22 Nov 2024

Kenangan di Lorong B dan Festival Filem Raintown

Pada hujung minggu ini (16-17 November 2024) saya berada di Lorong B, Aulong Lama, Taiping, Perak. Tujuannya ialah mewawancara sekitar sepuluh penduduk di lorong ini untuk mengetahui pengalaman dan kenangan mereka tinggal di sini pada 1980-an dan 1990-an. [Baca di sini]

Sebagaimana dinyatakan dalam rencana “Ambil tahu serba sedikit sejarah kampung kita” (Utusan Malaysia, 23 September 2023) dan “Membawa sejarah setempat ke layar perak” (Utusan Malaysia, 21 September 2024), saya mahu mendokumentasi kisah penduduk di sini.

Sejak lahir pada Jun 1972, di lorong inilah saya membesar bersama jiran tetangga sebelum keluarga berpindah ke Klang, Selangor pada Disember 1991. Namun, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.

Setiap kali ke Taiping atas apa-apa urusan, saya cuba mengunjungi jiran tetangga di Lorong B untuk bertanya khabar. Malah, pada Jun 2016, Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) memulakan Projek Komuniti Kavyan di Lorong K, Aulong Lama.

Pada kunjungan kali ini pula saya menumpukan khusus kepada Lorong B. Hal ini kerana jumlah penduduk asal di lorong ini sudah jauh berkurangan berbanding dahulu. Ramai warga emas yang merupakan penduduk asal sudah meninggal dunia.

Pada 23 Mei 2024, saya berpeluang mewawancara Janakee Sinniah, 78, untuk mengimbau suasana lama yang kini sudah tiada di Lorong B. Keluarga beliau adalah peneroka kedua di lorong berkenaan sementara keluarga saya pula yang ketiga.

Pada masa kini, Janakee merupakan penduduk asal paling tua yang masih hidup. Semasa diwawancara, banyak juga perkara yang beliau akui sudah terlupa kerana faktor usia.

Nama Aulong Lama berasal daripada istilah bahasa Cina bagi “lorong belakang”. Menurut maklumat di Facebook Taiping Zone, Aulong Baru ialah antara Kampung Baru dibuka pada 1946 sebagai kawasan penempatan semula orang Cina dan Melayu di bawah Rancangan Briggs.

Ibu bapa, kakak, dan abang saya pernah menceritakan bagaimana pada awal 1970-an, masih ada kapal korek di lombong bijih timah di depan rumah kami. Bekas lombong itu pula kemudian dijadikan kolam ternakan ikan tongsan.

Sehingga hujung 1980-an, kami penduduk Lorong B masih memancing ikan tilapia, keli, dan haruan di lombong, selain menangkap ikan pelaga dan sepat.

Segala kenangan manis itu muncul apabila saya bertemu semula jiran tetangga lama dan kami sama-sama memandang bekas lombong bijih timah yang sudah kering dan dipenuhi semak.

Tentulah amalan, budaya, cara hidup, dan pergaulan penduduk India dan Melayu di lorong ini juga banyak mengalami perubahan mengikut peredaran masa.

Hakikat itu turut diakui Nour Roshima Abdul Malek apabila dikunjungi pada 27 September 2024. Ibunya meninggal dunia dua minggu sebelum itu, maka hilanglah satu lagi khazanah sumber kisah lama kehidupan di Lorong B.

Anak-anak muda di Aulong Lama sudah tidak tahu tentang kewujudan sebuah kandang lembu dan kerbau di Lorong B pada masa dahulu. Malah, kandang itu menjadi inspirasi bagi penulisan cerpen “Ayya” (Dewan Pelajar, Ogos 1992).

Jalan Simpang Halt yang bersambung dengan Jalan Masjid adalah laluan yang dibuka pada 1990-an. Asalnya, ia laluan landasan kereta api Taiping-Port Weld yang dibuka pada 1885.

Landasan itu melalui Lorong A dan bersambung secara lurus dengan Jalan Simpang Halt. Kereta api pada masa dahulu berhenti (halt) di Simpang sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Sepetang.

