10 Mar 2013

Janji Dicapati

[Analisis ringkas mengenai buku komik haram yang diedarkan untuk menjahanamkan BN menjelang PRU-13.]
 
Frasa “janji dicapati” lebih banyak saya gunakan dalam menulis hal-hal yang sebenar, berbanding frasa “janji ditepati” yang lebih banyak digunakan golongan politikus dalam ucapan serta kenyataan berbaur retorik dan penipuan.
 
Pada 25-31 Januari 2013, sewaktu saya berada di Taiwan atas tajaan One Nusantara Sdn Bhd untuk menimba ilmu dan pengalaman bagi tujuan penulisan, “janji dicapati” tetap mengekori saya.
 
Sesungguhnya, apa-apa perkembangan yang berlaku di tanah air tetap diikuti dengan penuh minat menerusi akhbar-akhbar dalam talian dan laman-laman rangkaian sosial. Rakan-rakan di Malaysia juga tekun mengirim maklumat perkembangan terkini yang wajar diketahui mengenai apa-apa yang berlaku di negara tercinta.
 
Pada hari sambutan Thaipusam (27 Januari 2013), saya mendapat mesej daripada ramai rakan-rakan di sekitar Lembah Klang mengenai sebuah “komik haram” Bahasa Tamil yang diedarkan kepada orang ramai di Batu Caves, Selangor.
 
Langsung saya teringat akan buku berjudul Najib: Negara di Minda, Rakyat di Hati yang dilaporkan diedar kepada orang ramai pada tahun lalu di Batu Caves. Buku itu khabarnya diedarkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernama Gagasan Pelajar India 1Malaysia (1MISM) yang dilancarkan dua tahun lalu dan secara terang-terangan bernaung di bawah bayangan MIC, sebuah parti politik yang mendabik dada sambil mengaku ia satu-satunya parti politik yang berhak/layak/mampu mewakili kaum India dalam komponen Barisan Nasional (juga “Bar1san Nas1onal” atau BN).
 
Baku komik terbaru yang diedarkan pada tahun ini pula bertajuk Janji Dicapati serta merupakan buku Bahasa Tamil yang turut menggunakan beberapa frasa Bahasa Malaysia dan Inggeris. Saya amat tertarik untuk memiliki, membaca, meneliti dan menganalisis kandungan buku itu.
 
Bagaimanapun, saya hanya berpeluang memiliki “komik haram” itu semalam (3 Februari 2013). Saya namakannya “haram” kerana buku setebal 48 halaman dan dicetak penuh warna itu tidak mematuhi Akta Penerbitan. Misalnya, tiada maklumat penerbit, pencetak, penulis/pelukis, ISBN dan sebagainya.
 
Ringkasnya, buku berkenaan adalah buku haram yang sepatutnya sudah dirampas pihak berkuasa. Namun, khabarnya realiti di Malaysia adalah bahawa apa-apa bahan yang mengutuk “pembangkang” boleh diedarkan sesuka hati dan pihak berkuasa khabarnya (seperti biasa) akan menutup sebelah mata.
 
Kaum India Mangsa Kebuluran?
 
Melihat lukisan pada kulit depan Janji Dicapati, kita mungkin membayangkan bahawa buku ini berkaitan mangsa kebuluran di Somalia. Kita pasti sahaja langsung akan teringat akan Himpunan Semenyih di Tesco Semenyih pada 12 Januari 2013 di mana lebih daripada 15,000 individu kaum India dilaporkan hadir (baca: berebut-rebut) mendapatkan sedekah berupa kampit beras yang dihulurkan dari sebuah lori oleh wakil Parti Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF) dan penyokong tegar BN.
 
