[BACA BAHAGIAN SATU DI SINI] Kata-kata Dr Krishanan Maniam semasa forum di Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 29 September 2014 memang benar kerana nama saya
juga “muncul” pada tahun 1994 menerusi Hadiah Cerpen Maybank-DBP Kategori A
(Penulis Bukan Melayu). Begitu juga dengan Saroja Theavy Balakrishnan yang “lahir”
hampir sedekad sebelum saya dalam bidang penulisan sastera Bahasa Malaysia.
Akan tetapi, persoalan penting yang wajar
kita fikirkan adalah berapa ramai penulis kaum India yang lahir menerusi
pertandingan menulis yang dikhaskan bagi “Penulis Bukan Melayu” berjaya
menghasilkan lebih daripada tiga karya selepas menang pertandingan itu?
Kalaulah mereka hanya mampu menulis
sekiranya diberikan “hak istimewa”, “kuota” dan “peluang khas” maknanya berlaku
diskriminasi dan perbuatan tidak adil. Mereka seolah-olah dimenangkan atas
dasar kasihan walaupun sebenarnya tidak layak.
Kalaulah benar individu itu berbakat dan
mampu menghasilkan karya sastera Bahasa Malaysia, karya itu pasti akan
tetap menang pertandingan atau tersiar di akhbar dan majalah tanpa perlu
dimanjakan dengan kategori khas.
Dalam majalah Tunas Cipta (Oktober 2012), Raja Rajeswari Seetha Raman
menyenaraikan 26 penulis kaum India yang muncul sejak
1930 dalam penulisan cerpen Bahasa Malaysia.
Dia menyebut di akhbar Mingguan Malaysia (26 Mei 2013) bahawa hanya ada empat penulis kaum
India yang masih berkarya secara konsisten sehingga kini dalam menghasilkan
karya Bahasa Malaysia.
Hal ini membuktikan bahawa segala “hak
istimewa”, “kuota” dan “peluang khas” tidak ada apa-apa makna dan kesan jika
individu terbabit tidak mempunyai bakat dan minat menghasilkan karya bermutu.
Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan menimbulkan isu sekolah
jenis kebangsan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) yang mungkin dilihat sebagai
“alasan” untuk mewajarkan pembahagian kategori “Penulis Melayu” dan “Penulis
Bukan Melayu”.
Pandangan seperti ini memang sudah banyak
kali dikemukakan oleh pelbagai kelompok yang tanpa segan-silu merayu simpati
supaya penulis kaum India dan Cina diberikan “keistimewaan” untuk mampu meraih
kejayaan.
Kenyataan seperti ini, walaupun kelihatan
seolah-olah menyokong penulis yang belajar di SJKC dan SJKT, sebenarnya
merupakan penghinaan amat besar. Seolah-olah kedudukan bekas murid SJKT dan
SJKC adalah selama-lamanya beberapa tangga di bawah murid sekolah kebangsaan
(SK).
Masih ada yang merayu peluang istimewa
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang diasaskan pada 1999 ada
banyak pengalaman mengendalikan aktiviti Bahasa Malaysia di SK, SJKT dan SJKC.
Kami mendapati ramai murid SJKC dan SJKT mempunyai penguasaan Bahasa Malaysia
lebih baik daripada “penutur asli bahasa Melayu” di SK.
Dalam pada itu, para penulis pelbagai etnik
di Sabah dan Sarawak tidak pernah merayu-rayu dan meminta-minta diberikan
“keistimewaan” dan “peluang khas” atas nama Penulis Bukan Melayu untuk mampu
berjaya dalam bidang penulisan.
Pada masa sama, jangan lupa bahawa SJKT,
SJKC atau SK bukan penentu seseorang menjadi penulis Bahasa Malaysia. Usahlah
kita menghina lepasan SJKT dan SJKC dengan mengatakan mereka tidak layak
menulis karya Bahasa Malaysia kerana tidak mampu menguasai bahasa itu.
Seperti dinyatakan oleh Dr Ramzah Dambul
pada forum bertajuk “Perlukah Ada Lagi Konsep Penulis Melayu dan Bukan Melayu
dalam Kesusasteraan Kebangsaan Masa Kini?”, rata-rata penulis Sabah dan Sarawak
yang berkarya dalam Bahasa Malaysia bukannya berdarah Melayu dan bukan penutur
asli bahasa Melayu.
Kalaulah para penulis “Bukan Melayu” di
Sabah dan Sarawak mampu bersaing setaraf penulis Melayu dan mampu pula meraih
kejayaan dan kecemerlangan yang membanggakan, mengapa pula penulis “Bukan
Melayu” (khasnya Cina dan India) di Semenanjung Malaysia mahu diberikan hak
istimewa?
