18 Feb 2011

Jika Saya Menyunting Interlok

Sudah banyak diperkatakan orang tentang novel Interlok edisi murid (DBP: 2010), khususnya oleh kelompok yang ternyata tidak membaca novel itu dan tidak menyedari bahawa kandungan edisi 2010 adalah sangat berbeza berbanding edisi asal (misalnya 1996 dan 2003).

Dalam keghairahan menyaksikan kelompok tertentu menyeret dan mengheret Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah) ke dalam kontroversi ini, ramai yang terlupa bahawa Interlok edisi murid sebenarnya ditangani oleh dua editor dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) iaitu Ruziati Abdul Rani dan Baharin Aiyob.


Hipotesis saya adalah bahawa mereka berdua diberikan naskhah novel Interlok edisi pelajar (2005) yang sudah pun “dicantas” berbanding edisi asal (misalnya 1996 dan 2003). Hasil penelitian mendalam dan menyeluruh terhadap Interlok edisi 1996, 2003, 2005 dan 2010, saya berani merumuskan bahawa Ruziati dan Baharin hanya diminta (baca: diarah) “membetulkan” aspek bahasa pada edisi pelajar (2005) sebelum diterbitkan sebagai edisi murid (2010).


Saya tidak kenal Ruziati dan Baharin serta belum berpeluang menghubungi mereka untuk mendengar versi mereka dalam isu ini. Bagaimanapun, saya cuba membayangkan apa yang mungkin telah saya lakukan sekiranya saya berada di tempat mereka; iaitu jika saya diberi tanggungjawab menyunting manuskrip Interlok edisi murid.


Pertama sekali, saya akan mencadangkan bahawa tidak perlulah nama saya dicetak pada novel itu. Sebaliknya, lebih penting dan berguna untuk disebutkan bahawa novel Interlok memenangi hadiah sagu hati dalam Peraduan Mengarang Novel Sepuluh Tahun Merdeka dan pertama kali terbit pada tahun 1971.


Saya juga tentu telah mempersoalkan mengapa Hak Cipta edisi murid (2010) dipegang oleh DBP sedangkan kesemua edisi sebelum ini (termasuk edisi murid 2005 yang “dicantas”) tetap dipegang Pak Lah.


Walaupun diminta (baca: diarah) menumpukan pada edisi pelajar dalam proses menghasilkan edisi murid, saya tetap akan merujuk pada sekurang-kurangnya satu edisi lama untuk membantu saya menghasilkan Interlok edisi murid yang benar-benar “bermaruah”.


Apabila Interlok edisi asal karya Pak Lah – termasuk edisi pelajar – merujuk kepada watak Maniam sebagai “penumpang bangsa Tamil” (hlm 215), saya tidak akan gatal tangan menukarnya kepada “penumpang bangsa India” (hlm 210). Sebaliknya, saya akan membetulkannya kepada “penumpang keturunan Tamil”.


Apabila saya melihat “ada juga dari Malabar, Kerala dan Hyderabad” (hlm 215) dalam edisi pelajar, saya akan segera merujuk peta, menyemak buku atau bertanya kepada orang yang tahu. Maka, saya akan tahu bahawa “Malabar” adalah nama lama bagi “Kerala” sebagaimana “Tanah Melayu” adalah nama lama bagi “Malaysia”.


Apabila dinyatakan dalam edisi pelajar bahawa “mereka berangkat melalui kangani” dan “ada pula yang datang atas kemahuan sendiri” (hlm 215), maka saya akan segera membuat rujukan mengenai pelbagai sistem kemasukan buruh dari India ke Malaya sekitar 1910.


Saya akan melakukan pencarian maklumat tambahan itu dengan penuh rasa tanggungjawab dan penuh kesedaran bahawa buku edisi murid yang sedang saya sunting ini bakal dijadikan teks wajib Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) bagi pelajar Tingkatan Lima di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan.


Saya akan melakukannya dengan penuh sedar bahawa saya selaku penyunting diamanahkan tugas mengangkat martabat seorang Sasterawan Negara yang menerima Anugerah Sastera Negara daripada Yang di-Pertuan Agong.


Tambahan pula, novel Konserto Terakhir karya Pak Lah dijadikan teks Komsas pada 2001-2010 dan pembaca (pelajar, guru dan ibu bapa) pasti mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripada beliau sebagai teks Komsas 2011-2020, menjelang Wawasan 2020.


Maka, saya akan mendapat tahu bahawa Sistem Kemasukan Buruh Bebas yang digunakan oleh watak Maniam pada tahun 1910 sebenarnya sudah terbantut sejak tahun 1859 disebabkan tambang terlalu mahal akibat penguatkuasaan Undang-undang Penumpang yang diperkenalkan oleh British.


Saya juga akan mendapat tahu bahawa Sistem Buruh Kontrak diharamkan pada tahun 1910 kerana sistem itu dilaporkan membawa kesengsaraan kepada buruh akibat penindasan oleh majikan.


Secara logik, saya akan tertanya-tanya, mengapa tidak ada apa-apa sekali pun disebut tentang Sistem Buruh Kontrak oleh Maniam dan mana-mana watak lain sedangkan peristiwa bersejarah itu berlaku pada tahun 1910, tahun yang sama Maniam dan 119 individu lain berlayar ke Pulau Pinang.


Pada saat ini, sebagai seorang manusia normal serta sebagai pegawai kerajaan di DBP yang memegang amanah mengangkat martabat sastera kebangsaan, saya tentu sedar bahawa “sesuatu” perlu dilakukan sebelum novel Interlok boleh dicetak dalam jumlah yang banyak dan diedarkan kepada pelajar sebagai teks Komsas.


Dan jangan lupa bahawa saya kini hanya bercakap mengenai kisah Maniam di halaman 215 dalam edisi pelajar (2005) yang saya bayangkan diserahkan kepada saya selaku penyunting untuk “dimurnikan” sebelum diterbitkan sebagai edisi murid.


Saya juga akan cuba membaca edisi asal untuk meneliti jika perkara sama dinyatakan di sana. Katakanlah saya merujuk edisi 1996. Pada halaman 249, iaitu halaman pertama kisah Maniam, dinyatakan:


Mereka semua telah meninggalkan kampung dan desanya kerana mahu mengadu untung di Negara Emas, yang khabarnya di mana-mana sahaja boleh mendapat duit dengan mudah.


Tentu sahaja saya akan bingung dan tertanya-tanya mengapa ayat yang amat bermakna dan penting itu ditiadakan dalam edisi pelajar (2005) yang dijadikan asas bagi edisi murid (2010).


Ingat! Saya masih meneliti dan menyunting halaman pertama “Buku Tiga: Keluarga Maniam” dalam novel itu. Sebagai seorang penyunting yang beretika, bermaruah, berintegriti dan bertanggungjawab, saya pasti akan bertemu ketua saya di DBP dan melaporkan segala kepincangan yang wujud secara amat nyata.


Saya akan meminta kebenaran bertemu Pak Lah untuk perbincangan lanjut; serta kebenaran menghubungi pakar sejarah dan budaya kaum India dalam usaha “memurnikan” novel ini sebelum diterbitkan dalam edisi murid yang “bermaruah” untuk kegunaan di sekolah.


© Uthaya Sankar SB 2011. Artikel ini pertama kali disiarkan di portal berita The Malaysian Insider pada 14 Februari 2011 sebelum dimuatkan di blog ini pada 18 Februari 2011. Sila KLIK DI SINI untuk membaca pelbagai maklumat berkaitan topik ini.