya-karya susastera berbahasa Melayu” berdasarkan “pahit manis dan suka duka
pengalaman penulis”.
“Kata emak, jika kita rajin berusaha, Tuhan akan memakbulkan usaha kita. Yang
penting, apa yang kita usahakan mestilah berlandaskan pandangan yang betul,
pemikiran yang betul, ucapan yang betul, perlakuan yang betul, kehidupan yang
betul, usaha yang betul, peringatan yang betul dan tafakur yang betul. Jalan
Tengah itulah yang dapat mengekang nafsu liar ..."
Petikan di atas daripada cerpen “Abang
Skizofrenia” jelas menunjukkan kehadiran “Jalan Lapan Lapis” (The Noble Eightfold Path) dalam ajaran Siddhartha Gautama Buddha yang juga
disebut sebagai “Jalan Tengah” (The
Middle Way).
Mengharapkan bantuan Tuhan
Watak emak “memanjatkan doa” dan “berdoa
kepada Tuhan” serta “ke tokong untuk bersembahyang”. Ayah dan seisi keluarga
dalam cerpen itu turut berdoa. Dalam cerpen “Ayah” juga dicatatkan bahawa
“masing-masing berdoa kepada Tuhan”.
Kehadiran “Tuhan” dengan “T” huruf besar
pada cerpen-cerpen dalam kumpulan ini amat menggembirakan dan melegakan.
Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) selaku penerbit wajar dipuji kerana
tidak melakukan diskriminasi agama.
Apa tidaknya! Semasa panel khas yang
ditugaskan meminda novel Interlok: Edisi Murid (2010)
berbincang di bangunan Parlimen pada 16 Mac 2011, ada pihak yang membantah
penggunaan “Tuhan” (huruf besar) apabila melibatkan watak Bukan Islam.
Kononnya “Tuhan” hanya bagi orang Islam dan “tuhan” (huruf kecil) sahaja
layak bagi Bukan Islam. [Baca: Tindakan Rasis, Fasis DBP] Mujurlah penulis seperti Chai Loon Guan masih waras dan
tegas dengan pendirian menggunakan “Tuhan” (huruf besar) walaupun tidak merujuk
kepada Allah dalam konteks Islam.
Bagaimanapun, agak pelik apabila pengarang
menulis: “Hanya mukjizat Tuhanlah yang dapat menyembuhkan penyakit Abang
Chuan!” Hal ini kerana “mukjizat” merujuk kepada kurniaan Allah kepada nabi dan
rasul; bukan kelebihan yang dimiliki Tuhan. Mungkin penulis dan editor terlepas
pandang.
Gambaran secara sekilas lalu mengenai
budaya kaum Cina turut dikemukakan dalam cerpen yang sama. Misalnya “upacara
pengebumian emak berlangsung dengan teratur dan penuh dengan adat istiadat
masyarakat Tionghoa.”
Walaupun adat-istiadat kaum Cina tidak
dipaparkan secara langsung, terperinci dan mendalam, Chai Loon Guan tetap
berjaya membuka ruang bagi pembaca pelbagai kaum memahami budaya, amalan
dan pemikiran kaumnya. Baca juga: Kisah Sin Kheh Menjadi Raja
[Makalah ini ditulis pada 28 Januari 2015 dan disiarkan di Roketkini pada 8 Februari 2015. © Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum
bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]