31 Dec 2009

Ruth Rendell

“Uthaya Sankar SB has a date with Ruth Rendell at 9:00 pm.”
.

Pada petang 30 Disember 2009, jalan sesak seperti selalu semasa saya memandu pulang dari RTM ke Shah Alam.

.

Maka, saya memutuskan untuk pergi ke Amcorp Mall di Petaling Jaya. Di sana, saya ke sebuah kedai buku yang menjual buku-buku baru pada harga yang memang amat murah.

.

Selepas meneliti koleksi yang ditawarkan, saya memutuskan untuk membeli Collected Stories 2 (2008) oleh Ruth Rendell.

.

Saya pernah mendengar nama itu serta melihat begitu banyak novel karyanya di kedai-kedai buku. Bagaimanapun, sebelum ini, tidak terbuka pula hati saya untuk membaca karya-karya beliau.

.

Sebaliknya, kumpulan cerpen Collected Stories 2 terus menarik perhatian saya. Malah, saya tidak sabar-sabar untuk membacanya.

.

Maka, saya membacanya bermula pukul 9:00 malam; sebagaimana saya nyatakan pada ruangan status di Facebook.

.

Lima buah cerpen yang sempat saya baca membuatkan saya tertanya-tanya: Mengapa saya tidak membaca karya-karya Ruth Rendell lebih awal?

.

Namun, saya percaya bahawa belum terlewat untuk saya memesrai karya-karya pengarang ini.

.

Dari segi kemampuan menggunakan teknik plot di luar jangkaan – twist – saya meletakkan Ruth Rendell sebaris dengan Jeffery Deaver, Jeffrey Archer dan Roald Dahl.

29 Dec 2009

Cerpen-cerpen Terpilih

Selepas saya berusaha sejak 13 Februari 2007, akhirnya pada 21 Disember 2009, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak lagi mempunyai alasan untuk menghalang saya daripada mengambil semula hak penerbitan terhadap tiga kumpulan cerpen yang diterbitkan oleh DBP sejak tahun 1994.
.

Kumpulan cerpen yang dimaksudkan adalah Orang Dimensi, Siru Kambam dan Surat Dari Madras; selain novel Hanuman: Potret Diri dan cerita rakyat Nari! Nari!

.

[Sila KLIK DI SINI untuk sedikit latar belakang.]

.

Bagi tahun 2010, saya bercadang menerbitkan semacam “Cerpen-cerpen Terpilih Uthaya Sankar SB”.

.

Saya sempat berbincang bersama-sama Amir Muhammad melalui mesej di Facebook pada pagi 29 Disember 2009 ambil saya bersarapan di Kafe Angkasapuri.

.

Beliau memberikan beberapa pandangan yang amat bernas dan berguna berhubung rancangan penerbitan buku itu.

.

Atas “permintaan” dan “cadangan profesional” Amir Muhammad, dua cerpen yang pasti dimuatkan dalam buku berkenaan adalah “Yang Aneh-aneh” dan “Cerita Paurnami”.

.

Mungkin akan dimuatkan juga catatan saya mengenai “proses penciptaan” serta “ulasan pembaca”.

.

Saya tidak mahu memuatkan terlalu banyak cerpen – “cerpen-cerpen terpilih” sahaja.

.

Tidak mustahil, antara 5-10 sahaja. Tidak mustahil, akan saya terjemahkan sendiri ke Bahasa Inggeris untuk diterbitkan sebagai buku dwibahasa.

.

Bagi tujuan kumpulan cerpen ini, saya mengundang para pembaca mencadangkan cerpen-cerpen yang paling sesuai daripada buku-buku Orang Dimensi, Siru Kambam, Surat Dari Madras, Yang Aneh-aneh, Nayagi, Sasterawan Pulau Cinta dan Rudra Avatara.

.

Caranya amat mudah: Nyatakan judul cerpen karya saya yang paling saudara suka dan saudara rasakan “perlu” dimuatkan dalam buku “Cerpen-cerpen Terpilih Uthaya Sankar SB” (judul akan ditetapkan kemudian).

.

Cerpen-cerpen yang mendapat undian tertinggi akan dipilih. Undian boleh dilakukan di Facebook (ruangan “komen” atau mengirim mesej) atau mengirim e-mel ke uthayasb@yahoo.com.my.

.

Tarikh akhir mengundi: 15 Januari 2010.

.

Bolehlah saya menggunakan cuti 16-31 Januari 2010 untuk menguruskan buku berkenaan.

.

Tentu sahaja sejumlah “pengundi bertuah” akan menerima hadiah berupa bahan bacaan!

The Bone Collector

Pada 18 Disember 2009, saya mula membaca semula novel The Bone Collector karya Jeffery Deaver; cetakan 2008 yang dihadiahkan oleh Devishi Prabha Sankari kepada Prabhawathy sempena Hari Ibu pada 10 Mei 2009.
.

Saya pernah membaca novel terbitan tahun 1997 suatu masa dahulu. Saya juga pernah menonton versi filem yang terbit pada tahun 1999.

.

Walau bagaimanapun, saya amat bertuah kerana Tuhan telah mengurniakan saya dengan “daya lupa” yang memungkinkan saya menikmati karya (filem, novel dan sebagainya) berulang kali. Tuhan Maha Pemurah.

.

Saya tidak berpeluang membaca setiap hari kerana terlibat dalam beberapa urusan lain; urusan rasmi, tidak rasmi, penting dan tidak penting.