Sayangnya, menjelang 1985, sempena ulang tahun ke-100 Keretapi Tanah Melayu, landasan bersejarah itu ditanggalkan. Lebih malang, tiada apa-apa tanda atau monumen dibuat untuk mendokumentasi laluan bersejarah itu.

Memanglah Aulong Lama bukan tempat yang mendapat ruang dalam sejarah mahupun peta negara. Anda boleh cari sendiri menggunakan Google untuk memahami hakikat ini.

Keadaan fizikal, suasana, dan sosiobudaya di Lorong B sudah terlalu jauh berbeza. Memanglah mustahil untuk mengimpikan suasana lama berulang. Sekurang-kurangnya, saya berhasrat mendokumentasi kisah, pengalaman, kenangan, dan cerita orang lama menerusi rakaman video.

Keluarga Satiaveni Krishnan yang berpuluh tahun tinggal di sana sudah berpindah ke taman perumahan di Aulong. Rumah papan lama sudah diroboh dan hilanglah bersama-samanya segala kenangan dan sejarah. Mujurlah ada foto-foto lama yang sempat saya rakam setiap kali mengunjungi mereka dahulu.

Saya juga memperoleh koleksi foto lama daripada Janakee dan anaknya,  Moganabal Joseph Albert. Mereka menguruskan sebuah kuil yang menjadi salah satu mercu tanda penting di Lorong B.

Krishnan Muniandy dan adiknya, Thurairaj Muniandy masih tinggal di sebelah rumah lama saya. Apa yang unik, seluruh keluarga itu memanggil saya “Cikgu” kerana saya pernah mengajar kelas tuisyen di rumah selama beberapa tahun sebelum berpindah ke Klang.

Antara murid saya yang kini tentu sahaja sudah dewasa ialah Saraswathy Muniandy, Meganathan Muniandy, Kogilavani Ganesan, Citra Devi Muniandy, Suntheresvary Kasaban, dan Tamilarasi Kasaban. Kematian mengejut Citra Devi, 42, akibat kanser darah pada Januari 2024 juga memberi kesan emosi kepada kami semua.

Saya sudah merakam wawancara Suntheresvary, 42, di Kuala Lumpur dan  Sivasankar Narayanan, 56, di Shah Alam. Pada 16-17 November 2024 pula saya menyusun jadual mewawancara beberapa keluarga India dan Melayu di Lorong B.

Saya percaya mereka mampu berkongsi pelbagai kisah dan pengalaman yang sebenarnya merupakan bahan sejarah lisan serta dokumentasi budaya yang sangat berharga.

Perlu saya akui bahawa pengarah filem dan penganjur Festival Filem Raintown, Jacky Yeap memberi motivasi dan keyakinan kepada saya untuk membuat dokumentari ini.

Mana tahu dokumentari amatur ini layak menyertai festival pada 2025 supaya kisah dan kenangan penduduk di Lorong B, Aulong Lama dapat turut diketahui khalayak ramai.

Teaser di YouTube: [Promosi Umum] [Jalan Berpasir] – [Janakee Sinniah] – [Suntheresvary Kasaban] – [Sivasankar Narayanan] – [Packiam Marimuthu] – [Krishnan Muniandy] – [Magesvary A. Balan] – [Moganabal Joseph Albert] – [Nour Roshima Abd. Malek] – [Satiaveni Krishnan] – [Teaser Utusan Malaysia– [Landasan Kereta Api] – [Kandang Lembu]

[Rencana ini ditulis pada 12 November 2024 dan disiarkan di ruangan “Bicara Budaya” akhbar Utusan Malaysia pada 16 November 2024. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda membaca mana-mana tulisan Uthaya Sankar SB yang disiarkan di mana-mana atas pilihan sendiri.]

11 Nov 2024

Baca Cerita Nari! Nari!


Pengenalan

Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) menjadi pelopor acara membaca teks cerpen/cerita/fiksyen di pentas menerusi acara “Baca Cerpen Kavyan” pada 2003; serta tercatat dalam The Malaysia Book of Records. Pelbagai acara membaca teks diteruskan dari semasa ke semasa dengan kerjasama pelbagai pihak untuk memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.

