Sunday, 21 April 2013

Bukan Islam? Belum Islam?

Perkara 11 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia memberi jaminan kebebasan beragama bagi penduduk “Bukan Islam” (Non-Muslim) atau “Tidak Islam” (Not A Muslim). Setiap individu “Bukan/Tidak Islam” itu berhak menganuti dan mengamalkan agamanya tanpa sekatan.
 
Bagi penduduk beragama Islam pula, Perlembagaan memberi kuasa kepada Undang-undang Negeri dan Undang-undang Persekutuan bagi mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganuti agama Islam.
 
Hal-hal ini adalah amat jelas walaupun dari semasa ke semasa, kita mendengar berita khabarnya dan kononnya ada pihak yang cuba menyebarkan agama Kristian kepada penduduk Islam. Saya bukan menuduh sesiapa tetapi sekadar menyebut apa yang sering dilaporkan di media arus perdana.
 
Pada masa sama, apabila saya menulis cerpen dan novel yang mengangkat citra budaya kaum India di Malaysia, maka puak etnosentrik, ultra kiasu, fanatik dan rasis segera membuat kempen besar-besaran menuduh saya cuba menyebarkan agama Hindu kepada “khalayak sastera Melayu”. Contoh terkini adalah berikutan penerbitan novel Panchayat: Edisi Khas (2012) dan kumpulan cerpen Kisah dari Siru Kambam (2013).
 
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) berusaha menganjurkan “Konvoi Rumah Ibadat” dalam usaha memupuk perpaduan, persefahaman, saling mengenali, saling menghormati serta saling menerima perbezaan yang wujud dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, agama, etnik dan kepercayaan di Malaysia.
 
Saya juga sering dihubungi secara peribadi oleh rakan-rakan dan kenalan untuk berkongsi isu yang mungkin dianggap agak sensitif untuk mereka kemukakan secara terbuka. Sebagai seorang penulis bebas, perunding media dan individu yang tidak menyokong mana-mana parti politik, saya mungkin lebih “bebas” untuk bersuara mewakili golongan minoriti yang mencari ruang untuk meluahkan isi hati.
 
Salah satu perkara yang menjadi semacam barah dalam hati anggota masyarakat sejak beberapa tahun lalu adalah penggunaan frasa “Belum Islam” (Not Yet Muslim) apabila merujuk kepada golongan “Bukan Islam” (Non-Muslim).
 
Akhirnya, apa yang terbuku di hati terpaksa juga diluahkan walaupun rata-rata masyarakat “Tidak/Bukan Islam” di Malaysia sentiasa berusaha habis-habisan untuk tidak sedikit pun melukakan perasaan orang Islam. Golongan Tidak/Bukan Islam lebih rela menanggung derita daripada mengguris hati orang Islam dengan meluahkan pandangan walaupun demi hak yang sah di sisi undang-undang.
 
Penggunaan label dan frasa “Belum Islam” mungkin seronok digunakan oleh golongan tertentu kerana ia sedikit pun tidak melibatkan diri sendiri. Samalah juga seperti dalam isu penggunaan “kasta” dan “p****” dalam novel Interlok: Edisi Murid (2010) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak lama dahulu.
 
Umpama orang yang tidak bersekolah
 
Rata-rata penyokong dan juak-juak politik serta beberapa persatuan penulis dan kaki ampu tampil mengatakan bahawa istilah/gelaran yang menghina dan amat sensitif itu tidak menjadi masalah. Malah, Menteri Pelajaran sendiri semasa pertemuan saya bersama beliau pada 23 Mac 2011 – BACA DI SINI – mengatakan bahawa tidak salah jika manusia (watak kaum India dalam novel Interlok: Edisi Murid) dibandingkan dengan lembu dan kambing.
 
Terbaru, usaha licik menerusi penggunaan frasa “Belum Islam” yang dikatakan bertentangan dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak dan kebebasan beragama bagi rakyat Bukan Islam dan Tidak Islam.
 
Rakan-rakan saya daripada kalangan Melayu-Islam juga berpendapat demikian. Shamsinor Zaman dari Kajang, Selangor menganggap mana-mana pihak yang menggunakan frasa “Belum Islam” bagi menggantikan “Bukan Islam” sebagai “orang yang tidak bersekolah”.
 
“Ini semua fenomena political correctness yang semakin mengarut. Saya memang sangat bersetuju yang frasa ini bertentangan dengan Perkara 10 dan Perkara 11 dalam Perlembagaan Malaysia. Ini seolah-olah suatu percubaan untuk melakukan propaganda bawah sedar! Apa pula selepas ini? Apakah ‘pendatang asing’ akan ditukar kepada ‘belum warganegara’ pula?” Soal penyunting video berumur 30-an itu yang lahir di Ipoh, Perak.
 
Pertanyaan dengan nada yang hampir sama datang daripada Ooi Kok Hin, pemuda berusia 20-an yang kini melanjutkan pengajian di Columbus, Ohio, Amerika Syarikat.
 
“Secara logik, kita tidak boleh menjadi ‘Bukan Sesuatu’ atau ‘Belum Sesuatu’. Saya adalah X tetapi orang lain tidak berhak melabel saya sebagai ‘Bukan Y’ atau ‘Belum Y’.
 