.

Pada sebelah malam Sabtu, 26 Disember, saya membaca The Bone Collector sehingga 6:00 pagi keesokannya! Pada hari Ahad itu sendiri, saya tidak berkesempatan menyambung pembacaan selepas berhenti di halaman 385. (Jumlah halaman: 467)

.

Pembacaan saya selesai sekitar pukul 10:00 pagi, 28 Disember. Suatu proses pembacaan yang memang amat memberi kepuasan jiwa dan intelektual!

.

Sejak 18 Disember, saya juga berusaha mencari DVD filem The Bone Collector (1999) lakonan Danzel Washington dan Angelina Jolie. Malangnya, tidak saya temui di mana-mana.

.

Maka, pada malam 28 Disember, saya menyelongkar koleksi VCD lama di bilik stor lalu menemui DVD yang saya beli pada 4 Mac 2000.

.

Terdapat begitu banyak perbezaan antara novel dan filem. Paling ketara adalah apabila watak pembantu perubatan kepada Lincoln Rhyme bertukar daripada Thom (lelaki) kepada Thelma (wanita) lakonan Queen Latifah. (Lakonan yang membanggakan, tentunya!)

.

Nama watak Amelia Sachs (novel) juga bertukar menjadi Amelia Donaghy (lakonan Angelina Jolie).

.

Dalam novel, dua mangsa yang pertama bernama John dan Tammie Jean Colfax. Dalam filem, mereka adalah pasangan suami-isteri.

.

Dalam filem, mangsa yang dibiarkan mati dimakan tikus adalah seorang mahasiswa Universiti New York. Dalam novel, wataknya seorang wanita yang berjaya diselamatkan oleh Amelia.

.

Dalam filem, Amelia pergi sendiri ke sebuah kedai menjual buku lama dan menemui buku The Bone Collector yang dijadikan panduan oleh si pembunuh.

.

Dua mangsa terakhir dalam filem adalah seorang lelaki tua dan cucu perempuannya. Kedua-duanya diikat pada tiang di tepi laut. Dalam novel, seorang balu dan anak perempuannya.

.

Dalam novel, Amelia terpaksa menyelamatkan kanak-kanak perempuan itu sebelum dibunuh sekumpulan anjing liar.

.

Dalam novel, watak balu itu memainkan peranan amat penting pada akhir cerita. Bagaimanapun, tidak demikian dalam versi filem.

.

Tiada adegan Amelia ditimbus hidup-hidup oleh si pembunuh bersiri. Identiti si pembunuh itu dalam filem juga tidak sama dengan novel.

.

Malah, dalam novel, Lincoln berjaya menumpaskan (membunuh!) si pembunuh seorang diri dengan menggigit. Dalam filem, Amelia terpaksa menembak pembunuh itu sebelum Lincoln ditikam.

.

Novel berakhir dengan satu lagi kes pengeboman yang “mendesak” Lincoln melupakan niat membunuh diri; manakala filem berakhir dengan sambutan Hari Krismas.

.

Kesimpulan saya (selepas membaca novel dua kali dan menonton filem dua kali): versi novel adalah jauh lebih hebat, penuh dramatik, terperinci, penuh aksi, mendebarkan dan penuh visual berbanding versi filem.

.

Nota: Sila KLIK DI SINI untuk maklumat cerpen-cerpen Deaver.

26 Dec 2009

Gandhi, Chewbacca dan Penipuan Besar!

Pada Rabu, 23 Disember 2009, seorang rakan di Facebook bertanya selepas melihat foto profil saya: “Who is the King Kong?”
.

Keesokannya, saya memberikan jawapan yang sebenarnya merupakan suatu perangkap:

.

Some Kalidas might comment that ‘Uthaya buta sejarah’ and ‘Uthaya mencemar nama serta imej watak Star Wars yang dianggap sebagai dewa/Tuhan oleh peminat’. It’s based upon Chewbacca.”

.

Sila KLIK DI SINI untuk membaca maklumat mengenai isu berkenaan.

.

Perangkap itu rupa-rupanya mengena kerana pada Hari Krismas, individu yang “dicari” memberi respons; walaupun hanya melalui catatan amat ringkas: “:)”

.

Dari sana, saya berjaya mengetahui identiti sebenar individu berkenaan serta pautan ke blognya. Maka, dapatlah saya membaca sepenuhnya tulisan “Kalaiarasan” yang pernah saya baca sekali lalu pada 8 Disember 2009.

.

Saya pernah melihat sendiri beberapa komen oleh “Muniandy” hilang di depan mata dari blog Kalaiarasan. Saya telah menyaksikan sendiri “sumber” tiba-tiba muncul selepas Muniandy menuduh Kalaiarasan menciplak tulisan mengenai Mahatma Gandhi dari sumber lain.

.

Pada kali ini, saya dapat membaca pula Penipuan Besar yang dilakukan oleh Kalaiarasan! Kononnya “sumber” telah sedia ada sejak 30 November 2009.

.

Apa yang menarik, beberapa “watak fiksyen” turut tampil menyokong Kalaiarasan dengan mengatakan bahawa mereka melihat “sumber” dinyatakan sejak mula lagi.

.

Saya hanya mampu tertawa dan terkenang akan cerpen “Kita Sudah Gagal, Raja” (Rudra Avatara, 2008).

.

Berbekalkan kecanggihan teknologi dan bantuan pakar internet, pada 25 Disember 2009, saya secara peribadi berjaya melihat catatan di blog Kalaiarasan bertarikh 7 Disember 2009.