Kumpulan cerita rakyat India berjudul Nari! Nari! mula-mula terbit pada 1995 dan diulang cetak pada 2000. Edisi baharu buku itu diterbitkan pada 2015 serta diulang cetak pada 2023 dan 2024 bagi memenuhi keperluan bahan bacaan bermutu dalam Bahasa Malaysia bagi Bangsa Malaysia.



Video Membaca Teks Nari! Nari!

Projek Baca Cerita Nari! Nari! dirancang bagi meneruskan usaha membudayakan amalan membaca serta membuka peluang kepada orang ramai membaca teks cerita rakyat untuk tontonan umum. Video akan disunting dan didokumentasi di YouTube dengan harapan usaha ini mampu memberi inspirasi kepada lebih ramai/pihak untuk melakukan perkara seperti ini – sebagaimana Baca Cerpen Kavyan (2003) merintis kepada populariti acara baca cerpen Bahasa Malaysia di pentas. Usaha ini juga demi memperkenalkan cerita rakyat India dalam Bahasa Malaysia kepada masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.



Panduan dan Gerak Kerja

1. Terbuka kepada kanak-kanak, remaja, dan dewasa.

2. Wajib boleh membaca dengan lancar.

3. Wajib boleh membaca tanpa gaya sebutan orang Inggeris.

4. Setiap peserta hanya perlu membaca maksimum dua halaman.

5. Peserta wajib sudah memiliki buku Nari! Nari! [semak stok]

6. Peserta wajib memegang buku Nari! Nari! semasa rakaman bacaan.

7. Jangan lipat/gulung bulu semasa memegangnya!

8. Jangan hafaz. Sebaliknya, baca dari buku.

9. Jangan sebut tajuk cerita semasa rakaman.

10. Jangan perkenalkan diri semasa rakaman.

11. Jangan beri ucapan semasa rakaman.

12. Hanya perlu membaca petikan cerita. Itu sahaja. Titik.

13. Jangan ucap “terima kasih” selepas habis membaca.

14. Pastikan wajah peserta tidak tertutup atau terlindung.

15. Rakaman menggunakan telefon bimbit.

16. Rakaman mesti secara mendatar (horizontal) dan bukan secara menegak (vertical).

17. Apabila memulakan rakaman: Diam. Pandang kamera/telefon 10 saat. Barulah mula membaca petikan cerita.

18. Apabila menamatkan rakaman: Diam. Pandang kamera/telefon 10 saat. Barulah tekan butang tamat (stop).

19. Suara bacaan perlulah jelas. Tetapi jangan menjerit!

20. Baca dengan penuh gaya. Bukan seperti mahu pendengar tertidur!

21. Semasa membaca, sesekali cuba pandang kamera/telefon.

22. Jangan masukkan apa-apa kesan khas, muzik latar, sari kata, dan seumpamanya pada video.

23. Video yang siap perlu dihantar menerusi Telegram kepada Uthaya Sankar SB. Kiriman menerusi cara lain tidak dilayan.

24. Tarikh mula mengirim video rakaman bacaan ialah 25 November 2024. Tolong jangan kirim sebelum tarikh itu.

25. Tarikh akhir mengirim video rakaman bacaan ialah 30 November 2024 (7:00 malam).

26. Setiap peserta hanya dibenarkan mengirim satu video rakaman bacaan. Permintaan untuk menggantikan video pertama dengan video baharu tidak dilayan. Maka, sila fikir semasak-masaknya sebelum mengirim hanya satu video rakaman bacaan.

27. Video akan disunting, digabung, dan dipaparkan di YouTube, selain dikongsi menerusi media sosial.



Tajuk Cerita dan Halaman

1. Sebagai permulaan, tiga cerita dipilih untuk dijadikan teks bacaan.

2. Sila rujuk tajuk cerita rakyat dan pembahagian halaman pada jadual di bawah.

3. Peserta dari keluarga/sekolah/rumah yang sama dinasihati tidak memilih giliran yang berurutan. Kalau ada tiga orang, pilihlah tiga cerita yang berlainan.

