“Assalamualaikum kepada hadirin yang
beragama Islam dan selamat pagi kepada hadirin yang belum beragama Islam.”
Tentu sahaja saya amat terperanjat
mendengar ucapan seperti itu pada suatu majlis yang saya hadiri beberapa tahun
lalu.
Sebagai penganut agama Hindu yang sentiasa bertoleransi
terhadap agama-agama lain, saya memilih untuk tidak membesar-besarkan isu itu
walaupun ia menyentuh sensitiviti masyarakat pelbagai kaum dan agama di
negara bertuah ini.
Saya cuba mengandaikan bahawa apa yang
berlaku – dan apa yang diucapkan – adalah kes terpencil; sebagaimana kononnya kes
Hajah Siti Inshah, Pengetua
SMK Tunku Abdul Rahman Putera, Kulaijaya, Johor yang mencetuskan fenomena “pendatang”
semasa
perhimpunan sempena Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan pada 12 Ogos 2010 – BACA DI SINI.
Atau
pelbagai kejadian di mana golongan minoriti diperlekeh, dipersenda, dihina,
dianiaya, dizalimi dan ditindas tetapi kemudian ditutup segera oleh “pihak yang
ada kuasa” dengan alasan bahawa kesemuanya adalah kes-kes terpencil.
Dalam
isu penggunaan frasa “Belum Islam” (Not
Yet Muslim) pula, ternyata ia bukan kes terpencil yang hanya berlaku
sekali-dua. Sejak beberapa tahun lalu, saya sering menerima rungutan daripada
pelbagai pihak yang tidak selesa dengan apa yang dilakukan secara terancang dan
penuh sedar oleh pihak tertentu.
Ya,
rungutan sahaja yang disampaikan kepada saya kerana hanya itu yang selalunya
mampu dilakukan oleh golongan minoriti apabila berdepan dengan golongan
majoriti yang berkuasa dan dilindungi.
Malah,
kebanyakan guru, pelajar, murid, siswa-siswi, ibu bapa, orang awam dan
kakitangan awam yang merungut itu tidak mahu nama mereka didedahkan kerana
bimbang memikirkan apa-apa sahaja yang mungkin boleh berlaku apabila identiti
mereka diketahui pihak tertentu. Dan saya amat memahami kebimbangan mereka yang
amat berasas itu.
Seperti ditekankan oleh Mahatma Gandhi, tidak akan tercapai
kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani mengetengahkan kebenaran.
“Jadilah perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini,” katanya lagi.
Maka, isu mengenai frasa “Belum Islam” yang
digunakan dalam acara rasmi dan di tempat-tempat awam wajar diketengahkan
supaya boleh dibahaskan – walaupun ada pemimpin negara yang berpendirian tegas
bahawa debat bukan budaya kita. Apa-apa pun, saya percaya bahawa golongan
minoriti yang bermaruah memerlukan ruang untuk bersuara. Ruang untuk
berdialog demi mencari penjernihan minda.
Ramai yang memilih untuk tidak bersuara
Di Malaysia, kita sudah biasa dengan
pembahagian “Melayu” dan “Bukan Melayu” serta
“Islam” dan “Bukan Islam”. Kini, sama ada disedari atau tidak – diakui atau
tidak – sudah ada pula budaya menggunakan frasa “Belum Islam” apabila merujuk
kepada golongan “Bukan Islam”.
Secara mudah, “Bukan Islam” bermaksud
“Non-Muslim” iaitu sesiapa sahaja yang menganut mana-mana agama atau
kepercayaan selain agama Islam. Manakala “Belum Islam” bermaksud
“Not-Yet-Muslim” dengan erti kata bahawa golongan yang dirujuk itu sepatutnya
atau seharusnya atau sewajarnya menjadi “Islam” tetapi “belum” berbuat
demikian.
Saya percaya bahawa murid-murid sekolah
rendah pun mampu membezakan makna tersurat dan tersirat antara frasa “Bukan
Islam” dan “Belum Islam”. Tidak perlulah dirujuk pada pakar bahasa, linguistik
dan agama.
Ada pandangan mengatakan bahawa penggunaan
frasa “Belum Islam” bagi menggantikan “Bukan Islam” dalam pelbagai majlis rasmi
– termasuk di sekolah – adalah bertentangan dengan Perkara 11 Perlembagaan
Persekutuan yang menjamin hak dan kebebasan beragama bagi rakyat Bukan Islam
dan Tidak Islam.
Saya berusaha mengumpulkan reaksi dan
ulasan pelbagai pihak berhubung topik ini bagi memulakan suatu dialog yang
sihat dan berkesan. Selain daripada menghubungi individu pelbagai kaum dan
agama, saya juga menghubungi wakil kementerian dan jabatan tertentu serta wakil
pertubuhan-pertubuhan agama tertentu.
