30 Sept 2011

MBSA: Tikus Membaiki Labu

Sebagai penduduk di Taman Sri Muda, Shah Alam sejak 11 tahun lalu, saya sedikit terkejut apabila tiba-tiba sahaja ada perubahan haluan jalan raya di sekitar kawasan pasar di taman perumahan ini.

Perkara berkenaan saya perhatikan pada 2 September 2011, iaitu sebaik tamat cuti Hari Raya Aidil Fitri.


Perubahan haluan Jalan Murni 25/61 (jalan sehala) adalah yang paling menimbulkan kekeliruan dan tanda tanya.


Apabila hala jalan itu diubah, penduduk yang pergi ke pasar, pasar raya, kedai-kedai, tempat makan dan sebagainya terpaksa menggunakan Jalan Makmur 25/64 yang memang diketahui umum sentiasa sesak sepanjang hari.


Memang amat menghairankan mengapa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tiba-tiba mengubah haluan beberapa jalan di kawasan berkenaan sehingga penduduk bangun pada suatu pagi awal September dan mendapati haluan jalan sudah berubah.


Ternyata saya bukan satu-satunya individu yang berasa hairan, kecewa, tertanya-tanya, berasa kurang selesa dan marah dengan keputusan yang dibuat MBSA tanpa berbincang dengan penduduk kawasan berkenaan.


Pada pagi 24 September, Naib Pengerusi Wanita MCA Selangor, Quah Saw Choon menghubungi saya dan memaklumkan bahawa sekumpulan penduduk dan peniaga mengadakan bantahan awam.


Katanya, beliau menerima aduan daripada lebih 300 peniaga dan penduduk sekitar Taman Sri Muda sejak awal bulan berikutan mereka mendapati perubahan hala jalan yang dibuat MBSA tidak menyelesaikan masalah; sebaliknya menambah beban.


Misalnya, ia menjelaskan keselamatan pemandu kenderaan kerana sejak awal bulan, kenderaan mula bergerak di kedua-dua hala di Jalan Murni 25/61 dan perkara ini dapat diperhatikan setiap hari.


Pada masa sama, Jalan Makmur 25/64 yang sedia sesak sejak saya mula-mula berpindah ke taman ini pada tahun 2000 kini benar-benar bertambah sesak.


Saw Choon berkata, beliau menerima aduan daripada penduduk bahawa mereka kini terpaksa tersekat dalam kesesakan jalan raya kerana tiada pilihan lain.


“Selalu juga timbul salah faham dan perselisihan antara pemandu kereta kerana masih-masing marah dengan apa yang berlaku,” katanya semasa ditemui bersama penduduk dan peniaga yang mengadakan bantahan awam di Jalan Murni 25/61.


Penyelaras Barisan Nasional Parlimen Kota Raja, R. S. Maniam yang turut berada di sana untuk menerima aduan penduduk dan peniaga menjelaskan bahawa tindakan MBSA yang tiba-tiba mengubah haluan jalan terbukti menjejaskan keselesaan penduduk.


“Saya bekas ahli majlis dan saya tahu bahawa sepatutnya apabila MBSA mahu melakukan perkara seperti ini, ia perlu memaklumkan kepada penduduk serta mendapatkan maklum balas daripada mereka,” katanya.


Beliau juga menyentuh mengenai sebuah bank di jalan itu yang menjadi tumpuan peniaga.


“Dulu, peniaga boleh pergi terus ke bank untuk deposit wang hasil perniagaan tapi kini terpaksa pusing jauh dalam jalan yang sesak. Peniaga-peniaga mengadu kepada saya bahawa mereka takut dan bimbang kemungkinan disamun dalam perjalanan jauh, lalu mungkin menutup akaun di bank itu,” katanya.


Salah seorang peniaga, Yeng Chang Yen menceritakan bahawa perniagaan di kedai telefonnya jatuh hampir 30 peratus sejak tiga minggu lalu kerana orang ramai memilih untuk ke kedai lain berikutan perubahan haluan jalan yang mengelirukan dan menyusahkan.


Perkara ini turut diakui Kesavan Chelladurai yang bekerja di sebuah kedai telekomunikasi berdekatan. Katanya, orang ramai yang mahu membayar bil telefon juga memilih untuk pergi ke tempat lain walaupun jauh sedikit kerana rimas dengan kesesakan yang timbul sejak awal bulan ini.


Bagi Junairah, pemilik salon yang beroperasi di Jalan Murni 25/61 sejak sepuluh tahun lalu, perniagaannya turut menerima kesan berikutan ramai pelanggan setianya sudah beralih ke salon di tempat lain.


“MBSA mungkin anggap perubahan hala jalan ini perkara kecil tapi kami para peniaga dan penduduk yang berada di sini yang sebenarnya tahu dan merasai sendiri segala kepayahan setiap hari. Bayangkan jika pendapatan saya yang selalunya RM2,000 kini hanya RM700,” rungutnya dengan penuh kecewa.


Tidak hairanlah hampir semua pemilik premis perniagaan di Jalan Murni 25/61 menulis surat bantahan kepada MBSA pada 13 September lalu. Premis itu termasuk bank, farmasi, kedai aksesosi kereta, kedai foto, restoran, kedai logam, kedai telekomunikasi, kedai kek, klinik, kedai barangan elektrik, dobi dan kedai barangan am.


Seorang peniaga, Joshua Pung memberitahu saya bahawa belia sudah mengumpulkan aduan rasmi daripada hampir 30 peniaga dan mengemukakannya ke Pusat Khidmat MPP Zon 9 tetapi diminta pergi ke MBSA.


“Saya pergi ke Bahagian Jalan, Jabatan Kejuruteraan MBSA pada 14 September tapi mereka pula kata MPP Zon 9 yang ubah haluan jalan. Kemudian MBSA setuju untuk adakan perjumpaan untuk bincang isu ini pada Selasa (20 September) tapi tak ada apa-apa berita,” katanya yang mengumpulkan aduan para peniaga terbabit.

Seorang lagi penduduk, K.S. Nagarajan menceritakan bahawa murid-murid dari sekolah rendah berhampiran juga menghadapi masalah apabila melintas jalan berkenaan sejak diubah hala.


“Saya bekerja di sini dan hari-hari saya lihat kanak-kanak melintas jalan dan mereka sekarang keliru nak pandang kiri atau kanan. Kenderaan pula tiba-tiba datang dari arah kiri dan juga kanan sebab pemandu pun keliru mana jalan yang betul. Banyak kali saya terpaksa menjerit apabila murid sekolah hampir kena langgar,” katanya dengan penuh prihatin.


Para peniaga dan penduduk yang saya temui rata-rata tertanya-tanya mengapa MBSA mengambil keputusan mengubah hala beberapa jalan di sekitar kawasan itu sedangkan ia secara terang-terangan menambah kesesakan jalan, mengelirukan pengguna, mengundang bahaya serta mendapat bantahan penduduk.