.

Ternyata tiada “sumber” dinyatakan sebelum 8 Disember 2009. Saya membuat salinan elektronik serta mencetak satu salinan untuk disimpan. Sesiapa yang berminat bolehlah berjumpa saya untuk melihat bahan bukti berhubung Penipuan Besar yang dimaksudkan.

.

Saya memilih untuk tidak menulis sebarang komen di blog Kalaiarasan kerana saya tahu, komen saya berisi kebenaran tidak diperlukan di sana dan pasti akan dipadam oleh pemilik blog berkenaan; sepertimana dilakukan terhadap komen kritis oleh “kawan-kawan”nya sendiri.

.

Apapun, terima kasih, Chewbacca!

24 Dec 2009

Anugerah Buku Kebangsaan Malaysia 2008

Berikut skrip asal bagi liputan yang disiarkan menerusi segmen “Peristiwa” di TV1 pada 24 Disember 2009:

.

Majlis penyampaian “Anugerah Buku Kebangsaan Malaysia 2008” berlangsung di ibu negara pada 22 Disember 2009 sebagai memberi pengiktirafan kepada individu dan penerbit yang terlibat aktif dalam industri buku serta menyumbang ke arah memperkaya khazanah buku negara.

.

Sebanyak 12 anugerah disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia, Datuk Haji Kamaruzaman Haji Mohd Noor pada majlis ini.

.

Norashikin Hashim menerima “Anugerah Buku Kanak-kanak (Bergambar”) bagi buku berjudul Hidup Bekerjasama; sementara buku Sahabat Baru karya Azwani Abdul Ghani menerima “Anugerah Buku Kanak-kanak (Fiksyen)”.

.

Novel Manikam Kalbu karya Faisal Tehrani diiktiraf sebagai penerima “Anugerah Buku Remaja (Fiksyen)”; manakala Ensiklopedia Untuk Anak-anak Muslim menerima “Anugerah Buku Remaja (Bukan Fiksyen)” dan “Anugerah Ilustrator Terbaik”.

.

Setaman Pantun Kenangan karya Abdul Halim R diberi “Anugerah Buku Dewasa (Fiksyen)”; sementara Buku Panduan Diplomatik menerima “Anugerah Buku Terjemahan”.

.

“Anugerah Buku Ilmiah” pula disampaikan kepada Idris Aman yang menulis Bahasa dan Kepimpinan: Analisis Wacana Mahathir Mohamad.

.

Buku Rupa dan Gaya Busana Melayu karya Azah Aziz dan terbitan Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menang empat anugerah; iaitu “Anugerah Buku Dewasa (Bukan Fiksyen)”, “Pereka Bentuk Terbaik”, “Editor Terbaik” dan “Hadiah Tinta Perdana”.

.

(Sila KLIK DI SINI untuk senarai hadiah wang tunai dan sila KLIK DI SINI untuk maklumat awal mengenai acara.)

23 Dec 2009

Amazing Avatar

“Uthaya Sankar SB memutuskan untuk menonton filem "Avatar" (3D) di TGV Sunway Pyramid pada pukul 12:45 tengah hari.”
.
Demikian saya mencatatkan pada ruangan status Facebook pada pukul 10:26 pagi, 23 Disember 2009.
.
Sejak filem berkenaan mula dipromosikan, saya memilih untuk tidak mengambil tahu tentang kisah filem berkenaan kerana mahu masuk ke pawagam dengan fikiran “kosong”.
.
Perlu dinyatakan bahawa ini kali pertama saya menonton filem 3D di pawagam. Sedikit kurang selesa memakai cermin mata khas kerana saya memang sedia bercermin mata.
.
Dari mula hingga akhir, filem Avatar memang amat hebat. Penuh warna. Mendebarkan. Mengasyikkan. Menghiburkan. Menyentuh perasaan.
.
Amazing. Demikian saya mencatatkan komen pada status Facebook pada pukul 3:33 petang; sejurus selesai menonton filem berkenaan.
.
Dialog yang paling meninggalkan kesan di minda dan jiwa saya: “If you are one of us, help us”.
.
Mana-mana golongan minoriti yang sering diperkotak-katikkan oleh kelompok majoriti pasti boleh memahami perasaan masyarakat Na’vi.
.
Amazing Avatar. [Lagi - Avatar tiru Blue Crow]

22 Dec 2009

Penerima Anugerah Buku Kebangsaan Malaysia 2008

Senarai Penerima Anugerah Buku Kebangsaan Malaysia 2008 pada 22 Disember 2009:

Berikut penerima Anugerah yang menawarkan hadiah wang tunai RM4,000 serta sijil:

1. Anugerah Buku Kanak-kanak (Bergambar)
Hidup Bekerjasama oleh Norashikin Hashim, Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd (2006)

2. Anugerah Buku Kanak-kanak (Fiksyen)
Sahabat baru oleh Azwani Ghani, MEP Education Consult Sdn Bhd (2006)

3. Anugerah Buku Kanak-kanak (Bukan Fiksyen)
(tiada pemenang)

4. Anugerah Buku Remaja (Fiksyen)
Manikam Kalbu oleh Faisal Tehrani, Dewan Bahasa dan Pustaka (2008)

5. Anugerah Buku Remaja (Bukan Fiksyen)
Ensiklopedia Untuk Anak-anak Muslim, E-Media Publicatin Sdn Bhd (2007)

6. Anugerah Buku Dewasa (Fiksyen)
Setaman Pantun Kenangan oleh Abdul Halim R, Penerbit Universiti Sains Malaysia

7. Anugerah Buku Dewasa (Bukan Fiksyen)
Rupa dan Gaya: Busana Melayu oleh Azah Aziz, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (2006)

