Pada 13 Mei 1990, seorang bayi lelaki berumur dua tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di luar tandas wanita di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Badan Balasundram didapati luka teruk akibat dipukul dengan paip getah serta terdapat tanda dibakar menggunakan puntung rokok. Malah, ada juga bukti bayi itu diliwat.
Dua hari kemudian, Balasundram meninggal dunia. Kematian penuh tragis ini membawa kepada penggubalan Akta Perlindungan Kanak-kanak 1991 (Akta 468) bagi menggangikan akta yang digunakan sejak 1974.
Pada tahun
1990, saya berumur 18 tahun dan tinggal di Aulong Lama, Taiping, Perak. Saya mengikuti
laporan perbicaraan kes di akhbar dengan penuh teliti. Saya menggunting setiap
keratan berita dan menampal pada halaman buku catatan.
Dipendekkan cerita, Sinnasamy Kandasamy (33 tahun) didakwa di mahkamah dan pada 7 Mei 1992, dia dijatuhi hukuman gantung sampai mati.
Tidak lama selepas itu, saya mula menulis cerpen “(2) Postmortem” yang terinspirasi daripada peristiwa tersebut. Watak Periasammi didapati bersalah mendera sehingga menyebabkan kematian Sinnapayya (3 tahun).
“Aneh, bukan? Aku percaya Periasammi tidak bersalah tanpa aku ketahui sebabnya. Aku tidak ada bukti lain selain daripada suara hatiku sendiri.” – petikan cerpen
Cerpen itu
tersiar di majalah Dewan Sastera
(Februari 1994) sebelum dimuatkan dalam buku Orang Dimensi (1994), Angin
Pagi (1994), Yang Aneh-aneh
(1997), dan Kisah dari Siru Kambam
(2013).
Kini, iGen
dan Gen Alpha yang tidak tahu apa-apa tentang kejadian pada tahun 1990 boleh
membaca “(2) Postmortem” dalam sebuah koleksi cerpen yang dijadualkan terbit pada Ogos 2024.
Generasi
yang pernah mengikuti perbicaraan kes penderaan Balasundram pada tahun 1990-1992
bolehlah mengimbas kembali pengalaman penuh emosional itu—sambil cuba berfikir dalam
kerangka what if … (bagaimana jika …).