3 Jan 2015

Wajarkah Dewa Disembah?

Sebagai tambahan kepada soalan “Berapa sebenarnya Tuhan dalam ajaran Hindu?” (Jawapan: Satu), soalan lazim yang turut ditanya adalah berkenaan amalan menyembah “dewa-dewa kecil” yang biasanya berpenampilan bengis dan menakutkan.

Hasil penelitian, kajian, perbincangan dan pembacaan saya terhadap kitab-kitab sahih (veda), penyembahan dewa-dewa kecil seperti Muniswarar, Madhuraiveeran, Muniandy, Ayyanar, Karupusami dan Sangili Karupan sebenarnya bertentangan ajaran sebenar Hindu (Sanadana Dharma).

Tentulah kaum India yang menganut agama Hindu sejak turun-temurun di Malaysia berhak untuk mempersoalkan kenyataan ini berserta hujah bernas; sekali gus berpeluang pula untuk mengetahui kisah sebenar di sebalik kelahiran dewa-dewa kecil ini.

Apabila perkara ini saya kemukakan menerusi Facebook pada 25 September 2014, beberapa rakan tampil berkongsi pandangan dan maklumat.

Pada pendapat Nizha Periaswamy, seorang wartawan, penyembahan dewa-dewa kecil dalam kalangan penganut Hindu lebih merupakan amalan atau ritual turun-temurun.

Hal ini bermakna generasi muda mungkin sahaja tidak tahu asal-usul atau kisah sebenar di sebalik kewujudan dewa-dewa berkenaan; sebaliknya meneruskan tradisi yang menjadi ikutan nenek-moyang sejak mereka mula-mula datang ke negara ini.

“Saya baru sahaja menunaikan suatu upacara sembahyang bagi salah satu dewa kecil.

“Menariknya, ia berlangsung di sebuah kuil di sebuah kampung pedalaman, lebih 200 kilometer dari kampung asal datuk-nenek sebelah bapa saya di bahagian selatan India,” Nizha menceritakan.

Wartawan itu juga sempat bertanya kepada sami (orang yang melakukan upacara pemujaan) di kuil berkenaan mengenai kisah di sebalik kewujudan “dewa kecil” tersebut.

Perkongsian pengalaman rakan-rakan

Maklumat yang dikongsikan ada sedikit persamaan dengan penjelasan yang turut dikemukakan oleh S. Velluswami dalam bukunya Hindu Samaya Vilakkam yang diterjemahkan oleh Persatuan Hindu Universiti Malaya (PHUM) dengan judul Pengenalan Beberapa Aspek Hinduisme (1992).

“Menurut sami di kuil tersebut, dewa-dewa kecil yang dimaksudkan itu bukanlah Tuhan, sebaliknya nenek-moyang yang dipercayai terus merestui kebahagiaan hidup kita.

“Berikutan pengaruh dan kuasa positif mereka terhadap kehidupan kita, maka amalan serta upacara sembahyang menjadi kemestian; dan mereka pula mula dianggap sebagai dewa-dewi,” Nizha menghuraikan berdasarkan versi cerita yang disampaikan kepadanya.

Wartawan itu turut memberikan contoh di mana orang Hindu biasanya menyimpan foto ahli keluarga (datuk, nenek, ibu, bapa) yang sudah meninggal dunia bersama-sama berhala di tempat sembahyang di rumah.

“Mereka memberikan penghormatan yang sama kepada nenek-moyang seperti yang dilakukan kepada Tuhan,” beliau menyimpulkan.

Bagi Nagathisen Katahenggam dari Pulau Pinang, amalan menyembah dewa-dewa kecil “mungkin bertentangan dengan Brahminisme tetapi bukan agama Hindu praktikal.”

Pandangan itu juga perlu diambil kira kerana walaupun Hindusime (Sanadana Dharma) terbukti agama tauhid pertama, terawal dan tertua di dunia, amalan yang kita perhatikan sekarang sudah mengalami perubahan yang amat ketara.

Sebagaimana wujud enam mazhab utama dalam Islam, terdapat enam mazhab dalam Hinduisme; serta terdapat pula interpretasi yang bebas dan meluas mengikut keinginan masing-masing.

Malah, pada awalnya terdapat 72 aliran (mazhab) sebelum Adi Shankara (788-820) menggabungkannya menjadi enam mazhab utama; iaitu Shaivam (Shiva), Vaishnavam (Vishnu), Shaktam (Shakti), Ganapathyam (Ganapathi), Kaumaram (Muruhan) dan Sauram (Suria).

Bagaimana dewa menjadi Tuhan

Filem Sanskrit berjudul Adi Shankaracharya (1983) dan filem Telugu Sri Jagadguru Aadi Sankara (2013) mungkin boleh sedikit membantu kita untuk lebih mengenali tokoh berkenaan serta sumbangannya kepada penstrukturan semula ajaran agama Hindu.

Sanadana Dharma adalah istilah yang dipopularkan oleh Mahatma Gandhi mulai tahun 1921 bagi merujuk kepada ajaran Hinduisme yang bersifat sejagat serta “tiada mula dan tiada pengakhiran” (eternal).

Saya menulis serta mendokumentasikan sejumlah makalah DI SINI untuk menjelaskan beberapa perkara berkaitan ajaran Hindu yang amat kompleks serta boleh diberikan interpretasi yang pelbagai mengikut akal (Arab) dan budi (Sanskrit) masing-masing.

Maka, walaupun penyembahan dewa-dewa kecil secara nyata memang bukan ajaran Sanadana Dharma, perbuatan itu masih menjadi amalan; dan semakin meluas di Malaysia.

