“Bagi orang Islam, daging babi haram, … tetapi apabila melibatkan rasuah okey,” kata Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay pada 2 September 2021 (baca di sini).
Sekiranya kita merujuk sumber paling sahih dalam Islam, iaitu Quran dan Hadis, maka kita akan lihat bahawa babi adalah binatang yang diharamkan secara amat jelas. Dalam Surah Al-Baqarah (Ayat 173), misalnya, dinyatakan bahawasanya Allah mengharamkan bangkai, darah, daging babi, dan daging mana-mana haiwan yang disembelih tanpa menyebut nama-Nya.
Dalam Ayat sama juga ditambah: Mana-mana orang Islam yang terpaksa memakan mana-mana bahagian yang diharamkan itu, bukan kerana teringin untuk makan dan tidak pula dimakan secara berlebihan, maka tidaklah dianggap dosa.
Sekiranya tulisan di akhbar dan majalah dijadikan rujukan, selalu ditegaskan bahawa daging babi diharamkan kerana ia membawa pelbagai kemudaratan dari segi kimia, mikrob, dan psikologi (sikap). Namun begitu, orang Islam masih boleh makan daging babi dalam keadaan darurat.
Dalam Republika (4 Mac 2012), satu daripada sepuluh alasan mengapa Islam mengharamkan babi: “DNA babi mirip dengan manusia, sehingga sifat buruk babi dapat menular ke manusia.”
Dalam Daily Makan (5 Julai 2021), turut diberikan penjelasan dari sudut sains: “University of Illnois telah membuat perbandingan. DNA babi dan manusia menunjukkan persamaan yang luar biasa. Babi secara genetiknya sangat sama dengan manusia.”
Sebagai pengamal multifaith yang membaca kitab pelbagai agama serta bergaul dengan rakan-rakan majmuk sejak kecil, saya dapati alasan paling awal yang dikemukakan bagi pengharaman daging babi adalah kerana ia dikatakan kotor. Pelbagai alasan lain — termasuk hujah saintifik — muncul kemudian untuk mengukuhkan apa yang sudah diputuskan oleh Allah dan Nabi Muhammad.
Rakan-rakan Muslim yang ditanya bertalu-talu tentang alasan Allah dan Rasulullah
mengharamkan makan daging babi (kecuali dalam keadaan darurat), boleh sahaja
menjawab begini: “Kami dengar/baca firman Allah dan sabda Nabi dan kami taati.”
Saya meneliti Kutub al-Sittah yang terdiri daripada Kitab Sahih al-Bukhari, Kitab Sahih Muslim, Kitab Jami’at-Tirmizi, Kitab Sunan Abu Dawud, Kitab Sunan an-Nasa’i, dan Kitab Sunan Ibnu Majah untuk memahami pandangan dan hujah Muhammad berhubung isu babi.
Makalah penuh boleh dibaca dalam kumpulan esei Kisah Sasterawan Kavyan (2022).