Friday, 2 January 2015

Hinduisme Kian Merosot

Pengetahuan, pemahaman, penghayatan dan amalan sebenar ajaran Hindu dalam kalangan penganut agama berkenaan di Malaysia semakin merosot.

Hakikat ini boleh dipertikaikan tetapi tidak boleh dinafikan sekiranya kita berpeluang melihat, menganalisis, meninjau dan berbual dengan orang Hindu, khususnya generasi muda.

Kiru Muniandi dari Pulau Pinang bersetuju apabila saya menyatakan pandangan ini menerusi laman rangkaian sosial Facebook baru-baru ini.

Seorang wartawan, Ali Imran pula menyatakan pandangan bahawa situasi sama berlaku dalam semua agama.

Islam juga hadapi krisis ini. Setakat perbincangan dengan rakan Kristian, juga sama,” komennya.

Berkongsi pandangan yang hampir sama ialah Calvin Pius Ohsey yang berasal dari Sabah.

“Saya berpendapat ini krisis untuk semua agama dan aliran. Dunia semakin maju dan berkembang. Relativisme serta sekularisme telah mula mendominasi fikiran ramai manusia sekarang.

“Ini bukan tidak bagus, cuma ramai yang beragama kerana ikutan dan bukan beragama sebagai cara hidup. Ada juga yang beragama secara selektif. Lebih parah, tafsiran agama yang ekstrim juga terjadi kerana ikut-ikutan serta pemahaman yang salah,” katanya.

Arun Sarravanan Rajaratnam turut bersetuju bahawa pengetahuan, pemahaman, penghayatan dan amalan sebenar ajaran Hindu dalam kalangan penganut agama berkenaan di Malaysia semakin merosot.

Katanya, mungkin mereka lebih senang mengikut sahaja daripada menyoal. Maknanya, mereka mengikut sahaja ritual yang menjadi amalan sejak turun-temurun tanpa berfikir dan menilai sama ada ia masih ajaran sebenar Hinduisme atau sudah tersasar.

Dalam hal ini, Sargunan Sockalingam menganggap masalah yang dihadapi sudah mencapai tahap kritikal.

“Saya percaya satu kurikulum terperinci berkaitan Sanathana Dharma – iaitu nama sebenar ajaran Hindu – perlu diwujudkan dan diajar untuk dihayati oleh warga Malaysia yang beragama Hindu,” katanya.

Jahil terhadap agama tauhid tertua di dunia

Semasa perbincangan berlaku menerusi Facebook pada 24 September 2014, Aslam Bigai mengemukakan pandangan dan pengalaman yang sedikit berbeza.

Katanya, selama ini dia juga berpendapat penghayatan ajaran Hindu semakin merosot tetapi kehadiran beratus-ratus orang Hindu ke Kuil Shiva di Sentul pada hari sebelumnya membuatkan pandangannya berubah.

“Kebiasaannya orang Hindu di Malaysia hanya mengetahui beberapa hari perayaan utama seperti Vinayagar Chaturthi, Ponggal, Deepavali, Navarathri, Thaipusam dan Chithirai Puttaandu.

“Tetapi kehadiran mereka ke Mahalaya Amavasai untuk menjalankan upacara penghormatan kepada kaum-keluarga yang sudah lama meninggal dunia menunjukkan pengetahuan serta pemahaman mereka terhadap ajaran agama tertua ini masih teguh,” katanya dengan penuh optimis.

Pandangan keenam-enam rakan ini memang berasas dan mungkin sahaja mewakili pandangan orang ramai secara umum.

Seperti yang sudah saya nyatakan sejak awal, tentu sahaja pandangan dan hujah kami berlima boleh dipertikaikan serta dibahaskan.

Sebagai pengkaji dan pengamal multi-faith (mengakui ajaran sebenar dalam semua agama), saya sendiri selalu melakukan kritikan pedas terhadap kejahilan orang Hindu berkenaan ajaran agama tauhid tertua itu menerusi makalah, cerpen dan novel.

Tidak kurang juga kritikan dan sindiran terhadap sikap endah tak endah terhadap kebudayaan dalam kalangan masyarakat India daripada pelbagai keturunan seperti Tamil, Telugu, Malayali, Punjabi dan Benggali. (Ya, orang Punjabi dan Benggali adalah dua keturunan yang berbeza.)

Menerusi cerpen “Jangan Pandang Sang Bulan” (Kisah dari Siru Kambam), diceritakan mengenai kisah sebenar di sebalik sambutan Vinayagar Chaturthi pada bulan Avani (Ogos/September) mengikut kalendar Tamil.

Cerpen “Chitra Paurnami” (Kisah dari Siru Kambam) yang pernah dituduh oleh penolong editor sebuah majalah sastera sebagai “ada unsur penyebaran agama Hindu” pula menampilkan makna sebenar di sebalik perayaan berkenaan yang sudah tidak diketahui orang ramai.

Siri makalah Bahasa Malaysia yang diusahakan berkenaan ajaran Hindu dari semasa ke semasa serta didokumentasikan DI SINI bertujuan mengembalikan umat Hindu kepada ajaran sebenar Sanathana Dharma.

Usaha kecil-kecilan ini juga membantu rakan-rakan Bukan Hindu memahami apa sebenarnya ajaran yang terkandung dalam Sanathana Dharma yang memang kompleks dan amat sukar dihuraikan tanpa budi (Sanskrit) dan akal (Arab).

Minda orang Hindu semakin bercelaru

Dalam hal ini, tidak dapat tidak, usaha yang dilakukan oleh Kamaludin Endol menerusi buku Hinduisme: Agama Tauhid Terawal? (2014) wajar dipuji, diucapkan tahniah dan dihargai.

