[Analisis ringkas mengenai buku komik haram yang diedarkan untuk
menjahanamkan BN menjelang PRU-13.]
Frasa “janji dicapati” lebih banyak saya
gunakan dalam menulis hal-hal yang sebenar, berbanding frasa “janji ditepati”
yang lebih banyak digunakan golongan politikus dalam ucapan serta kenyataan
berbaur retorik dan penipuan.
Pada 25-31 Januari 2013, sewaktu saya berada di Taiwan atas
tajaan One Nusantara Sdn Bhd untuk menimba ilmu dan pengalaman bagi tujuan
penulisan, “janji dicapati” tetap mengekori saya.
Sesungguhnya, apa-apa perkembangan yang
berlaku di tanah air tetap diikuti dengan penuh minat menerusi akhbar-akhbar
dalam talian dan laman-laman rangkaian sosial. Rakan-rakan di Malaysia juga
tekun mengirim maklumat perkembangan terkini yang wajar diketahui mengenai
apa-apa yang berlaku di negara tercinta.
Pada hari sambutan Thaipusam (27 Januari 2013), saya
mendapat mesej daripada ramai rakan-rakan di sekitar Lembah Klang mengenai
sebuah “komik haram” Bahasa Tamil yang
diedarkan kepada orang ramai di Batu Caves, Selangor.
Langsung saya teringat akan buku berjudul Najib: Negara di Minda, Rakyat di Hati
yang dilaporkan diedar kepada orang ramai pada tahun lalu di Batu Caves. Buku
itu khabarnya diedarkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernama
Gagasan Pelajar India 1Malaysia (1MISM) yang dilancarkan dua tahun lalu dan
secara terang-terangan bernaung di bawah bayangan MIC, sebuah parti politik yang mendabik
dada sambil mengaku ia satu-satunya parti politik yang berhak/layak/mampu
mewakili kaum India dalam komponen Barisan Nasional (juga “Bar1san Nas1onal” atau BN).
Baku komik terbaru yang diedarkan pada
tahun ini pula bertajuk Janji Dicapati
serta merupakan buku Bahasa Tamil yang turut menggunakan beberapa frasa Bahasa Malaysia dan Inggeris. Saya amat
tertarik untuk memiliki, membaca, meneliti dan menganalisis kandungan buku itu.
Bagaimanapun, saya hanya berpeluang
memiliki “komik haram” itu semalam (3 Februari 2013). Saya namakannya “haram”
kerana buku setebal 48 halaman dan dicetak penuh warna itu tidak mematuhi Akta
Penerbitan. Misalnya, tiada maklumat penerbit, pencetak, penulis/pelukis, ISBN
dan sebagainya.
Ringkasnya, buku berkenaan adalah buku
haram yang sepatutnya sudah dirampas pihak berkuasa. Namun, khabarnya realiti
di Malaysia adalah bahawa apa-apa bahan yang mengutuk “pembangkang” boleh
diedarkan sesuka hati dan pihak berkuasa khabarnya (seperti biasa) akan menutup
sebelah mata.
Kaum India Mangsa Kebuluran?
Melihat lukisan pada kulit depan Janji Dicapati, kita mungkin membayangkan
bahawa buku ini berkaitan mangsa kebuluran di Somalia. Kita pasti sahaja
langsung akan teringat akan Himpunan Semenyih di Tesco Semenyih
pada 12 Januari 2013 di mana lebih daripada 15,000 individu kaum India
dilaporkan hadir (baca: berebut-rebut) mendapatkan sedekah berupa kampit beras
yang dihulurkan dari sebuah lori oleh wakil Parti Barisan Kemajuan India
Malaysia (IPF) dan penyokong tegar BN.
