“Kenapa kita tidak boleh seperti Malaysia?”
Soalan seperti itu sering diajukan anak-anak Pulau Cinta.
“Kenapa penduduk Pulau Cinta tidak mahu belajar daripada penduduk Malaysia?”
Para ibu bapa biasanya menghadapi dilema apabila soalan-soalan seumpama itu dan senada itu diajukan secara bertalu-talu oleh anak-anak yang masih mentah dan belum tahu hal dunia.
“Kenapa kita tidak boleh seperti Malaysia?” Tanya seorang murid berumur lapan tahun apabila mendapat tahu mengenai peristiwa seorang guru besar yang membuat kenyataan berunsur perkauman pada minggu lalu. “Tidak bolehkah kita menjadikan pengetua mithali di sebuah sekolah di Kulaijaya, Johor sebagai contoh, idola dan sumber inspirasi?”
Pada minggu lalu, semasa perhimpunan sempena sambutan memperingati kemerdekaan Pulau Cinta, seorang guru besar membuat kenyataan berbentuk penghinaan terhadap penduduk etnik Jawa, Cina, Tamil, Arab, Thai dan Afrika.
“Sempena sambutan memperingati hari kemerdekaan Pulau Cinta, perlulah saya melaksanakan tugas dan tanggungjawab saya sebagai seorang anak jati keturunan Malayali dengan mengingatkan kamu semua iaitu anak-anak pendatang bahawa kamu semua hanyalah penumpang di negara ini. Sudah tiba masanya kami sebagai pemilik Pulau Cinta menghalau kamu keluar dari sini!”
Anak-anak Pulau Cinta yang belajar di sekolah berkenaan terpinga-pinga dan kehairanan sewaktu menyaksikan guru besar di sekolah mereka meludah ke arah mereka dengan penuh rasa jijik.
“Mengapa kita tidak boleh seperti di Malaysia; di mana pengetua dan guru besar yang berucap pada majlis memperingati kemerdekaan negara selalu bercakap mengenai konsep perpaduan, persefahaman, saling menghormati, saling menerima dan hidup sebagai sebuah bangsa yang digelar Bangsa Malaysia?”
Demikian tanya anak saya sendiri sambil meneliti laporan muka depan sebuah akhbar dari Malaysia yang entah bagaimana dihanyutkan laut ke pantai Pulau Cinta. -- Bersambung di Pulau Pendatang (2015)
* Uthaya Sankar SB pertama kali menampilkan latar Pulau Cinta menerusi cerpen “Tinggalkanlah Pelabuhan Ini” (1993).
(© Uthaya Sankar SB 2010. Bahagian Pertama faksyen ini pertama kali disiarkan pada 7 September 2010 di blog www.uthayasb.blogspot.com sebelum disiarkan di portal berita Free Malaysia Today pada 18 April 2011. Sila KLIK DI SINI untuk memahami konsep penerbitan faksyen ini.)