“Namun, bagi memudahkan proses pengurusan seharian, kita sudah reka label seperti ‘Bukan Melayu’ dan ‘Bukan Islam’. Sekarang sudah ada pula satu lagi langkah ke belakang menerusi label ‘Belum Islam’! Mungkin akan ada pula ‘Bukan/Belum Hantu’, ‘Bukan/Belum Gay’ atau ‘Bukan/Belum Perogol’ selepas ini,” kata pemuda kelahiran Pulau Pinang menerusi mesej Facebook kepada saya.
 
Penulis beragama Roman Katholik dari Miri, Sarawak, Poul Nanggang pula berpesan kepada golongan dominan (majoriti) agar “janganlah memperkosa kumpulan yang kecil atau minoriti demi hajat, hasrat, niat dan keinginan yang mahu diperjuangkan atau dicapai”.
 
“Cukuplah dengan apa yang kita ada setelah lebih 50 tahun merdeka. Kalau banyak tekanan kepada kelompok kecil (minoriti) ini, maka tidak mustahil bahawa keamanan, kesejahteraan, kemakmuran dan ketenangan dalam membina negara ini akan musnah sekelip mata,” kata penjawat awam kelahiran Limbang itu.
 
Poul Nanggang bagaimanapun mengakui bahawa memang golongan minoriti (Bukan Islam) tidak mampu menghalang apa-apa yang dilakukan oleh golongan tertentu yang leka menggunakan frasa “Belum Islam” kerana golongan berkenaan “mempunyai kuasa pelbagai aspek”.
 
Paksaan dan hasutan meninggalkan agama
 
“Sebelum ini kita saling bertolak-ansur, kenapakah sekarang wujud fenomena (‘Belum Islam’) yang menghancurkan apa yang kita sedia ada? Nasihat saya adalah tebalkan, kuatkan, jihadkan dan kukuhkan kepercayaan ibadah masing-masing agama tanpa memusuhi sesama manusia. Kalau api sudah marak, susah untuk memadamkannya pada musim kemarau,” pesan penulis berusia 40-an itu sewaktu mengemukakan pandangan bagi makalah ini.
 
Bekas pelajar saya, Teoh Zhi Guan, yang kini menjalani latihan bidang doktor pergigian di Madrid, Sepanyol turut terkesan dengan frasa “Belum Islam” yang menjadi fenomena dalam kalangan masyarakat di Malaysia.
 
“Saya melihat penggunaan frasa itu sebagai satu bentuk propaganda terancang oleh pihak tertentu. Ternyata sekolah menjadi antara tempat pilihan untuk menyebarkannya secara halus dan berselindung kerana golongan murid dan pelajar lebih mudah terpengaruh dan dipengaruhi,” kata pemuda berumur 25 tahun itu yang menganut agama Buddha.
 
Sambil merujuk kepada Perkara 11 yang menjamin serta melindungi hak beragama, pemuda kelahiran Taiping, Perak itu melihat propaganda “Belum Islam” sebagai usaha pihak tertentu memaksa dan “menghasut” penduduk pelbagai agama di Malaysia meninggalkan agama asal.
 
Turut berkongsi pandangan yang hampir sama ialah Ksatriya, seorang penyair, pemuzik dan penyanyi lagu “Salam” yang merupakan anak jati Pulau Pinang. Pemuda berumur 20-an yang mementingkan unsur kemanusiaan dan pemikiran sekular ini menyifatkan penggunaan frasa “Belum Islam” sebagai suatu tindakan yang “keterlaluan, menghina serta tidak menghormati kepercayaan dan agama orang lain”.
 
Apabila saya meminta pandangan Amir Muhammad mengenai fenomena penggunaan frasa “Belum Islam”, penulis, penerbit dan pembikin filem penuh kontroversi itu memberikan reaksi yang ringkas tetapi penuh makna. Katanya, “Frasa sebegini mungkin digunakan oleh orang yang ‘Belum Waras’.”
 
Wong Chin-Huat dari Penang Institute yang sedang menghadiri suatu persidangan di Istanbul, Turki semasa makalah ini diusahakan turut mengirim mesej menerusi Facebook untuk berkongsi pandangan. Baginya, toleransi adalah proses dua hala dan bukan sehala.
 
“Biarlah kita cuba tukar sedikit situasi sekadar contoh untuk membantu pemahaman. Apakah agaknya reaksi rakan-rakan beragama Islam kalau mereka disebut sebagai ‘Belum Hindu’, ‘Belum Kristian’, ‘Belum Sikh’ dan sebagainya? Kalau mereka tidak rasa tersinggung walau sedikit pun, maka saya juga boleh dianggap tidak tersinggung apabila dilabel sebagai ‘Belum Islam’,” katanya.
 
Memandangkan fenomena penggunaan frasa “Belum Islam” mungkin baru kini disedari oleh umum, kita nantikan reaksi, pandangan dan komen daripada pelbagai pihak, termasuk pemerintah, politikus, aktivis dan jabatan agama.
 
[Makalah ini ditulis pada 21 Mac 2013 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 25 Mac 2013. Baca juga makalah bertajuk “Anda Belum Islam?” dan “Belum Mandi? Belum Islam?” berhubung topik sama. Sila KLIK DI SINI untuk beberapa lagi makalah berkaitan Melayu dan Islam. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!