Pada 29 Ogos 2012 [dan seterusnya pada 16 September 2013; 7 September 2014], penduduk keturunan Malayalam (Malayali)
menyambut Onam; suatu sambutan berasaskan pesta menuai yang kurang diketahui
umum.
Saya pernah menulis makalah bertajuk “Onam 1Malaysia” (The Malaysian Insider, 4 September 2009) yang memberikan sedikit
penerangan umum mengenai sambutan tersebut.
Saya sengaja meletakkan “1Malaysia” pada tajuk makalah berkenaan
kerana kata-kata muluk penuh retorik itu hangat diperkatakan pada masa itu –
sebagaimana masih hebat diperkatakan kini, walaupun tidak ramai (khususnya
politikus) yang mampu menjelaskan dengan tepat makna ungkapan itu.
Apa pun, perkara yang lebih penting adalah
bahawa dalam makalah itu, saya menyatakan bahawa saya membayangkan sambutan
Onam secara besar-besaran di Malaysia pada tahun seterusnya.
Tentulah saya bersikap sinikal kerana dalam
pada rancak melaungkan konsep (?) “1Malaysia”, apa yang berlaku adalah amalan
“pecah dan perintah” oleh pihak tertentu yang mahu terus memiliki kuasa
menindas Rakyat.
“Bagaimanapun, adalah mustahil untuk
mengharapkan sambutan Onam secara besar-besaran di Malaysia; sebuah negara yang
meraikan perpaduan dalam kepelbagaian.”
Demikian saya nyatakan dalam makalah pada
September 2009 iaitu pada waktu ramai politikus sedang cuba meyakinkan Rakyat
bahawa tidak akan ada mana-mana kelompok yang dipinggirkan di bawah slogan
muluk “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.
Saya percaya bahawa kenyataan yang sama
boleh sahaja diulang pada tahun ini – “Janji Onam Ditepati” – serta pada
tahun-tahun akan datang; selagi tidak berlaku perubahan (transformasi) dalam
pemikiran pihak pemerintah yang diberi kuasa memerintah oleh Rakyat
menerusi Pilihan Raya Umum.
Pada masa sama, saya masih beranggapan
bahawa belum terlewat untuk masyarakat Malayali di Malaysia (bukan parti
politik!) mempromosikan Onam secara lebih hebat dan berterusan supaya
masyarakat – dan politikus – pelbagai kaum dan agama di
negara bertuah ini menyedari keunikan budaya keturunan Malayali.
Pada penghujung makalah yang disiarkan pada
September 2009, saya memberikan gambaran berikut:
“Manalah tahu,
menjelang sambutan Onam pada tahun 2010, Mahabali yang menziarah masyarakat
Malayali di Kerala; kemudian turut memutuskan untuk berkunjung ke Suwarnabumi
dan menyaksikan sendiri kehebatan sambutan ‘Onam 1Malaysia’ oleh masyarakat
pelbagai kaum di sini.”
Mungkin sambutan Onam pada tahun ini (2012) akan diberi perhatian istimewa oleh pelbagai pihak – serta media arus perdana diarah membuat liputan khas dan siaran khas – memandangkan setiap undi Rakyat (termasuk masyarakat India keturunan Malayali) adalah amat penting bagi menentukan masa depan (baca: periuk nasi) pemerintahan negara.
Ungkapan “Better the devil you know
than the angel you don’t know” banyak diperkatakan
sekarang. Ramai yang ternyata tidak menyedari bahawa ia membawa makna tersirat
(“jangan mengambil risiko melakukan perubahan”), bukan makna tersurat
(“percayalah pada syaitan”).
Dalam pada tersenyum sendiri menyaksikan
reaksi lucu politikus, juak-juak politik dan Rakyat terhadap simpulan bahasa (idiom) Bahasa Inggeris itu sejak hampir
seminggu lalu, saya kembali terkenang akan “Onam 1Malaysia” yang – tentunya –
tidak menjadi kenyataan.
Sebaliknya, makalah itu menyumbang “bahan”
dan idea bagi sebuah cerpen berjudul “Onam di Pulau Cinta” yang disiarkan
dalam majalah e@siswa (September
2010).
Seperti yang saya catatkan di blog, tarikh
sambutan Onam (23 Ogos 2010) datang dan pergi. Ternyata para pemimpin yang
begitu sibuk dan khusyuk menyambut segala “1Macam-macam” sejak April 2009 sudah
lupa semua itu selepas hampir setahun gagasan 1Malaysia dicanangkan.
