15 Dec 2009

Seorang Lagi Gandhi?

Reaksi berikut diterima pada 15 Disember 2009 melalui e-mel daripada Retna Devi Balan yang kini berada di Chennai, Tamil Nadu, India. Beliau meminta saya memuatkan pandangan ini di blog untuk tatapan umum.
.

Pandangan ini adalah reaksi terhadap apa yang boleh dibaca DI SINI dan DI SINI.

.

Berikut pandangan Retna sepenuhnya:



Ruang siber, khususnya Facebook, gempar dengan isu merendahkan martabat tokoh dunia!

Hampir kesemua lapisan masyarakat dunia mengenali nama Mahatma Gandhi. Mungkin melalui sejarah atau melalui filem Gandhi arahan Richard Attenborough.

Sejarah dan fakta mengenai beliau boleh didapati melalui buku-buku rujukan dan juga melalui laman-laman sesawang. Perkara yang yang paling utama yang perlu diketahui mengenai Mahatma Gandhi bukanlah fakta bahawa beliau adalah seorang pejuang hak asasi manusia dan kemerdekaan. Sebenarnya keagungan beliau terletak pada ketegasan beliau berpegang kepada perjuangan ‘ahimsa’ iaitu perjuangan yang tidak menggunakan kekerasan atau keganasan.

Hari ini wujud satu konsep bangkangan yang dikenali sebagai ‘Gandhian’ yang bermaksud perjuangan untuk menegakkan kebenaran melalui cara yang tiada kaitannya dengan anasir-anasir perosak.

Cuba dalami konsep ‘ahimsa’ dan ‘Gandhian’ sebelum mendekati isu yang seterusnya.

Penulis terkemuka tanah air Uthaya Sankar SB telah memaparkan satu gambar foto yang menunjukkan rupa paras beliau seperti Mahatma Gandhi. Gambar foto itulah yang telah mencetuskan perbahasan yang pedas di ruang siber.

Ramai yang tidak tahu hujung pangkal telah turut serta dalam perbahasan itu. Masing-masing menuduh bahawa Uthaya telah menjatuhkan martabat seorang tokoh dunia apabila memaparkan foto sebegitu.

Perkara yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Pada zaman yang serba moden ini, ramai (terutamanya golongan remaja) terikut-ikut pelbagai gaya. Satu golongan gilakan gaya bintang filem, segolongan lagi memilih untuk mengikut gaya penyanyi popular dan segelintir lagi mengekori gaya hidup golongan yang kaya-raya. Berapa ramai yang meneladani tokoh-tokoh dunia?

Mengapa mereka yang begitu pantas untuk mengutuk tidak berfikir secara mendalam apakah maksud tersirat di sebalik gambar tersebut?

Uthaya pastinya tidak mencapai kedudukannya sebagai penulis mapan negara dengan minda ‘buta sejarah’. Jika ditanyakan kepada beliau, pasti beliau akan mengupas persoalan-persoalan yang jauh lebih mencabar fikiran berbanding dengan pendapat yang dikemukakan di ruang siber.

Lebih daripada itu, ramai yang mungkin tidak sedar bahawa Uthaya Sankar SB sebenarnya adalah seorang pejuang. Beliau memperjuangkan hak rakyat Malaysia untuk mengunakan istilah Bahasa Malaysia. Beliau berpegang tegas pada prinsip 'Bahasa Jiwa Bangsa'. Bahasa Malaysialah yang menjadi akar tunjang yang bakal membentuk impian rakyat untuk melahirkan ‘Satu Malaysia’.

Penulis bukan sekadar berkarya. Penulis adalah pendidik, pembimbing dan pembentuk peribadi satu masyarakat. Setiap orang yang mengakui dirinya sebagai penulis memikul satu tanggungjawab yang penting iaitu sebagai nadi yang mengerakkan naluri masyarakat.

Penulislah yang memupuk kesedaran dalam kalangan anggota masyarakat. Merekalah yang mengundang pembaca untuk berfikir secara mendalam apabila mendekati apa jua keadaan. Mereka jugalah yang menanam benih-benih sikap toleransi dan kemasyarakatan.

Uthaya telah memainkan segala peranan yang disebutkan. Kesemua ini dilakukannya melalui Bahasa Malaysia.

Perjuangan beliau untuk istilah Bahasa Malaysia telah mencapai sedekad. [BACA DI SINI] Pada peringkat awal, beberapa individu telah turut serta dalam perjuangan ini tetapi mereka menjauhkan diri demi menjaga kepentingan diri sendiri. Tindakan seperti ini tidak menumbangkan kesungguhan Uthaya. Beliau meneruskan perjuangan.

Perjuangan yang mempunyai niat yang benar pasti akan mendapat sokongan. Begitu juga dengan perjuangan yang dimulakan oleh Uthaya. Kini ia mendapat sambutan khalayak remaja dan juga rakan-rakan penulis pelbagai kaum. Rata-rata semua pihak yang mencitakan Bangsa Malaysia mahu mengekalkan istilah Bahasa Malaysia.

Sepanjang perjuangan ini, Uthaya mengamalkan ‘ahimsa’. Beliau tidak menyakiti mana-mana pihak. Walau apa jua cabaran yang menimpa, Uthaya telah berdiri tegas.

Ketegasan yang ditunjukkan oleh Uthaya mirip ketegasan yang ditunjukkan oleh Mahatma Gandhi!

Ada peribahasa Inggeris mengatakan, “Imitation is the highest form of compliment”.

Sekarang, nilailah sendiri apakah maksud di sebalik gambar tersebut.