“Kami tidak menolak kemungkinan ada campur tangan pihak tertentu yang memanipulasi keadaan dan menggunakan kuasa yang ada padanya untuk mengubah hala jalan-jalan sehala di sekitar kawasan ini supaya orang ramai terpaksa pergi ke premis perniagaan tertentu yang dibuka di Taman Sri Muda beberapa bulan lalu,” kata Anuar Ismail, seorang peniaga yang beroperasi di sini sejak 20 tahun lalu.


Beliau juga tertanya-tanya mengapa MBSA tiba-tiba mengubah hala jalan secara ‘overnight’ tanpa meminta pandangan penduduk dan peniaga di kawasan terbabit.


R. S. Maniam menelefon saya pada petang Sabtu dan memaklumkan bahawa Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBSA pada dasarnya bersetuju untuk mengadakan pertemuan pada Rabu ini untuk membincangkan isu berkenaan.


Sementara itu, saya sebagaimana kebanyakan penduduk Taman Sri Muda perlu “menyesuaikan diri” dengan kesesakan jalan “buatan MBSA” yang menguji kesabaran, selain membazir masa, tenaga dan petrol.


(Uthaya Sankar SB © 2011, Free Malaysia Today, 26 September 2011)

29 Sept 2011

Komsas: Musuh dalam Selimut

Pada 15 September 2011, kebanyakan orang menunggu untuk mengetahui apakah perkara penting yang bakal disampaikan oleh Perdana Menteri dalam ucapan khas sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Sekitar 7:30 malam, Perdana Menteri memaklumkan menerusi Twitter bahawa ucapan itu akan disampaikan secara langsung pada jam 8:45 malam di televisyen.


Lalu, saya membalas: “Mungkin PM masih sempat selitkan ayat ‘Royalti wajib dibayar oleh penerbit kepada penulis teks Komsas’ dalam teks ucapan?”


Saya tahu bahawa mesej itu tidak akan dibaca; kalau dibaca pun, tidak akan dilayan. Sebagaimana Menteri Pelajaran tidak melayan Surat Rayuan Terbuka daripada lima penulis terbabit pada 26 Ogos dan surat rasmi saya kepada beliau pada 2 September.


Isyarat yang diterima umum secara amat jelas adalah bahawa menteri berkenaan tidak mampu (tiada kuasa?) berbuat apa-apa untuk membantu dan membela nasib penulis teks Komsas yang dinafikan hak mereka mendapat royalti. Penerbit terbabit sudah terbukti lebih berkuasa. Titik.


Apabila Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri tidak mampu berbuat apa-apa, pilihan seterusnya tentulah Perdana Menteri.


Jika itu juga tidak membawa kesan, maka apakah kumpulan penulis yang teraniaya itu perlu memohon izin untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong sebagai kuasa tertinggi di Malaysia?


Dalam isu penerbit tidak mahu membayar royalti kepada beberapa penulis teks Komsas, ada pihak yang menyarankan supaya mereka membawa kes itu ke mahkamah.


Masalahnya, umum mengetahui bahawa kes-kes di mahkamah boleh mengambil masa bertahun-tahun. Entah-entah apabila teks Komsas ditukar pada 2021, kes belum selesai!


Pada masa sama, golongan penulis di Malaysia bukanlah orang kaya yang mempunyai kemampuan kewangan untuk mengambil peguam profesional.


Mungkin juga penerbit maklum mengenai hal ini. Sebab itu mereka bongkak dan berani mencabar penulis terbabit membawa kes ke mahkamah.


Di sisi penulis terbabit pula, mereka tentu sahaja mengharapkan sokongan padu daripada rakan-rakan penulis. Sekadar contoh, bayangkan jika kelima-lima Sasterawan Negara tampil mengeluarkan kenyataan bersama membela penulis yang teraniaya ini.


Bayangkan jika badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan penulis yang mengadakan perhimpunan besar-besaran demi “maruah pengarang” pada Januari lalu mampu melakukan perkara sama demi “maruah pengarang” juga pada kali ini.


Sayang seribu kali sayang. Apa yang berlaku adalah sebaliknya. Apabila penulis yang teraniaya meminta bantuan rakan-rakan penulis memaparkan Surat Rayuan Terbuka di Facebook, ada tokoh yang memberi amaran: “Jangan sesiapa cuba memuatkan surat rayuan terbuka itu di wall saya!”


Ada juga penulis terkemuka yang menulis dengan bangga: “Surat itu terpapar sebentar di dinding Facebook saya sebelum saya segera membuangnya.” Ramai yang berbuat begitu dan berasa bangga!


Tidak setakat itu, saya percaya, ada juga kelompok penulis yang cuba menggagalkan perjuangan menuntut hak royalti dengan pelbagai cara, termasuk (tetapi tidak terhad kepada) memberi amaran, menyindir, menghasut, memfitnah, memujuk, menghina, memanipulasi dan mengambil kesempatan.


Saya tidak akan terkejut sekiranya ada pihak yang mengadakan kempen besar-besaran memujuk Rohani Deraman, Amy Suzani Mohd Ainuddin, Hazama Harun, Mohd Izan Abd Hazes dan Erda Roslan Khairi supaya melupakan hasrat memperjuangkan hak royalti itu.


Apabila gagal memujuk, maka mungkin pihak berkenaan akan menggunakan pelbagai cara lain; termasuk menggunakan sentimen perkauman bagi mempengaruhi mereka.


Memang menghairankan! Apabila kelompok dayus ini tidak cukup jantan (baca: berani) untuk tampil membela nasib penulis yang teraniaya, mengapa pula mereka tidak duduk diam sahaja? Mengapa perlu mematahkan semangat dan moral beberapa penulis yang berani bangkit menuntut hak?


Sebagai usaha terdesak, kelompok tidak bermoral ini mula menghasut dengan mempersoalkan secara tersembunyi mengapa penulis yang teraniaya perlu meminta bantuan daripada “kepala paria” dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang “anti-Melayu”.


Kelompok sama turut mengaku bahawa mereka “sangat simpati tapi tak berani tampil membantu” kerana bimbang “periuk nasi terjejas”. Ada pula yang hanya sedia cuba membantu “kalau dapat 50 peratus komisyen”.


Malah, ada juga kelompok yang teramat kreatif dan menyebarkan surat layang menerusi ruang siber: “Ramai tahu Uthaya tu pengkhianat. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dah senarai hitamkan dia. Radio Televisyen Malaysia (RTM) pun dah blacklist dia.”


Betapa baik jika segala kreativiti dan kemampuan mereka-reka cerita itu digunakan oleh mereka untuk menghasilkan karya kreatif! Sekurang-kurangnya boleh juga dinilai penerbit bagi teks Komsas menjelang 2021 (dan tidak dibayar royalti).


Mungkin itulah budaya kita. Apabila ada orang datang meminta bantuan, kita tidak mahu, tidak sudi, tidak berani dan tidak mampu menolong. Kita berikan 1001 alasan. Akan tetapi, apabila ada pihak lain tampil membantu setakat termampu, kita rasa tercabar dan mula menabur fitnah.


Kita mula menggunakan segala taktik kotor dan terhina untuk menggagalkan usaha orang lain. Kita lupa soal moral, kita lupa soal agama. Kita lupa Tuhan. Kita lupa akhirat. ...


