4 Dec 2009

Bertemu Semula Selepas Sekitar 25 Tahun!

Baru-baru ini, Surendran “menambah” saya sebagai rakan di Facebook. Saya “menerima” seraya mengucapkan terima kasih kepada Surendran dan mencadangkan kepadanya supaya kita dapat bertemu.

Surendran juga bersetuju, lalu memberikan nombor telefonnya yang segera saya simpan di telefon bimbit di bawah nama “Suren Optima”.


Pada tengah hari 4 Disember 2009, Surendran menghubungi saya melalui Facebook dan bertanya sama ada saya ada masa untuk bertemu.


Saya berasa sedikit pelik apabila Surendran menyatakan bahawa dia boleh membawa bersama Sakthivel sekiranya kita bertemu.

.

Saya berasa hairan kerana tidak ingat mana-mana pelajar bernama Sakthivel semasa mengajar di Kolej Optima dahulu.


Mungkinkah Surendran merujuk kepada Sakthivel, rakan di Sekolah Rendah Kebangsaan Convent Aulong lama dahulu? Jika begitu, Surendran yang menjadi “sahabat” saya di Facebook bukanlah bekas pelajar saya dari Kolej Optima!


Saya segera menghubungi Surendran melalui telefon. Ternyata dia adalah rakan lama di Sekolah Rendah Kebangsaan Convent Aulong. Kali terakhir saya menemui beliau sekitar 25 tahun lalu!


Surendran memberikan nombor telefon Sakthivel. Maka saya menghubunginya dan berbual-bual sebentar; mengimbau kisah lama.


Sekitar pukul 2:30 petang, saya bertemu Sakthivel di sebuah restoran berhampiran JPJ Shah Alam. Sempat berbual serta memberikan senaskhah buku Kathakali.


Kebetulan, salah sebuah cerpen turut menceritakan kisah-kisah yang berlaku di sekolah rendah; suatu masa dahulu.


Kemudian, saya ke Restoran Krish Jaya di Setia Alam untuk bertemu Surendran. Saya perkenalkannya kepada Hemantha Kumar Nagappan. Lalu, kami berbual-bual tentang kisah lama serta kisah perkembangan terbaru.


Siapa sangka, Facebook boleh membantu saya menemui semula rakan-rakan lama dari Sekolah Rendah Kebangsaan Convent Aulong selepas sekitar 25 tahun!