Tuesday, 4 October 2011

Dari LCCT ke Bali

Pada 3 Oktober 2011, sekitar jam 1:00 petang, selepas menghantar Devishi Prabha Sankari ke sekolah, saya memandu ke rumah Rajan di Seri Kembangan.

Kami makan di KFC sambil berbual-bual mengenai perkembangan terkini dalam hidup, keluarga dan pekerjaan.


Kemudian, apabila pulang ke rumah Rajan, saya tidur sebentar sementara Rajan menonton televisyen. Sekitar jam 5:00 petang, kami berdua ke kedai untuk minum teh dan seterusnya ke tempat kerja Nisha untuk mengambilnya.


Dari sana, kami bertiga langsung ke LCCT. Memandangkan saya sudah pun mendaftar masuk secara dalam talian beberapa hari lalu, tiada apa yang perlu dilakukan.


Kami bertiga minum di OldTown Coffee sambil berbual-bual. Pasangan suami-isteri itu menceritakan pengalaman mereka melancong ke Bali baru-baru ini dan mencadangkan beberapa tempat yang wajar dilawati. Mereka berdua juga bakal melancong ke Kerala, India pada Jun 2012.


Sekitar jam 7:30 malam, Rajan dan Nisha pulang. Saya menunggu di balai berlepas. Pada sekitar 8:00 malam, diumumkan bahawa penerbangan AirAsia yang dijadualkan pada 8:25 malam, ditunda ke 9:35 malam. Maka, saya terus melayari internet menggunakan telefon bimbit.


Penerbangan berlepas sekitar jam 9:35 malam dari LCCT ke Bali dan saya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Denpasar pada sekitar 12:30 tengah malam.


Pemeriksaan kastam agak ketat. Pegawai yang memeriksa beg saya agak bingung melihat beg saya hanya berisi buku dan pakaian. Lalu saya nyatakan bahawa saya menghadiri Ubud Writers & Readers Festival.


Sebaik keluar dari Balai Ketibaan, sudah ada petugas festival menunggu. Rupa-rupanya tiga penulis dari Rusia turut terbang bersama-sama saya dalam pesawat QZ8396 sebentar tadi.


Kami berempat dibawa menaiki van menuju ke hotel. Perjalanan agak jauh tapi pemandangan sepanjang jalan amat mengagumkan; walaupun gelap.


Tentu sahaja papan-papan tanda menggunakan Bahasa Indonesia yang ada banyak pengaruh Bahasa Sanskrit; khususnya pada nama tempat.


Sepanjang perjalanan ke Ubud juga jelas kelihatan patung-patung dan berhala di tepi jalan. Apa yang pasti, pemandangan ini amat tidak sesuai bagi pelancong Melayu-Islam dari Malaysia kerana segala apa yang ada di sini mungkin menggugat keimanan mereka; bergantung pada tahap keimanan masing-masing, tentunya.


Sekitar jam 2:00 malam, kami tiba di Honeymoon Guesthouse, Jalan Bisma, Ubud. Satu bilik bujang untuk saya. Bilik nombor 24 di Blok Surya. Ciri-ciri yang terdapat pada bilik itu sendiri sungguh unik iaitu menggabungkan unsur moden dan tradisional. Mungkin itulah antara kehebatan Bali yang bakal saya rasai selama seminggu berada di Ubud.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!