7 Dec 2009

Majlis Anugerah Buku Kebangsaan Malaysia 2008

Individu yang terlibat aktif dalam industri buku serta menyumbang ke arah memperkaya khazanah buku negara akan diberi pengiktirafan pada Majlis Anugerah Buku Kebangsaan Malaysia 2008.


Majlis akan berlangsung pada Selasa, 22 Disember 2009, bermula pukul 8:00 malam di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.


Pengarah Urus Setia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Encik Abdul Halim Ismail dalam kenyataannya berkata, sebelas anugerah akan disampaikan pada majlis berkenaan.


Antaranya: Anugerah Buku Kanak-kanak (Bergambar), Anugerah Buku Remaja (Fiksyen), Anugerah Buku Remaja (Bukan Fiksyen), Anugerah Buku Dewasa (Fiksyen) dan Anugerah Buku Dewasa (Bukan Fiksyen).


Turut diberikan, Anugerah Buku Terjemahan, Anugerah Buku Ilmiah, Ilustrator Terbaik, Pereka Bentuk Terbaik, Editor Terbaik, dan Anugerah Buku Terbaik 2008.


Penyampaian anugerah akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia, Dr Haji Mohd Puad Zarkashi.


Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin Haji Mohd Dom yang juga merupakan Pengerusi MBKM akan turut hadir pada Majlis Anugerah Buku Kebangsaan Malaysia pada 22 Disember 2009.