Berbalik pada sekumpulan kecil penulis yang teraniaya dalam isu royalti teks Komsas, tentulah mereka merasakan seperti jatuh tangga ditimpa tangga.


Pada mulanya kelompok tertentu tidak mahu membantu dengan pelbagai alasan. Apabila mereka mula bersatu dalam kumpulan kecil untuk berjuang menuntut hak, mulalah mereka dihina, dipersenda, ditertawa dan diminta membatalkan usaha.


Kononnya, kumpulan kecil penulis (“pejuang”) ini tidak akan mampu melawan “kuasa besar” iaitu penerbit dan pihak tertentu di kementerian. Golongan penulis dikatakan tidak ada apa-apa kuasa.


Kata-kata yang melemahkan semangat seperti itu turut disebarkan secara meluas melalui ruang siber. Maka, tentu sahaja kelompok kecil “pejuang” akan turut terasa lemah semangat.


Dalam keadaan seperti ini, memandangkan kesemua penulis terbabit adalah penulis Melayu-Islam, saya hanya menasihatkan mereka supaya “meminjam semangat perjuangan” Nabi Muhammad SAW.


Kalaulah Baginda pernah berputus asa kerana kononnya “tidak akan mampu melawan kuasa besar” di Mekah dan Madinah dahulu, apakah Islam akan tersebar ke seluruh dunia seperti sekarang? Tepuk dada, tanya selera.


Sebaliknya, tindakan “musuh dalam selimut” yang tidak bermoral pula menyebabkan beberapa lagi mangsa royalti teks Komsas takut untuk tampil bersuara. Mereka bimbang akan turut dilabel sebagai “bekerjasama dengan kepala paria yang anti-Melayu”.

Pada masa sama, mujurlah majoriti penulis Malaysia masih waras dan beragama. Mereka tidak mudah dihasut syaitan yang “berselimutkan” manusia. Mereka berfikiran rasional dan terus memberi sokongan kepada perjuangan penulis yang menuntut hak royalti teks Komsas.


Seorang pembaca, Gokulabalen Muniandy, dari Bukit Mertajam turut tampil membuat laporan polis pada 10 September lalu “demi mempertahankan hak para penulis terbabit menikmati royalti atas karya-karya mereka yang dijadikan teks Komsas.”


Kepada kelompok yang impoten dan tidak mampu membantu, cukuplah jika mereka tidak mengganggu. Serta berhenti menjadi musuh dalam selimut dan sekutu syaitan.


(Uthaya Sankar SB © 2011, Free Malaysia Today, 19 September 2011)

28 Sept 2011

Mangsa Komsas ke Putrajaya

Beberapa penulis yang menjadi mangsa dalam isu bayaran royalti teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) dijadual akan ke Pejabat Menteri Pelajaran di Putrajaya pada 29 September 2011.

Salah seorang penulis terbabit, Rohani Deraman dari Johor Bahru berkata, keputusan untuk pergi sendiri ke Putrajaya dibuat memandangkan Surat Rayuan Terbuka dan e-mel yang dikirim ke kementerian berkenaan sejak bulan lalu tidak membuahkan sebarang hasil.


Wakil media diundang hadir membuat liputan.


“Masing-masing penulis yang menjadi mangsa royalti teks sudah menyediakan surat untuk diserahkan kepada Menteri Pelajaran. Kalau menteri tidak ada, kami akan serahkan kepada pegawai beliau untuk disampaikan kepada menteri,” katanya.


Beberapa lagi penulis dikenal pasti turut menjadi mangsa dalam isu ini apabila penerbit tidak mahu membayar royalti bagi puisi, cerpen dan novel mereka yang diterbitkan semula sebagai teks Komsas.


Mereka termasuk Amy Suzani Mohd Ainuddin dari Kota Bharu serta Hazama Harun dan Mohd Izan Abd Hazes dari Kuala Lumpur.


“Selepas ke Putrajaya, kami juga akan terus ke studio Radio Web Selangor (RWS) kerana menerima undangan untuk menceritakan perkembangan terbaru kes ini secara langsung.


“Kami harap akan dapat menyampaikan berita gembira kepada pendengar dan penonton RWS; bukannya berita sedih yang sekali gus memberi gambaran seolah-olah kementerian masih gagal membela nasib penulis yang ditipu dan dianiaya penerbit yang tidak beretika,” kata Rohani.


Kes royalti teks Komsas ini didedahkan kepada umum mulai 15 Ogos lalu menerusi siri artikel di portal berita Free Malaysia Today dan The Malaysian Insider. [BACA DI SINI]


Bagaimanapun, penerbit terbabit yang dihubungi tetap berkeras tidak mahu membayar royalti kepada para penulis berkenaan.


Pada 10 September lalu, para penulis terbabit membuat laporan polis kerana penerbit terbabit dipercayai menyerahkan dokumen palsu kepada Kementerian Pelajaran Malaysia; iaitu surat izin palsu yang kononnya ditulis dan ditandatangani penulis.


Salinan laporan polis itu juga akan diserahkan di Pejabat Menteri Pelajaran untuk menggesa Menteri Pelajaran mengambil tindakan terhadap penerbit yang dipercayai menyerahkan dokumen palsu kepada kerajaan.


Nota: Wakil media boleh menghubungi Uthaya Sankar SB menerusi talian 016-3288142 atau e-mel uthayasb@yahoo.com.my untuk maklumat lanjut.

27 Sept 2011

Mantera Halau Hantu

Filem Vaidegi Kaathirundhal (1984) arahan R. Sundharajan menampilkan Vijayakanth dan Revathi. Kebanyakan lagu dalam filem itu dianggap evergreen dan masih digemari peminat lagu-lagu Tamil.

Salah sebuah lagu adalah “Kaarthirindhu Kaarthirindhu” di mana pada bahagian pertengahan lagu berkenaan diselitkan satu mantera lama dalam Bahasa Tamil.


Paada paduthum kaada karupa,

Vaada neeyun yerengi vaada.


Vanthuru vanthuru thaana vanthuru,


Vanthuru vanthuru thaana vanthuru.


Illena!


Paatu padipein, eddukei adipein,


Saatan ooda koondil adaipen.


Vanthuru vanthuru vanthuru vanthuru,


Vanthuru vanthuru vanthuru vanthuru.


Agar sukar untuk menterjemahkan sepenuhnya “semangat” yang terkandung dalam mantera itu ke Bahasa Malaysia. Apatah lagi untuk membolehkan kaum bukan India dan bukan penutur Bahasa Tamil memahami sepenuhnya “roh” mantera ini.


Walau bagaimanapun, kita perlu ingat bahawa penduduk negara ini pernah menganut agama Hindu dan mengamalkan budaya India; termasuk amalan mantera.


Apa yang terkandung dalam mantera di atas sebenarnya turut terkandung dalam mantera yang pernah menjadi amalan dalam kalangan masyarakat Melayu suatu masa dahulu.


Saya pula teringat akan mantera berkenaan apabila memikirkan isu sekumpulan penulis yang dinafikan hak royalti teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas). [BACA DI SINI]


Berikut terjemahan mantera berkenaan ke Bahasa Malaysia. Sila ambil perhatian bahawa ini bukan terjemahan langsung; sebaliknya terjemahan makna/kandungan mantera. Sekadar contoh, “vaada” dan “vanthuru” bermakna “marilah” tetapi dalam konteks mantera ini, ia membawa makna “nyah” atau “pergi”.