Akan tetapi, “komik haram” ini adalah mengenai Malaysia. Gambaran seolah-olah penduduk kaum India di Malaysia akan menjadi seperti mangsa kebuluran di Somalia (atau di Himpunan Semenyih) sekiranya Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pemerintahan negara berikutan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
 
Saya tidak akan membuat tuduhan bahawa buku Janji Dicapati diterbitkan dan diedarkan oleh juak-juak BN. Tidak sama sekali. Sebaliknya, sebagai perunding media, saya mendapati bahawa buku haram ini diterbitkan dan diedarkan oleh suatu puak tertentu yang sedang berusaha bersungguh-sungguh menjahanamkan serta menguburkan BN buat selama-lamanya. Kerja-kerja itu mungkin dilakukan dari dalam atau dari luar BN.
 
Semasa sambutan Thaipusam, buku ini dilaporkan diedarkan kepada orang ramai oleh sekumpulan belia kaum India. Buku berselera rendah dan dicetak menggunakan wang yang banyak itu juga diletakkan pada kereta-kereta di tempat meletak kenderaan di kawasan sekitar. Mungkin juga khidmat toyol, hantu, jembalang, syaitan dan iblis digunakan bagi menjayakan kerja-kerja terkutuk itu.
 
Penduduk kaum Melayu dan Cina mempunyai alasan untuk marah dengan kehadiran buku ini kerana ia menggambarkan seolah-oleh negara Malaysia hanya mempunyai penduduk kaum India. Mungkin penduduk kaum selain kaum India sudah dilabel sebagai pendatang dan dihalau keluar dari Malaysia.
 
Tidak mustahil bahawa syaitan dan iblis yang menerbitkan dan mengedarkan buku haram ini sedar bahawa BN semakin terdesak untuk mendapatkan undi kaum India pada PRU-13. Undi kaum India menjadi maha penting sehingga kaum-kaum lain dilupuskan terus daripada “dunia realiti” buku berkenaan.
 
Bukanlah suatu rahsia bahawa khabarnya pemerintah meminggirkan majoriti kaum India – kecuali puak-puak dan juak-juak politik yang pandai mengampu, tentunya – sejak 55 tahun lalu dan kini sedang cuba menagih simpati secara paling angkuh. Kononnya, kaum India perlu mengenang budi dan mengundi BN. Itulah mesej yang cuba disampaikan menerusi buku komik “haram jadah” berkenaan – meminjam frasa kudus yang dipopularkan dan dimasyarakatkan oleh Perdana Menteri tercinta, Datuk Seri Najib Razak pada 8 Mei 2012.
 
Syaitan dan iblis yang mengedarkan Janji Dicapati kepada masyarakat India ternyata melakukan kesilapan besar. Mereka sepatutnya tahu bahawa penyokong tegar BN yang pergi ke Batu Caves tidak memerlukan buku murahan seperti ini untuk menguatkan sokongan tidak berbelah-bagi mereka terhadap BN “dulu, kini dan selama-lamanya”.
 
Sebaliknya, mesej-mesej tersirat dan tersembunyi dalam buku ini akan membuatkan mereka mempersoalkan kredibiliti, kelemahan, kepincangan dan kekurangan yang sebenarnya ada dalam BN; khususnya dalam “perkahwinan” antara UMNO dan MIC. Saya tidak perlu menghuraikannya di sini kerana saya sedang “membantu mempromosi” supaya orang ramai membaca sendiri buku itu.
 
Bagi sebahagian lagi kaum India (baca: majoriti pengundi kaum India) yang sudah cerdik, bijak, sedar diri, bermaruah, ada harga diri, ada jati diri, ada pendirian serta tidak mahu terus diperkudakan oleh sesiapa, mereka tidak memerlukan buku murahan seperti ini untuk “memesongkan akidah” mereka untuk mengundi politikus dan baruah politik yang tiada kredibiliti.
 
Sebaliknya, kehadiran buku Janji Dicapati hanya menambah perasaan menyampah, benci, meluat dan termuntah-muntah Rakyat (huruf besar disengajakan) terhadap penerbit, pengedar dan dalang di sebalik pengedaran buku haram jadah berkenaan.
 
