25 Feb 2011

Ingin Bertemu ...

Saya bercadang mengunjungi Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada pertengahan April 2011. Kali terakhir saya berpeluang bertemu beliau adalah pada 1995 semasa menyertai perhimpunan penulis di Kota Bharu. .
.

Kalau ada ruang dan peluang, saya juga bercadang bertemu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada pertengahan Mac 2011. Kali terakhir kami sempat bertemu pada April 2010.

.

Begitu juga dengan Ketua Menteri dan Menteri Besar lain. Saya selalu membaca mengenai mereka di akhbar, dan amat ingin bertemu mereka secara bersemuka untuk lebih mengenali mereka. Bukan sebagai orang politik tetapi atas kapasiti masing-masing sebagai Menteri Besar dan Ketua Menteri.

.

Mungkin sahaja kami boleh berbual tentang bahasa, sastera, seni dan budaya tanpa dikelilingi penyokong politik.

.

Buat masa ini, pertemuan yang saya katakan ini hanya pada peringkat “cadangan” dan “harapan” dan “niat”. Saya belum menghubungi pejabat mana-mana Menteri Besar dan Ketua Menteri terbabit.

.

Saya akan maklumkan perkembangan dari semasa ke semasa menerusi blog ini.

24 Feb 2011

Sama-sama, Raja!

Raja, 23 Februari 2011, 8:19 malam

Sy akan mengambil tindakan undang2 terhadp anda jika awak terus menabur fitnah atau menjejaskan imej sy dan AJK PENA. Kenyataan sy yg rasmi sudah tersiar dlm B.Harian dan NST. Itu yg betul dan rasmi. Jgn menabur fitnah.

UthayaSB, 23 Februari 2011, 8:24 malam

Jangan risau. Semua SMS dan rakaman perbualan telefon ada dalam simpanan. Orang tak boleh fitnah anda atau putar belit kata-kata anda. Jangan risau.

Raja, 23 Februari 2011, 8:30 malam

Sms awak pun sy telah forward kpd semua AJK PENA dari awal. Ada bukti.

UthayaSB, 23 Februari 2011, 8:33 malam

Ya, terima kasih. Memang sejak awal saya tahu SMS saya sedang dikumpul untuk diedar. Sebab itu saya sengaja letak nama saya di hujung SMS sejak 20 Dis 2010.

Raja, 23 Februari 2011, 8:35 malam

Kita akan jumpa di mahkamah.

UthayaSB, [Tidak sempat membalas]

Raja, 23 Februari 2011, 8:38 malam

Dari awal sy menyokong Presiden PENA dan bukan anda dan Persatuan Anda.

UthayaSB, 23 Februari 2011, 8:41 malam

Ya, jangan risau. Saya tahu semua tu sebab dah ada orang beritahu sebelum anda menghubungi saya pada 20 Dis 2010. Jangan risau, saya sedia maklum.

Raja, [Tiada sebarang SMS susulan]


NOTA (30 November 2014): Kiriman SMS di atas adalah susulan penyiaran makalah bertajuk "Terima Kasih, Raja!" ... Baca huraian lanjut dalam makalah ini: Interlok dan Tokoh Lidah Bercabang ... Baca juga Data Palsu di Dewan Sastera (2017) dan Komplot Jahat Raja Rajeswari (2003).

Peribahasa "Talam Dua Rajes" diperkenalkan pada 27 Jun 2017 dan ditulis sebagai #TalamDuaRajes - Rujuk di sini.

23 Feb 2011

Terima Kasih, Raja!

Bayangkan! Daripada seorang yang tidak pernah membaca novel Interlok karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain, akhirnya saya mengkaji secara mendalam edisi 1996, 2003, 2005 dan 2010 novel berkenaan.
.
Segalanya bermula pada 15 Disember 2010 apabila Pengerusi Biro Pengaduan Am, Datuk T Murugiah membuat pengumuman rasmi berhubung penarikan balik teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) itu ‘didakwa mengandungi unsur negatif serta boleh menyinggung perasaan kaum Melayu dan India’ (Sinar Harian, 21 Disember 2010).
.
Pada 20 Disember 2010, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Mohamed Saleeh Rahamad membuat kenyataan kepada media:
.
“Biarpun ada unsur kejelekan pada sesetengah tempat, pengakhirannya membawa kepada pemahaman bersama bahawa perpaduan antara kaum penting, seklai gus mendaulatkan perpaduan kaum yang bersesuaian sebagai pemangkin perpaduan di kalangan pelajar.” (Berita Harian, 20 Disember 2010)
.
Saya memetik pandangan itu dalam tulisan saya di blog pada 22 Disember 2010 [DI SINI] dengan mengatakan, sekiranya pandangan itu diterima pakai, maka kita boleh menulis apa sahaja yang bersifat menghina, memburukkan dan menyentuh sensitiviti mana-mana kaum dan mana-mana agama.
.
Apa yang menarik, pada 20 Disember 2010, Raja Rajeswari Seetha Raman dari Kepong menghubungi saya melalui telefon dan mengatakan beliau baru membelek-belek novel Interlok edisi murid (DBP: 2010) yang diterima oleh anaknya yang bakal ke Tingkatan Lima.
.
Katanya, kandungan novel ini memang menghina kaum India dan agama Hindu, serta tidak sesuai dijadikan teks di sekolah. Saya tidak memberi sebarang komen kerana belum pernah membaca mana-mana edisi novel tersebut.
.
Pada keesokannya, beliau menelefon saya semula dan bercerita hampir sejam! Katanya, beliau sudah selesai membaca novel itu dan teks berkenaan memang tidak patut dibiarkan berada dalam sistem pendidikan negara; apatah lagi sebagai teks wajib Komsas. Saya masih tidak boleh memberi sebarang komen yang konstruktif kerana belum berpeluang membaca edisi murid yang dimaksudkan.
.
Pada masa sama, saya mendapat tahu bahawa Pena bakal mengadakan ‘Dialog Novel Interlok’ pada 8 Januari 2011. Memandangkan Raja Rajeswari adalah Ahli Jawatankuasa Pena, saya mencadangkan beliau meminta kebenaran menjadi salah seorang pembicara.
.
Bekas guru yang kini pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur itu berkata, beliau telah mencuba tetapi ‘tidak dibenarkan’ oleh pihak berkenaan.
.
Lalu, saya mencadangkan beliau hadir sebagai penonton dan mengemukakan pandangan serta rasa tidak puas hati terhadap novel Interlok edisi murid semasa sesi soal jawab. Katanya, beliau tidak dapat berbuat demikian kerana ada urusan lain pada tarikh sama!
.
Sementara itu, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) mula mengumpulkan berita dan pandangan orang ramai berhubung kontroversi novel berkenaan. Hasilnya, kami mendapati bahawa tumpuan pihak yang membantah dan pihak yang menyokong Interlok semakin ketara setakat tertumpu pada perkataan ‘paria’ dan ‘kasta’.
.
Maka, Kavyan memutuskan untuk mengadakan taklimat khas mengenai novel Interlok edisi murid pada 16 Januari 2011. Sebagai persiapan, pasti sahaja wakil Kavyan membaca, meneliti dan mengkaji novel itu secara terperinci; dari kulit ke kulit.
.
Tugas awal kami adalah menunjukkan – menggunakan lebih 250 slaid PowerPoint – apa sebenarnya kandungan novel itu serta apa yang sebenarnya menimbulkan kontroversi sehingga didakwa mengandungi unsur negatif yang boleh menyinggung perasaan kaum Melayu dan India.
.
Tumpuan Kavyan bukan semata-mata ‘paria’ dan ‘kasta’ tetapi terhadap aspek kesalahan fakta, kesalahan bahasa, etika penulisan, etika penerbitan dan perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.
.
Siri tulisan di portal berita Free Malaysia Today serta liputan media telah membantu Kavyan mengemukakan pelbagai hujah bernas berserta dalil-dalil yang kuat, kukuh dan sah untuk mewajarkan pelbagai cadangan murni supaya Interlok edisi murid dimurnikan demi kebaikan bersama.
.
Sementara itu, secara rasmi, bermula 14 Januari 2011, Raja Rajeswari yang menghadiri ‘Wacana Interlok: Jujur atau Perkauman’ anjuran akhbar Berita Harian bertukar menjadi penyair dan pengkaji sastera Melayu yang menyokong novel Interlok edisi murid dikekalkan sebagai teks Komsas tanpa dipinda walau sepatah perkataan. (Misalnya, DI SINI)
.
Walau bagaimanapun, sebagai manusia yang bertamadun dan berbudaya, saya tetap perlu merakamkan terima kasih kepada beliau kerana menjadi orang pertama yang menghubungi saya untuk mengadu mengenai segala ‘kelemahan’ dalam novel itu; sekali gus mencadangkan Kavyan meneliti kontroversi novel Interlok edisi murid secara mendalam ‘demi maruah kaum India di negara ini’.
..
Uthaya Sankar SB 2011. Artikel ini disiarkan di portal berita Free Malaysia Today pada 21 Februari 2011 sebelum didokumentasikan di blog Uthaya Sankar SB pada 23 Februari 2011. Sila KLIK DI SINI untuk pelbagai bahan berkaitan. 30 November 2014: BACA SMS KIRIMAN RAJA RAJESWARI SELEPAS MEMBACA MAKALAH INI)

