Perkara berkenaan saya perhatikan pada 2 September 2011, iaitu sebaik tamat cuti Hari Raya Aidil Fitri.
Perubahan haluan Jalan Murni 25/61 (jalan sehala) adalah yang paling menimbulkan kekeliruan dan tanda tanya.
Apabila hala jalan itu diubah, penduduk yang pergi ke pasar, pasar raya, kedai-kedai, tempat makan dan sebagainya terpaksa menggunakan Jalan Makmur 25/64 yang memang diketahui umum sentiasa sesak sepanjang hari.
Memang amat menghairankan mengapa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tiba-tiba mengubah haluan beberapa jalan di kawasan berkenaan sehingga penduduk bangun pada suatu pagi awal September dan mendapati haluan jalan sudah berubah.
Ternyata saya bukan satu-satunya individu yang berasa hairan, kecewa, tertanya-tanya, berasa kurang selesa dan marah dengan keputusan yang dibuat MBSA tanpa berbincang dengan penduduk kawasan berkenaan.
Pada pagi 24 September, Naib Pengerusi Wanita MCA Selangor, Quah Saw Choon menghubungi saya dan memaklumkan bahawa sekumpulan penduduk dan peniaga mengadakan bantahan awam.
Katanya, beliau menerima aduan daripada lebih 300 peniaga dan penduduk sekitar Taman Sri Muda sejak awal bulan berikutan mereka mendapati perubahan hala jalan yang dibuat MBSA tidak menyelesaikan masalah; sebaliknya menambah beban.
Misalnya, ia menjelaskan keselamatan pemandu kenderaan kerana sejak awal bulan, kenderaan mula bergerak di kedua-dua hala di Jalan Murni 25/61 dan perkara ini dapat diperhatikan setiap hari.
Pada masa sama, Jalan Makmur 25/64 yang sedia sesak sejak saya mula-mula berpindah ke taman ini pada tahun 2000 kini benar-benar bertambah sesak.
Saw Choon berkata, beliau menerima aduan daripada penduduk bahawa mereka kini terpaksa tersekat dalam kesesakan jalan raya kerana tiada pilihan lain.
“Selalu juga timbul salah faham dan perselisihan antara pemandu kereta kerana masih-masing marah dengan apa yang berlaku,” katanya semasa ditemui bersama penduduk dan peniaga yang mengadakan bantahan awam di Jalan Murni 25/61.
Penyelaras Barisan Nasional Parlimen Kota Raja, R. S. Maniam yang turut berada di sana untuk menerima aduan penduduk dan peniaga menjelaskan bahawa tindakan MBSA yang tiba-tiba mengubah haluan jalan terbukti menjejaskan keselesaan penduduk.
“Saya bekas ahli majlis dan saya tahu bahawa sepatutnya apabila MBSA mahu melakukan perkara seperti ini, ia perlu memaklumkan kepada penduduk serta mendapatkan maklum balas daripada mereka,” katanya.
Beliau juga menyentuh mengenai sebuah bank di jalan itu yang menjadi tumpuan peniaga.
“Dulu, peniaga boleh pergi terus ke bank untuk deposit wang hasil perniagaan tapi kini terpaksa pusing jauh dalam jalan yang sesak. Peniaga-peniaga mengadu kepada saya bahawa mereka takut dan bimbang kemungkinan disamun dalam perjalanan jauh, lalu mungkin menutup akaun di bank itu,” katanya.
Salah seorang peniaga, Yeng Chang Yen menceritakan bahawa perniagaan di kedai telefonnya jatuh hampir 30 peratus sejak tiga minggu lalu kerana orang ramai memilih untuk ke kedai lain berikutan perubahan haluan jalan yang mengelirukan dan menyusahkan.
Perkara ini turut diakui Kesavan Chelladurai yang bekerja di sebuah kedai telekomunikasi berdekatan. Katanya, orang ramai yang mahu membayar bil telefon juga memilih untuk pergi ke tempat lain walaupun jauh sedikit kerana rimas dengan kesesakan yang timbul sejak awal bulan ini.
Bagi Junairah, pemilik salon yang beroperasi di Jalan Murni 25/61 sejak sepuluh tahun lalu, perniagaannya turut menerima kesan berikutan ramai pelanggan setianya sudah beralih ke salon di tempat lain.
“MBSA mungkin anggap perubahan hala jalan ini perkara kecil tapi kami para peniaga dan penduduk yang berada di sini yang sebenarnya tahu dan merasai sendiri segala kepayahan setiap hari. Bayangkan jika pendapatan saya yang selalunya RM2,000 kini hanya RM700,” rungutnya dengan penuh kecewa.
Tidak hairanlah hampir semua pemilik premis perniagaan di Jalan Murni 25/61 menulis surat bantahan kepada MBSA pada 13 September lalu. Premis itu termasuk bank, farmasi, kedai aksesosi kereta, kedai foto, restoran, kedai logam, kedai telekomunikasi, kedai kek, klinik, kedai barangan elektrik, dobi dan kedai barangan am.
Seorang peniaga, Joshua Pung memberitahu saya bahawa belia sudah mengumpulkan aduan rasmi daripada hampir 30 peniaga dan mengemukakannya ke Pusat Khidmat MPP Zon 9 tetapi diminta pergi ke MBSA.
Seorang lagi penduduk, K.S. Nagarajan menceritakan bahawa murid-murid dari sekolah rendah berhampiran juga menghadapi masalah apabila melintas jalan berkenaan sejak diubah hala.
“Saya bekerja di sini dan hari-hari saya lihat kanak-kanak melintas jalan dan mereka sekarang keliru nak pandang kiri atau kanan. Kenderaan pula tiba-tiba datang dari arah kiri dan juga kanan sebab pemandu pun keliru mana jalan yang betul. Banyak kali saya terpaksa menjerit apabila murid sekolah hampir kena langgar,” katanya dengan penuh prihatin.
Para peniaga dan penduduk yang saya temui rata-rata tertanya-tanya mengapa MBSA mengambil keputusan mengubah hala beberapa jalan di sekitar kawasan itu sedangkan ia secara terang-terangan menambah kesesakan jalan, mengelirukan pengguna, mengundang bahaya serta mendapat bantahan penduduk.
“Kami tidak menolak kemungkinan ada campur tangan pihak tertentu yang memanipulasi keadaan dan menggunakan kuasa yang ada padanya untuk mengubah hala jalan-jalan sehala di sekitar kawasan ini supaya orang ramai terpaksa pergi ke premis perniagaan tertentu yang dibuka di Taman Sri Muda beberapa bulan lalu,” kata Anuar Ismail, seorang peniaga yang beroperasi di sini sejak 20 tahun lalu.
Beliau juga tertanya-tanya mengapa MBSA tiba-tiba mengubah hala jalan secara ‘overnight’ tanpa meminta pandangan penduduk dan peniaga di kawasan terbabit.
R. S. Maniam menelefon saya pada petang Sabtu dan memaklumkan bahawa Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBSA pada dasarnya bersetuju untuk mengadakan pertemuan pada Rabu ini untuk membincangkan isu berkenaan.
Sementara itu, saya sebagaimana kebanyakan penduduk Taman Sri Muda perlu “menyesuaikan diri” dengan kesesakan jalan “buatan MBSA” yang menguji kesabaran, selain membazir masa, tenaga dan petrol.
(Uthaya Sankar SB © 2011, Free Malaysia Today, 26 September 2011)