Wahai hantu jembalang yang menyusahkan,


Pergilah kau nyah segera.


Nyahlah kau dengan sendiri


Nyahlah kau dengan sendiri.


Jika tidak!


Aku akan menyanyi dan memukul gendang,


Aku akan penjarakan kau bersama syaitan.


Nyahlah sendiri, nyahlah sendiri


Nyahlah sendiri, nyahlah sendiri.


Tentu sahaja apabila “hantu jembalang yang menyusahkan” sudah “nyah sendiri” maka mudahlah untuk kita melaksanakan tugas-tugas murni tanpa sebarang gangguan.

Cinta Madinah Terima Tempias Interlok?

Belum selesai isu sekumpulan penulis teks Komsas yang dianiaya, ditipu dan dizalimi beberapa penerbit [BACA DI SINI], muncul pula isu lain berhubung sebuah lagi teks Komsas.

Saya mendapat tahu pada minggu lalu menerusi catatan rakan-rakan di Facebook bahawa novel ‘Cinta Madinah’ karya Abu Hassan Morad dibatalkan kontrak walaupun edisi murid sudah sedia untuk dicetak dan diedarkan ke beberapa negeri di Pantai Timur untuk kegunaan pelajar Tingkatan Tiga mulai 2012.


Apabila saya meminta komen rakan-rakan, Hariani Ibrahim dari Tawau, Sabah berkata, “Saya cuma melihat bahawa bentuk kehidupan kita semakin dikawal dengan kepentingan politik”.


Suriani Mat dari Kulai, Johor pula bertanya, “Mengapa karya terbaik dibatalkan kontrak? Susah hendak mencari karya yang baik dan berisi sebagai ganti.”


Kalau tidak silap saya, novel ‘Cinta Madinah’ menang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2000 dan diterbitkan pada 2001. Saya pernah membacanya pada 2005, tidak lama sebelum ia disiarkan di RTM1 sepanjang Ramadan pada tahun berkenaan. Rasa-rasanya, skrip oleh Abu Hassan dan Sharifah Abu Salem.


Novel itu memang kaya dengan unsur-unsur Islam kerana memang itulah gaya penulisan Abu Hassan. Sepanjang saya membacanya, tiada apa-apa yang menyentuh sensitiviti kaum atau agama lain.


Saya percaya bahawa kehebatan, keunikan dan kecantikan ‘Cinta Madinah’ sebagai sebuah novel bertema Islamik yang menjadi antara faktor mengapa ketiga-tiga peringkat panel pemilih dan pegawai Bahagian Pembangunan Kurikulum (CDC) di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memutuskan untuk mengangkat novel bermutu itu sebagai teks Komsas.


Namun, dalam perkembangan terbaru, walaupun kontrak sudah ditandatangani dan buku edisi murid sudah sedia untuk dicetak, ‘Cinta Madinah’ dikatakan kononnya menerima “tempias” daripada isu ‘Interlok Edisi Murid’ dan akhirnya “kena pancung” daripada senarai teks Komsas.


Saya tidak akan terkejut jika alasan yang diberikan oleh KPM adalah bahawa ‘Cinta Madinah’ bersifat “terlalu Islamik, memuji Nabi Muhammad SAW, mengangkat kehebatan kota Madinah, serta tidak bersifat 1Malaysia”.


Dalam hal ini, saya tidak menghubungi penerbit untuk bertanya mengapa mereka tidak berjuang mempertahankan novel ‘Cinta Madinah’. Saya percaya penerbit sebenarnya sudah bersedia untuk mencetak novel edisi murid dan ISBN sudah diperoleh.


Kalaulah (ulang: kalau) memang wujud apa-apa perkara yang dikatakan sensitif dalam ‘Cinta Madinah’, saya percaya bahawa Razlan Mohamed Noor dan Mahadzir Adun selaku editor sudah menanganinya secara profesional dalam edisi murid.


Tambahan pula, apabila dikatakan ‘Cinta Madinah’ menerima “tempias” daripada isu Interlok Edisi Murid, tentulah penerbit, editor dan KPM mampu memastikan pisang tidak berbuah dua kali.


Akan tetapi, tentulah suatu tindakan kurang bijak (baca: bodoh) jika sebuah karya sehebat, secantik dan sesempurna ‘Cinta Madinah’ dipancung semata-mata kerana pihak tertentu tidak mampu menangani isu ‘Interlok Edisi Murid’ secara profesional dan matang.


Tindakan yang lebih bodoh adalah sekiranya sesiapa di KPM mahu “memancung” novel ‘Cinta Madinah’ edisi murid dengan alasan bahawa novel itu bersifat “terlalu Islamik, memuji Nabi Muhammad SAW, mengangkat kehebatan kota Madinah, serta tidak bersifat 1Malaysia”.


Sesiapa yang memberikan alasan seperti itu ternyata sedikit pun tidak faham apa yang dimaksudkan “1Malaysia”! Baginya, mungkin teks Komsas berciri “1Malaysia” wajib menampilkan watak Melayu-Cina-India dan agama Islam-Hindu-Kristian-Buddha.


Orang seperti itu juga ternyata lupa pada kedudukan agama Islam mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan serta hakikat bahawa rakyat pelbagai kaum dan agama di negara bertuah ini sudah teramat biasa membaca dan menghayati karya bertema Islam.


Malah, sewaktu novel berkenaan diadaptasi dan disiarkan secara bersiri di televisyen pada 2005, khalayak yang menontonnya bukan hanya orang beragama Islam.


Apakah mungkin ada pihak tertentu yang sengaja menggunakan isu ‘Interlok Edisi Murid’ sebagai alasan untuk merealisasikan niat jahat “memancung” novel karya Abu Hassan? Atau untuk menyalahkan kaum tertentu sebagai punca novel itu dibatalkan kontrak?


Saya tidak menghubungi Abu Hassan untuk membincangkan isu berkaitan novel ‘Cinta Madinah’ kerana beliau tentu masih bersedih dan kemungkinan sedang berusaha “melupakan” episod yang amat melukakan ini.


Saya juga tidak akan membazir masa menghubungi KPM kerana pihak itu masih belum mampu mencetak dan mengedarkan edisi baru novel ‘Interlok Edisi Murid’ seperti dijanjikan menterinya enam bulan lalu.


KPM juga masih belum mampu membela nasib sekumpulan penulis yang dinafikan hak royalti teks Komsas. Lalu, apa gunanya isu ‘Cinta Madinah’ dibawa kepada perhatian menteri sekali pun?

Pada masa sama, memang pelik (baca: gila) kalau sesiapa cuba menyamakan isu ‘Interlok Edisi Murid’ dan ‘Cinta Madinah’. Novel oleh Abu Hassan berkisar sepenuhnya pada watak/keluarga Melayu-Islam. Tidak ada kena-mengena dengan watak kaum/agama lain. Apatah lagi menyentuh sensitiviti kaum/agama lain.