4. Peserta boleh memilih halaman yang diminati semasa mendaftar. Tetapi, jika halaman itu sudah diambil peserta lain, perlulah memilih halaman lain.

5. Peserta perlu menggunakan logik apabila memilih di mana perlu mula membaca dan di mana perlu tamatkan bacaan.

Contoh: Orang yang membaca Halaman 2 perlu berhenti di “Bukankah elok jika bulu kita berwarna?” dan orang yang membaca Halaman 3 perlu bermula dengan “Betul juga kata kamu, wahai sahabatku, Gagak,” sambut Merak …

Contoh: Orang yang membaca Halaman 11 perlu sambung bacaan sehingga “menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa” dan orang yang membaca Halaman 12 perlu mulakan dengan “Akhirnya, Gagak dan Merak mengambil …”



Tajuk Cerita: “Kisah Binatang Mendapat Warna”

Halaman

Nama Peserta (Pembaca)

1-2

 P. Pugaleshwaran

3-4

 

5-6

 

7-9

 

10-11

 

12-13

 

14-15

 

16-17

 

18-19

 

20-22

 

 

Tajuk Cerita: “Serigala Biru”

Halaman

Nama Peserta (Pembaca)

23-24

 P. Atharvaa

26-27

 

28-29

 

30-31

 

32-33

 

34-35

 

36-37

 

38-40

 

 

Tajuk Cerita: “Thandira Nari”

Halaman

Nama Peserta (Pembaca)

41-42

 S. Naveen Rajah

43-44

 

45-46

 

47-48

 

49-50

 

51-52

 

53-54

 

55-56

 

57-58

 

59

 

 



Pendaftaran Peserta

1. Kanak-kanak, remaja, dan dewasa boleh mengambil bahagian.

2. Untuk mendaftar, sila kirim (1) nama sebenar peserta, (2) nombor telefon, (3) tempat tinggal [bandar dan negeri], serta (4) halaman pilihan, ke WhatsApp 011-11411952 (Uthaya).

3. Saya akan hubungi semula peserta untuk mengesahkan penyertaan dan halaman untuk dibaca.

4. Pendaftaran ditutup pada 21 November 2024, atau sebaik jumlah peserta sudah mencukupi.

5. Tolong jangan mendaftar sebagai peserta jika anda tidak mampu mematuhi syarat dan panduan yang diberi.

6. Tolong jangan mendaftar sebagai peserta jika anda tidak mampu mengirim video rakaman sebelum tarikh tutup.




Tarikh Menghantar Rakaman Video

1. Tarikh mula mengirim video rakaman bacaan ialah 25 November 2024. Tolongan jangan kirim sebelum itu.

2. Tarikh akhir mengirim video rakaman bacaan ialah 30 November 2024 (7:00 malam).

3. Video perlu dihantar menerusi Telegram kepada Uthaya Sankar SB. Kiriman menerusi cara lain tidak dilayan.

4. Peserta dianggap menarik diri pada saat akhir jika gagal mengirim rakaman video menerusi Telegram sebelum 30 November 2024 (7:00 malam).

5. Sebarang rayuan atau alasan tidak dilayan.

10 Nov 2024

Biodata — Kamalah Suppiah

Kamalah Suppiah lahir di Batu Feringghi, Pulau Pinang pada tahun 1960. Beliau mula menulis cerpen dan puisi moden Tamil pada tahun 1981 dan seterusnya menceburi bidang penulisan cerpen Bahasa Malaysia. Cerpen Tamil pertama tersiar di akhbar Tamil Osai pada 1981. Cerpen beliau muncul sebagai karya terbaik dalam Anugerah Sastera Datuk Athi Nagappan (1985). Novel Thimalar (1987) menang pertandingan menulis pada 1986. Novel sejarah itu kemudian menang Anugerah Buku 1988 anjuran Gabungan Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia (GAPETAM).