22 Feb 2011

Interlok: Suara Hati

Saya berpeluang bertemu Datin Siti Saroja Basri, isteri kepada Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah) sewaktu kami sama-sama menghadiri Mesyuarat Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok Edisi Murid di Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran, Putrajaya, pada 16 Februari 2011.
.

Beliau yang paling awal sampai di Bilik Mesyuarat Seri Duta, tersenyum mesra dan menghulur salam sebaik kami bertemu. Namun, pada mata beliau, terbayang rasa sayu yang lahir dari dalam jiwa berikutan kontroversi yang muncul berhubung novel Interlok edisi murid (DBP: 2010) sejak 15 Disember 2010.

.

Kami bertiga pernah bertemu sebelum ini dan Datin Siti Saroja masih ingat. Saya bertanya khabar Pak Lah dan dimaklumkan bahawa tidak banyak perubahan. Malah, kata Datin Siti Saroja, Pak Lah semakin “terpenjara” dan takut untuk keluar rumah.

.

Beliau meluahkan rasa sedih atas insiden pembakaran buku di Klang pada 8 Januari 2011, seperti dilaporkan pelbagai media. Saya menyatakan pendirian Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) mengutuk sekeras-kerasnya sebarang tindakan membakar bahan bacaan seperti itu yang bertentangan budaya kaum India.

.

Datin Siti Saroja mengulangi bahawa Pak Lah tidak pernah berniat menghina sesiapa melalui mana-mana karya beliau. Saya bersetuju dan turut menyatakan bahawa Kavyan juga berpendirian tegas bahawa Pak Lah tidak patut diheret masuk ke dalam kontroversi ini oleh mana-mana pihak, termasuk persatuan penulis dan media.

.

“Kalau ada perkara dalam novel itu yang dirasakan tak sesuai, apa salahnya pihak berkenaan datang berjumpa Pak Lah. Uthaya pun sudah lama kenal Pak Lah; boleh datang berjumpa dan kita boleh berbincang secara baik untuk buat apa yang patut. Tapi kami sekeluarga sangat kecewa dan sedih dengan tindakan pihak tertentu; apatah lagi usia Pak Lah sudah lebih 90 tahun sekarang,” kata Datin Siti Saroja kepada saya semasa kami berdua berbual sebelum mesyuarat panel bermula.

.

Seterusnya, semasa waktu rehat, kami berdua berbual lagi dari hati ke hati. Saya menunjukkan perbezaan antara Interlok edisi pelajar (2005) dan Interlok edisi murid (2010). Datin Siti Saroja faham bahawa terdapat “kekurangan” pada halaman Hak Cipta edisi murid (2010) kerana tahun pertama karya terbit (1971) dan Hak Cipta pengarang (1971) tidak dinyatakan.

.

Malah, Datin Siti Saroja juga sedikit terkejut apabila saya menunjukkan bahawa edisi pelajar (2005) masih menyatakan dengan jelas bahawa Interlok menang hadiah dalam pertandingan pada tahun 1967 tetapi edisi murid (2010) langsung tidak menyebutnya. Biodata Pak Lah dalam edisi murid (2010) juga tidak menyebut langsung perkara tersebut. Datin Siti Saroja membaca biodata itu sekali lagi dan nampaknya seakan-akan baru sekarang beliau sendiri menyedari hal itu.

.

Saya memberitahu beliau supaya tidak bimbang kerana tugas, tanggungjawab dan amanah Panel Bebas yang dilantik Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin termasuk juga membersihkan, mengangkat dan mempertahankan nama, integriti dan maruah Pak Lah sebagai Sasterawan Negara.

.

Panel bebas itu dipengerusikan Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Shamsul Amri Baharuddin manakala ahli terdiri daripada Datin Siti Saroja mewakili Pak Lah; Setiausaha Satu Gapena, Profesor Datuk Zainal Abidin Borhan; Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abd Aziz; Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Lim Swee Tin; Pensyarah Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Profesor N S Rajendran; bekas pegawai Kementerian Pelajaran, G Krishnabahawan; dan saya sendiri atas kapasiti sebagai Presiden Kavyan.