Lalu, atas alasan apa ‘Cinta Madinah’ dikatakan tidak sesuai dengan konsep 1Malaysia? Apakah agaknya alasan rasmi bagi pembatalan kontrak novel itu sebagai teks Komsas? Atau pembatalan dilakukan secara senyap dan saya pula akan didakwa kerana menyebarkan maklumat rahsia kerajaan!


Nampaknya isu teks Komsas memang penuh dengan “misteri” dan “tangan-tangan halus”. Ada penerbit yang menggunakan beberapa nama syarikat dan dengan amat mudah mendapat kontrak bagi beberapa karya yang menjanjikan pulangan lumayan. Apatah lagi apabila penulis asal tidak dibayar walau satu sen dan KPM tidak berani menegur.


Kalaulah benar novel ‘Cinta Madinah’ dipancung atas alasan “terlalu Islamik, memuji Nabi Muhammad SAW, mengangkat kehebatan kota Madinah, serta tidak bersifat 1Malaysia”, saya mahu lihat novel mana pula yang (mungkin) dibawa masuk mengikut pintu belakang untuk menggantikan tempatnya.


Apa tidaknya! Novel yang bakal mengambil alih tempat ‘Cinta Madinah’ sebagai teks Komsas pastilah sebuah karya agung yang benar-benar memenuhi ciri-ciri, semangat dan konsep “1Malaysia”. Akhirnya, kita akan tahu apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh KPM dengan “1Malaysia.


Sementara itu, saya berharap persatuan-persatuan penulis serta badan bukan kerajaan (NGO) yang semakin lantang bersuara sejak Januari 2011 akan turut berjuang membela nasib Abu Hassan. Tidak perlulah menunggu sehingga beliau datang meminta bantuan.


(Uthaya Sankar SB © 2011, The Malaysian Insider, 19 September 2011)

22 Sept 2011

Salam





Electronic press kits

Lirik: Ksatriya


Penyanyi: Ksatriya & Regina Ibrahim



Guitar: Eric Liang



Penyusun: Samwise (Samwise Music)



Penggubah: Samwise and Ksatriya



Berdasarkan versi asal: Damon Lee, Eric Liang, Samwise dan Ksatriya



Penerbit: Samwise Music and Ksatriya



Kulit: Arez Ezman



Nota: Bahan ini dikirim oleh Ksatriya pada 22 September 2011 untuk didokumentasikan di blog ini sebagai usaha menyebarkan semangat "salam" kepada semua.

Bengkel Penulisan Cerpen Dewasa

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menganjurkan Bengkel Penulisan Cerpen Dewasa dalam usaha membimbing golongan dewasa yang berminat mempelajari teknik menulis cerpen.

Bengkel akan diadakan pada 22 Oktober 2011 (Sabtu) di Shah Alam, Selangor. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut dan sila maklum bahawa penyertaan terhad kepada 15 peserta.

Lagi Isu Royalti: Komen Anda Diperlukan

Pada 20 September 2011, saya menyatakan pada ruangan status Facebook bahawa khabarnya sebuah syarikat mengambil cerpen-cerpen dari majalah/akhbar terbitannya dan membuat antologi (buku). Tiada surat izin penulis dan tiada bayaran royalti. (Sila klik foto untuk besarkan.)

Untuk berlaku adil, saya juga mengirim e-mel pada tarikh sama kepada penerbit berkenaan dan meminta reaksi. Saya bercadang menulis suatu artikel mengenai isu ini kerana ia melibatkan soal hak cipta, hak penerbitan dan hak royalti/honorarium serta menyentuh Akta Hak Cipta.


Wakil syarikat berkenaan menghubungi saya pada 21 September 2011 dan memberikan alasan bahawa setiap karya yang tersiar di akhbar/majalah terbitan syarikat itu menjadi milik syarikat. Maka, pihaknya berhak menerbitkan semula karya-karya itu dalam bentuk antologi (buku) tanpa perlu meminta izin penulis dan tanpa perlu membayar royalti/honorarium.


Apa pendapat anda sebagai seorang individu yang terlibat dalam dunia penerbitan dan dunia penulisan? Atau sebagai seorang individu yang gemar membaca buku?


Saya mengharapkan reaksi daripada anda untuk memantapkan artikel yang mahu ditulis. Saya akan menulis artikel berkenaan pada pagi 24 September 2011 (Sabtu). Maka, sebaik-baiknya komen/reaksi dikemukakan sebelum jam 9:00 pagi, 24 September 2011.


Komen/reaksi anda perlulah ditulis pada Facebook saya (di mana pautan ini dipaparkan) atau e-mel ke uthayasb@yahoo.com.my dengan menyertakan nama anda.


Komen/reaksi/pandangan yang bernas akan dipetik dalam artikel yang dijangka disiarkan pada 26 September 2011. Komen tidak perlu melebihi 50 patah perkataan.

Misteri Surat Izin Komsas

Isu mengenai sekumpulan penulis yang mendakwa dinafikan hak royalti teks Komsas ternyata masih jauh daripada menemui titik penyelesaian.

Surat rayuan yang ditulis oleh Rohani Deraman (Johor), Amy Suzani Mohd Ainuddin (Kelantan), Hazama Harun (Kuala Lumpur), Mohd Izan Abd Hazes (Kuala Lumpur) dan Erda Roslan Khairi (Putrajaya) pada 26 Ogos 2011 tidak mendapat perhatian pihak berwajib.


Begitu juga e-mel rasmi kepada Menteri Pelajaran, Ketua Pengarah Pelajaran dan semua penerbit terbabit pada 2 September. Hanya Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang bersikap profesional dan gentleman dengan mengirim balasan yang memang memuaskan hati.


Terbaru, para penulis terbabit mempunyai alasan untuk mempercayai kemungkinan ada penerbit mengemukakan dokumen palsu kepada kerajaan dalam usaha mengaut untung atas nama penulis yang dianiaya.


Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa) menetapkan syarat bahawa penerbit teks Komsas wajib mengemukakan surat izin yang menyatakan dengan jelas bahawa penulis membenarkan karyanya diedit dan disesuaikan bagi teks Komsas.


Langkah murni ini bagi memastikan penerbit tidak menganiaya penulis atau menerbitkan karya tanpa izin daripada pemegang hak cipta karya iaitu penulis.


Dalam isu lima penulis yang saya wakili, mereka mengesahkan beberapa kali menerusi perbualan telefon, SMS dan e-mel bahawa mereka tidak pernah menulis atau menandatangani atau menyerahkan surat izin seperti itu kepada penerbit.


Pengarah Bahagian Buku Teks (BBT) yang saya temui pada 7 September di Putrajaya berkata, penerbit terbabit yang beliau temui pada 18 Ogos mengesahkan bahawa para penulis sudah memberikan surat izin; tetapi penerbit tidak perlu menyerahkan salinan surat izin itu kepada BBT. Malah, itu bukan bidang kuasa BBT.


Tentu sahaja saya sedikit pun tidak meragui kebenaran kata-kata Pengarah BBT. Kalaulah salinan surat izin itu ada pada beliau, tentu beliau tidak keberatan untuk menunjukkannya kepada saya.