Akan tetapi, “komik haram” ini adalah
mengenai Malaysia. Gambaran seolah-olah penduduk kaum India di Malaysia akan menjadi
seperti mangsa kebuluran di Somalia (atau di Himpunan Semenyih) sekiranya
Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pemerintahan negara berikutan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Saya tidak akan membuat tuduhan bahawa buku
Janji Dicapati diterbitkan dan
diedarkan oleh juak-juak BN. Tidak sama sekali. Sebaliknya, sebagai perunding media, saya mendapati bahawa
buku haram ini diterbitkan dan diedarkan oleh suatu puak tertentu yang sedang
berusaha bersungguh-sungguh menjahanamkan serta menguburkan BN buat
selama-lamanya. Kerja-kerja itu mungkin dilakukan dari dalam atau dari luar BN.
Semasa sambutan Thaipusam, buku ini
dilaporkan diedarkan kepada orang ramai oleh sekumpulan belia kaum India. Buku
berselera rendah dan dicetak menggunakan wang yang banyak itu juga diletakkan
pada kereta-kereta di tempat meletak kenderaan di kawasan sekitar. Mungkin juga
khidmat toyol, hantu, jembalang, syaitan dan iblis digunakan bagi menjayakan
kerja-kerja terkutuk itu.
Penduduk kaum Melayu dan Cina mempunyai alasan
untuk marah dengan kehadiran buku ini kerana ia menggambarkan seolah-oleh
negara Malaysia hanya mempunyai penduduk kaum India. Mungkin penduduk kaum
selain kaum India sudah dilabel sebagai pendatang dan dihalau keluar dari
Malaysia.
Tidak mustahil bahawa syaitan dan iblis
yang menerbitkan dan mengedarkan buku haram ini sedar bahawa BN semakin
terdesak untuk mendapatkan undi kaum India pada PRU-13. Undi kaum India menjadi
maha penting sehingga kaum-kaum lain dilupuskan terus daripada “dunia realiti”
buku berkenaan.
Bukanlah suatu rahsia bahawa khabarnya
pemerintah meminggirkan majoriti kaum India – kecuali puak-puak dan juak-juak
politik yang pandai mengampu, tentunya – sejak 55 tahun lalu dan kini sedang
cuba menagih simpati secara paling angkuh. Kononnya, kaum India perlu mengenang
budi dan mengundi BN. Itulah mesej yang cuba disampaikan menerusi buku komik “haram jadah” berkenaan – meminjam frasa
kudus yang dipopularkan dan dimasyarakatkan oleh Perdana Menteri tercinta,
Datuk Seri Najib Razak pada 8 Mei 2012.
Syaitan dan iblis yang mengedarkan Janji Dicapati kepada masyarakat India
ternyata melakukan kesilapan besar. Mereka sepatutnya tahu bahawa penyokong
tegar BN yang pergi ke Batu Caves tidak memerlukan buku murahan seperti ini untuk
menguatkan sokongan tidak berbelah-bagi mereka terhadap BN “dulu, kini dan
selama-lamanya”.
Sebaliknya, mesej-mesej tersirat dan
tersembunyi dalam buku ini akan membuatkan mereka mempersoalkan kredibiliti, kelemahan,
kepincangan dan kekurangan yang sebenarnya ada dalam BN; khususnya dalam
“perkahwinan” antara UMNO dan MIC. Saya tidak perlu menghuraikannya di sini
kerana saya sedang “membantu mempromosi” supaya orang ramai membaca sendiri
buku itu.
Bagi sebahagian lagi kaum India (baca: majoriti
pengundi kaum India) yang sudah cerdik, bijak, sedar diri, bermaruah, ada harga
diri, ada jati diri, ada pendirian serta tidak mahu terus diperkudakan oleh
sesiapa, mereka tidak memerlukan buku murahan seperti ini untuk “memesongkan
akidah” mereka untuk mengundi politikus dan baruah politik yang tiada kredibiliti.
Sebaliknya, kehadiran buku Janji Dicapati hanya menambah perasaan
menyampah, benci, meluat dan termuntah-muntah Rakyat (huruf besar disengajakan)
terhadap penerbit, pengedar dan dalang di sebalik pengedaran buku haram jadah
berkenaan.
