13 Feb 2012

Twist

Unsur luar dugaan mampu merangsang minat khalayak yang mengikuti perkembangan sesuatu cerita. Kehadiran “twist” atau cerita yang tiba-tiba melencong dari jangkaan sangat menarik untuk diikuti.

Apabila memperkatakan hal ini, filem Itali La ragazza del lago (2007) arahan Andrea Molajoli segera muncul dalam fikiran.

Semasa menonton filem berkenaan – sambil membaca sari kata Bahasa Inggeris – saya dapat membayangkan bahawa filem itu kemungkinan besar berdasarkan novel.

Hal ini kerana watak Commissario Sanzio (lakonan Toni Servillo) ternyata tidak berdiri sendiri; sebaliknya pasti ada kaitan dengan kisah-kisah sebelum ini.

Misalnya seperti watak Lincoln Rhyme yang diperkenalkan oleh Jeffery Deaver menerusi novel The Bone Collector (1997) yang dijadikan filem dengan judul sama pada 1999.

Dalam filem “La ragazza del lago”, watak Sanzio ternyata berdasarkan watak Inspektor Konrad Sejer yang dicipta pengarang Norway, Karin Fossum, bermula dengan novel “Evas øye” (1995) yang anehnya belum diterjemahkan ke Bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, novel-novel lain yang menampilkan watak Sejer sudah diterjemahkan ke lebih 16 bahasa: “Se deg ikke tilbakel” (1996) diterjemahkan kepada “Don’t Look Back” (2002); “Den som frykter ulven” (1997) sebagai “He Who Fears the Wolf” (2003); “Djevelen holder lyset” (1998) kepada “When the Devil Holds the Candle” (2004); “Elskede Poona” (2000) menjadi “Calling Out for You” (2005) dan “The Indian Bride” (2007); “Svarte sekunder” (2002) kepada “Black Seconds” (2007); dan “Den onde viljen” (2008) menjadi “Bad Intentions” (2010).

“Drapet på Harriet Krohn” (2004) yang membawa makna “The Murder of Harriet Krohn” dan “Varsleren” (2009) yang membawa makna “The Caller” pula belum diterjemahkan ke Bahasa Inggeris.

Perlu dinyatakan bahawa novel “Den som elsker noe annet” (2007) hanya diterjemahkan ke Bahasa Inggeris dengan judul “The Water’s Edge” pada 2009 manakala filem “La ragazza del lago” (The Girl by the Lake) terbit pada 2007.

Judul asal novel berkenaan membawa makna “He Who Loves Something Else” tetapi dijadikan “The Water’s Edge” dalam novel versi Bahasa Inggeris.

Penonton “La ragazza del lago” akan melakukan pelbagai andaian sepanjang menonton filem berkaitan penyiasatan pembunuhan. Kesemua andaian itu adalah logik dan masuk akal. Akan tetapi, akan ada “twist” yang juga amat logik pada hampir setiap babak.

Kisah dalam filem ini juga bukan sekadar berkisar pada usaha mengesan pembunuh. Sebalik, juga berkaitan hubungan kekeluargaan (dalam pelbagai konteks), sikap masyarakat, perubatan dan bahaya yang berada di hadapan mata.

Tentu sahaja filem ini mengingatkan saya pada filem-filem bermutu (maaf, tidak sebuah pun dari Malaysia) yang penuh dengan unsur “twist” yang amat saya minati. Begitu juga unsur “twist” dalam novel-novel dan cerpen yang dihasilkan Jeffery Deaver, Jeffrey Archer dan Ruth Rendell.

Pada Disember 2009, saya mula membaca semula novel The Bone Collector karya Jeffery Deaver; cetakan 2008 yang sebenarnya dihadiahkan oleh Devishi Prabha Sankari kepada Prabhawathy sempena Hari Ibu pada Mei 2009.

Saya pernah membaca novel terbitan tahun 1997 suatu masa dahulu. Saya juga pernah menonton versi filem yang terbit pada tahun 1999.

Walau bagaimanapun, saya amat bertuah kerana Tuhan telah mengurniakan saya dengan “daya lupa” (selective amnesia) yang memungkinkan saya menikmati karya (filem, novel dan sebagainya) berulang kali.