.

“Pak Lah sudah lebih 90 tahun dan beliau tidak pernah berniat menghina sesiapa,” kata Datin Siti Saroja kepada saya lebih tiga kali; sekali gus menunjukkan betapa kesedihan yang terpaksa ditanggung oleh beliau, anak-anak dan Pak Lah sendiri sejak isu Interlok dimanipulasi pihak tertentu sehingga mengheret Pak Lah ke dalam kontroversi yang memberi kesan kepada pengarang itu.

.

Di luar waktu mesyuarat panel bebas itu juga, Datin Siti Saroja menunjukkan kepada saya salinan surat bertarikh 10 Ogos 2010 daripada pihak DBP kepada Pak Lah yang meminta izin pengarang (Pak Lah) membenarkan sepuluh perkataan dalam Interlok edisi pelajar (2005) dipinda (diganti, digugurkan) dalam usaha memurnikan teks menjadi Interlok edisi murid (2010).

.

Antara perkataan dalam edisi pelajar yang dimurnikan dalam edisi murid adalah “aku” menjadi “saya”, “betina” (perempuan), “jantan” (lelaki), “mayat” (jenazah), “celaka” (tak guna), “almarhum” (Allahyarham) dan “mampus” (mati).

.

Pak Lah ternyata membenarkan kesemua sepuluh pindaan itu dilakukan demi memurnikan novel Interlok supaya sesuai bagi pembaca sasaran, iaitu pelajar Tingkatan Lima yang bakal membaca novel itu sebagai teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas).

.

Sayang, seribu kali sayang! Bayangkan jika pihak DBP yang mengirim surat bertarikh 10 Ogos 2010 kepada Pak Lah turut memasukkan satu lagi perkataan untuk dipinda, iaitu “paria”.

.

Tentu tidak akan sampai ke tahap Raja Rajeswari, seorang ibu dari Kepong yang mula-mula sekali menelefon saya pada 20 Disember 2010 untuk meluahkan rasa sedih selepas membaca novel Interlok edisi murid milik anaknya dan mengadu kepada saya bahawa novel itu “menghina semua kaum India di Malaysia sebagai paria”.

.

Tentu tidak sampai ke tahap Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok Edisi Murid ditubuhkan untuk memurnikan, menjernihkan, meminda dan menyunting novel ini atas arahan kerajaan.

.

Tidak mustahil, itulah juga suara hati Datin Siti Saroja.

...

(© Uthaya Sankar SB 2011. Artikel ini disiarkan di portal berita The Malaysian Insider pada 21 Februari 2011 sebelum didokumentasikan di blog Uthaya Sankar SB pada 22 Februari 2011. Sila KLIK DI SINI untuk membaca pelbagai bahan berkaitan.)

21 Feb 2011

Apakah Sebenarnya Agenda Uthaya?

SAYA sebenarnya tidak begitu mengenali penulis bernama Uthaya Sankar SB. Tetapi rakan-rakan memberitahu Uthaya adalah salah seorang penulis karya sastera bahasa Melayu berketurunan India. Sekali lagi, bahasa Melayu bukan bahasa Malaysia.
.
Saya menyusuri laman blognya, dan didapati Uthaya seorang India yang menggunakan bahasa Melayu dengan baik. Saya juga mengikuti tulisan beliau dalam portal Malaysian Insider secara bersiri mengenai Interlok. [Nota: sebenarnya Free Malaysia Today dan siri artikel itu boleh dibaca DI SINI.]
.
Uthaya juga seorang pejuang. Beliau berjuang supaya Interlok edisi pelajar disunting semula. Semua ini dimuatkan dalam tulisan-tulisannya di Malaysian Insider. Malah Uthaya juga salah seorang panel yang dilantik Kementerian Pelajaran untuk meminda Interlok.
.
Uthaya bebas memberikan pandangan peribadinya mengenai apa isu sekalipun termasuk Interlok. Novel ini bertambah kontroversi apabila puak-puak India yang menganggotai Hindraf, sebuah pertubuhan haram turut masuk campur.
.
Cuma saya terkejut apabila dalam laman sosial Facebook, Uthaya menganjurkan undian mengenai siapakah nama Sasterawan Negara yang muncul secara spontan dalam fikiran. Dalam undian itu nama pengarang Interlok, Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain langsung tidak diundi. Maknanya Sasterawan Negara ini tidak dikenali, setidak-tidaknya oleh mereka yang mengundi di laman Facebook Uthaya.
.
Maka kita akan tertanya-tanya apakah agenda Uthaya sebenarnya menganjurkan undian itu ketika isu Interlok sedang menggelegak, dalam masa yang sama beliau menolak Interlok versi pelajar [sic]? Tidak puas dengan laman Facebook, Uthaya memanjangkan ke blog beliau [LIHAT SENDIRI DI SINI]. Kita tentunya tidak perlu mempertikaikan ketelusan undian tersebut. Tetapi penganjuran dan cara Uthaya memperbesarkan “keputusan” itu bagi saya sudah terkeluar daripada topik Interlok yang diperkatakan.
.
Dalam blognya, berulang kali Uthaya mengatakan bahawa banyak pihak yang menentang pindaan Interlok sudah terkeluar topik. Tetapi yang dilakukan Uthaya walaupun undian itu bersifat suka-suka lebih jauh menyimpang daripada topik.
.
Dalam blog dan tulisan, Uthaya berulang kali berkata beliau sangat menghormati Abdullah Hussain. Tetapi beginikah cara Uthaya menghormati orang apabila beliau menulis, “Alahai! Nama Datuk Abdullah Hussain masih tidak muncul secara spontan dalam minda kita rupanya.”
.
Saya tetap menganggap Uthaya seorang yang berhemah dan berpendidikan tinggi serta menguasai bahasa Melayu di tahap tinggi. Kerana itu beliau perlu menjaga kedudukan dengan tidak “menyeret dan mengheret” peribadi Abdullah Hussain yang seolah-olah tidak terbayang dalam fikiran kita, padahal pengundi di laman Facebook Uthaya boleh dipertikaikan status mereka.
.
Sekali lagi, Uthaya boleh berbeza pandangan dengan sebahagian besar sasterawan Melayu yang menganggap meminda Interlok hanya untuk tujuan politik. Rakan-rakan kalangan sasterawan Melayu melihat beberapa parti India mempolitikkan Interlok. Bagaimanapun Uthaya juga kena mengakui isu Interlok bukanlah “kesilapan fakta” saja. Interlok adalah alat mengukur kekuatan politik orang India. Tengoklah, banyak India yang memekik menentang Interlok tidak tahu apa pun tentang itu. Uthaya, lihatlah di luar kotak. Tanyalah kenapa MIC perlu meneliti versi pindaan sebelum menyatakan pendirian?
.
(Ku Seman Ku Hussain, Utusan Malaysia, 21 Februari 2011)
..