8. Anugerah Buku Terjemahan
Buku Panduan Diplomatik diterjemah oleh Radziah Abdul Rahim, ITNM & Penerbit UUM (2007)

9. Anugerah Buku Ilmiah
Bahasa dan Kepimpinan: Analisis Wacana Mahathir Mohamad oleh Idris Aman, Penerbit UKM (2007)


Berikut pula pemenang Kategori Hadiah Khas yang menerima wang tunai RM3,000 dan sijil:

10. Ilustrator Terbaik
Ensiklopedia Untuk Anak-anak Muslim, E-Media Publicatin Sdn Bhd (2007)

11. Pereka Bentuk Terbaik
Rupa dan Gaya: Busana Melayu oleh Azah Aziz, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (2006)

12. Editor Terbaik
Rupa dan Gaya: Busana Melayu oleh Azah Aziz, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (2006)


Penerima Anugerah Buku Terbaik (“Hadiah Tinta Perdana”) yang menerima wang tunai RM8,000 dan sijil:

13. Rupa dan Gaya: Busana Melayu oleh Azah Aziz, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (2006)

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Datuk Haji Kamaruzaman bin Haji Mohd Noor, Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Pelajaran Malaysia pada 22 Disember 2009 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.

Perhimpunan Alumni MPR

Berikut skrip asal bagi liputan yang disiarkan menerusi segmen Peristiwa” di TV1 pada 22 Disember 2009:

.

“Perhimpunan Alumni Minggu Penulis Remaja” di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada 19 Disember 2009 menyaksikan kehadiran golongan penulis yang lahir melalui program berkenaan sejak tahun 1985.

.

“Minggu Penulis Remaja” yang pada mulanya dikenali sebagai “Minggu Remaja” merupakan program penulisan yang diadakan khusus untuk membimbing para penulis remaja pelbagai kaum dalam penulisan cerpen, puisi, novel dan skrip drama.

.

Mantap peserta “Minggu Penulis Remaja” sejak tahun 1985 ternyata mewarnai dunia sastera tanah air dengan karya bermutu.

.

Antara penulis terkenal negara yang lahir melalui program “Minggu Penulis Remaja” ialah Nisah Haron, Roslan Jomel, Salina Ibrahim, Kamariah Kamarudin, Tung Wai Chee, Uthaya Sankar SB, Ida Munira Abu Bakar, Ghafirah Idris dan Lily Haslina Nasir.

.

Perhimpunan yang julung kali diadakan ini turut menyaksikan kehadiran mantan pembimbing dan urus setia seperti Mohamad Ali Majod.

.

Sesi forum yang diadakan pula memberi ruang dan peluang kepada tiga orang panel untuk mengimbau kenangan silam, selain memperkatakan pelbagai isu berkaitan arah tuju para penulis muda yang lahir melalui program “Minggu Penulis Remaja”.

.

Majlis di Menara DBP turut menyaksikan pelancaran buku dan antologi cerpen karya Alumni Minggu Penulis Remaja.

17 Dec 2009

Syarahan Agung Sasterawan Negara & Seniman Negara

Berikut skrip asal bagi liputan yang disiarkan menerusi segmen ‘Peristiwa” di TV1 pada 17 Disember 2009:

.

“Syarahan Agung Sasterawan Negara dan Seniman Negara” yang berlangsung di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada Rabu (16 Disember 2009) ternyata membuka ruang kepada pencinta bahasa, sastera dan seni untuk membicarakan pelbagai topik yang dekat di hati.

.

Acara ini dianjurkan oleh Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

.

Tokoh-tokoh yang menyampaikan kertas kerja terdiri daripada Sasterawan Negara Profesor Dr Muhammad Haji Salleh dan Dato’ Dr Anwar Ridhwan.

.

Turut berkongsi pandangan ialah Seniman Negara Datuk Syed Ahmad Jamal, Datuk Dr Ahmad Khan Nawab Khan dan Senator Tan Sri Datuk Dr Haji Jins Shamsudin.

.

Orang ramai yang hadir mendengar syarahan agung ini termasuk Sasterawan Negara Datuk Dr A. Samad Said, penggiat seni, pencinta bahasa, aktivis sastera, wakil persatuan penulis, pelajar IPTA dan pengkaji sastera.

.

Antara topik yang dibincangkan adalah betapa perlunya Bahasa Malaysia dilihat dan diterima sebagai bahasa bagi seluru rakyat Malaysia; dan bukannya dilihat sebagai bahasa bagi kaum Melayu sahaja.

.

Aspek memasyarakatkan bahasa, sastera, seni dan budaya turut dibincangkan secara telus dan terbuka oleh para Sasterawan Negara dan Seniman Negara.

.

Tema program, iaitu ”Reformasi Bahasa, Sastera dan Budaya dari Kaca Mata Sasterawan Negara dan Seniman Negara” membuka ruang seluas-luasnya kepada tokoh-tokoh yang disegani ini untuk meluahkan pandangan sebagai sasterawan dan seniman yang berpengalaman.

.

Sesungguhnya kita berbangga memiliki kelompok sasterawan dan seniman yang turut menyumbang kepada pembangunan tamadun dan peradaban Bangsa Malaysia.

