20 Sept 2012

Chellam – Bahagian 8

“Jadi, apa yang kakak mahu buat?” tanya Karpagam.
 
“Kakak mahu belajar di kolejkah? Tentu mahal,” kata Kogila pula.
 
Kavitha tersenyum lagi. Kemudian dia menceritakan rancangannya kepada kami. Kami mendengar dengan teliti.
 
“Saya tahu bahawa emak telah bertungkus-lumus sejak hampir 19 tahun lalu. Emak telah banyak berkorban untuk kami berempat. Bapa memang tak bertanggungjawab. Kalau bukan kerana emak, tentu kami telah menjadi pengemis atau lebih teruk lagi, menjadi perempuan murahan. Emaklah yang telah memberi harapan kepada kami.”
 
“Betul, emak,” sampuk Kannama. “Emak bagaikan dewi yang memberi harapan kepada kami. Hidup kami tentu telah musnah jika bukan kerana pengorbanan emak. … Tapi, kakak … kenapa pula kakak tidak mahu belajar Tingkatan Enam?”
 
“Saya mahu membantu meringankan beban yang ditanggung oleh emak. Lagi pun, kamu semua mesti belajar tinggi-tinggi,” Kavitha menjelaskan. “Jadi, saya akan menggunakan keputusan SPM saya untuk mencari kerja.”
 
“Bagaimana pula pelajaran kamu?” tanya saya dengan penuh bimbang. “Saya tidak mahu kamu berhenti belajar.”
 
“Jangan risau, emak. Saya telah memikirkan semua itu dengan teliti,” kata Kavitha lagi. “Sekarang ada banyak kolej swasta yang menawarkan pelbagai kursus. Saya meminati kerjaya dalam bidang perakaunan. Jadi, saya telah cuba bertanya di beberapa kolej. Saya dah jumpa sebuah kolej yang sesuai. Jangan risau, bayarannya tidak terlalu tinggi. Saya boleh bayar secara ansuran.”
 
Saya terdiam mendengar kata-kata Kavitha.
 
“Adakah sijil yang ditawarkan di kolej itu diiktiraf?” tanya Kogila untuk mendapatkan kepastian.
 
“Jangan risau. Saya telah periksa semuanya dengan teliti. Sijil perakaunan di kolej itu diiktiraf oleh kerajaan. Kita tak perlu bimbang.”
 
Saya masih tidak tahu apa yang harus saya katakan. Memang benar kata-kata Kavitha. Tentu sukar untuk menampung kos pengajian tinggi bagi empat orang sekali gus. Tambahan pula, gaji saya tidak banyak. Syukurlah selama ini saya mampu menampung segala kos.
 
“Emak izinkan tak saya meneruskan rancangan saya?” tanya Kavitha.
 
Saya cukup bangga kerana walaupun dia mempunyai pelajaran lebih tinggi daripada saya, Kavitha masih menghormati saya. Begitu juga dengan anak-anak saya yang lain.
 
“Apa pula pandangan kamu semua?” tanya saya kepada Kogila, Kannama dan Karpagam.
 
Masing-masing memberikan pandangan. Akhirnya kami menerima cadangan yang dikemukakan oleh Kavitha.
 
“Tapi kakak mesti berjanji bahawa kakak tidak akan abaikan pelajaran,” pesan Karpagam. “Jangan terlalu leka dengan kerja sahaja.”
 
“Baiklah, nenek!” jawab Kavitha pula secara berjenaka. “Saya akan ingat pesanan nenek.”
 
Kami semua ketawa riang. Untuk seketika, saya turut melupakan segala keperitan dalam hidup. Saya mengharapkan supaya kegembiraan yang sedang kami alami pada saat ini kekal buat selama-lamanya.
 
Bagaimanapun, siapa yang tahu apa yang bakal berlaku selepas ini. Bersambung
 
(© Uthaya Sankar SB. Disiarkan di The Malaysian Insider pada 17 Jun 2012.)