Mungkinkah surat izin itu diserahkan penerbit kepada bahagian lain yang terlebih dahulu menguruskan teks Komsas sebelum ia sampai ke tangan BBT? Bahagian Pembangunan Kurikulum (CDC), misalnya.


Tidak kisahlah bahagian mana, tapi yang pasti, mengikut syarat wajib ditetapkan Mabopa, penerbit sepatutnya sudah menyerahkan salinan surat izin penulis kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).


Soalnya, kelima-lima penulis yang saya wakili tidak pernah menyerahkan surat izin itu. Malah, dalam kebanyakan kes, penulis tidak diberitahu langsung oleh penerbit bahawa karya mereka terpilih sebagai teks Komsas. Penulis hanya mendapat tahu daripada orang lain selepas buku terbit dan digunakan di sekolah.


Timbul kemusykilan dalam kalangan penulis yang menghubungi saya: Mungkin penerbit telah menyerahkan dokumen palsu kepada KPM; iaitu dokumen palsu yang kononnya adalah surat izin yang ditulis dan ditandatangani oleh penulis berhubung teks Komsas.


Malah, disebabkan “syarat wajib” itulah ada penerbit terpaksa menghubungi beberapa penulis dan meminta mereka memberikan surat izin yang diwajibkan itu.


Akan tetapi, penerbit tetap tidak mahu membayar royalti kepada penulis terbabit. Atas sebab itu, kesemua penulis yang saya wakili tidak memberikan surat izin yang diminta.


Rohani Deraman, misalnya, mengirimkan kepada saya e-mel yang diterima pada 11 April 2011 untuk meminta beliau memberikan surat izin. Dia enggan kerana penerbit tetap tidak mahu memberi walau satu sen sebagai royalti.


“Saya mula syaki kemungkinan penerbit memberi surat izin palsu kerana dua minggu kemudian, saya buat panggilan susulan ke KPM dan seorang pegawai mengesahkan penerbit sudah tunjukkan surat dan urusan penerbitan sudah diluluskan pegawai atasan,” kata penulis itu.


Pengarah BBT menasihatkan saya berhubung terus dengan penerbit. Beliau juga berbesar hati menelefon pengarah penerbitan sebuah syarikat dan meminta penerbit memberi kerjasama apabila saya menghubunginya nanti untuk mengatur pertemuan.


Maka, untuk berlaku adil kepada penerbit dan untuk mendengar penjelasan di pihak mereka, saya menghubungi pengarah penerbitan itu.


“Kamilah pemegang hak cipta (copyright) dan kami ada perjanjian dan surat yang sudah ditandatangani penulis lama dahulu,” katanya dalam Bahasa Inggeris; tanpa tahu membezakan antara copyright dan publishing right.


“Kalau begitu, mengapa puan menghubungi penulis untuk meminta surat izin terbit sebagai teks Komsas?” Saya bertanya.


“Tak, saya hantar e-mel meminta biodata sahaja.”


“Pada 11 April 2011, puan ada menghubungi penulis ini menerusi e-mel dan meminta kirim surat izin untuk mengedit karya itu seperti ditetapkan oleh BBT,” kata saya sambil merujuk pada salinan e-mel yang ada pada saya.


“Kami tak perlu minta apa-apa izin daripada penulis. Kami tak ada masa nak layan semua ini,” katanya.


“Jadi mengapa puan mengirim e-mel dan meminta penulis itu beri surat izin?”


“Tak ada apa-apa sebab. Okey?” Katanya dengan nada marah.


“Jadi puan tidak bersedia untuk bertemu bagi membincangkan isu ini?”


“Awak bukannya seorang peguam pun! Kami tak perlu berjumpa awak,” kata wanita itu yang mengaku pembaca setia blog saya sejak isu ini timbul.


Terdahulu, pada pagi 2 September, saya menghubungi sebuah penerbitan di Melaka dan sempat bercakap dengan pengarah urusannya.


Beliau menceritakan bahawa pihaknya telah memberikan hak penerbitan (publishing right) bagi sebuah novel Komsas kepada penerbit lain selepas berjaya mendapat kontrak teks Komsas.


“Anuar (pemilik syarikat satu lagi) memang ada perjanjian dengan kami tapi dia dah ‘mainkan’ kami. Jadi, kami yang uruskan penghantaran novel untuk kegunaan Komsas,” katanya.


Saya cuba menelefon pejabat ‘Anuar’ di Kompleks Damai, Kuala Lumpur dan Taman Perindustrian Belmas Johan, Rawang tetapi nombor-nombor telefon sudah tiada dalam perkhidmatan.


Saya akhirnya berjaya menghubungi ‘Anuar’ menerusi telefon bimbit. Dia juga enggan berbincang. Sebaliknya mengirim SMS “Dah keling perangai macam keling” tanpa menyedari saya Malayali.


Pada pagi 8 September, saya sekali lagi menghubungi pengarah urusan syarikat di Melaka itu kerana Pengarah BBT sudah menasihatkan saya supaya berhubung terus dengan penerbit.


Anehnya, pengarah urusan itu menafikan pernah berbual bersama saya pada 2 September. Bagaimanapun beliau mengaku membaca blog saya dan tahu apa yang sedang berlaku.


“Kalau kamu mewakili penulis, sila kirim surat,” katanya dalam Bahasa Inggeris.


“Saya sudah kirim menerusi e-mel.”


“Kami tidak layan e-mel. ...”


“Soalan akhir, ada penulis terbabit beri surat izin bagi teks Komsas?”


“Saya tak boleh terangkan semua ini kepada kamu.”


Katanya, dua penulis yang karya mereka diterbitkan syarikat berkenaan sedang mempergunakan saya untuk “mendapatkan” wang daripadanya.


Apa pun, sehingga artikel ini ditulis, misteri “surat izin palsu” masih belum terjawab.


(Artikel ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 12 September 2011.)

20 Sept 2011

Royalti Komsas: Pembaca Lapor Polis

Susulan laporan polis yang dibuat empat penulis dalam isu royalti teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) pada 10 September 2011, seorang pembaca turut tampil membuat laporan polis berhubung isu sama.

Gokulabalen Muniandy, seorang juru X-ray di KPJ, Hospital Pakar Pulau Pinang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam pada 13 September.


Gokulabalen berkata, dia telah membaca “Surat Rayuan Terbuka Kepada Menteri Pelajaran” yang disiarkan di Free Malaysia Today dan The Malaysian Insider pada 26 Ogos dan di Malaysiakini pada 27 Ogos.


Surat rayuan itu ditulis oleh beberapa penulis yang karya mereka, sama ada berbentuk puisi, cerpen atau novel, terpilih untuk dijadikan teks Komsas tetapi mereka merasakan diri mereka teraniaya kerana penerbit menafikan hak mereka untuk menerima royalti bagi karya-karya itu yang merupakan hasil cipta dan harta intelek mereka sebagai penulis kreatif.


“Tindakan para penerbit ini saya anggap sebagai penganiayaan dan penipuan terhadap para penulis sebagai kelompok yang menghasilkan karya berkenaan dan berhak mendapat royalti/honorarium.


