E-mel rasmi kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri sudah dikirim pada pagi, 2 September 2011.
Antara kandungan e-mel rasmi itu adalah seperti berikut:
Artikel bertajuk Komsas Abai Hak Cipta? (Free Malaysia Today, 15 Ogos 2011), Surat Rayuan Terbuka Kepada Menteri Pelajaran (26 Ogos 2011), Penulis Dizalimi, Menteri Pelajaran Membisu (29 Ogos 2011) serta Syawal, Perjuangan Diteruskan (30 Ogos 2011) adalah berkaitan.
Sukacita dimaklumkan bahawa saya sudah diberi izin bertulis dan dilantik oleh lima penulis untuk mewakili mereka dalam usaha menyelesaikan apa yang disifatkan sebagai penganiayaan dan penindasan terhadap hak mereka mendapatkan royalti bagi karya asli mereka yang terpilih sebagai teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas).
Dengan ini, saya mewakili sebahagian atau kesemua penulis yang dinyatakan di atas mahu mengadakan pertemuan rasmi bersama Tan Sri sendiri bagi menyelesaikan isu royalti teks Komsas membabitkan sebahagian atau kesemua penerbit berikut:
1. Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd (Kota Damansara)
2. Nur-Ilmu Sdn Bhd (Kota Damansara)
3. Edu Quest Publisher (Kota Damansara)
4. Associated Educational Distributors (M) Sdn Bhd (Melaka)
5. Karya Hartamas Enterprise (Melaka)
6. V-Nice Resources (Kuala Lumpur/Rawang)
7. Dewan Bahasa dan Pustaka (Kuala Lumpur)
Memandangkan kes ini sudah berlarutan sejak sekian lama tanpa sebarang penyelesaian yang adil, berperikemanusiaan dan beretika, saya mahu mengadakan pertemuan rasmi bersama Tan Sri selewat-lewatnya pada 10 September 2011 mewakili sebahagian atau kesemua penulis terbabit.
Saya mengharapkan pengesahan tarikh, masa dan tempat pertemuan dengan kadar segera kerana saya bertanggungjawab melaporkan perkembangan kes ini dari semasa ke semasa kepada pihak terbabit.
Sekiranya tidak ada sebarang maklum balas rasmi daripada pihak Tan Sri sehingga 10 September 2011, maka saya terpaksa menyatakan demikian dengan seadanya dalam laporan saya.
Semoga Tan Sri dapat memperuntukkan masa bagi mengadakan pertemuan rasmi ini ke arah merungkai serta mencari penyelesaian segera, adil, beretika dan berperikemanusiaan berhubung isu berbangkit ini.
Sejak petang 29 Ogos 2011, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dengan bantuan sekumpulan sukarelawan mula mengumpulkan alamat e-mel rasmi Menteri Pelajaran dan beberapa pegawainya, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dan beberapa pegawainya, serta Pengarah Bahagian Buku Teks (BBT) Kementerian Pelajaran Malaysia dan beberapa pegawainya.
Turut dikumpulkan alamat e-mel para penerbit yang didapati menganiaya penulis terbabit dengan tidak membayar royalti yang layak dan berhak mereka terima.
Saya juga mahu bertemu mereka secara bersemuka selepas pertemuan yang sepatutnya berlangsung pada 18 Ogos 2011 di pejabat Pengarah BBT kononnya dibatalkan pada saat akhir (sedangkan maklumat “pembatalan” itu adalah suatu pembohongan semata-mata bagi menghalang saya menghadiri mesyuarat itu mewakili penulis yang tertindas).
Agak menarik bahawa Nur-Ilmu Sdn Bhd dan Edu Quest Publisher mempunyai pertalian rapat dengan Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd yang beralamat di Kota Damansara. Maka, saya hanya perlu mengirim e-mel bagi ketiga-tiga penerbit itu ke satu alamat.
Pada pagi, 2 September 2011, saya turut menghubungi Associated Educational Distributors (M) Sdn Bhd (AED) di Melaka untuk mendapatkan alamat e-mel AED dan Karya Hartamas Enterprise. Walaupun memiliki alamat e-mel yang berbeza, kedua-duanya mempunyai pertalian amat rapat.
Saya juga sempat bercakap dengan Pengarah Urusan AED, Encik Steven KH Lee yang menceritakan bahawa pihaknya telah memberikan hak penerbitan (publishing right) bagi novel Hikmah kepada V-Nice Resources selepas berjaya mendapat kontrak teks Komsas daripada Kementerian Pelajaran Malaysia.
“Anuar (pemilik V-Nice Resources) memang ada perjanjian dengan AED tapi dia dah ‘mainkan’ kami. Jadi, AED yang uruskan penghantaran novel Hikmah untuk kegunaan Komsas,” katanya.
Saya cuba menelefon pejabat V-Nice Resources di Kompleks Damai, Kuala Lumpur dan Taman Perindustrian Belmas Johan, Rawang tetapi nombor-nombor berkenaan sudah tiada dalam perkhidmatan.
Maka, untuk berlaku adil, e-mel bagi V-Nice Resources juga dikirim kepada AED bersama-sama e-mel bagi Karya Hartamas Enterprise.
E-mel yang ditujukan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pula dikirim kepada Ketua Pengarah dengan salinan kepada beberapa pegawai tinggi di badan berkanun berkenaan.
Untuk berlaku adil dan telus, salinan e-mel yang berkenaan juga dikirim kepada penulis terbabit dan kepada presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa).
Surat rayuan yang ditulis oleh Rohani Deraman (Johor), Amy Suzani Mohd Ainuddin @ Natasya Puteri (Kelantan), Hazama Harun @ Aida Shahira (Kuala Lumpur), Mohd Izan Abd Hazes @ Mohd Faris Ikmal (Kuala Lumpur) dan Erda Roslan Khairi (Putrajaya) pada 26 Ogos 2011 tidak mendapat perhatian pihak berwajib.
Tidak mustahil bahawa e-mel yang saya kirim pada 2 September 2011 juga akan dipandang enteng oleh para penerima.
Akhirnya, para penulis yang teraniaya dan Rakyat Jelata yang tidak tahan dengan segala kezaliman, penganiayaan, ketidakadilan dan penindasan yang berlaku dalam soal-soal seperti ini hanya ada satu cara untuk mezahirkan bantahan mereka.
Anda sendiri tahu apakah caranya. Boleh juga dibaca perinciannya menerusi artikel-artikel saya di Free Malaysia Today (“Semangat Reformasi Caesar”) dan The Malaysian Insider (“Mengundi Tanpa X”) pada Isnin, 5 September 2011; dengan izin Tuhan.