16 Dec 2009

Kembali ke Siru Kambam

Versi Bahasa Tamil cerpen “Anda, Sebuah Kampung dan Sebuah Kisah” (Rudra Avatara, 2008) akan disiarkan semula menerusi MinnalFM (Radio Bahasa Tamil) pada Ahad, 20 Disember 2009, sekitar 10:45 pagi.
.

Demikian saya dimaklumkan oleh penerbit berkenaan, Cik Kavitha Kaneapa sekitar pukul 4:40 petang, 16 Disember 2009 menerusi SMS.

.

Cerpen ini disiarkan buat kali pertama pada 28 Jun 2009. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut.

.

Apa yang menarik, saya dihubungi oleh seorang pemuda bernama Sivapriyan selepas mendengar cerpen berkenaan.

.

Katanya, dia juga seorang pemilik kedai buku dan suka pergi ke tempat-tempat yang jarang dikunjungi orang!

.

Untuk makluman, cerpen "Anda, Sebuah Kampung dan Sebuah Kisah" menang tempat kedua Hadiah Cerpen Esso-Gapena 1996.

.

Semasa meronda-ronda sekeliling Aulong bersama-sama Devishi pada 13 Disember 2009, saya terkenang kembali akan Siru Kambam yang sudah agak lama ditinggalkan.

.

Sertai saya pada 20 Disember 2009 untuk kembali ke kampung kecil itu!

15 Dec 2009

Notis Peletakan Jawatan























Uthaya Sankar SB

27 Jalan 25/82-B

Taman Sri Muda

40400 Shah Alam

Tel: 012-3368142
.

Ketua Pengarah

Jabatan Penyiaran Malaysia

Tingkat 2, Wisma TV

Angkasapuri

50614 Kuala Lumpur

u.p.: Ketua Bahagian Sumber Manusia

.

15 Disember 2009
.

Tuan,
.

Notis Peletakan Jawatan

.

Saya seperti yang bernama di atas merupakan Penerbit Rancangan B41 (Kontrak JPA) di Jabatan Penyiaran Malaysia dan memulakan tugas di RTM Angkasapuri pada 10 Oktober 2008.

.

Notis ini adalah untuk memaklumkan secara rasmi bahawa saya meletak jawatan berkenaan berkuatkuasa 31 Januari 2010.
.

Sekian. Terima kasih.
.

Yang benar,
.

(Uthaya Sankar SB)

Seorang Lagi Gandhi?

Reaksi berikut diterima pada 15 Disember 2009 melalui e-mel daripada Retna Devi Balan yang kini berada di Chennai, Tamil Nadu, India. Beliau meminta saya memuatkan pandangan ini di blog untuk tatapan umum.
.

Pandangan ini adalah reaksi terhadap apa yang boleh dibaca DI SINI dan DI SINI.

.

Berikut pandangan Retna sepenuhnya:



Ruang siber, khususnya Facebook, gempar dengan isu merendahkan martabat tokoh dunia!

Hampir kesemua lapisan masyarakat dunia mengenali nama Mahatma Gandhi. Mungkin melalui sejarah atau melalui filem Gandhi arahan Richard Attenborough.

Sejarah dan fakta mengenai beliau boleh didapati melalui buku-buku rujukan dan juga melalui laman-laman sesawang. Perkara yang yang paling utama yang perlu diketahui mengenai Mahatma Gandhi bukanlah fakta bahawa beliau adalah seorang pejuang hak asasi manusia dan kemerdekaan. Sebenarnya keagungan beliau terletak pada ketegasan beliau berpegang kepada perjuangan ‘ahimsa’ iaitu perjuangan yang tidak menggunakan kekerasan atau keganasan.

Hari ini wujud satu konsep bangkangan yang dikenali sebagai ‘Gandhian’ yang bermaksud perjuangan untuk menegakkan kebenaran melalui cara yang tiada kaitannya dengan anasir-anasir perosak.

Cuba dalami konsep ‘ahimsa’ dan ‘Gandhian’ sebelum mendekati isu yang seterusnya.

Penulis terkemuka tanah air Uthaya Sankar SB telah memaparkan satu gambar foto yang menunjukkan rupa paras beliau seperti Mahatma Gandhi. Gambar foto itulah yang telah mencetuskan perbahasan yang pedas di ruang siber.

Ramai yang tidak tahu hujung pangkal telah turut serta dalam perbahasan itu. Masing-masing menuduh bahawa Uthaya telah menjatuhkan martabat seorang tokoh dunia apabila memaparkan foto sebegitu.

Perkara yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Pada zaman yang serba moden ini, ramai (terutamanya golongan remaja) terikut-ikut pelbagai gaya. Satu golongan gilakan gaya bintang filem, segolongan lagi memilih untuk mengikut gaya penyanyi popular dan segelintir lagi mengekori gaya hidup golongan yang kaya-raya. Berapa ramai yang meneladani tokoh-tokoh dunia?

Mengapa mereka yang begitu pantas untuk mengutuk tidak berfikir secara mendalam apakah maksud tersirat di sebalik gambar tersebut?

Uthaya pastinya tidak mencapai kedudukannya sebagai penulis mapan negara dengan minda ‘buta sejarah’. Jika ditanyakan kepada beliau, pasti beliau akan mengupas persoalan-persoalan yang jauh lebih mencabar fikiran berbanding dengan pendapat yang dikemukakan di ruang siber.