[Nota: Ku Seman sendiri sudah bertanya soalan berkaitan penglibatan MIC menerusi akhbar Utusan Malaysia pada 17 Februari 2011 dan boleh juga dibaca DI SINI. Malah, katanya di blog: “Saudara-saudara Melayu saya sekelian, ayuh kita menolak semua yang berkaitan dengan meminda Interlok untuk memenuhi kehendak kaum paria India. Kita tentang waima sepatah kata pun diubah dari versi Interlok yang telah dicetak oleh DBP sebelum ini. Paria India dan MIC memang kurang ajar, biadap dan tidak beradab.”]

20 Feb 2011

Tenaga Profesional Bebas


Sukacita dimaklumkan bahawa bermula 1 Mac 2011, saya tidak lagi menjadi pekerja tetap (staf bergaji) di mana-mana organisasi. Saya memutuskan untuk menjadi tenaga profesional bebas (freelancer) supaya pengalaman, ilmu dan pengetahuan yang dimiliki dapat dimanfaatkan secara lebih menyeluruh tanpa terikat pada mana-mana satu organisasi.
.
Antara bidang di mana saya boleh menawarkan khidmat profesional (tetapi tidak terhad kepada) adalah:
.
1. Penulisan Kreatif (Kanak-kanak) – Berpengalaman menulis cerpen dan cerita (cereka) kanak-kanak sejak 1992; serta tersiar di pelbagai majalah arus perdana dan dibukukan. Antaranya Nari! Nari! (1995), Munis Dengan Harimau (1996), Koleksi Cerita Ikan (1997) dan Cerita Rakyat Asia (1997).
.
2. Penulisan Kreatif (Remaja) – Berpengalaman menulis cerpen (fiksyen) remaja sejak 1992; serta tersiar di pelbagai majalah arus perdana dan dibukukan. Antaranya Orang Dimensi (1994), Hanuman: Potret Diri (1996), Surat Dari Madras (1999), Nayagi (2000), Panchayat (2002) dan Kathakali (2009).
.
3. Penulisan Kreatif (Umum) – Berpengalaman menulis cerpen (faksyen) umum (dewasa) sejak 1992; serta tersiar di akhbar dan majalah arus perdana serta dibukukan. Antaranya Siru Kambam (1996), Sasterawan Pulau Cinta (2001) dan Rudra Avatara (2008).
.
4. Penulisan Makalah Bahasa – Berpengalaman menulis makalah berkaitan bahasa (khasnya Bahasa Malaysia) sejak 1992 dan disiarkan di pelbagai majalah arus perdana; termasuk Pelita Bahasa, Dewan Bahasa, Siasah dan Minda.
.
5. Penulisan Makalah Budaya – Berpengalaman menulis makalah berkaitan budaya (khasnya budaya kaum India) sejak 1992 dan disiarkan di pelbagai majalah arus perdana; termasuk Dewan Budaya, Minda dan Sarina.
.
6. Penulisan Rencana Umum – Berpengalaman menulis rencana umum berkaitan pelbagai topik sejak 1992 dan disiarkan di kebanyakan akhbar dan majalah arus perdana.
.
7. Kolumnis – Berpengalaman menjadi kolumnis di akhbar Watan, majalah Dakwah dan Siasah; serta The Malaysian Insider dan Free Malaysia Today.
.
8. Wartawan Bebas – Berpengalaman menjadi wartawan bebas yang melaporkan pelbagai berita (khasnya aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya) untuk pelbagai media konvensional dan alternatif sejak 1992.
.
9. Bengkel Penulisan Cerpen – Berpengalaman mengendalikan bengkel bimbingan penulisan cerpen untuk pelajar, remaja dan dewasa sejak 1994 di seluruh negara.
.
10. Bengkel Penulisan Berita – Berpengalaman mengendalikan bengkel bimbingan penulisan berita untuk pelajar, remaja dan dewasa sejak 1994 di seluruh negara.
.
11. Bengkel Cereka UPSR – Berpengalaman mengendalikan bengkel khas penulisan cereka di bawah Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sejak 2004.
.
12. Bengkel Pengucapan Umum – Berdasarkan pengalaman. Sesuai bagi individu yang perlu tampil berucap di khalayak umum.
.
13. Ceramah Motivasi (Pelajar) – Berdasarkan pengalaman serta pengetahuan dalam bidang kaunseling sejak zaman persekolahan. Juga berdasarkan pengalaman menjadi pensyarah di pelbagai kolej swasta pada 1999-2007.
.
14. Ceramah Motivasi (Pekerja) – Berdasarkan pengalaman serta pengetahuan yang dimliki mengenai masyarakat, isu semasa dan rasa tanggungjawab terhadap masyarakat pekerja.
.
15. Penyuntingan Manuskrip (Karya Kreatif) – Berpengalaman menyunting manuskrip cerpen sejak 1994.
.
16. Penyuntingan Skrip (Berita/Rencana) – Berpengalaman luas di RTM, Bernama Radio24 dan akhbar Sinar Harian (1996-2011).
.
17. Penyuntingan Makalah (Jurnal) – Berpengalaman menyunting jurnal Excellence terbitan Mampu, Jabatan Perdana Menteri.
.
18. Tenaga Pengajar/Pembimbing – Berpengalaman membimbing pelajar (sekolah, kolej) dalam subjek sekolah/kolej.
.
19. Penterjemahan - Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.
.
20. Pengacara Majlis dan Pemudah Cara – Berpengalaman sejak 1992, sama ada siaran langsung di televisyen (studio) atau dalam acara forum, dialog dan majlis rasmi di tempat terbuka.
.
21. Penulisan Skrip Ucapan – Berpengalaman sejak 1992. Sesuai bagi individu yang perlu menyampaikan ucapan yang berkesan.
.
22. Penulisan Siaran Media – Berpengalaman sejak 1994 dalam menyediakan siaran media menepati tuntutan pihak media.
.
23. Bimbingan Bahasa Malaysia (Lisan) – Berdasarkan pengalaman dan penglibatan secara langsung dalam bidang bahasa.
.
24. Bimbingan Bahasa Malaysia (Bertulis) – Berdasarkan pengalaman dan penglibatan secara langsung dalam bidang bahasa.
.
25. Khidmat Rundingan – Meliputi khidmat rundingan dalam pelbagai bidang mengikut keperluan pelanggan/individu.
.
Sudilah maklumkan jika ada ruang dan peluang untuk saya memanfaatkan bakat di atas sebagai tenaga profesional bebas (freelancer) bermula 1 Mac 2011.
..
Terima kasih kepada beberapa pihak yang sudah mula memberikan saya tugasan freelance sejak beberapa minggu lalu! [MAKLUMAT LANJUT] - [BIODATA PENUH]

19 Feb 2011

Sanggar Kamsatu di Tawau

Saya berpeluang ke Tawau, Sabah pada Oktober 2010 untuk mengendalikan Bengkel Penulisan Cerpen yang disertai 62 murid dan pelajar serta 30 guru pengiring. Catatan mengenai pengalaman itu boleh dibaca DI SINI.
.