Jagathesywara Goopaalan dalam mesej peribadinya kepada saya menjelaskan bahawa memang ada dewa-dewa kecil yang sudah mengalami transformasi dan akhirnya diangkat oleh para pengikut ke tahap menyamai Tuhan.

“Setahu saya, Ayyappan berasal  daripada Ayyanar tetapi daripada kedudukan sebagai dewa kecil, kini sudah menjadi dewa utama yang disembah sebagai Tuhan oleh para pengikut.

“Begitulah juga dengan Krishna dan Rama serta Mariamman dan Pechayi yang asalnya hanya dewa-dewi kecil tetapi kini berstatus Tuhan dalam kalangan sebahagian penganut Hindu,” katanya.

Amalan ini tentu sahaja secara terang-terangan lari daripada ajaran sebenar Sanadana Dharma yang melarang penyembahan selain daripada Ekan Anekan – Tuhan Yang Maha Esa.

Satu lagi contoh baik yang dikemukakan oleh Jagathesywara adalah kuil Muniswarar di Seberang Perai, Pulau Pinang yang bermula sebagai sebuah kuil kecil bagi dewa kecil, tetapi kini sudah menjadi sebuah kompleks kuil yang serba lengkap dengan pelbagai kemudahan.

Kealpaan yang semakin berleluasa

Ramai yang tidak tahu asal-usul dewa-dewa kecil ini dan hanya menerima amalan turun-temurun serta mempercayai bahawa dewa-dewa berkenaan adalah Tuhan.

Tanpa disedari, mereka semakin jauh daripada Tuhan, Sanadana Dharma dan ajaran sebenar Hinduisme. Malangnya, kejahilan turun-temurun membuatkan seluruh masyarakat terus hanyut dalam kealpaan.

Kemuncak kepada kekeliruan, kejahilan dan kecelaruan ini adalah apabila penganut Hindu hanya mampu tersengih bilamana ditanya soalan “Berapa sebenarnya Tuhan dalam ajaran Hindu?”

Velluswami dalam bukunya menjelaskan bahawa ramai orang Hindu di Malaysia keliru dan beranggapan bahawa Tuhan (Kadavul, Iraivan) sama sahaja dengan dewa-dewi (theivam, saami).

Kalau kita berkunjung ke kuil dewa-dewa kecil seperti Madhuraiveeran, Muniandy, Ayyanar, Karupusami dan Sangili Karupan, biasanya arak dan daging korban (kambing atau ayam) dipersembahkan kepada dewa-dewa yang biasanya berwajah bengis, menakutkan  dan menggerunkan, serta lengkap memegang senjata seperti parang dan tombak.

“Penganut agama Hindu yang menyembah Muniandy atau dewa-dewa lain harus meninggalkan tabiat ini. … Para budiman agama Hindu haruslah bergiat untuk membanteras penyebaran dan penyembahan dewa-dewa kecil ini,” kata Velluswami dalam bukunya.

Pada zaman dahulu di kampung-kampung kecil di India, terdapat individu gagah berani yang ditugaskan untuk mengawal sempadan kampung daripada serangan musuh.

Bayangkan individu berkenaan – Muniswarar atau Muniandy, misalnya – terkorban dalam perjuangan mempertahankan kampung masing-masing.

Sebagai tanda menghargai sumbangan mereka, patung menyerupai Muniswarar atau Muniandy dibina di sempadan kampung masing-masing.

Dewa kecil datang ke Malaya

Penduduk kampung berkenaan mengadakan upacara khas bagi memperingati serta menghargai pengorbanan mereka; lebih kurang seperti upacara memperingati perajurit di Tugu Negara (tetapi bukan memuja).

Lama-kelamaan, generasi demi generasi, Muniswarar, Madhuraiveeran, Muniandy, Ayyanar, Sangili Karupan, Karupusami dan sebagainya diangkat taraf daripada manusia biasa (pengawal sempadan) kepada tahap dewa kecil yang digelar “kaaval theivam” (dewa pengawal).

Penduduk menganggap mereka sebagai dewa yang melindungi kampung masing-masing, lalu mencipta cerita dan mitos untuk diceritakan kepada anak-cucu.

Kuil dewa kecil seperti inilah yang mungkin telah dikunjungi oleh Nizha dan diterangkan oleh Jagathesywara.

Apabila sebahagian penduduk Benua Kecil India berhijrah ke Tanah Melayu (Malaya), tradisi menyembah dewa-dewa kecil itu dibawa bersama untuk mendapatkan perlindungan.

Patung atau lukisan dewa-dewa kecil ini juga sering diletakkan di hadapan rumah untuk menjalankan tugas pengawal. Patung anjing juga selalu dimasukkan kerana binatang itu turut merupakan pengawal yang baik.

Apa yang menarik, kisah sebenar Muniswarar dan Muniandy yang merupakan manusia biasa yang terkorban sebagai wira semasa mempertahankan sempadan kampung sudah hilang dan diganti mitos, legenda dan cerita-cerita rekaan yang mengaitkan dewa-dewa kecil itu dengan inkarnasi Shiva, Shakti dan sebagainya.

Upacara sembanyang khas diadakan dengan mengorbankan kambing dan ayam serta sajian arak dan curut; kononnya atas permintaan dewa-dewa  kecil itu sendiri!

Tanpa disedari, penganut dewa-dewa kecil itu sebenarnya sedang semakin jauh terbabas daripada ajaran sebenar Hindu (Sanadana Dharma), agama tauhid tertua di dunia.

Lebih malang apabila ramai daripada mereka seolah-olah langsung tidak menyedari kecelaruan tauhid yang sedang berlaku. Ayuh, kita bahaskan demi mencari pencerahan.

[Makalah ini ditulis pada 26 September 2014 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 29 September 2014. BACA MAKALAH BERKAITAN HINDUISME DI SINI. © Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]