Maka, dalam cerpen “Onam di Pulau Cinta”, Maharaja
Mahabali yang sepatutnya datang ke Malaysia untuk menyaksikan sambutan “Onam
1Malaysia” telah mengalihkan perhatian kepada Pulau Cinta bagi sambutan “Onam Pulau
Cinta” – tanpa perlu menambah apa-apa angka/nombor tanpa makna di hadapan nama
pulau itu.
Kisah bagaimana Mahabali mengalihkan
perhatian daripada Malaysia kepada Pulau Cinta sebenarnya berlaku secara agak
spontan. Pada 21 Julai 2010, editor majalah e@siswa,
Azli Halim bertanya jika saya ada manuskrip cerpen untuk disiarkan dalam
majalah berkenaan pada September 2010.
Saya
bertanya, bila manuskrip diperlukan dan beliau menjawab, “Kalau boleh, segera.”
Lalu,
saya meminta diberi masa sehingga 25 Julai 2010. Saya percaya unsur genius
(kreativiti bawah sedar) akan membantu merangka cerita untuk dikarang. Pasti
ada begitu banyak kisah yang bermain dalam imaginasi untuk dikarang dalam
bentuk faksyen.
Sebagai
tanda peringatan dan motivasi kepada diri, saya paparkan pada ruangan status di
Facebook, sekitar jam 9:30 malam: “Kembali
berhutang sebuah cerpen kepada seorang rakan (editor). Seronoknya!”
Apabila
pulang ke rumah – saya bekerja di akhbar Sinar
Harian pada waktu itu – saya mula menaip pada jam 12:15 tengah malam
berdasarkan maklumat daripada makalah yang disiarkan di The Malaysian Insider.
Pada
bahagian akhir makalah berkenaan, saya nyatakan kemungkinan Mahabali memutuskan
untuk datang ke Malaysia pada 2010 untuk menyaksikan sambutan “Onam 1Malaysia” – selaras gimik semasa.
Secara
spontan, lahir sebuah kisah mengenai Mahabali yang melayari sebuah blog dan
mendapat tahu bahawa majoriti penduduk Pulau Cinta
adalah diaspora Malayali. Malah, Bahasa Malayalam adalah bahasa rasmi yang
dikenali sebagai “Bahasa Pulau”.
Dipendekkan
cerita, watak “Saya” diutus oleh Mahabali ke Pulau Cinta untuk bertemu mantan
Perdana Menteri, Rama dan bekas pemimpin diktator, Ravana
bagi membincangkan sambutan “Onam Pulau Cinta” sambil minum kopi luwak.
Manuskrip
siap pada awal pagi, 22 Julai 2010 dan saya melakukan penyuntingan kemas bagi
memastikan tiada kesilapan bahasa dan kecuaian menaip.
Selesai
semuanya, manuskrip dikirim secara lampiran melalui e-mel kepada editor; dengan
catatan meminta jasa baik beliau menilai kesesuaian cerpen berkenaan untuk
disiarkan.
Simpulan bahasa “Better the devil you know
than the angel you don’t know” muncul secara
tersirat dalam cerpen itu apabila penduduk Pulau Cinta berani mengambil risiko melakukan
perubahan pada tampuk pemerintahan negara demi masa depan yang lebih terjamin.
Seterusnya,
kisah mengenai putera kepada Mahabali, iaitu Mahabali III, boleh dibaca dalam
cerpen “Pulau Pendatang” dan “Anak-anak Pulau Cinta” manakala kisah isteri Mahabali,
iaitu Wanita Farsa, boleh dibaca dalam faksyen “Wanita Farsa”.
Proses
penulisan kisah-kisah itu adalah kisah yang lain pula dan tidak akan saya
ceritakan di sini. Apa yang lebih
penting adalah ucapan “Onam Ashamsakal” kepada rakyat Malaysia keturunan
Malayali.
[Sijil kelahiran Uthaya Sankar SB mencatatkan
keturunannya sebagai “Malayalam” -- rujuk Identiti dan Jati Diri -- dan penulis ini berbangga menjadi Rakyat
Malaysia. Makalah ini ditulis pada 23 Ogos 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 27 Ogos 2012.
© Uthaya Sankar SB]