Monday, 3 October 2011

Trivia Limau Bali

Memandangkan saya akan berlepas ke Bali, Indonesia pada malam ini untuk menyertai Festival Penulis & Pembaca Ubud (4-10 Oktober 2011), saya segera teringat akan limau bali.

Bukan untuk makan buah berkenaan yang bersaiz besar, berkulit tebal serta isi yang agak kering serta tumbuh di negara-negara Asia Tenggara dan Kepulauan Pasifik, tetapi untuk merenungkan namanya.


Buah ini turut dikenali dengan nama limau abung, limau tambun, limau bol dan pomela di Malaysia, manakala nama saintifiknya ‘Citrus maxima’ atau ‘Citrus grandis’.


Nama lain dalam Bahasa Inggeris adalah ‘shaddock’ dan ‘pompelmous’ yang sebenarnya berasal daripada ‘papma limasu’ dalam Bahasa Tamil.


Di Indonesia, ia dikenali sebagai ‘jeruk bali’ sempena nama Bali serta dikenali sebagai ‘suja’ atau ‘lukban’ di Filipina, manakala di Thailand pula digelar ‘som-oh’.


Di China, limau bali dikenali dengan nama ‘youzi’ manakala di Jepun pula namanya ‘buntan’ dan ‘zabon’.


Penduduk di Tamil Nadu, India menggelarnya ‘gadarangai’ manakala penduduk Andra Pradesh memanggilnya ‘dabba kaaya’ dan penduduk Kerala melabelnya ‘kambili naranga’.


Saya tidak tahu apakah makanan popular di Ubud. Entahlah jika saya akan berpeluang makan limau bali di sana!


Apa pun, sambil bertemu penulis terkemuka dari Indonesia, Argentina, India, Britain, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Kanada, Kemboja, Pakistan, Jepun, Perancis, Mesir, Jerman, Denmark dan sebagainya, saya juga bersedia untuk mencuba makanan dan minuman istimewa di Bali.


Pasti sahaja keunikan seni, budaya dan masyarakat di sana akan menjadi santapan minda yang amat berguna untuk dikongsikan apabila pulang ke tanah air.


Nota: Baca trivia air DI SINI, trivia kucing DI SINI, trivia liar DI SINI, trivia watak kartun DI SINI, trivia roti canai DI SINI, trivia nama DI SINI dan trivia kathakali DI SINI.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!