“Tiada Penyesalan” ialah cerpen sulung Kamalah dalam Bahasa Malaysia. Cerpen itu menang tempat ketiga dalam Hadiah Cerpen Malayan Banking-DBP dan termuat dalam antologi Menara (1988) dan juga dalam antologi Hujan Emas di Negeri Orang (1989) serta Dari Pulau ke Pulau (1992).

Buku persendirian Kamalah ialah kumpulan cerpen remaja Illaiyoor Kathaigal (2012), cerpen umum Yha (2021), koleksi esei motivasi Moodrezhutil (2023), dan Amaravathi Kadithangal (2024).

Cerpen Bahasa Malaysia termuat dalam antologi Lakaran Diri (2022) dan Seruling Malam (2024). [Lihat juga – Biodata Sasterawan Kavyan]

Biodata — Lai Choy

Lai Choy @ Lai Yoke Choy lahir di Kuala Lumpur pada 15 Disember 1941. Beliau mendapat pendidikan di beberapa sekolah rendah dan menengah berpengantar bahasa Cina di Kuala Lumpur sebelum mengikuti latihan perguruan di Maktab Perguruan Harian, Jalan Kuantan, Kuala Lumpur. 

Lai Choy berkhidmat sebagai tenaga pengajar di sekolah rendah, menengah, dan tinggi aliran Cina selama 36 tahun sebelum bersara dan kini tinggal di Kepong, Kuala Lumpur. 

Beliau terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia dan Cina sejak usia remaja. Selain media bahasa Cina, karya Lai Choy turut tersiar di akhbar Utusan Malaysia, Mastika, Dewan Sastera, Dewan Siswa, Dewan Masyarakat, dan Dewan Budaya. 

Buku persendirian beliau ialah Migrasi ke Selatan (1997), Menjejaki Sastera Melayu (2015), Kepingan Mozek (2016), dan Ada Padang Ada Belalang (2024). Cerpen beliau termuat dalam antologi Seruling Malam (2024).

Lai Choy juga menghasilkan lebih daripada 50 jenis kamus ekabahasa dan dwibahasa. Anugerah penulisan yang dimenangi termasuk Anugerah Kesusasteraan Mahua pada tahun 2018. 

[Projek Terjemahan Kitab Taoisme - klik di sini]

Beliau turut menyerlah dalam bidang pendidikan dan menerima Anugerah Kecemerlangan Perkhidmatan Pendidikan daripada Jabatan Pendidikan Kuala Lumpur pada tahun 1993. [Tonton: Dokumentari tentang Lai Choy]

12 Oct 2024

Bengkel Penulisan Cukaria

Pengenalan

Portal Cukaria yang mengiktiraf dirinya sebagai “portal cerpen tersensasi negara” menyiarkan cerpen di laman Facebook pada setiap hari Isnin dan Rabu. Karya yang tersiar adalah pelbagai dan tidak terhad kepada tema, gaya, teknik, dan isu tertentu.

Apabila cerpen tersiar, penulis berhak menerima honorarium berbentuk enam buah buku terbitan Buku Fixi. Ia satu platform baik bagi penulis baharu dan lama, tua dan muda untuk berkarya secara lebih bebas tanpa terikat kepada syarat dan peraturan yang terlalu mengawal kreativiti.

 

Kekangan

Walaupun ramai orang berminat dan bercadang mahu menulis untuk Cukaria, muncul beberapa kekangan dan halangan. Misalnya, tiada panduan tentang format manuskrip cerpen, serta ketiadaan masa untuk duduk menulis akibat hambatan kerja dan urusan harian.

 

Bengkel Penulisan

Berbekalkan pengalaman menulis secara profesional sejak tahun 1992, saya [Uthaya Sankar SB] bercadang mengendalikan bengkel penulisan cerpen khusus bagi sesiapa yang berminat menulis cerpen bagi portal Cukaria. Bengkel ini bukan anjuran Cukaria tetapi dikendalikan dengan “restu” pengasas portal berkenaan. Bengkel dikendalikan dengan kerjasama Perpustakaan Pekan Semenyih. Penyertaan dalam bengkel ini bukan “jaminan” bahawa cerpen peserta pasti tersiar di portal Cukaria, tetapi peluang untuk “lulus bagi siaran” amat tinggi kerana saya akan memberi bimbingan khusus untuk membolehkan karya tembus ke Cukaria – cara “pikat” editor/penilai.