Lebih daripada itu, ramai yang mungkin tidak sedar bahawa Uthaya Sankar SB sebenarnya adalah seorang pejuang. Beliau memperjuangkan hak rakyat Malaysia untuk mengunakan istilah Bahasa Malaysia. Beliau berpegang tegas pada prinsip 'Bahasa Jiwa Bangsa'. Bahasa Malaysialah yang menjadi akar tunjang yang bakal membentuk impian rakyat untuk melahirkan ‘Satu Malaysia’.

Penulis bukan sekadar berkarya. Penulis adalah pendidik, pembimbing dan pembentuk peribadi satu masyarakat. Setiap orang yang mengakui dirinya sebagai penulis memikul satu tanggungjawab yang penting iaitu sebagai nadi yang mengerakkan naluri masyarakat.

Penulislah yang memupuk kesedaran dalam kalangan anggota masyarakat. Merekalah yang mengundang pembaca untuk berfikir secara mendalam apabila mendekati apa jua keadaan. Mereka jugalah yang menanam benih-benih sikap toleransi dan kemasyarakatan.

Uthaya telah memainkan segala peranan yang disebutkan. Kesemua ini dilakukannya melalui Bahasa Malaysia.

Perjuangan beliau untuk istilah Bahasa Malaysia telah mencapai sedekad. [BACA DI SINI] Pada peringkat awal, beberapa individu telah turut serta dalam perjuangan ini tetapi mereka menjauhkan diri demi menjaga kepentingan diri sendiri. Tindakan seperti ini tidak menumbangkan kesungguhan Uthaya. Beliau meneruskan perjuangan.

Perjuangan yang mempunyai niat yang benar pasti akan mendapat sokongan. Begitu juga dengan perjuangan yang dimulakan oleh Uthaya. Kini ia mendapat sambutan khalayak remaja dan juga rakan-rakan penulis pelbagai kaum. Rata-rata semua pihak yang mencitakan Bangsa Malaysia mahu mengekalkan istilah Bahasa Malaysia.

Sepanjang perjuangan ini, Uthaya mengamalkan ‘ahimsa’. Beliau tidak menyakiti mana-mana pihak. Walau apa jua cabaran yang menimpa, Uthaya telah berdiri tegas.

Ketegasan yang ditunjukkan oleh Uthaya mirip ketegasan yang ditunjukkan oleh Mahatma Gandhi!

Ada peribahasa Inggeris mengatakan, “Imitation is the highest form of compliment”.

Sekarang, nilailah sendiri apakah maksud di sebalik gambar tersebut.

10 Dec 2009

Hadiah Buku Percuma

Sebagai usaha menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menawarkan hadiah berupa buku kepada 5 remaja (13-17 tahun) dan 5 dewasa (18 tahun dan ke atas).

Buku yang akan diberi sebagai hadiah percuma adalah “Kathakali: Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia” (remaja) dan “Rudra Avatara: Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia” (dewasa).

Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut.

8 Dec 2009

Penulis Prominen yang Buta Sejarah

Hairan! Seseorang “menambah” saya sebagai rakan di Facebook pada tengah hari 8 Disember 2009.

Saya seperti biasa “menerima” tanpa prasangka.

Pada sekitar pukul 7:30 malam, sewaktu saya melayari internet menggunakan telefon bimbit di Taman Sri Muda, Shah Alam, individu berkenaan yang menamakan dirinya sebagai “Muniandy” memulakan perbualan (“chat”) bersama saya.

Muniandy menuduh saya membantu seorang “rakan penulis” mendapatkan publisiti murahan. Diberikannya suatu pautan alamat blog (yang saya tidak ingat kerana masuk menggunakan telefon bimbit).

Apabila saya klik pada pautan itu, saya dibawa ke suatu blog bertarikh 30 November 2009 yang bercerita tentang Mahatma Gandhi. Foto saya “menyerupai” Mahatma Gandhi turut dipaparkan di sana.

Antara perkara yang saya ingat adalah bahawa saya digelar “penulis prominen yang buta sejarah” dan “jahil tentang tokoh terhebat dunia” oleh penulis blog itu.

Lebih menarik lagi bahawa catatan blog berkenaan hampir sama dengan catatan blog saya mengenai Mahatma Gandhi; di mana saya menyalin 100% maklumat dari Wikipedia – BACA DI SINI.

(Sila ambil perhatian bahawa pada catatan blog saya telah dinyatakan secara jelas bahawa maklumat Mahatma Gandhi diambil dari Wikipedia. Di blog yang digunakan untuk “membuktikan” saya sebagai “penulis prominen yang buta sejarah” pula tiada sebarang sumber dinyatakan.)

Saya menyedari hal itu apabila salah seorang “pembaca setia” blog berkenaan – yang juga bernama “Muniandy”! – mendedahkan di ruangan komen tentang kemungkinan penulis itu “menyalin” maklumat dari blog saya.

Demikian antara perkara (lucu) yang saya temui sewaktu melayari catatan di blog berkenaan menggunakan telefon bimbit.

Menarik juga apabila penulis blog itu (namanya “Kalaiarasan” kalau tidak silap saya) berbalas hujah dengan Muniandy.

Misalnya, Muniandy bertanya siapakah “penulis yang buta sejarah itu” dan penulis blog berkata bahawa dia tidak boleh mendedahkan nama itu. Namun, Kalaiarasan (saya rasa itulah namanya) memberikan alamat blog www.kavyan.blogspot.com untuk dilayari sendiri oleh Muniandy untuk tahu siapakah “penulis buta sejarah” dan “jahil tentang tokoh terhebat dunia”.

