Novel SHIT (1999) mungkin merupakan karya Sasterawan Negara Datuk Dr Shahnon Ahmad yang paling meluas dibaca oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Tambahan pula novel satira politik itu muncul selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dilucutkan daripada semua jawatan dalam kabinet, UMNO, dan Barisan Nasional (BN) pada 2 September 1998.
Malah, penganalisis politik pasti tidak akan menolak kemungkinan besar novel SHIT membantu Shahnon menang kerusi Parlimen Sik, Kedah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) pada 29 November 1999.
Bayangan tentang SHIT muncul kembali selepas Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada 10 Februari 2015 atas kesalahan meliwat Saiful Bukhari Azlan.
Apakah kandungan novel berkenaan masih sesuai pada hari ini? Apakah pembaca generasi muda mungkin mentafsir novel ini berbeza dengan tafsiran pada tahun 1999?
Novel setebal 240 halaman ini dijual pada harga RM15 pada awal penerbitannya. Ada pihak yang menyarankan SHIT diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan gelaran Sasterawan Negara ditarik balik.
Semua saranan itu adalah kerana SHIT secara nyata mengkritik UMNO dan BN, serta memaki Mahathir Mohamad sebagai “P**iMak”.
Walaupun nama-nama tidak dinyatakan, semua orang yang waras tahu bahawa watak “P**iMak” merujuk kepada Mahathir dan “Wirawan” merujuk kepada Anwar.
Desakan mengharamkan SHIT amat nyata menerusi berita seperti “KDN Diminta Haramkan Novel Terbaru Shahnon” (Utusan Malaysia, 21 April 1999) dan “Novel Shit Akan Dikaji KDN” (Utusan Malaysia, 22 April 1999).
Begitu
juga berita bertajuk “Shahnon Mungkin Dikenakan Tindakan” (Utusan Malaysia, 24 April 1999) dan “Haramkan Novel Shit” (Utusan Malaysia, 25 April 1999).
Satira Politik Yang Amat Meloyakan dan Sangat Menjijikkan
Agak menarik untuk diimbas kembali bahawa presiden DAP, Lim Kit Siang, pernah menyeru supaya Shahnon didakwa di mahkamah kerana menghasilkan SHIT.
Kisah ini berlaku sebelum PAS dan DAP “berkahwin” lalu bergabung bersama-sama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pakatan Rakyat (PR).
Untuk rekod, kerajaan BN pimpinan Mahathir tidak mengharamkan SHIT atas alasan “pendemokrasian bahan-bahan bacaan”.
Namun begitu, novel kontroversi itu lebih banyak dijual secara tersembunyi kerana bimbang dirampas pihak berkuasa. Kemudian, barulah dijual secara terbuka di pasar malam dan mendapat sambutan hangat.
Generasi muda mungkin tidak berminat membaca novel SHIT yang khabarnya terjual lebih 130,000 naskhah. Ceritanya memang amat meloyakan dan boleh sahaja membuatkan pembaca termuntah berulang kali.
Shahnon lebih dikenali menerusi karya hebat seperti Rentong (1965), Ranjau Sepanjang Jalan (1966), Menteri (1967), Perdana (1969), dan Srengenge (1973). Mungkin generasi muda kurang berminat membaca karya sastera tetapi tetap berminat membaca SHIT.
Secara ringkas, novel berkenaan bercerita tentang ketul-ketul tahi dalam usus besar. Harap maklum bahawa tiada apa-apa yang indah dan susastera; semuanya kotor, busuk, dan menjijikkan.
Pembaca mungkin merasakan seolah-olah sudah melompat masuk ke dalam tong najis serta tahi mula masuk ke dalam mulut, hidung, telinga, dan mata.
Ketulan
tahi bernama “Wirawan” ternyata mewakili Anwar yang secara jelas amat dikagumi Shahnon.
Pemecatan Anwar oleh Mahathir pada 1998 dilihat sebagai konspirasi politik. [Baca juga — Punca Anwar Dipecat]
“Perang” Mahathir Dengan Anwar Diteruskan Oleh Najib
Tidak sukar untuk pembaca memahami hakikat SHIT berperanan menyindir Mahathir dan kroni yang bukan sahaja menyingkirkan Anwar dari UMNO, malah menyumbatnya ke dalam penjara atas tuduhan rasuah dan liwat.