Bagi pembaca yang “tidak cukup bertuah”
untuk memiliki buku Janji Dicapati,
biar saya terangkan dengan ringkas antara kandungan buku komik haram ini.
Syaitan yang Dikenali
Pada halaman pertama, dinyatakan bahawa
apabila tiba pukul 6:00 petang, kaum India (beragama Hindu) akan teringat akan
seorang individu bernama “Anwar” yang berkata, “Saya boleh menghentikan bunyi
loceng di semua kuil di Malaysia”.
Maklumat yang salah mengenai Hudud juga diberikan dalam buku ini.
Saya menyeru – bukan hanya Najib boleh menyeru! – supaya semua agensi kerajaan
berkaitan agama Islam (termasuk Jakim) menyiasat buku haram ini yang
menyebarkan maklumat salah mengenai pentadbiran berasaskan Quran dan Sunah!
Tetapi jangan pula Perkasa mendesak orang Melayu-Islam membakar buku ini. Gunakanlah otak
walau sekali sekala.
Satu lagi komik sebenarnya (secara
simbolik) mempersenda laungan “nambikei” yang sudah menjadi laungan
keramat Najib – dan wajib dimasukkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam Kamus Dewan edisi akan datang. Secara
simbolik dan penuh bijak, konsep “nambikei” Najib diperli sebagai “tembikai”.
Didedahkan juga (secara simbolik) bagaimana
BN membawa masuk pekerja/pendatang Indonesia, India, Bangladesh, Nepal dan
Myanmar yang hidup “mewah” di sini – mungkin merujuk pada betapa mudah pendatang
asing tanpa izin (PATI) mendapatkan Kad Pengenalan dan menjadi warganegara
Malaysia di bawah pemerintahan BN sejak 1957!
Golongan wanita India diselar (secara
simbolik) kerana memakai pakaian (sari) yang seksi dan menjolok mata.
Khabarnya, di bawah pemerintahan PR, mereka perlu berpakaian sopan. Kaum India
(dan Melayu) yang tergila-gila akan filem-filem lakonan Rajnikanth pula berdepan masalah
pawagam ditutup jika PAS memerintah. Kononnya.
Buku haram ini juga menggalakkan hubungan
seks songsang (homoseksual) dengan menampilkan lukisan
menyerupai Saiful Bukhari Azlan. Akhbar Utusan
Malaysia (17 Februari 2011) melaporkan bahawa “analisis DNA di sekitar perianal (bahagian luar dubur) pengadu
menunjukkan campuran DNA yang disumbangkan oleh Mohd Saiful Bukhari, Lelaki Y
dan seorang lagi lelaki”. Mungkinkah buku ini bertujuan promosi/iklan percuma
bagi individu tertentu yang mahu “menjual dubur” bagi tujuan seks luar tabii
suka sama suka?
Buku ini juga dilihat bagaikan memperli
(secara simbolik) Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil
menerusi lukisan lembu-lembu betina yang comel. Orang ramai yang tidak tahu
Bahasa Tamil pun boleh memahami “mesej tersirat” ini walaupun tanpa lukisan
kondominium. Sesungguhnya Janji Dicapati
adalah buku komik lawak yang menghiburkan sambil memperli BN secara simbolik.
Dalam keadaan terdesak, “syaitan yang
dikenali” menggunakan salah satu kata-kata pujangga Thiruvalluvar dalam teks Thirukural untuk menghasut kaum India
(secara tersirat) supaya mengenang segala kebaikan yang dilakukan PR sejak
PRU-13 (2008). Ya!
Maka, buku Janji Dicapati (boleh) dikatakan adalah usaha “orang dalam” parti
politik tertentu untuk menjahanamkan BN dan memastikan penyokong tegar BN turut
mengenang budi PR, selaras dengan frasa “kini masa balas budi”. Kadavalukuthan teriyum. Wallahu A’lam.
[Uthaya
Sankar SB suka makan capati dengan ikan sardin. Makalah ini ditulis pada 3
Februari 2013 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 4 Februari
2013. © Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]