Selain berkongsi ilmu penulisan, saya juga cuba meneliti pelbagai istilah yang khusus digunakan dalam kalangan penduduk bandar tersebut.

.

Pada waktu minum petang, saya dipelawa makan sanggar yang dicecah sos cili. Rupa-rupanya, penduduk di sini menggunakan nama “sanggar” untuk pisang goreng. Maka, saya mendapat pengalaman pertama (“kamsatu”) makan sanggar dicecah sos cili.

.

Beberapa perkataan yang lazim juga digunakan dalam konteks berbeza oleh penduduk sekitar Tawau khasnya dan penduduk Sabah amnya. Kesemuanya amat menyeronokkan bagi saya!

.

Pengalaman “Kembara Bahasa” itu boleh dibaca sepenuhnya dalam majalah Pelita Bahasa keluaran Februari 2011.

18 Feb 2011

Jika Saya Menyunting Interlok

Sudah banyak diperkatakan orang tentang novel Interlok edisi murid (DBP: 2010), khususnya oleh kelompok yang ternyata tidak membaca novel itu dan tidak menyedari bahawa kandungan edisi 2010 adalah sangat berbeza berbanding edisi asal (misalnya 1996 dan 2003).

Dalam keghairahan menyaksikan kelompok tertentu menyeret dan mengheret Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah) ke dalam kontroversi ini, ramai yang terlupa bahawa Interlok edisi murid sebenarnya ditangani oleh dua editor dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) iaitu Ruziati Abdul Rani dan Baharin Aiyob.


Hipotesis saya adalah bahawa mereka berdua diberikan naskhah novel Interlok edisi pelajar (2005) yang sudah pun “dicantas” berbanding edisi asal (misalnya 1996 dan 2003). Hasil penelitian mendalam dan menyeluruh terhadap Interlok edisi 1996, 2003, 2005 dan 2010, saya berani merumuskan bahawa Ruziati dan Baharin hanya diminta (baca: diarah) “membetulkan” aspek bahasa pada edisi pelajar (2005) sebelum diterbitkan sebagai edisi murid (2010).


Saya tidak kenal Ruziati dan Baharin serta belum berpeluang menghubungi mereka untuk mendengar versi mereka dalam isu ini. Bagaimanapun, saya cuba membayangkan apa yang mungkin telah saya lakukan sekiranya saya berada di tempat mereka; iaitu jika saya diberi tanggungjawab menyunting manuskrip Interlok edisi murid.


Pertama sekali, saya akan mencadangkan bahawa tidak perlulah nama saya dicetak pada novel itu. Sebaliknya, lebih penting dan berguna untuk disebutkan bahawa novel Interlok memenangi hadiah sagu hati dalam Peraduan Mengarang Novel Sepuluh Tahun Merdeka dan pertama kali terbit pada tahun 1971.


Saya juga tentu telah mempersoalkan mengapa Hak Cipta edisi murid (2010) dipegang oleh DBP sedangkan kesemua edisi sebelum ini (termasuk edisi murid 2005 yang “dicantas”) tetap dipegang Pak Lah.


Walaupun diminta (baca: diarah) menumpukan pada edisi pelajar dalam proses menghasilkan edisi murid, saya tetap akan merujuk pada sekurang-kurangnya satu edisi lama untuk membantu saya menghasilkan Interlok edisi murid yang benar-benar “bermaruah”.


Apabila Interlok edisi asal karya Pak Lah – termasuk edisi pelajar – merujuk kepada watak Maniam sebagai “penumpang bangsa Tamil” (hlm 215), saya tidak akan gatal tangan menukarnya kepada “penumpang bangsa India” (hlm 210). Sebaliknya, saya akan membetulkannya kepada “penumpang keturunan Tamil”.


Apabila saya melihat “ada juga dari Malabar, Kerala dan Hyderabad” (hlm 215) dalam edisi pelajar, saya akan segera merujuk peta, menyemak buku atau bertanya kepada orang yang tahu. Maka, saya akan tahu bahawa “Malabar” adalah nama lama bagi “Kerala” sebagaimana “Tanah Melayu” adalah nama lama bagi “Malaysia”.


Apabila dinyatakan dalam edisi pelajar bahawa “mereka berangkat melalui kangani” dan “ada pula yang datang atas kemahuan sendiri” (hlm 215), maka saya akan segera membuat rujukan mengenai pelbagai sistem kemasukan buruh dari India ke Malaya sekitar 1910.


Saya akan melakukan pencarian maklumat tambahan itu dengan penuh rasa tanggungjawab dan penuh kesedaran bahawa buku edisi murid yang sedang saya sunting ini bakal dijadikan teks wajib Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) bagi pelajar Tingkatan Lima di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan.


Saya akan melakukannya dengan penuh sedar bahawa saya selaku penyunting diamanahkan tugas mengangkat martabat seorang Sasterawan Negara yang menerima Anugerah Sastera Negara daripada Yang di-Pertuan Agong.


Tambahan pula, novel Konserto Terakhir karya Pak Lah dijadikan teks Komsas pada 2001-2010 dan pembaca (pelajar, guru dan ibu bapa) pasti mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripada beliau sebagai teks Komsas 2011-2020, menjelang Wawasan 2020.


Maka, saya akan mendapat tahu bahawa Sistem Kemasukan Buruh Bebas yang digunakan oleh watak Maniam pada tahun 1910 sebenarnya sudah terbantut sejak tahun 1859 disebabkan tambang terlalu mahal akibat penguatkuasaan Undang-undang Penumpang yang diperkenalkan oleh British.


Saya juga akan mendapat tahu bahawa Sistem Buruh Kontrak diharamkan pada tahun 1910 kerana sistem itu dilaporkan membawa kesengsaraan kepada buruh akibat penindasan oleh majikan.