Walaupun buku berkenaan melakukan perbandingan dengan ajaran Islam serta tentunya memberikan “kemenangan” kepada Islam, kandungan buku separa ilmiah itu mampu membuka akal dan budi penganut Hindu yang masih teraba-raba dalam kegelapan dan kejahilan.

Saya memuji serta kagum dengan sikap Kamaludin yang mampu bersikap objektif dalam menegaskan hakikat bahawa Hinduisme (Sanathana Dharma) sesungguhnya adalah agama tauhid pertama, terawal dan tertua di dunia.

Dalam pada itu, beliau juga cukup berilmu dan berpengetahuan tentang ajaran sebenar Sanathana Dharma untuk menegaskan dengan berani bahawa banyak ajaran Hinduisme pada masa sekarang yang sudah terpesong jauh serta bercelaru akibat sikap para penganut sendiri.

Pendedahan berani ini pasti membuatkan pihak tertentu marah-marah dan kononnya rasa terhina dengan “tuduhan” yang dilemparkan.

Bagaimanapun, saya bersetuju dengan kritikan ilmiah yang dikemukakan oleh Kamaludin kerana kata-katanya memang benar. Pedas tetapi benar.

Daripada marah-marah dengan kritikan yang dikemukakan, adalah lebih afdal jika orang Hindu melakukan muhasabah diri dan kembali kepada Hinduisme yang sebenar.

Sekadar contoh mudah, baru-baru ini saya bertemu seorang remaja/pelajar yang memuji-memuji seorang guruji iaitu individu seperti ulama yang menjadi pembimbing (guru; guide) dalam soal agama Hindu.

Menurut remaja berkenaan, guruji itu adalah “Tuhan” dan hanya dia yang mampu menganugerahkan apa-apa yang dipinta oleh para penganut Hindu.

Sejak awal Disember 2013, saya menulis siri makalah bagi mendedahkan penipuan terancang yang dilakukan oleh Datuk Guluji (bukan nama sebenar) dan konco-konconya.

Atas rasa ingin tahu, saya bertanya kepada pelajar berkenaan, bagaimana dengan amalan orang Hindu pergi ke kuil untuk bersembahyang dan meminta restu Tuhan.

“Semua itu bukan Tuhan. Hanya guruji saya ialah Tuhan,” katanya dengan penuh yakin.

Nama guruji berkenaan tidak didedahkan di sini supaya tidak timbul sengketa dan pergaduhan antara pengikut tegar beberapa guruji yang menjadi ikutan di Malaysia dan masing-masing mungkin menganggap guruji mereka adalah Tuhan.

Siapa yang perlu cari penyelesaian?

Jawapan remaja itu memang amat memeranjatkan tetapi tidak pula menghairankan kerana seperti yang saya katakan sejak awal, pengetahuan, pemahaman, penghayatan dan amalan sebenar ajaran Hindu dalam kalangan penganut agama berkenaan di negara bertuah ini semakin merosot.

“Khutbah atau ceramah keagamaan tidak dilakukan di kebanyakan kuil tetapi hanya di kebanyakan ashram atau pusat yang dikendalikan guruji.

“Kehausan orang Hindu untuk lebih mendalami agama ini membuatkan mereka sanggup membayar wang kepada golongan guruji yang rata-rata bermata duitan,” kata Aslam Bigai dalam komennya.

Pada pandangannya, semua kuil di Malaysia sepatutnya mengadakan sesi khutbah agama selain daripada kelas nyanyian Thevaram.

Tentulah penceramah yang benar-benar mendalami ajaran sebenar Hinduisme diundang menyampaikan ilmu; bukannya individu yang terpesong serta menyelitkan kepercayaan karut dan kisah dongeng atas nama agama.

Pada tahun-tahun 1980-an dan 90-an, Persatuan Hindu Universiti Malaya (PHUM) aktif menterjemah serta menerbitkan buku-buku panduan dalam Bahasa Malaysia berkenaan ajaran Hinduisme.

Buku-buku berkenaan sangat sesuai dibaca dan difahami dengan mudah; termasuk oleh remaja dan belia yang tidak ada penguasaan Bahasa Tamil.

Namun begitu, belakangan ini nampaknya buku-buku seperti itu sudah tidak diterbitkan. Atau mungkin saya yang terlepas pandang.

Bagaimana pula dengan Malaysia Hindu Sangam (MHS) yang mengiktiraf dirinya pertubuhan paling berkuasa dalam soal berkaitan Hinduisme di Malaysia; sebagaimana MIC mengiktiraf dirinya parti politik tunggal yang mampu memperjuangkan nasib “orang Tamil”?

Dalam isu Datuk Guluji dahulu, apabila saya menyebut nama MHS dalam salah satu makalah, saya menerima mesej (SMS dan Facebook) amaran daripada beberapa “orang penting” dalam MHS yang “menasihatkan” saya berhenti mengkritik mereka.

Maka, dalam isu berat yang sedang diperkatakan ini, biarlah orang ramai sendiri mengemukakan pandangan dan cuba mencari penyelesaian terbaik tanpa “mengkritik” atau melibatkan MHS dan MIC.

Ayuh, kita mulakan dengan diri dan keluarga sendiri sebelum nasi menjadi bubur.

[Makalah ini ditulis pada 25 September 2014 dan disiarkan di The Malay Mail Online pada 29 September 2014. BACA MAKALAH BERKAITAN HINDUISME DI SINI. © Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!