Semasa forum di DBP, Krishanan memetik
pandangan Dr Mohd Saleeh Rahamad pada Simposium
Penulis Pelbagai Kaum di Perlis pada 2002 di mana Saleeh memuji beberapa penulis
kaum India yang mampu menghasilkan karya Bahasa Malaysia setanding penulis kaum
Melayu.
Namun begitu, Krishanan masih mahu kategori
“Penulis Bukan Melayu” dikekalkan dalam pemilihan karya (pertandingan atau
siaran atau peluang berbengkel) bagi melahirkan lebih ramai penulis kaum India.
Pandangan ini tentu sahaja amat ironis
kerana penulis kaum India diakui sudah setanding penulis kaum Melayu, tetapi
beliau masih merayu peluang istimewa diberikan kepada penulis kaum India.
Sejak 1970-an, pelbagai peluang, ruang dan
keistimewaan sudah diberikan oleh DBP (misalnya) untuk menggalakkan kelahiran
penulis kaum India. Ini hakikat yang tidak boleh dipertikaikan. Akan tetapi, di
manakah hasilnya?
Sebagai individu yang terlibat secara
langsung dalam bidang penulisan sejak 1991, saya menegaskan bahawa label dan
peluang istimewa atas nama “Penulis Bukan Melayu” tidak akan mampu menghasilkan
lebih ramai penulis kaum India dalam sastera bahasa kebangsaan.
Dengarlah rayuan Raja Rajeswari
Rajeswari yang pernah lantang berhujah mahu
terus dikenali sebagai “Penulis Bukan Melayu” (2003) kini bangkit meluahkan
perasaannya dengan penuh emosi semasa forum terbaru yang berlangsung di Dewan
Seminar Datuk Hassan Ahmad, DBP.
“Perasaan kami wajar dihormati sebab kami
diterima bukan sebab kami Penulis Bukan Melayu tetapi disebabkan kualiti karya
kami,” kata wanita ini yang mengakui kelayakannya untuk memenangi suatu hadiah
sastera beberapa tahun lalu masih dipertikaikan.
Dr Lim Swee Tin dan Rajeswari adalah dua
penulis yang sangat disenangi khalayak sastera Melayu. Lim dikatakan lebih
Melayu daripada orang Melayu; sehingga orang Cina sudah tidak rela mengakui
beliau sebahagian kaum mereka. Beliau penerima SEA Write Award (2000) serta dicalonkan bagi Anugerah Sastera Negara
pada 2009.
Rajeswari pula dilaporkan pernah mengaku
mendapat banyak ilham bagi menghasilkan sajak-sajak bertema Islam selepas
menjadi pengikut tegar seorang guruji (pendakwah bebas) yang amat
diragui kredibilitinya.
Pada Seminar Sastera Pelbagai Kaum (7
September 2012), Siti Aisah Murad mengisytiharkan Rajeswari sebagai
“satu-satunya penulis yang mewakili masyarakatnya” dalam menghasilkan karya
yang disifatkan oleh Sasterawan Negara Datuk Kemala sebagai “sajak-sajak
bertema Melayu dan Islam”.
Kalaulah penulis hebat seperti Lim dan
Rajeswari pun sudah tidak rela dilabelkan sebagai “Penulis Bukan Melayu” dan
sebaliknya mahu diiktiraf atas bakat sebenar yang dimiliki, saya tidak nampak
mengapa kita masih perlu teragak-agak untuk menghapuskan label dan kategori itu.
Dalam kesemua aktiviti Kavyan, tidak pernah
ada kategori khas bagi “Bukan Melayu”. Sebaliknya semua akiviti bahasa,
sastera, seni dan budaya anjuran Kavyan terbuka kepada peserta pelbagai kaum; tanpa sebarang
kuota khas bagi mana-mana kaum.
Kalau saya ditanya soalan “Perlukah ada
lagi konsep Penulis Melayu dan Bukan Melayu dalam kesusasteraan kebangsaan masa
kini?” (tajuk forum di DBP), jawapan saya amat mudah: “Tidak.”
Pada pendirian saya, masih belum terlewat
untuk menghapuskan diskriminasi dan penghinaan yang berlaku (secara sedar atau
tidak sedar) menerusi pembahagian label/kategori “Penulis Melayu” dan “Penulis
Bukan Melayu”.
Sama-samalah kita berusaha melahirkan lebih
ramai “Penulis Malaysia” yang mampu
menghasilkan karya bermutu dalam Bahasa Malaysia tanpa sedikit pun meminggirkan
jati diri serta budaya kaum dan etnik masing-masing.
[Makalah ini ditulis pada 2 Oktober 2014 dan disiarkan di The Malay Mail Online pada 7 Oktober 2014.
BACA BAHAGIAN SATU DI SINI. © Uthaya Sankar SB 2014. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan mana-mana blog
kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]