Secara logik, saya akan tertanya-tanya, mengapa tidak ada apa-apa sekali pun disebut tentang Sistem Buruh Kontrak oleh Maniam dan mana-mana watak lain sedangkan peristiwa bersejarah itu berlaku pada tahun 1910, tahun yang sama Maniam dan 119 individu lain berlayar ke Pulau Pinang.


Pada saat ini, sebagai seorang manusia normal serta sebagai pegawai kerajaan di DBP yang memegang amanah mengangkat martabat sastera kebangsaan, saya tentu sedar bahawa “sesuatu” perlu dilakukan sebelum novel Interlok boleh dicetak dalam jumlah yang banyak dan diedarkan kepada pelajar sebagai teks Komsas.


Dan jangan lupa bahawa saya kini hanya bercakap mengenai kisah Maniam di halaman 215 dalam edisi pelajar (2005) yang saya bayangkan diserahkan kepada saya selaku penyunting untuk “dimurnikan” sebelum diterbitkan sebagai edisi murid.


Saya juga akan cuba membaca edisi asal untuk meneliti jika perkara sama dinyatakan di sana. Katakanlah saya merujuk edisi 1996. Pada halaman 249, iaitu halaman pertama kisah Maniam, dinyatakan:


Mereka semua telah meninggalkan kampung dan desanya kerana mahu mengadu untung di Negara Emas, yang khabarnya di mana-mana sahaja boleh mendapat duit dengan mudah.


Tentu sahaja saya akan bingung dan tertanya-tanya mengapa ayat yang amat bermakna dan penting itu ditiadakan dalam edisi pelajar (2005) yang dijadikan asas bagi edisi murid (2010).


Ingat! Saya masih meneliti dan menyunting halaman pertama “Buku Tiga: Keluarga Maniam” dalam novel itu. Sebagai seorang penyunting yang beretika, bermaruah, berintegriti dan bertanggungjawab, saya pasti akan bertemu ketua saya di DBP dan melaporkan segala kepincangan yang wujud secara amat nyata.


Saya akan meminta kebenaran bertemu Pak Lah untuk perbincangan lanjut; serta kebenaran menghubungi pakar sejarah dan budaya kaum India dalam usaha “memurnikan” novel ini sebelum diterbitkan dalam edisi murid yang “bermaruah” untuk kegunaan di sekolah.


© Uthaya Sankar SB 2011. Artikel ini pertama kali disiarkan di portal berita The Malaysian Insider pada 14 Februari 2011 sebelum dimuatkan di blog ini pada 18 Februari 2011. Sila KLIK DI SINI untuk membaca pelbagai maklumat berkaitan topik ini.

13 Feb 2011

Kalki – Pengarang Ponniyin Selvan

(Utusan Malaysia, 13 Ogos 2022)

Nama pengarang Kalki pasti sahaja asing bagi kebanyakan peminat dan pengkaji sastera di Malaysia. Hal ini demikian kerana pengarang berkenaan lebih dikenali di kalangan peminat, penulis dan pengkaji sastera bahasa Tamil; khususnya di Tamil Nadu, India.
.

Saya membuat sedikit pencarian maklumat mengenai tokoh pengarang itu dan menulis sebuah makalah yang disiarkan dalam ruangan “Sastera Antarabangsa” di majalah Dewan Sastera pada Februari 2007 dengan judul “Kalki – Perintis Sastera Moden Tamil”. Apa yang dipaparkan di sini adalah versi penuh makalah itu yang terpaksa diringkaskan semasa disiarkan di Dewan Sastera.

.

Bagi peminat sastera di Malaysia, sehingga kini, hanya mereka yang menguasai Bahasa Tamil berpeluang membaca karya-karya beliau. Tidak hairanlah nama Kalki tidak semasyhur V. S. Naipul, R.K. Narayan, Anita Desai, Arundhati Roy, Rabindranath Tagore dan sejumlah lagi pengarang yang mana karya mereka terdapat dalam Bahasa Inggeris. Penulis pula pernah berpeluang mendengar sejumlah cerpen Kalki dibacakan oleh rakan-rakan sejak hampir sepuluh tahun lalu.

.

Bagi para penulis karya Bahasa Tamil di Malaysia, nama Kalki tentu tidak asing langsung bagi mereka. Malah, golongan penulis Tamil dianggap tidak sah jika tidak pernah membaca dan mengkaji karya-karya (khususnya novel dan cerpen) oleh pengarang berkenaan.


.

Sekiranya dikaji sejarah perkembangan sastera Bahasa Tamil di negara ini, pengaruh pengarang dan karya dari Tamil Nadu memang sangat menonjol. Selepas zaman pendudukan Jepun – selepas tahun 1945 – muncul ramai pengarang tempatan yang berusaha menghasilkan karya berjiwa Malaya. Namun, pengaruh dari Tamil Nadu masih kuat khususnya kerana bahan-bahan bacaan masih diimport dari sana.

.

Dr Krishanan Maniam dalam kajian beliau terhadap perkembangan sastera Tamil tempatan menjelaskan bahawa akhbar-akhbar Bahasa Tamil di Malaya pada zaman selepas penjajahan Jepun masih ketara menyiarkan cerpen-cerpen yang terbit dalam akhbar dan majalah di Tamil Nadu. [BACA JUGA DI SINI]

.

Dua majalah yang cukup siknifikan adalah Ananda Vikatan dan Kalki kerana kedua-duanya mempunyai hubungan secara langsung dengan pengarang bernama Kalki yang diakui sebagai perintis sastera moden Tamil.

.

Nama sebenar Kalki adalah R. Krishnamurthy. Beliau lahir pada tahun 9 September 1899 dalam sebuah keluarga Brahmin yang agak miskin di kampung Puttamangalam, daerah Mayuram, Tamil Nadu. Pendidikan awal beliau adalah di kampung kelahiran serta di Manalmedu yang terletak di sebelah kampung asal.

..

Kalki juga berpeluang belajar di bandar Tiruchirapalli tetapi tidak menamatkan pengajian tinggi kerana sudah tertarik pada gerakan nasionalisme dan tuntutan kemerdekaan pimpinan Mahatma Gandhi. Malah, Kalki pernah dipenjarakan pada tahun 1922, 1930 dan 1941. Rencana penuh boleh dibaca dalam Kumpulan Esei 2024.

