“Saya tidak setuju dengan istilah Penulis
Kaum India. Sebaliknya saya lebih selesa dengan istilah Penulis Bukan Melayu.”
Demikian ditegaskan seorang individu
menerusi sepucuk e-mel pada 8 Julai 2003 sebagai reaksi terhadap pandangan saya
yang disiarkan dalam majalah Siasah (Jun 2003).
Rasional yang dikemukakan oleh penulis
wanita berkenaan yang pernah saya bimbing sejak tahun 1998 adalah bahawa
konsep/gelaran “Bukan Melayu” membuatkan dirinya lebih ‘dekat’ dengan “Melayu”
manakala “Kaum India” pula ‘menjauhkan’ jarak.
Sewaktu saya bersama-sama Dr Krishanan
Maniam dijemput membentangkan kertas kerja di Universiti Sains Malaysia (USM)
pada 1998, pengerusi majlis memperkenalkan saya sebagai “Penulis Tamil”.
Saya segera melakukan pembetulan bahawa
saya adalah sasterawan Malaysia yang menulis dalam Bahasa Malaysia.
Begitu juga semasa Simposium Penulis
Pelbagai Kaum di Perlis pada 2002, saya terpaksa menegur beberapa pengkaji
sastera yang menggunakan istilah “Penulis Tamil” dan “Penulis Bukan Melayu”
apabila merujuk kepada kelompok penulis kaum India yang menghasilkan karya asli
menggunakan Bahasa Malaysia.
Dr Mohd Saleeh Rahamad yang turut
membentangkan kertas kerja pada simposium itu bersikap profesional dengan
menjelaskan bahawa istilah “Penulis Tamil” merujuk kepada penulis
yang menghasilkan karya Bahasa Tamil, manakala istilah “Penulis Kaum India” lebih tepat bagi
penulis kaum India yang menulis karya Bahasa Malaysia.
Berikutan suatu seminar di Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP) pada Julai 2004, istilah khusus yang digunakan adalah “Sasterawan Kavyan” apabila merujuk
kepada penulis kaum India yang menulis karya asli Bahasa Malaysia.
Dalam majalah Tunas Cipta (Ogos 2009), saya
bersetuju bahawa pembahagian penulis mengikut kaum harus ditiadakan, apatah
lagi apabila para penulis berkenaan berkarya dalam Bahasa Malaysia.
Masalah dan kecelaruan istilah dan konsep
seperti di atas bukanlah sesuatu yang baru di Malaysia. Sebaliknya wujud sejak
penulis kaum India mula menulis menggunakan bahasa Melayu; jauh sebelum istilah
“Bahasa Malaysia” diperkenalkan pada 1970.
Budaya melabel penulis karya sastera
Contoh paling mudah yang muncul dalam minda
adalah Munshi Abdullah (Abdullah Abdul Kadir)
yang sering dilabelkan sebagai “Penulis Melayu” semata-mata kerana pengarang
berdarah India itu beragama Islam dan menulis menggunakan bahasa Melayu.
Hal ini turut saya jadikan contoh semasa
membentangkan kertas kerja bertajuk Speaking in Tongues: The Kavyan Writers
pada Persidangan Penulis Tamil Sedunia di Singapura pada 2011.
Sekiranya kita meneliti perkembangan
sastera Melayu di Malaysia, pada sekitar tahun 1970-an, lahir kelompok penulis
Bahasa Tamil yang mula menulis atau menterjemah karya Bahasa Tamil ke Bahasa
Malaysia.
Harus juga dinyatakan bahawa istilah
“Bahasa Malaysia” diperkenalkan pada 1970 sebagai salah satu usaha murni
memupuk perpaduan kaum serta menimbulkan semangat kekitaan dalam kalangan
rakyat pelbagai kaum.
Kelompok yang melakukan kerja-kerja
terjemahan tadi atas galakan agensi kerajaan seperti DBP dan persatuan penulis
seperti Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) berasa selesa –
atau sekurang-kurangnya tidak membantah – apabila dilabel sebagai Penulis Tamil
dan Penulis Bukan Melayu.
Keselesaan yang sama seperti itulah yang
ditunjukkan oleh Raja Rajeswari Seetha Raman apabila dia
menyatakan pendirian “lebih selesa dengan istilah Penulis Bukan Melayu”.
Isu penggunaan istilah “Penulis Melayu” dan
“Penulis Bukan Melayu” nampaknya masih belum selesai sampai sekarang. Ini
tentunya sebagai tambahan kepada isu istilah “Penulis Tamil” dan “Penulis Kaum
India” yang sesekali menjadi polemik dalam kalangan penulis kaum India yang
menghasilkan karya menggunakan Bahasa Malaysia.