Terdapat begitu banyak perbezaan antara novel dan filem The Bone Collector. Paling ketara adalah apabila watak pembantu perubatan kepada Lincoln Rhyme bertukar daripada Thom (lelaki) kepada Thelma (wanita) lakonan Queen Latifah. (Lakonan yang membanggakan, tentunya!)

Nama watak Amelia Sachs (novel) juga bertukar menjadi Amelia Donaghy (lakonan Angelina Jolie).

Dalam filem, mangsa yang dibiarkan mati dimakan tikus adalah seorang mahasiswa Universiti New York. Dalam novel, wataknya seorang wanita yang berjaya diselamatkan oleh Amelia.

Dalam filem, Amelia pergi sendiri ke sebuah kedai menjual buku lama dan menemui buku The Bone Collector yang dijadikan panduan oleh si pembunuh.


Dua mangsa terakhir dalam filem adalah seorang lelaki tua dan cucu perempuannya. Kedua-duanya diikat pada tiang di tepi laut. Dalam novel, seorang balu dan anak perempuannya.

Dalam novel, Amelia terpaksa menyelamatkan kanak-kanak perempuan itu sebelum dibunuh sekumpulan anjing liar.

Dalam novel, watak balu itu memainkan peranan amat penting pada akhir cerita. Bagaimanapun, tidak demikian dalam versi filem.

Tiada adegan Amelia ditimbus hidup-hidup oleh si pembunuh bersiri. Identiti si pembunuh itu dalam filem juga tidak sama dengan novel.

Malah, dalam novel, Lincoln berjaya menumpaskan (membunuh!) si pembunuh seorang diri dengan cara yang unik. Dalam filem, Amelia terpaksa menembak pembunuh itu sebelum Lincoln ditikam.

Novel berakhir dengan satu lagi kes pengeboman yang “mendesak” Lincoln melupakan niat membunuh diri; manakala filem berakhir dengan sambutan Hari Krismas.

Kesimpulan saya (selepas membaca novel dua kali dan menonton filem dua kali): versi novel adalah jauh lebih hebat, penuh dramatik, terperinci, penuh aksi, mendebarkan dan penuh visual berbanding versi filem.

Harus saya akui bahawa saya mengenali Jeffery Deaver melalui kumpulan cerpen Twisted (2003) dan More Twisted (2006) sebelum mula tekun membaca novel-novelnya.

Bercakap mengenai “Twisted”, perlu dinyatakan juga bahawa filem Twisted (2004) arahan Philip Kaufman serta lakonan Ashley Judd, Samuel L. Jackson dan Andy Garcia tiada sebarang kaitan dengan dengan kumpulan cerpen sulung Jeffery Deaver berjudul Twisted.


Cerpen-cerpen (dan novel) Jeffery Deaver memang penuh dengan perubahan plot (jalan cerita) benar-benar “twisted” dan di luar jangkaan pembaca.

Hal yang sama sebenarnya dapat disaksikan dalam filem Twisted di mana jalan ceritanya tiba-tiba berubah; di luar dugaan penonton.

Maka, sesiapa yang menyukai filem Twisted juga tentu akan suka membaca kumpulan cerpen Twisted dan More Twisted. Bagaimanapun, bagi saya, buku pertama lebih menarik berbanding buku kedua.

Mungkin ramai yang biasa membaca cerpen-cerpen Jeffrey Archer. Dalam cerpen-cerpennya, pasti ada satu “twist” iaitu unsur luar jangkaan pada jalan cerita. [Rujuk Twist Bersama Archer]

Saya sudah membaca kumpulan cerpen A Quiver Full of Arrows (1980), A Twist in the Tale (1989), Twelve Red Herrings (1994), The Collected Short Stories (1997) dan To Cut a Long Story Short (2000) tetapi belum sempat membeli Cat O’Nine Tales (2006) dan And Thereby Hangs a Tale (2010).

Dalam cerpen-cerpen Jeffery Deaver pula, unsur “twist” muncul dua kali. Maknanya, jalan cerita berubah di luar jangkaan sebanyak dua kali. Pembaca mendapat kejutan sebanyak dua kali.

Saya tidak tahu mengenai anda tetapi karya berbentuk “thriller” dan penuh dengan “twist” sangat menarik minat serta mampu merangsang minda saya secara intelektual. Baca juga - Top Ten Twists In Fiction 

(Artikel ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB pada 22 September 2011 berdasarkan beberapa catatan awal di blog dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 26 September 2011.)