Bagi pembaca yang “tidak cukup bertuah” untuk memiliki buku Janji Dicapati, biar saya terangkan dengan ringkas antara kandungan buku komik haram ini.
 
Syaitan yang Dikenali
 
Pada halaman pertama, dinyatakan bahawa apabila tiba pukul 6:00 petang, kaum India (beragama Hindu) akan teringat akan seorang individu bernama “Anwar” yang berkata, “Saya boleh menghentikan bunyi loceng di semua kuil di Malaysia”.
 
Maklumat yang salah mengenai Hudud juga diberikan dalam buku ini. Saya menyeru – bukan hanya Najib boleh menyeru! – supaya semua agensi kerajaan berkaitan agama Islam (termasuk Jakim) menyiasat buku haram ini yang menyebarkan maklumat salah mengenai pentadbiran berasaskan Quran dan Sunah! Tetapi jangan pula Perkasa mendesak orang Melayu-Islam membakar buku ini. Gunakanlah otak walau sekali sekala.
 
Satu lagi komik sebenarnya (secara simbolik) mempersenda laungan “nambikei” yang sudah menjadi laungan keramat Najib – dan wajib dimasukkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam Kamus Dewan edisi akan datang.  Secara simbolik dan penuh bijak, konsep “nambikei” Najib diperli sebagai “tembikai”.
 
Didedahkan juga (secara simbolik) bagaimana BN membawa masuk pekerja/pendatang Indonesia, India, Bangladesh, Nepal dan Myanmar yang hidup “mewah” di sini – mungkin merujuk pada betapa mudah pendatang asing tanpa izin (PATI) mendapatkan Kad Pengenalan dan menjadi warganegara Malaysia di bawah pemerintahan BN sejak 1957!
 
Golongan wanita India diselar (secara simbolik) kerana memakai pakaian (sari) yang seksi dan menjolok mata. Khabarnya, di bawah pemerintahan PR, mereka perlu berpakaian sopan. Kaum India (dan Melayu) yang tergila-gila akan filem-filem lakonan Rajnikanth pula berdepan masalah pawagam ditutup jika PAS memerintah. Kononnya.
 
Buku haram ini juga menggalakkan hubungan seks songsang (homoseksual) dengan menampilkan lukisan menyerupai Saiful Bukhari Azlan. Akhbar Utusan Malaysia (17 Februari 2011) melaporkan bahawa “analisis DNA di sekitar perianal (bahagian luar dubur) pengadu menunjukkan campuran DNA yang disumbangkan oleh Mohd Saiful Bukhari, Lelaki Y dan seorang lagi lelaki”. Mungkinkah buku ini bertujuan promosi/iklan percuma bagi individu tertentu yang mahu “menjual dubur” bagi tujuan seks luar tabii suka sama suka?
 
Buku ini juga dilihat bagaikan memperli (secara simbolik) Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil menerusi lukisan lembu-lembu betina yang comel. Orang ramai yang tidak tahu Bahasa Tamil pun boleh memahami “mesej tersirat” ini walaupun tanpa lukisan kondominium. Sesungguhnya Janji Dicapati adalah buku komik lawak yang menghiburkan sambil memperli BN secara simbolik.
 
Dalam keadaan terdesak, “syaitan yang dikenali” menggunakan salah satu kata-kata pujangga Thiruvalluvar dalam teks Thirukural untuk menghasut kaum India (secara tersirat) supaya mengenang segala kebaikan yang dilakukan PR sejak PRU-13 (2008). Ya!
 
Maka, buku Janji Dicapati (boleh) dikatakan adalah usaha “orang dalam” parti politik tertentu untuk menjahanamkan BN dan memastikan penyokong tegar BN turut mengenang budi PR, selaras dengan frasa “kini masa balas budi”. Kadavalukuthan teriyum. Wallahu A’lam.
 
[Uthaya Sankar SB suka makan capati dengan ikan sardin. Makalah ini ditulis pada 3 Februari 2013 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 4 Februari 2013. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]