Rajeswari juga pernah merajuk pada awal
Julai 2003 apabila namanya disenaraikan di bawah “penulis baru”. Katanya, dia
perlu dikategorikan sebagai “penulis sedang meningkat”. Allahyarham Dr Othman Puteh mengesahkan
kategori itu tidak wujud.
Forum “Perlukah Ada Lagi Konsep Penulis
Melayu dan Bukan Melayu dalam Kesusasteraan Kebangsaan Masa Kini?” anjuran DBP
pada 29 September 2014 tidak membantu mencari penyelesaian yang diharapkan
terhadap polemik yang berlarutan sejak 1970-an.
Sebaliknya hanya membuka ruang untuk
khalayak sastera mengulangi topik, isu, keluhan, rintihan, rayuan dan hujah
yang sudah basi dibincangkan tanpa bersungguh-sungguh membuat ketetapan yang
tuntas – seingat saya – sejak 1994.
Penulis tolak label yang mendiskriminasi
Pada 8 Januari 1994, saya menghadiri “Forum Penulis Pelbagai Kaum: Satu Pertemuan Kreatif”
anjuran Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) di bangunan lama DBP, Kuala
Lumpur.
Terus-terang, forum yang sesungguhnya hanya
berupa “pertemuan” itu tidak mencapai sebarang kata sepakat seperti yang telah
saya impikan sewaktu menghadirinya dengan penuh semangat sebagai seorang
penulis muda.
Pelbagai isi, keluhan, rayuan dan maklumat
yang dikongsikan Krishanan masih dibentangkannya semula pada forum 29 September
2014. Seolah-olah dunia sastera kebangsaan melibatkan pengarang pelbagai kaum
masih tersekat di sana.
Dalam forum terbaru di DBP, Dr Lim Swee Tin menyatakan bahawa beliau
mula menggunakan istilah “Penulis Bukan Melayu” dalam sebuah ulasan pada tahun
1974.
Kini beliau menegaskan bahawa label dan
kategori “Penulis Bukan Melayu” sudah tidak perlu lagi. Saya amat bersetuju
dengan pendirian dan hujah bernas yang beliau kemukakan untuk menyokong
pandangan itu.
“Pada tahun 1985, saya ada menulis satu
rencana di mana saya nyatakan bahawa sudah tiba masanya kita tinggalkan istilah
Penulis Bukan Melayu disebabkan oleh rata-rata pengarang kita yang lahir dan
memperoleh pendidikan melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan sudah mampu menguasai
Bahasa Malaysia dengan baik. Maka marilah sama-sama kita tinggalkan istilah
Penulis Bukan Melayu,” katanya dengan penuh semangat.
Sebagaimana disebutkan oleh seorang lagi
ahli panel forum, Dr Ramzah Dambul, pembahagian kategori “Penulis Melayu” dan
“Penulis Bukan Melayu” amat tidak adil serta seolah-olah mendiskriminasi
kelompok penulis “bukan Melayu” itu sendiri.
Bagi Krishanan pula, kategori “Penulis
Bukan Melayu” yang diadakan dalam pelbagai pertandingan menulis cerpen anjuran
DBP, Maybank, Utusan, Esso dan sebagainya telah membantu melahirkan ramai
penulis pelbagai kaum sejak tahun 1980-an.
Memang benar tetapi sampai bila kelompok
penulis “Bukan Melayu” perlu dimanjakan dan diberikan hadiah menerusi
penghakiman (penilaian) yang jauh lebih longgar berbanding penghakiman karya
penulis Melayu?
Novel sulung Thanusya Shanmuganathan berjudul Tak Sengaja Cinta bakal
dilancarkan pada 12 Oktober 2014. Dalam berkongsi rasa gembira, penulis yang
menggunakan nama pena Meera Natasya itu menegaskan bahawa novelnya dipilih oleh
penerbit kerana mutu, bukan kerana dia Penulis Bukan Melayu.
“Saya menulis dari hati dan mahu dilihat
sebagai penulis berwibawa, bukan penulis kaum India yang menulis karya kurang
bermutu. Saya tidak suka dibanding-bandingkan dengan penulis Melayu,” katanya
lagi.
Nama-nama besar seperti Saroja Theavy
Balakishnan pasti tidak menjadi sebutan ramai dan karya mereka dikaji pada
peringkat ijazah sarjana jika mereka sekadar mahu berkarya dalam lingkungan
kategori Penulis Bukan Melayu. (Bersambung)
[Makalah ini ditulis pada 2 Oktober 2014 dan disiarkan di The Malay Mail Online pada 6 Oktober 2014.
BACA BAHAGIAN DUA DI SINI. © Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan mana-mana blog
kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]