25 Nov 2025

Ayuh, Belajar Taktik “Perang” Cara Sun Zi!

Buku The Art of War oleh Sun Zi (Sun Tzu @ Sun Wu) ialah sebuah karya klasik China. Ia masih diraikan di seluruh dunia sebagai sebuah karya yang mengajar teknik berfikir dan menyusun strategi dalam pelbagai perkara.

Buku yang unik, penting dan hebat ini wajar dibaca oleh penduduk pelbagai kaum di Malaysia. Tambahan pula, Dr. Lai Choy (Lai Yoke Choy) sudah melakukan terjemahan dengan judul Sun Zi: Strategi dan Taktik Ketenteraan yang mudah difahami khalayak pelbagai peringkat umur.

Apabila saya membaca pelbagai versi terjemahan dalam bahasa Inggeris dan kini versi terjemahan terbaharu olah Lai Choy, amat nyata ia bukan semata-mata koleksi teknik memerangi musuh.

Sebaliknya, karya klasik ini menekankan bagaimana dalam setiap pertarungan, yang tidak pula semestinya berlaku di medan perang, kemenangan terbesar ialah dengan tidak bertempur.

Mungkin pandangan ini amat menghairankan jika kita tidak menganalisis keseluruhan pandangan Sun Zi dalam koleksi tulisannya. Menurutnya, kita perlu meraih kemenangan melalui kefahaman terhadap situasi, mentaliti lawan, manipulasi masa dan pengurusan risiko.

Sun Zi mengajar bahawa strategi yang unggul ialah kemampuan menjadikan lawan tunduk tanpa dibunuh atau dikalahkan dengan konfrontasi yang membazir masa, wang dan tenaga. Strategi yang lembut tetapi tajam serta licin tetapi tegas merupakan keunikan falsafah Sun Zi.

Ternyata The Art of War bukan sekadar buku berkaitan peperangan, sebaliknya sebuah mahakarya falsafah yang merentas masa, budaya dan konteks.

Di negara Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian kaum, bahasa, dan latar sejarah, tentu sahaja keunikan, kehebatan, dan kepentingan karya klasik ini wajar direnung oleh semua lapisan masyarakat.

Versi terjemahan Lai Choy membantu kita memahami bahawa karya ini bukan sekadar teks lama tetapi sebuah karya malar yang memberi panduan berfikir, bertindak, dan menyesuaikan diri dalam dunia yang semakin kompleks.

Bagi pembaca Malaysia, kehebatan The Art of War terletak pada kebolehan menjangkau bidang-bidang kehidupan yang jauh melangkaui medan peperangan. Dalam dunia perniagaan, pengurusan, politik, hubungan sosial, malah persekolahan dan pengurusan diri, prinsip-prinsip Sun Zi boleh diguna pakai sebagai asas strategi.

Kandungan teks klasik Cina ini menepati keperluan setiap individu untuk memahami persaingan, mengatur langkah, mengukur kekuatan dan kelemahan, serta menyusun gerak dengan cermat agar impak menjadi maksimum tetapi kos menjadi minimum.

Dalam situasi sosiopolitik Malaysia di mana orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Orang Asli, dan banyak lagi etnik hidup bersama, wacana tentang persaingan dan kerjasama sentiasa muncul.

Membaca Sun Zi: Strategi dan Taktik Ketenteraan dalam suasana ini bukanlah untuk mewujudkan permusuhan, sebaliknya demi mengasah kepekaan terhadap dinamika kekuasaan, memahami psikologi kelompok, serta mengatur strategi perpaduan.

Maknanya, falsafah Sun Zi boleh pula dimanipulasi untuk menjaga keseimbangan hak, menyelesaikan konflik, meleraikan ketegangan, dan sekali gus menjalin hubungan yang saling menguntungkan semua pihak berkepentingan.

Sun Zi mengingatkan kita, strategi terbaik ialah meminimumkan kerosakan dan memaksimumkan keuntungan. Dalam konteks sosiopolitik Malaysia, “kerosakan” itu boleh dilihat sebagai pertikaian agama, etnik, ketidakadilan, atau ketegangan sosial.

Maka, tidak hairan apabila pembaca pelbagai kaum dapat mengambil pelajaran daripada kitab klasik ini untuk memahami bahawa di sebalik perbezaan, wujud prinsip strategi universal berkaitan aspek kepekaan terhadap konteks, ketepatan masa, seni bereaksi, dan ketegasan yang tidak berlebihan.

Pengalaman Malaysia menunjukkan bahawa karya asing yang diterjemah atau diadaptasi mampu memberi sumbangan besar dalam pembentukan pemikiran Bangsa Malaysia.

Dalam konteks ini, saya yakin bahawa terjemahan The Art of War oleh Lai Choy mampu menjadi jambatan intelektual antara budaya Cina klasik dan mentaliti masyarakat moden Malaysia.

[Baca juga – Falsafah Taoisme Untuk Kesejahteraan Hidup Manusia]

Namun begitu, agar falsafah dan ilmu yang terkandung dalam The Art of War benar-benar bermakna bagi rakyat Malaysia, kita perlu memperkayakan pengalaman membaca teks terjemahan Lai Choy dengan kesedaran kontekstual.

Maknanya, kita bukan sekadar membaca petikan ilmu yang disampaikan Sun Zi sebagai ilmu peperangan di negara China pada zaman dahulu. Sebaliknya, kita wajar mengaitkannya dengan sosiopolitik Malaysia dari susut pengalaman penjajahan, konflik kaum, transformasi ekonomi, dinamika politik, jati diri setiap kaum, serta identiti kebangsaan.

Tentulah kandungan dan ilmu dalam Sun Zi: Strategi dan Taktik Ketenteraan tidak menjamin penyelesaian mutlak kepada semua konflik di Malaysia kerana realiti sosial, budaya, dan sejarah kita amat unik.

Topik paling hangat di Malaysia bukanlah pertempuran di medan perang tetapi pergolakan politik yang tetap mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku orang ramai.

Seandainya para politikus, wartawan, pemimpin komuniti, dan penduduk di setiap penjuru negara membaca Sun Zi: Strategi dan Taktik Ketenteraan terjemahan Lai Choy dengan teliti, mereka mungkin akan lebih berhati-hati dalam menyerang lawan secara terbuka.

Sebaliknya, mereka akan ada cukup ilmu untuk memilih strategi mempengaruhi pendapat awam secara perlahan, memilih waktu menyerang atau berdamai, serta menggunakan kelemahan moral lawan sebagai medan.

Strategi penuh ilmu ini tentulah berbeza dengan budaya melakukan serangan peribadi secara kasar yang kita perhatikan berlaku pada hampir setiap hari, khususnya dalam kalangan politikus.

Bagi generasi muda, terutama mahasiswa, mereka akan dapat melihat bahawa dalam debat kampus, gerakan mahasiswa, perang wacana, dan kebebasan bersuara, tidak semestinya kemenangan diraih pihak yang paling lantang bersuara atau menjerit.

Sebaliknya, sebagaimana diajar oleh Sun Zi, strategi yang bijak ialah memilih lokasi wacana, merangka retorik yang sukar disangkal, dan membawa pihak lawan ke dalam arena yang pasti menguntungkan kita.

[Rencana ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB berdasarkan “Prakata” dalam buku Sun Zi: Strategi dan Taktik Ketenteraan dan disiarkan di akhbar Utusan Malaysia pada 8 November 2025 dengan tajuk “Strategi Perang Boleh Pupuk Perpaduan Kaum?”]