Agaknya selepas Muniandy ke blog Kavyan dan seterusnya ke blog saya, dia mula menuduh Kalaiarasan meniru maklumat Mahatma Gandhi dari blog saya!

Muncul satu lagi watak – namanya “Mutiara Indera” kalau tidak silap saya – yang tampil menyokong Kalaiarasan.

Sejurus selepas itu, Muniandy menulis komen bahawa mungkin saya yang telah meniru maklumat Mahatma Gandhi dari blog Kalaiarasan!

Sempat juga saya lihat komen oleh Barvathi Subramaniam yang mencadangkan supaya Kalaiarasan meletakkan “sumber” pada tulisan itu kerana ternyata ia bukan karya asli.

Kalaiarasan ada menyebut bahawa sumber diletakkan “di sebelah atas kanan” tetapi saya tidak nampak apa-apa pada skrin telefon bimbit saya.

Muniandy juga menulis bahawa dia tidak nampak “sumber” seperti yang didakwa oleh Kalaiarasan. Kata Muniandy, dia ada mencetak catatan blog itu beberapa hari lalu sebagai bukti bahawa tiada “sumber” diletakkan.

Sesuatu yang penuh misteri berlaku selepas itu!

Komen-komen Muniandy yang “tidak memihak” kepada Kalaiarasan mula “hilang satu per satu” di depan mata!

“Sumber” tiba-tiba muncul “di sebelah bawah kiri” catatan blog itu!

Saya segera kembali ke Facebook untuk berbual lanjut bersama Muniandy (saya percaya dia orang yang sama di Facebook dan di blog tadi).

Malangnya Muniandy sudah hilang daripada senarai rakan saya!

Saya melakukan pencarian (“search”) tetapi Muniandy tadi sudah ghaib begitu sahaja.

Hairan. Terasa bagaikan membaca cerpen “Kita Sudah Gagal, Raja”!

7 Dec 2009

Majlis Anugerah Buku Kebangsaan Malaysia 2008

Individu yang terlibat aktif dalam industri buku serta menyumbang ke arah memperkaya khazanah buku negara akan diberi pengiktirafan pada Majlis Anugerah Buku Kebangsaan Malaysia 2008.


Majlis akan berlangsung pada Selasa, 22 Disember 2009, bermula pukul 8:00 malam di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.


Pengarah Urus Setia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Encik Abdul Halim Ismail dalam kenyataannya berkata, sebelas anugerah akan disampaikan pada majlis berkenaan.


Antaranya: Anugerah Buku Kanak-kanak (Bergambar), Anugerah Buku Remaja (Fiksyen), Anugerah Buku Remaja (Bukan Fiksyen), Anugerah Buku Dewasa (Fiksyen) dan Anugerah Buku Dewasa (Bukan Fiksyen).


Turut diberikan, Anugerah Buku Terjemahan, Anugerah Buku Ilmiah, Ilustrator Terbaik, Pereka Bentuk Terbaik, Editor Terbaik, dan Anugerah Buku Terbaik 2008.


Penyampaian anugerah akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia, Dr Haji Mohd Puad Zarkashi.


Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin Haji Mohd Dom yang juga merupakan Pengerusi MBKM akan turut hadir pada Majlis Anugerah Buku Kebangsaan Malaysia pada 22 Disember 2009.

5 Dec 2009

Kamus Pelajar Bahasa Malaysia

Kamus yang amat saya sayang dan masih saya simpan sejak tahun 1989 adalah Kamus Pelajar Bahasa Malaysia terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).


Kamus berkenaan menjadi teman setia sewaktu saya menulis. Sehingga kini, saya sentiasa melakukan rujukan apabila perlu.


Malah, sering juga saya “membaca” kamus; seperti yang kerap saya nyatakan kepada peserta yang mengikuti bengkel penulisan anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan).


Walaupun sejak tahun 1991 muncul pelbagai “Kamus Bahasa Melayu” di pasaran, Kamus Pelajar Bahasa Malaysia yang saya beli pada tahun 1989 di Kedai Koperasi Sekolah Menengah Darul Ridwan, Taiping tetap menjadi teman akrab.


Maka, pada 3 Disember 2009, sewaktu saya bersama-sama Hemantha Kumar Nagappan pergi ke Kedai Koperasi di Menara DBP, Kuala Lumpur, saya sangat teruja melihat Kamus Pelajar Bahasa Malaysia edisi kedua (2009) dipamerkan di sana untuk jualan.


Dirgahayu, Bahasa Malaysia!

4 Dec 2009

Bertemu Semula Selepas Sekitar 25 Tahun!

Baru-baru ini, Surendran “menambah” saya sebagai rakan di Facebook. Saya “menerima” seraya mengucapkan terima kasih kepada Surendran dan mencadangkan kepadanya supaya kita dapat bertemu.

Surendran juga bersetuju, lalu memberikan nombor telefonnya yang segera saya simpan di telefon bimbit di bawah nama “Suren Optima”.


Pada tengah hari 4 Disember 2009, Surendran menghubungi saya melalui Facebook dan bertanya sama ada saya ada masa untuk bertemu.


Saya berasa sedikit pelik apabila Surendran menyatakan bahawa dia boleh membawa bersama Sakthivel sekiranya kita bertemu.

