Thursday, 24 December 2009

Anugerah Buku Kebangsaan Malaysia 2008

Berikut skrip asal bagi liputan yang disiarkan menerusi segmen “Peristiwa” di TV1 pada 24 Disember 2009:

.

Majlis penyampaian “Anugerah Buku Kebangsaan Malaysia 2008” berlangsung di ibu negara pada 22 Disember 2009 sebagai memberi pengiktirafan kepada individu dan penerbit yang terlibat aktif dalam industri buku serta menyumbang ke arah memperkaya khazanah buku negara.

.

Sebanyak 12 anugerah disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia, Datuk Haji Kamaruzaman Haji Mohd Noor pada majlis ini.

.

Norashikin Hashim menerima “Anugerah Buku Kanak-kanak (Bergambar”) bagi buku berjudul Hidup Bekerjasama; sementara buku Sahabat Baru karya Azwani Abdul Ghani menerima “Anugerah Buku Kanak-kanak (Fiksyen)”.

.

Novel Manikam Kalbu karya Faisal Tehrani diiktiraf sebagai penerima “Anugerah Buku Remaja (Fiksyen)”; manakala Ensiklopedia Untuk Anak-anak Muslim menerima “Anugerah Buku Remaja (Bukan Fiksyen)” dan “Anugerah Ilustrator Terbaik”.

.

Setaman Pantun Kenangan karya Abdul Halim R diberi “Anugerah Buku Dewasa (Fiksyen)”; sementara Buku Panduan Diplomatik menerima “Anugerah Buku Terjemahan”.

.

“Anugerah Buku Ilmiah” pula disampaikan kepada Idris Aman yang menulis Bahasa dan Kepimpinan: Analisis Wacana Mahathir Mohamad.

.

Buku Rupa dan Gaya Busana Melayu karya Azah Aziz dan terbitan Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menang empat anugerah; iaitu “Anugerah Buku Dewasa (Bukan Fiksyen)”, “Pereka Bentuk Terbaik”, “Editor Terbaik” dan “Hadiah Tinta Perdana”.

.

(Sila KLIK DI SINI untuk senarai hadiah wang tunai dan sila KLIK DI SINI untuk maklumat awal mengenai acara.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!