14 Oct 2010

Trivia Watak Kartun

Foto profil Rusyan Sopian di Facebook mengingatkan saya kepada watak Shaggy dalam animasi Scooby-Doo. Saya juga menyatakan demikian kepadanya sewaktu kami bertemu di Taman Tun Dr Ismail pada 9 Oktober 2010.
.

Pada 10 Oktober 2010, saya muka mencari maklumat beberapa lagi watak kartun dan memaparkan trivia itu pada ruangan status di Facebook. Berikut maklumat berkenaan.

.

Nama sebenar watak Shaggy dalam siri kartun “Scooby-Doo” ialah Norville Rogers. Nama sebenar Shaggy, artis reggae kelahiran Jamaica pula ialah Orville Richard Burrell.

.

Nama penuh watak komik Donald Duck ialah Donald Fauntleroy Duck. ‘Alter ego’ kepada Donald Duck sejak 1969 ialah Paperinik. Dari segi bahasa, “duck” merujuk pada itik betina dewasa manakala itik jantan dewasa dipanggil “drake”.

.

Kucing bernama “Jasper” dalam animasi “Puss Gets the Boot” (1940) bertukar menjadi “Thomas Cat” dalam animasi kedua berjudul “The Midnight Snack” (1941) sebelum menjadi terkenal menerusi siri “Tom and Jerry”. Animasi terakhir menampilkan watak kucing dan tikus itu adalah “The Karate Guard” (2005).

.

Watak “Popeye the Sailor” mula-mula muncul pada Januari 1929 dalam komik “Thimble Theatre” yang disiarkan di akhbar sejak Disember 1919. Animasi “Popeye the Sailor” pada 1933 mendapat sambutan hangat dan lagu tema “I’m Popeye the Sailor Man” menjadi kegemaran ramai. Watak Popeye menjadi amat popular dan tajuk komik “Thimble Theatre” di akhbar ditukar kepada “Popeye” pada 1938.

.

Dalam versi asal kartun ini (1929), watak Popeye mendapat kekuatan luar biasa dengan menggosok kepala Whiffle Hen, seekor ayam yang aneh. Hanya bermula 1932, Popeye makan bayam (spinach) untuk menjadi kuat. Ramai yang berpendapat kandungan zat besi yang tinggi dalam bayam membuatkan Popeye menjadi kuat. Malah itulah "kempen" yang digunakan untuk menggalakkan kanak-kanak makan bayam! Sebenarnya, sayur itu kaya Vitamin A.

.

Komik animasi “Uchuu Keiji Gavan” ditayangkan dalam 44 episod bermula 5 Mac 1982 di Jepun. Versi alih suara ke Bahasa Inggeris dikenali “Space Sheriff Gavan” (Space Cop Gaban). Nama watak utama dalam siri itu ialah Retsu Ichijouji. Ibunya (Tamiko Ichijouji) manusia dari Bumi manakala bapanya (Voicer) berasal dari Planet Burung. Retsu mampu bertukar menjadi Gavan dalam masa 0.05 saat.