20 Sept 2011

Penerbit Rompak Royalti Penulis

Pada jam 11:15 pagi, 18 September 2011, Rohani Deraman menghantar SMS dan bertanya sama ada saya sudah membaca akhbar Mingguan Malaysia.

“Tak. Apa kisahnya, kak? Saya di luar,” saya menjawab kerana pada waktu itu saya di Kota Kemuning untuk bertemu dua tokoh dalam industri penerbitan dan pendidikan.


Beliau terus menelefon saya dan menceritakan dengan gembira bahawa isu royalti teks Komsas ditulis oleh Ku Seman Ku Hussain. Saya juga amat gembira kerana mujurlah selepas lebih sebulan Kavyan dan para penulis terbabit mendedahkan isu itu, akhirnya ia mendapat perhatian media arus perdana.


Tentu sahaja saya amat berterima kasih kepada Ku Seman dan Cikgu Saleeh (Presiden PENA) atas keprihatinan mereka terhadap nasib para penulis terbabit.


Apabila pulang ke rumah, saya segera memaparkan berita/rencana bertajuk “Penerbit Rompak Royalti Penulis” dari Utusan Online pada dinding Facebook supaya turut mendapat perhatian lebih ramai penulis dan persatuan penulis.


“Semoga lebih ramai tampil bersuara seberani Ku Seman dan Presiden PENA dalam isu ini,” saya mencatatkanbersama-sama paparan itu.


Saya juga terharu atas sokongan segera yang diberikan Jamal Raslan Abdul Jalil dan Gokulabalen Muniandy. Mereka turut memaparkan berita/rencana itu pada dinding Facebook mereka.


Tentu sahaja setiap tindakan kecil membawa makna amat besar kepada para penulis terbabit (khasnya Rohani Deraman, Amy Suzani Mohd Ainuddin, Hazama Harun dan Mohd Izan Abd Hazes) yang memperjuangkan hak royalti teks Komsas.


Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menyokong sepenuhnya kata-kata Cikgu Saleeh dalam berita/rencana itu. Malah, apa yang beliau katakan adalah sama seperti apa yang para penulis terbabit perjuangkan sejak lebih sebulan lalu. [RUJUK DI SINI]


Bezanya, suara PENA akan lebih didengar dan saya berharap persatuan-persatuan lain akan turut tampil menyokong perjuangan menuntut hak royalti penulis dalam isu teks Komsas khasnya, dan isu penulisan amnya.


Sila KLIK DI SINI untuk membaca berita/rencana berkenaan.