20 Sept 2011

Royalti Komsas: Pembaca Lapor Polis

Susulan laporan polis yang dibuat empat penulis dalam isu royalti teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) pada 10 September 2011, seorang pembaca turut tampil membuat laporan polis berhubung isu sama.

Gokulabalen Muniandy, seorang juru X-ray di KPJ, Hospital Pakar Pulau Pinang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam pada 13 September.


Gokulabalen berkata, dia telah membaca “Surat Rayuan Terbuka Kepada Menteri Pelajaran” yang disiarkan di Free Malaysia Today dan The Malaysian Insider pada 26 Ogos dan di Malaysiakini pada 27 Ogos.


Surat rayuan itu ditulis oleh beberapa penulis yang karya mereka, sama ada berbentuk puisi, cerpen atau novel, terpilih untuk dijadikan teks Komsas tetapi mereka merasakan diri mereka teraniaya kerana penerbit menafikan hak mereka untuk menerima royalti bagi karya-karya itu yang merupakan hasil cipta dan harta intelek mereka sebagai penulis kreatif.


“Tindakan para penerbit ini saya anggap sebagai penganiayaan dan penipuan terhadap para penulis sebagai kelompok yang menghasilkan karya berkenaan dan berhak mendapat royalti/honorarium.


“Demi mempertahankan hak para penulis terbabit menikmati royalti atas karya-karya mereka yang dijadikan teks Komsas, saya datang ke balai polis membuat laporan,” katanya dalam laporan itu.


Pemuda itu juga berharap karya para penulis terbabit dijadikan teks Komsas dan mereka menerima royalti yang sepatutnya mereka terima secara sah menerusi teks Komsas berkenaan.


“Saya juga berharap tidak ada sesiapa menganiaya atau mengambil kesempatan terhadap para penulis terbabit,” katanya.


Rohani Deraman dari Johor Bahru, Johor adalah penulis asal cerpen “Warkah Daripada Ibu” dan novel “Cempaka Putih Untukmu” yang kini dijadikan teks Komsas.


Amy Suzani Mohd Ainuddin dari Kota Bharu, Kelantan adalah penulis asal puisi “Seorang Insan Istimewa” dan cerpen “Budi Semangkuk Daging” yang kini dijadikan teks Komsas.


Hazama Harun dari Cheras, Kuala Lumpur adalah penulis asal novel “Bukan Duniaku” yang kini dijadikan teks Komsas manakala suaminya, Mohd Izan Abd Hazes adalah penulis asal novel “Hikmah”.


“Saya terkejut apabila membaca laporan bahawa penerbit tidak mahu membayar royalti kepada penulis terbabit,” kata Gokulabalen yang gemar membaca karya sastera. ... Maklumat laporan polis oleh empat penulis terbabit boleh dirujuk DI SINI.