“Demi mempertahankan hak para penulis terbabit menikmati royalti atas karya-karya mereka yang dijadikan teks Komsas, saya datang ke balai polis membuat laporan,” katanya dalam laporan itu.


Pemuda itu juga berharap karya para penulis terbabit dijadikan teks Komsas dan mereka menerima royalti yang sepatutnya mereka terima secara sah menerusi teks Komsas berkenaan.


“Saya juga berharap tidak ada sesiapa menganiaya atau mengambil kesempatan terhadap para penulis terbabit,” katanya.


Rohani Deraman dari Johor Bahru, Johor adalah penulis asal cerpen “Warkah Daripada Ibu” dan novel “Cempaka Putih Untukmu” yang kini dijadikan teks Komsas.


Amy Suzani Mohd Ainuddin dari Kota Bharu, Kelantan adalah penulis asal puisi “Seorang Insan Istimewa” dan cerpen “Budi Semangkuk Daging” yang kini dijadikan teks Komsas.


Hazama Harun dari Cheras, Kuala Lumpur adalah penulis asal novel “Bukan Duniaku” yang kini dijadikan teks Komsas manakala suaminya, Mohd Izan Abd Hazes adalah penulis asal novel “Hikmah”.


“Saya terkejut apabila membaca laporan bahawa penerbit tidak mahu membayar royalti kepada penulis terbabit,” kata Gokulabalen yang gemar membaca karya sastera. ... Maklumat laporan polis oleh empat penulis terbabit boleh dirujuk DI SINI.

Penerbit Rompak Royalti Penulis

Pada jam 11:15 pagi, 18 September 2011, Rohani Deraman menghantar SMS dan bertanya sama ada saya sudah membaca akhbar Mingguan Malaysia.

“Tak. Apa kisahnya, kak? Saya di luar,” saya menjawab kerana pada waktu itu saya di Kota Kemuning untuk bertemu dua tokoh dalam industri penerbitan dan pendidikan.


Beliau terus menelefon saya dan menceritakan dengan gembira bahawa isu royalti teks Komsas ditulis oleh Ku Seman Ku Hussain. Saya juga amat gembira kerana mujurlah selepas lebih sebulan Kavyan dan para penulis terbabit mendedahkan isu itu, akhirnya ia mendapat perhatian media arus perdana.


Tentu sahaja saya amat berterima kasih kepada Ku Seman dan Cikgu Saleeh (Presiden PENA) atas keprihatinan mereka terhadap nasib para penulis terbabit.


Apabila pulang ke rumah, saya segera memaparkan berita/rencana bertajuk “Penerbit Rompak Royalti Penulis” dari Utusan Online pada dinding Facebook supaya turut mendapat perhatian lebih ramai penulis dan persatuan penulis.


“Semoga lebih ramai tampil bersuara seberani Ku Seman dan Presiden PENA dalam isu ini,” saya mencatatkanbersama-sama paparan itu.


Saya juga terharu atas sokongan segera yang diberikan Jamal Raslan Abdul Jalil dan Gokulabalen Muniandy. Mereka turut memaparkan berita/rencana itu pada dinding Facebook mereka.


Tentu sahaja setiap tindakan kecil membawa makna amat besar kepada para penulis terbabit (khasnya Rohani Deraman, Amy Suzani Mohd Ainuddin, Hazama Harun dan Mohd Izan Abd Hazes) yang memperjuangkan hak royalti teks Komsas.


Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menyokong sepenuhnya kata-kata Cikgu Saleeh dalam berita/rencana itu. Malah, apa yang beliau katakan adalah sama seperti apa yang para penulis terbabit perjuangkan sejak lebih sebulan lalu. [RUJUK DI SINI]


Bezanya, suara PENA akan lebih didengar dan saya berharap persatuan-persatuan lain akan turut tampil menyokong perjuangan menuntut hak royalti penulis dalam isu teks Komsas khasnya, dan isu penulisan amnya.


Sila KLIK DI SINI untuk membaca berita/rencana berkenaan.

19 Sept 2011

Si Kitol dalam Selimut?

Isu perjuangan sekumpulan kecil penulis yang dinafikan hak royalti teks Komsas masih berterusan.

Seorang individu di Facebook, Rozais Al-Anamy, yang berpegang teguh pada kata-kata “perkara baik harus dipanjang-panjangkan” (6 September 2011) turut tampil memberi peringatan menerusi ruangan statusnya pada 13 September 2011:

Siapakah si Kitul dalam rumah sastera sekarang? Awas dengan “perjuangannya” yang kononnya mahu membela nasib rakan seperjuangan. Dan awas dengan kenyataan-kenyataan saudara/ri yang akan memakan saudara/ri suatu hari nanti. Berhati-hati sebelum mati terbelit janjinya.

Nampaknya amaran Rozais ada kebenaran yang mungkin kita sendiri tidak pernah terfikir sebelum ini.

Dalam pada itu, berbalik pada isu royalti teks Komsas, bayangkan jika badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan penulis yang mengadakan perhimpunan besar-besaran demi “maruah pengarang” pada Januari lalu mampu melakukan perkara sama demi “maruah pengarang” juga pada kali ini.

Sayang seribu kali sayang. Apa yang berlaku adalah sebaliknya. Apabila penulis yang teraniaya meminta bantuan rakan-rakan penulis memaparkan Surat Rayuan Terbuka di Facebook, ada tokoh yang memberi amaran keras.

Sila KLIK DI SINI untuk membaca artikel penuh yang disiarkan di Free Malaysia Today pada 19 September 2011.

Cinta Madinah Terima Tempias Interlok?

Khabarnya novel Cinta Madinah karya Abu Hassan Morad dibatalkan kontrak teks Komsas walaupun edisi murid sudah sedia untuk dicetak dan diedarkan ke beberapa negeri di Pantai Timur untuk kegunaan pelajar Tingkatan Tiga mulai tahun depan.

Benarkah Cinta Madinah menerima “tempias” daripada isu Interlok Edisi Murid dan akhirnya “kena pancung” daripada senarai teks Komsas?


Saya tidak akan terkejut jika alasan yang diberikan oleh KPM adalah bahawa Cinta Madinah bersifat “terlalu Islamik, memuji Nabi Muhammad SAW, mengangkat kehebatan kota Madinah, serta tidak bersifat 1Malaysia”.


Sila KLIK DI SINI untuk membaca komen ini sepenuhnya, sebagaimana disiarkan di The Malaysian Insider pada 19 September 2011.

Alahai, Cikgu Saleeh!

Pada petang 28 Ogos 2011, semasa tidur sebentar, saya bermimpi bertemu Dr Mohamed Saleeh Rahamad. Maka saya menulis sedikit catatan di blog sebagai kenang-kenangan. [BACA DI SINI]


Kemudian, seorang rakan menghubungi saya dan memberikan alamat blog pensyarah itu yang saya panggil “Cikgu Saleeh”.


Catatan blog itu pada Januari dan Februari 2011 banyak berkisar tentang kontroversi novel Interlok Edisi Murid (2010). Membaca dan meneliti segala catatan yang lahir dari hati ikhlas Cikgu Saleeh menimbulkan pula rasa sedih, kecewa dan simpati dalam diri saya.