.

Saya berasa hairan kerana tidak ingat mana-mana pelajar bernama Sakthivel semasa mengajar di Kolej Optima dahulu.


Mungkinkah Surendran merujuk kepada Sakthivel, rakan di Sekolah Rendah Kebangsaan Convent Aulong lama dahulu? Jika begitu, Surendran yang menjadi “sahabat” saya di Facebook bukanlah bekas pelajar saya dari Kolej Optima!


Saya segera menghubungi Surendran melalui telefon. Ternyata dia adalah rakan lama di Sekolah Rendah Kebangsaan Convent Aulong. Kali terakhir saya menemui beliau sekitar 25 tahun lalu!


Surendran memberikan nombor telefon Sakthivel. Maka saya menghubunginya dan berbual-bual sebentar; mengimbau kisah lama.


Sekitar pukul 2:30 petang, saya bertemu Sakthivel di sebuah restoran berhampiran JPJ Shah Alam. Sempat berbual serta memberikan senaskhah buku Kathakali.


Kebetulan, salah sebuah cerpen turut menceritakan kisah-kisah yang berlaku di sekolah rendah; suatu masa dahulu.


Kemudian, saya ke Restoran Krish Jaya di Setia Alam untuk bertemu Surendran. Saya perkenalkannya kepada Hemantha Kumar Nagappan. Lalu, kami berbual-bual tentang kisah lama serta kisah perkembangan terbaru.


Siapa sangka, Facebook boleh membantu saya menemui semula rakan-rakan lama dari Sekolah Rendah Kebangsaan Convent Aulong selepas sekitar 25 tahun!

Mahatma Gandhi

Pada 24 November 2009, semasa berada di Sandakan, Sabah untuk mengendalikan Bengkel Penulisan, saya meletakkan foto saya “menyerupai” Mahatma Gandhi sebagai foto profil di Facebook. Berikut reaksi dan maklum balas yang saya terima:


Kalithasan Muniandy

hai.. kenapa saudara mengubah gambar mahatma jadi gambar sendiri.. beliau ikon dunia.. jangan cemarkan imej beliau suka-suka. harap saudara faham

24 November at 20:06


Lola Simone

biaqlah kat dia, Uthaya pun apa kurang ke-ikonnanya itu.

24 November at 20:20


Kalithasan Muniandy

hello lola simone.. apa saudara tahu pasal mahatma? jangan main hentam je.. ke'ikonan mahatma tak boleh gandingkan dengan sape2 lagi.. uthaya mungkin popular kat sini.. tp mahatma popular kat mana2 pelusuk dunia sekalipun.. jgan main2 dengan gambar mahatma.. beliau dianggap tuhan di india kerana telah berusaha bermati-matian untuk mendapatkan kemerdekaan. uthaya tak lebih daripada berkarya. tapi ini tidak bermakna saya tak hormat penulis prominen negara kita. mahatma tokoh kemerdekaan! tapi uthaya sekadar penulis. bukan pejuang! harap saya tak menghiris perasaan saudara.. kita boleh mengikut prinsip orang tapi jangan ingin menjadikan diri sebagai orang itu sendiri.
25 November at 02:51


Uthaya Sankar S B

* tersenyum*

26 November at 14:05


Kalithasan Muniandy

ya la itu.. saudara tau senyum je.. malas...

27 November at 10:12


Yaya Daie

senyuman itu suatu sedekah. Banyak pahala Uthaya..

27 November at 12:31


Uthaya Sankar S B

*tersenyum lagi dan tidak bercadang menukar foto profil buat sementara waktu*

28 November at 07:18


Kalithasan Muniandy

tu la... orang yang buta sejarah. teruskan..

28 November at 10:26


Uthaya Sankar S B

Terima kasih.

28 November at 12:40


Yaya Daie

Terkadang hidup nie betul pada padangan diri kita...tapi tidak pada pandangan orang lain. Agak-agaknya Tuan Mahatma pun rasanya gembira, kerana ada orang yang teringin menjadi seperti dia dan perjuangannya (tapi dengan cara yang berbeza)... walaupun dia tahu, hanya dia seorang saja yang bernama Mahatma Ghandi...bukan buta sejarah, tapi lebih kepada kreatif dalam memahami sejarah.

28 November at 16:06


Uthaya Sankar S B

*tersenyum*

1 December at 11:14


Yaya Daie

*tersenyum*

1 December at 18:58


Kalithasan Muniandy

*FAINTED*

1 December at 19:13


Yaya Daie

terkejut melihat Kalithasan Muniandy *FAINTED* lalu berusaha memercikkan air kewajah Kali sambil berkata..."sedarlah...sedarlah...jangan tak sedar"

1 December at 23:29


Kalithasan Muniandy

dah sedar pun.. kalau tengok yaya senyum je saya pengsan tau.. anyway terima kasih kerana menyedarkan saya dan tolong juga la sedarkan mereka2 yang buta sejarah tu serta pengikut2 nya... harap faham

1 December at 23:32


Uthaya Sankar S B

*tersenyum sambil membaca catatan di http://uthayasb.blogspot.com/2009/05/kaapiyam-karya-agung-tamil.html*

3 December at 10:31

.

Nota: Sila KLIK DI SINI untuk membaca reaksi Retna Devi Balan dari Chennai, Tamil Nadu, India dan sila KLIK DI SINI untuk membaca maklumat mengenai Mahatma Gandhi; diambil dari Wikipedia.