12 Feb 2011

Masih Ada yang Sayang Padamu

Kedatangan tarikh 15 Februari 2011 lebih penting daripada tarikh 14 Februari di mana “polis” tertentu akan melaksanakan “tugas” menghalang penganut agama tertentu “meraikan” Valentine’s Day.
.
Pada 15 Februari 2010, khabarnya telah diadakan sambutan khas bertema “Hari Pejuang Bahasa 152” di mana angka “152” (Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan) dijadikan asas untuk memilih tarikh yang dinyatakan.
.
Tarikh 14 dan 15 Februari 2010 adalah cuti umum sempena Tahun Baru Cina. Maka, tidak hairanlah jika ramai yang tidak berpeluang menghadiri majis entah apa yang diadakan oleh entah siapa di entah mana. Tambahan, publisiti hanya dilakukan kepada kelompok tertentu dan bukan kepada seluruh rakyat Malaysia menggunakan semua saluran yang ada.
.
Seperti biasa, laporan berita selepas acara itu, membuktikan bahawa bahasa tertentu masih menjadi milik kaum tertentu dan golongan “pendatang” perlu tunduk kepada kelompok tertentu dari segala segi.
.
Dalam perkembangan lain, laporan di akhbar Berita Harian pada 18 Mac 2010 cuba menyalahkan masyarakat “Bukan Melayu” yang tidak menghadiri acara yang diadakan pada 15 Februari 2010. Berikut petikan berita yang saya sempat baca secara dalam talian baru-baru ini:
.
Ketidakhadiran bukan Melayu pada Hari Pejuang Bahasa 152 mendapatkan reaksi Pensyarah Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia, Raja Rajeswari Seetha Raman, antara bukan Melayu yang lantang bersuara dalam hal bahasa Melayu.
.
“Saya sudah jangka pasti tiada bukan Melayu yang hadir. Kebetulan saya baru keluar hospital selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di rahim dan sudah memaklumkan keuzuran kepada Setiausaha Kalam, Mohd Taib Nordin dan Setiausaha Pena, SM Zakir.
.
“Saya pernah menyuarakan pandangan dalam majalah Pelita Bahasa bahawa masyarakat India dan Cina tidak akan mengambil subjek bahasa Melayu, jika tidak dijadikan syarat wajib lulus bahasa Melayu untuk lulus SPM.”
.
Rajeswari yang pernah berkhidmat sebagai guru Bahasa Melayu selama 25 tahun di sekolah jenis kebangsaan dan sekolah kebangsaan, mendedahkan kajiannya terhadap pelajar bukan Melayu berhubung perkara terbabit menunjukkan hanya 30 daripada 300 responden, berminat terhadap bahasa Melayu, manakala baki kerana terpaksa!
.
Tidak perlulah saya membuat sebarang ulasan terhadap laporan di atas; khususnya memandangkan tulisan individu berkenaan bertajuk “Sikap Endah Tak Endah Bahasa Merugikan Siapa” di majalah Pelita Bahasa (Ogos 2003) sudah pun dibuktikan salah menggunakan bukti kukuh oleh Kumpulan Sasterawan Kavyan menerusi reaksi bertajuk “Sikap Endah Tidak Endah Penulis Merugikan Siapa?” (Pelita Bahasa, September 2003). Mungkin wartawan terbabit tidak “sempat” membacanya dan masih beranggapan “kajian pincang” itu masih terpakai!
.
Apa pun, menjelang tarikh 15 Februari 2011, tidak pasti sama ada sebarang aktiviti hebat dirancang. Mungkin publisiti secara tersembunyi kepada kelompok tertentu. Atau mungkin kelompok tertentu terlalu sibuk dengan Interlok edisi murid (DBP: 2010) dan “gerakan” memulaukan pemimpin kaum India sehingga terlupa akan sambutan Valentine’s Day dan soal 152!
.
Raja Rajeswari yang sebelum ini begitu rajin menghubungi saya untuk memberikan pelbagai “maklumat penting” mengenai Interlok dan PENA belum menghubungi saya mengenai aktiviti Hari Pejuang Bahasa 152.
..

Nota: “Masih ada yang sayang padamu” adalah tajuk berita yang disiarkan di akhbar Berita Harian pada 18 Mac 2010. Tarikh 14-15 Februari 2010 adalah cuti Tahun Baru Cina, manakala 15 Februari 2011 adalah cuti Maulud Nabi dan tarikh "152" ditunda!