Agak mengecewakan (tetapi tidak sedikit pun
menghairankan) bahawa ramai yang memilih untuk tidak memberikan sebarang komen;
mungkin kerana menganggap isu ini terlalu sensitif. Malangnya mereka tidak
sedar bahawa penggunaan frasa “Belum Islam” itulah yang sebenarnya menyentuh
sensitiviti masyarakat dan wajar dibahaskan oleh masyarakat terbabit.
Rosihan Amri Md Zakaria dari Bayan Lepas,
Pulau Pinang melahirkan rasa terkejut kerana beliau selama ini tidak
tahu-menahu mengenai budaya penggunaan frasa “Belum Islam” oleh golongan
tertentu pada majlis dan acara umum.
“Jika benar seperti yang dinyatakan, saya
memang sangat tidak setuju kerana bukan sahaja Perlembagaan Malaysia menjamin
kebebasan beragama untuk orang Bukan Islam, malah Islam juga tidak memaksa
penganut agama lain mengikut ajaran dan tuntutan yang dikenakan terhadap umat
Islam. Sebagai seorang Islam, saya merasakan perbuatan ini (penggunaan frasa
“Belum Islam”) sangat melampau dan cuba membuli penganut agama-agama lain,”
kata individu berumur 34 tahun itu yang menggunakan nama “Rosihan Pawnstar Amri” di Facebook.
Guru yang berasal dari Sungai Petani, Kedah
itu juga berpendapat bahawa “tuntutan dan amalan dalam beragama adalah hal
peribadi dan tidak perlu ditunjuk-tunjuk” dan “setiap individu berhak mendapat
kebebasan masing-masing”.
Setiap manusia dilahirkan Islam?
Atriza
Umar dari Seremban, Negeri Sembilan pula
berpendapat sebaliknya. Pegawai eksekutif berumur 20-an itu mengemukakan
pandangan dan hujah berpandukan Hadis dan Quran.
“Di dalam as-Shahihain daripada Saidina Ali,
daripada Nabi Muhammad Salallahu Alaihi
Wasallam, baginda bersabda: ‘Tidak ada satu jiwa pun melainkan Allah telah menetapkan tempatnya di
Syurga atau di Neraka dan telah dicatatkan baginya kesengsaraan atau
kebahagiaannya’.
“Justeru, penggunaan istilah ‘Not Yet
Muslim’ (Belum Islam) boleh digunapakai jika dilihat kepada huraian Hadis yang
diketengahkan itu. Kerana setiap manusia yang dilahirkan adalah sebagai seorang
Islam, dan ibu bapanyalah yang mencorakkannya,” kata Atriza yang menjadi antara
tulang belakang bagi menjayakan “Konvoi Rumah Ibadat Seremban” pada 17
Februari 2013.
Beliau mengirim suatu esei yang panjang
untuk perhatian saya berhubung topik yang dibicarakan. Dalam hujahnya, Atriza
turut mengemukakan terjemahan Surah Al-A’raf (Ayat 172) seperti berikut:
“Dan
(ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam
(turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi
terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya): bukankah
Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab:
Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu
tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak
diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.”
Seorang pemuda berumur 32 tahun, Alagesan Palaniappan yang menguruskan
perniagaan sendiri meluahkan rasa kurang senang dengan penggunaan frasa “Belum
Islam”.
“Sebagai rakyat Malaysia yang beragama
Hindu, saya tidak bersetuju dengan penggunaan istilah ‘Not Yet Muslim’ atau ‘Belum
Islam’ kerana masing-masing mempunyai agama sendiri dan kita mesti tahu
menghormati agama atau kepercayaan orang lain,” kata anak jati Kuala Lumpur
itu.
Alagesan turut memetik ayat keenam dalam Surah Al-Kafirun iaitu surah ke-109
dalam Quran di mana terjemahan ayat itu adalah “untukmu agamamu, dan untukku
agamaku”.
Saya teringat bagaimana Menteri Besar
Kelantan, Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat (Tok Guru) turut
memetik ayat berkenaan semasa kami bertemu dan berbual-bual tentang pelbagai
topik (termasuk topik agama) di kediaman rasmi beliau pada 13 Mac 2012 – BACA DI SINI.
[Makalah
ini ditulis pada 21 Mac 2013 dan disiarkan di Projek Dialog pada 22 Mac 2013. Baca
juga makalah bertajuk “Bukan Islam? Belum Islam?” dan “Belum Mandi? Belum Islam?” berhubung topik sama. Sila KLIK DI SINI untuk beberapa lagi
makalah berkaitan Melayu dan Islam. © Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]