Shahnon adalah ahli seumur hidup PAS tetapi beliau hanya menjadi wakil rakyat selama satu penggal (1999-2003). Pengalaman beliau dalam PAS boleh dibaca dalam autobiografi berjudul Perjalananku Sejauh Ini (2006).
Dr Sohaimi Abdul Aziz semasa Seminar Pemikiran Shahnon Ahmad di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 13-14 November 2007 berkata, jawatan wakil rakyat itu tidak membawa erti kepada kehidupan Shahnon.
Apa-apa pun, novel SHIT tetap menjadi suatu dokumen penting dalam sejarah politik negara; walaupun mungkin tidak dalam sejarah kesusasteraan negara.
Walaupun Mahathir sudah melepaskan jawatan PM dan presiden UMNO, aura pemerintahannya masih terasa [sewaktu rencana ini ditulis]. Mahu tidak mahu, “perang” dengan Anwar diteruskan Datuk Seri Najib Razak.
Tambahan pula, Najib juga “musuh” kepada Anwar kerana menjadi penghalang kepadanya dalam mencapai impian masuk semula ke dalam “usus besar” bagi membersihkan “tahi-tahi” di dalamnya.
Maknanya, dalam keadaan sekarang, watak “Wirawan” tetap Anwar tetapi peranan “P**iMak” sudah diambil alih oleh Najib. Kesemuanya sama-sama tahi yang busuk dan meloyakan di dalam usus besar.
Bagaikan sejarah berulang, “Wirawan” ditolak keluar oleh “P**iMak” dan kroninya daripada perlumbaan ke Putrajaya berikutan kemunculan Saiful.
Tahi
bernama “Wirawan” yang jatuh itu kembali dipungut oleh para penyokong tegar dan
diraikan sebagai wira sejati yang suci-murni.
Antara “Usus Besar” UMNO dan “Usus Besar” PKR
Watak “Wirawan” nampaknya masih mahu masuk semula ke dalam usus besar yang dipenuhi tahi – melalui lubang dubur, tentunya – untuk membersihkan politik yang kotor dan menjijikkan.
Tidak salah jika pembaca generasi baru menyamakan usaha “Wirawan” masuk semula ke dalam “lubang keramat” dengan drama Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008 dan PRK DUN Kajang pada 23 Mac 2014.
Rancangan “Kajang Move” bertujuan membolehkan Anwar menjadi Menteri Besar Selangor; dan seterusnya menerobos masuk ke dalam “usus besar” bernama Putrajaya menerusi “lubang belakang”.
Malangnya rancangan itu tidak berjaya. Walaupun isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail (Kak Wan) menang di Kajang, Kak Wan tidak menerima perkenan Sultan Selangor untuk menjadi menteri besar.
Sejak Oktober 2010, ada juga peneliti yang mengaitkan kisah SHIT dengan politik dalaman PKR. Kali ini, Anwar menjadi “P**iMak” manakala Datuk Zaid Ibrahim yang mahu bertanding bagi jawatan timbalan presiden menjadi “Wirawan”.
Berlaku serangan bertubi-tubi antara penyokong Zaid dan Azmin Ali yang memegang jawatan naib presiden waktu itu. Akhbar Utusan Malaysia pula menyiarkan berita berkaitan “tahi-tahi” dalam “usus besar” PKR.
Pada Januari 2014, ketika Anwar mula mengatur strategi untuk menjadi ADUN Kajang (sebelum meneruskan impian merampas Putrajaya menerusi “Kajang Move”), banyak “tahi” yang terpalit pada wajah politikus dan juak-juak politik di dalam dan di sekeliling PKR.
Saya segera teringat akan kisah dalam novel SHIT yang terbit pada tahun 1999. Kini, Mahathir sudah tiada dalam plot, tetapi Anwar terus ada.
Pada Februari 2015, menjelang tarikh mahkamah membuat keputusan kes liwat, semakin banyak “tahi” terpalit di dalam dan di sekeliling PKR, PR, UMNO, dan BN.
Sekali lagi, Mahathir sudah tidak menonjol dalam kisah ini, tetapi Anwar terus ada. Soalnya, apakah Anwar masih memegang watak “Wirawan”?