Saya mengenali Cikgu Saleeh semasa saya meneruskan pengajian di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (1993-1998).


Cikgu Saleeh antara lain merupakan pensyarah saya bagi Kursus Penulisan Kreatif I (Cerpen). Saya masih ingat bagaimana saya menghasilkan sebuah cerpen bagi tujuan kursus. Selepas membincangkannya di kelas, Cikgu Saleeh menghulurkan borang penyertaan pertandingan cerpen dan meminta saya menyertainya.


Akur pada permintaan serta menghargai suntikan semangat yang diberikannya secara penuh ikhlas, saya mengambil bahagian. Itulah cerpen “Anda, Sebuah Kampung dan Sebuah Kisah” yang menggunakan latar masa 26 Februari 1994 dan menang tempat kedua Hadiah Cerpen Esso-Gapena 1996.


Cikgu Saleeh juga penyelia saya bagi tesis bertajuk “Imej Wanita Kaum India Dalam Cerpen Bahasa Malaysia” (1998).


Semasa kontroversi novel Interlok Edisi Murid sedang hangat pada Januari 2011, saya masih bertugas sebagai Penolong Editor di akhbar Sinar Harian.


Saya menghubungi Cikgu Saleeh yang juga presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) untuk mendapatkan komen dan bahan berita yang kemudian disiarkan di akhbar itu.


Malah, apabila Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) bercadang menganjurkan perhimpunan besar-besaran di Rumah Gapena pada 15 Januari lalu, saya memberitahu Cikgu Saleeh bahawa saya mahu hadir sama.


“Lebih baik awak jangan hadir dalam perhimpunan Sabtu; takut sentimen,” katanya dengan nada risau dan mengambil berat pada lewat malam 13 Januari.


Saya nyatakan bahawa para penulis yang dijangka hadir adalah kawan-kawan saya juga dan pasti tidak ada apa-apa yang perlu beliau risaukan.


“Tak apa; datanglah,” balas beliau akhirnya.


Saya menghadiri perhimpunan itu dan catatan pengalaman saya didokumentasikan di blog untuk rujukan umum. [BACA dan TONTON VIDEO DI SINI]


Berbalik pada catatan di blog Cikgu Saleeh, saya dapati penggunaan bahasa beliau sangat sopan, berhemah dan terkawal; bukti keperibadian seorang ilmuan, pemimpin dan sarjana.


Namun, apabila membaca segala luahan rasa dan minda Cikgu Saleeh, saya berasa amat simpati dengan nasib beliau.


Dalam menangani isu royalti teks Komsas melibatkan lima penulis, misalnya, walaupun hanya saya dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) kelihatan “bising dan buat kecoh” sejak 15 Ogos lalu, kami sebenarnya menerima sokongan padu dan bantuan menyeluruh daripada lebih 50 individu yang tidak mahu dikenali. [BACA DI SINI]


Begitu juga dalam kontroversi novel Interlok Edisi Murid. Kavyan dibantu lebih 50 sukarelawan pelbagai kaum dan bidang kepakaran sejak Januari lalu untuk mengumpul data dan fakta dari pelbagai sumber bagi menguatkan hujah. [BACA DI SINI]


Hal yang sebaliknya berlaku kepada Cikgu Saleeh dan perkara ini jelas terungkap di blog beliau. “Biarpun tiada kawan yang datang menyokong, kami tetap akan ke Putrajaya,” beliau mencatatkan mengenai perasaan dialami pada 11 Januari.


Walaupun begitu ramai individu serta banyak persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) “hadir” dalam catatan beliau, akhirnya segala kerja tetap dilakukan oleh Cikgu Saleeh secara sendirian.


Misalnya, semasa sidang media pada 8 Januari 2011, “Timbalan Presiden PENA, Amiruddin Ali Md Hanafiah segera memberi reaksi spontan yang tidak kami bincangkan pun sebelumnya. Katanya, PENA akan membuat dan menghantar memorandum kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran. ... Tugas membuat memorandum dan draf laporan polis terbeban di pundak saya” walaupun Cikgu Saleeh “tidak ada pengalaman langsung dalam membuat memorandum”.


Malah, perasaan saya bertambah sayu sewaktu membaca catatan beliau mengenai pengalaman membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi pada 10 Januari:


“Ini kali pertama saya membuat laporan polis tentang isu nasional. Sebelum ini saya hanya membuat laporan polis tentang kehilangan kad pengenalan dan kehilangan kasut di rumah.”


Situasi beliau pada 11 Januari 2011 pula digambarkan begini: “Saya terpaksa berfikir sendirian ketika itu kerana kawan-kawan lain tiada yang datang membantu.”


Malah, memorandum PENA jugalah yang diolah semula oleh Cikgu Saleeh sendiri menggunakan “komputer usang” di Rumah PENA “untuk disesuaikan dengan kehendak GAPENA”. Maka, semuanya usaha beliau!


Pengalaman Cikgu Saleeh “meniti batas dan titi reput” dalam isu Interlok Edisi Murid terungkap secara penuh seni dalam sajak “Perjalanan di Denai Interlok” yang dipaparkan di blog beliau pada 25 Januari.


Antara lain, katanya, “terus memikul beban / seberat gunung / di denai walau sendirian” sementara “orang berlarian di sisi / mengejar sesuatu di depan” dan “melepaskan diri dari kami / yang memikul beban / sendirian”.


Sementara Cikgu Saleeh sedang bergelut dengan segala isu nasional ini, terdapat pula usaha oleh individu tertentu menabur fitnah terhadap beliau.


Individu berkenaan menelefon saya hampir setiap hari bermula 20 Disember 2010 dan mengutuk novel Interlok Edisi Murid serta kepimpinan PENA.


Kemudian, pada 23 Februari 2011, individu itu menambah dosa dengan memberitahu saya menerusi perbualan telefon bahawa dia sebenarnya “diarahkan” oleh Cikgu Saleeh untuk menghubungi saya dan “mengorek rahsia” mengenai pendirian Kavyan dalam kontroversi novel Interlok Edisi Murid!


“SMS awak pun saya telah forward kepada semua AJK PENA dari awal (20 Disember 2010). ... Dari awal saya menyokong Presiden PENA dan bukan anda dan persatuan anda,” katanya menerusi SMS yang masih saya simpan. [BACA LAGI]


Saya tidak memanjangkan isu itu atau bertanya kepada Cikgu Saleeh mengenainya kerana saya tidak mahu “ambil pusing” kata-kata individu berkenaan yang mungkin menghadapi masalah peribadi.


Namun, selepas membaca catatan blog Cikgu Saleeh pada 31 Ogos 2011, saya benar-benar kasihan pada beliau. Sedang beliau bertungkus-lumus berjuang secara sendirian, seolah-olah ada pula pihak tertentu cuba mencemar nama baik beliau dan PENA.


Mungkin juga mimpi pada 28 Ogos lalu adalah “isyarat” supaya saya memberi amaran kepada Cikgu Saleeh. Apatah lagi, pada 23 Februari lalu, individu yang menelefon saya mengaku, kononnya dia adalah salah seorang AJK PENA.


(Artikel ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 12 September 2011.)