 

Tarikh

23 November 2024 (Sabtu)

Ada perubahan tarikh atas permintaan pihak PPAS

 

Masa

9:00 pagi – 5:00 petang

(Peserta perlu hadir sepenuhnya)

 

Tempat

Perpustakaan Desa Beranang

Kompleks Penghulu Mukim Beranang

43700 Beranang, Selangor

Waze: PPAS Beranang

 

Peserta

Dihadkan kepada sepuluh (10) orang yang benar-benar berminat menghasilkan cerpen untuk dihantar ke portal Cukaria. Pendaftaran hanya sah apabila yuran dibayar. Pendaftaran ditutup apabila cukup 10 peserta.

 

Bayaran/Yuran

Setiap peserta dikenakan bayaran RM30 (Ringgit Malaysia Tiga Puluh Sahaja) bagi menampung kos sarapan, makan tengah hari, minum petang, dan logistik. Bimbingan pula diberi secara percuma demi niat berkongsi ilmu. Kos perjalanan, pengangkutan, dan sebagainya ditanggung peserta sendiri. Yuran tidak dipulangkan jika peserta menarik diri, tidak hadir, atau pulang awal.

 

Keunikan dan Kandungan Bengkel

Bengkel Penulisan Cukaria dirangka khusus bagi peserta yang mahu menghasilkan cerpen yang sesuai dan berpotensi tinggi untuk tembus bagi siaran portal Cukaria. Beberapa cerpen saya pernah tersiar di portal Cukaria (“Sal Buka Tudung”, “Remaja Dalam Almari”) dan boleh dibaca dalam buku Cerpen (2024). Cerpen beberapa peserta yang menyertai bengkel kendalian saya juga sudah tersiar di Cukaria pada tahun ini.

Peserta akan dibimbing secara menyeluruh tentang apa yang perlu dilakukan bagi menghasilkan sebuah cerpen bermutu. Misalnya, aspek cangkuk naratif, teknik memulakan cerpen, unsur saspens dan twist, pemerengganan, plot, dialog, dan pengakhiran cerpen yang berkesan.


Beberapa cerpen yang tersiar di portal Cukaria akan turut dianalisis untuk mengetahui kelebihan, keunikan, dan keistimewaan yang mungkin telah menarik perhatian penilai/editor.

Aspek teknikal seperti format menaip manuskrip, biodata, maklumat penulis, tatabahasa, dan etika mengirim cerpen melalui e-mel juga disentuh.

Sesi sumbang saran (brainstorming), perbincangan berkumpulan, dan bedah karya turut diadakan secara intensif. Peserta hanya membawa idea cerpen ke bengkel; bukan bawa manuskrip cerpen yang sudah siap. Proses menulis dibuat semasa bengkel. Jangan lupa bawa komputer riba!

Sasaran Bengkel Penulisan Cukaria ialah setiap peserta menyiapkan sebuah (1) cerpen yang layak dikirim ke portal Cukaria sebelum bengkel tamat.

 

Rangka Atur Cara

Atur cara terperinci akan diberi kepada peserta berdaftar. Harap maklum bahawa program dijalankan mengikut “Waktu Kavyan” iaitu masa sepertimana dinyatakan pada jadual. Peserta yang tiba lewat bergaya (fashionably late) dianggap tidak hadir, dan tidak dibenarkan menyertai bengkel.

 

8:30 pagi – Ketibaan peserta; Sarapan

9:00 pagi – Bengkel Intensif

1:00 tengah hari – Makan tengah hari; Rehat

2:00 petang – Bengkel Intensif

4:30 petang – Minum petang; Tamat

 

Pertanyaan dan Pendaftaran

Hubungi 011-11411952 (Uthaya) untuk pendaftaran dan pertanyaan. Pendaftaran ditutup apabila cukup 10 peserta.