11 Feb 2011

Kavyan Mungkin Hilang

Pada 22 Ogos 2009, genaplah sepuluh tahun sejak tarikh pertemuan pertama tidak rasmi diaadakan oleh sekumpulan penulis dan peminat karya sastera Bahasa Malaysia daripada kalangan kaum India yang membawa kepada penubuhan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan).
.
Mengimbau kembali pengalaman sedekad lalu membawakan pelbagai kenangan pahit dan manis. Sebagai seorang yang amat pelupa, dokumentasi serba lengkap di ruang siber memudahkan saya sendiri membuat rujukan apabila perlu mengenai Kavyan.
.
Saya ingin bernostalgia sedikit sebelum segalanya hilang pada 26 Oktober 2009.
.
“Kavyan” adalah istilah Bahasa Sanskrit dan Malayalam yang membawa maksud “sasterawan”. Nama ini diilhamkan oleh Retna Devi Balan yang turut mencadangkan ungkapan “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia” yang menjadi pegangan Kavyan sejak dahulu.
.
Maklumat aktiviti Kavyan pada mulanya disebarkan melalui surat berita Kavya yang terbit dalam bentuk bercetak (fotokopi) mulai September 1999. Saya pada waktu itu tidak tahu membina laman sesawang serta tidak menerima bantuan daripada sesiapa yang tahu untuk menyelenggarakannya.
.
Laman sesawang pertama bagi Kavyan hanya dimulakan pada 21 Mei 2001 selepas menerima bantuan daripada Zulfiquar Ali Abban, pelajar saya yang berasal dari Pakistan (dan kini bekerja di Dubai dalam bidang IT).
.
Mulai 10 Oktober 2001, e-group Kavyan dimulakan bagi memudahkan komunikasi dan perkongsian maklumat aktiviti bersama sesiapa sahaja yang berminat.
.
Begitu juga dengan surat berita Kavya yang diterbitkan dalam versi dalam talian (online) mulai Julai 2002 dengan ISSN 1675-4042. Maklumat dalam Kavya keluaran lalu turut dimuatkan di ruang siber supaya mudah dijadikan bahan rujukan dan dokumentasi.
.
Antara aktiviti awal anjuran Kavyan bagi “memasyarakatkan sastera”, “memupuk budaya membaca” dan “mendaulatkan Bahasa Malaysia” adalah siri bacaan cerpen di Kompleks MAB, Brickfields dan siri bengkel penulisan kreatif di beberapa tempat.
.
Kumpulan sasaran pada peringkat awal adalah golongan pelajar yang berminat untuk belajar teknik menulis karya kreatif (sajak dan cerpen), suka membaca dan mahu menguasai Bahasa Malaysia.
.
Nama Kavyan mula semakin dikenali berikutan kejayaan aktiviti “Baca Cerpen Kavyan” selama 96 jam 32 minit (29 Ogos – 2 September 2003) yang turut tercatat dalam The Malaysia Book of Records.
.
Sekaligus, Kavyan memulakan tradisi membaca teks cerpen dan novel di pentas bagi golongan profesional dan amatur; selaras dengan usaha “memasyarakatkan sastera”, “memupuk budaya membaca” dan “mendaulatkan Bahasa Malaysia” seperti yang dinyatakan tadi.
.
Suatu aspek yang amat nyata adalah bahawa Jawatankuasa Kavyan terdiri daripada kaum India tetapi aktiviti Kavyan terbuka kepada semua tanpa batas kaum dan agama.
.
Kavyan juga mula dipanggil menghadiri/menyertai pelbagai aktiviti anjuran pihak lain berikutan “rekod bersih” yang dimiliki sejak awal penubuhannya. Kavyan berusaha memenuhi segala undangan.
.
Pada masa yang sama, ramai juga yang hairan bagimana Kavyan mampu bergerak begitu aktif dengan menganjurkan sekurang-kurangnya satu aktiviti setiap bulan; sepanjang tahun.
.
Rahsianya adalah amat mudah tetapi belum tentu dapat dilaksanakan oleh semua pihak.
.
Satu: Kavyan tidak pernah bernaung di bawah mana-mana badan politik. Dengan itu, Kavyan tidak perlu menunggu mandat, restu, izin (dan sebagainya) sebelum menggerakkan aktiviti.
.
Dua: Kavyan tidak meletakkan faktor “duit” sebagai penggerak aktiviti. Jika melibatkan wang, secara automatik akan melibatkan kunci kira-kira yang rumit. Jawatankuasa Kavyan juga terdiri daripada sukarelawan yang tidak mengharapkan pulangan dalam bentuk wang.
.
Tiga: Kavyan mengadakan kerjasama pintar dengan pelbagai pihak. Misalnya, suatu pihak menyediakan tempat dan makan-minum peserta sementara Kavyan melakukan pengisian aktiviti. Kavyan mahu berkongsi kejayaan.
.
Demikian antara “rahsia” kejayaan yang sebenarnya bukan suatu rahsia. Khususnya apabila segala maklumat mengenai Kavyan – termasuk perincian minit mesyuarat – dipaparkan di ruang siber untuk tatapan umum.
.
Sikap menepati masa (“Waktu Kavyan”) dan mengamalkan disiplin kerja (“masing-masing membuat kerja masing-masing”) juga menjadi faktor kejayaan Kavyan.
.
Kavyan juga amat bertuah kerana mendapat sokongan moral dan bimbingan daripada tokoh-tokoh hebat seperti Allahyarham Dr Othman Puteh dan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said.
.
Dr Othman Puteh menjadi Penasihat Kehormat Kavyan sehingga akhir hayat beliau. Dato’ Dr Anwar Ridhwan (kini Sasterawan Negara), Dr Krishanan Maniam dan Dr M. Rajenthiran juga pernah menjadi Penasihat Kavyan bagi tempoh tertentu.
.
Jawatankuasa Kavyan sendiri mengalami perubahan dari semasa ke semasa. Memandangkan penglibatan dalam Kavyan adalah secara sukarela, maka pemegang jawatan juga berubah apabila seseorang melepaskan jawatan atas alasan hambatan kerja atau alasan peribadi.
.
Tidak kurang juga pihak yang “cemburu” terhadap kejayaan Kavyan. Namun, di pihak Kavyan, segala rasa “cemburu” itu dilihat sebagai tanda bahawa kami berada di landasan yang benar. Walau apapun cabaran yang dihadapi, perjuangan tetap diteruskan.
.
Rekod cemerlang sejak sepuluh tahun lalu menjadi bukti komitmen Kavyan dalam “memasyarakatkan sastera”, “memupuk budaya membaca” dan “mendaulatkan Bahasa Malaysia” melalui pelbagai aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya dengan kerjasama pelbagai pihak.
.
Sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh pihak media juga membantu menyebarluaskan maklumat aktiviti Kavyan kepada umum. Walau bagaimanapun, pada masa kini, memandangkan ruangan sastera di akhbar dan majalah semakin mengecut, liputan yang mampu diberikan juga semakin berkurangan.
.
Namun begitu, bermula sebagai seorang individu yang “buta laman sesawang” pada 2001, saya kini mampu menggunakan ruang siber untuk mempromosi aktiviti Kavyan.
.
Blog dan rangkaian sosial seperti Facebook menjadi media komunikasi dan promosi ke arah yang positif. Segala maklumat aktiviti Kavyan sejak sepuluh tahun lalu juga tersimpan kemas di ruang siber; khususnya di laman-laman sesawang yang didaftar secara percuma.
.
Malangnya, dalam perkembangan terbaru, GeoCities akan dihentikan operasinya pada 26 Oktober 2009. Demikian notis yang dikeluarkan baru-baru ini oleh pihak Yahoo!
.
Maknanya, mulai tarikh itu, segala fail dan data yang tersimpan di GeoCities tidak boleh diakses. Kesemuanya akan hilang begitu sahaja di ruang maya. Tiada kubur.

Lebih malang lagi bahawa saya – sebagai seorang yang masih rabun IT – tidak menyimpan salinan fail dan data dalam komputer.
.
Nampaknya pihak Kavyan perlu memulakan segera kerja-kerja memuat turun (download) segala data dan fail yang tersimpan di GeoCities. Mungkin boleh disalin ke blog Kavyan memandangkan Blogger belum mengeluarkan notis penutupan operasi.
.
Memang bukan tugas yang mudah untuk menyelamatkan segala fail dan data berkenaan; khususnya apabila Kavyan bukan terdiri daripada pakar IT dan bahan-bahan yang perlu diselamatkan segera entah berapa banyak!
.
Jawatankuasa Kavyan pula terdiri daripada sukarelawan yang sudah sedia sibuk menguruskan pelbagai aktiviti Kavyan secara berterusan. Dan presidennya masih rabun IT!
.
Apapun, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Sesuatu perlu dilakukan segera sebelum tarikh 26 Oktober 2009; sebelum segala rekod berkaitan Kavyan hilang di ruang siber. Sebelum orang ramai tidak lagi mendapat akses ke laman sesawang Kavyan yang dibangunkan sedikit demi sedikit, halaman demi halaman.
.
Nampaknya, selepas sedekad sibuk menjalankan aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya, cabaran sebenar bagi Kavyan baru sahaja bermula. Cabaran untuk menyelamatkan rekod sejarah.
..
(© Uthaya Sankar SB 2009. The Malaysian Insider, 29 Ogos 2009)