Buku The Art of War oleh Sun Zi (Sun Tzu @ Sun Wu) ialah sebuah karya klasik China. Ia masih diraikan di seluruh dunia sebagai sebuah karya yang mengajar teknik berfikir dan menyusun strategi dalam pelbagai perkara.
Buku
yang unik, penting dan hebat ini wajar dibaca oleh penduduk pelbagai kaum di
Malaysia. Tambahan pula, Dr. Lai Choy (Lai Yoke Choy) sudah
melakukan terjemahan dengan judul Sun Zi:
Strategi dan Taktik Ketenteraan yang
mudah difahami khalayak pelbagai peringkat umur.
Apabila
saya membaca pelbagai versi terjemahan dalam bahasa Inggeris dan kini versi
terjemahan terbaharu olah Lai Choy, amat nyata ia bukan semata-mata koleksi
teknik memerangi musuh.
Sebaliknya,
karya klasik ini menekankan bagaimana dalam setiap pertarungan, yang tidak pula
semestinya berlaku di medan perang, kemenangan terbesar ialah dengan tidak
bertempur.
Mungkin pandangan
ini amat menghairankan jika kita tidak menganalisis keseluruhan pandangan Sun
Zi dalam koleksi tulisannya. Menurutnya, kita perlu meraih kemenangan melalui
kefahaman terhadap situasi, mentaliti lawan, manipulasi masa dan pengurusan
risiko.
Sun Zi
mengajar bahawa strategi yang unggul ialah kemampuan menjadikan lawan tunduk
tanpa dibunuh atau dikalahkan dengan konfrontasi yang membazir masa, wang dan
tenaga. Strategi yang lembut tetapi tajam serta licin tetapi tegas merupakan
keunikan falsafah Sun Zi.
Ternyata
The Art of War bukan sekadar buku berkaitan
peperangan, sebaliknya sebuah mahakarya falsafah yang merentas masa, budaya dan
konteks.
Di negara
Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian kaum, bahasa, dan latar sejarah, tentu
sahaja keunikan, kehebatan, dan kepentingan karya klasik ini wajar direnung
oleh semua lapisan masyarakat.
Versi
terjemahan Lai Choy membantu kita memahami bahawa karya ini bukan sekadar teks
lama tetapi sebuah karya malar yang memberi panduan berfikir, bertindak, dan
menyesuaikan diri dalam dunia yang semakin kompleks.
Bagi
pembaca Malaysia, kehebatan The Art of
War terletak pada kebolehan menjangkau bidang-bidang kehidupan yang jauh
melangkaui medan peperangan. Dalam dunia perniagaan, pengurusan, politik,
hubungan sosial, malah persekolahan dan pengurusan diri, prinsip-prinsip Sun Zi
boleh diguna pakai sebagai asas strategi.
Kandungan
teks klasik Cina ini menepati keperluan setiap individu untuk memahami
persaingan, mengatur langkah, mengukur kekuatan dan kelemahan, serta menyusun
gerak dengan cermat agar impak menjadi maksimum tetapi kos menjadi minimum.
Dalam situasi
sosiopolitik Malaysia di mana orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Orang
Asli, dan banyak lagi etnik hidup bersama, wacana tentang persaingan dan
kerjasama sentiasa muncul.
Membaca Sun Zi: Strategi dan Taktik Ketenteraan dalam suasana ini bukanlah untuk mewujudkan
permusuhan, sebaliknya demi mengasah kepekaan terhadap dinamika kekuasaan,
memahami psikologi kelompok, serta mengatur strategi perpaduan.
Maknanya,
falsafah Sun Zi boleh pula dimanipulasi untuk menjaga keseimbangan hak,
menyelesaikan konflik, meleraikan ketegangan, dan sekali gus menjalin hubungan
yang saling menguntungkan semua pihak berkepentingan.
Sun Zi
mengingatkan kita, strategi terbaik ialah meminimumkan kerosakan dan memaksimumkan
keuntungan. Dalam konteks sosiopolitik Malaysia, “kerosakan” itu boleh dilihat
sebagai pertikaian agama, etnik, ketidakadilan, atau ketegangan sosial.
Maka,
tidak hairan apabila pembaca pelbagai kaum dapat mengambil pelajaran daripada kitab
klasik ini untuk memahami bahawa di sebalik perbezaan, wujud prinsip strategi
universal berkaitan aspek kepekaan terhadap konteks, ketepatan masa, seni
bereaksi, dan ketegasan yang tidak berlebihan.
Pengalaman
Malaysia menunjukkan bahawa karya asing yang diterjemah atau diadaptasi mampu
memberi sumbangan besar dalam pembentukan pemikiran Bangsa Malaysia.
Dalam
konteks ini, saya yakin bahawa terjemahan The
Art of War oleh Lai Choy mampu menjadi jambatan intelektual antara budaya
Cina klasik dan mentaliti masyarakat moden Malaysia.
[Baca juga – Falsafah Taoisme Untuk Kesejahteraan Hidup Manusia]
Namun
begitu, agar falsafah dan ilmu yang terkandung dalam The Art of War benar-benar bermakna bagi rakyat Malaysia, kita
perlu memperkayakan pengalaman membaca teks terjemahan Lai Choy dengan
kesedaran kontekstual.
Maknanya,
kita bukan sekadar membaca petikan ilmu yang disampaikan Sun Zi sebagai ilmu
peperangan di negara China pada zaman dahulu. Sebaliknya, kita wajar mengaitkannya
dengan sosiopolitik Malaysia dari susut pengalaman penjajahan, konflik kaum, transformasi
ekonomi, dinamika politik, jati diri setiap kaum, serta identiti kebangsaan.
Tentulah
kandungan dan ilmu dalam Sun Zi: Strategi dan Taktik Ketenteraan tidak
menjamin penyelesaian mutlak kepada semua konflik di Malaysia kerana realiti
sosial, budaya, dan sejarah kita amat unik.
Topik
paling hangat di Malaysia bukanlah pertempuran di medan perang tetapi
pergolakan politik yang tetap mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku orang
ramai.
Seandainya
para politikus, wartawan, pemimpin komuniti, dan penduduk di setiap penjuru negara
membaca Sun Zi: Strategi dan Taktik Ketenteraan terjemahan Lai Choy dengan teliti,
mereka mungkin akan lebih berhati-hati dalam menyerang lawan secara terbuka.
Sebaliknya,
mereka akan ada cukup ilmu untuk memilih strategi mempengaruhi pendapat awam
secara perlahan, memilih waktu menyerang atau berdamai, serta menggunakan
kelemahan moral lawan sebagai medan.
Strategi
penuh ilmu ini tentulah berbeza dengan budaya melakukan serangan peribadi
secara kasar yang kita perhatikan berlaku pada hampir setiap hari, khususnya
dalam kalangan politikus.
Bagi
generasi muda, terutama mahasiswa, mereka akan dapat melihat bahawa dalam debat
kampus, gerakan mahasiswa, perang wacana, dan kebebasan bersuara, tidak
semestinya kemenangan diraih pihak yang paling lantang bersuara atau menjerit.
Sebaliknya,
sebagaimana diajar oleh Sun Zi, strategi yang bijak ialah memilih lokasi wacana,
merangka retorik yang sukar disangkal, dan membawa pihak lawan ke dalam arena
yang pasti menguntungkan kita.


