30 Nov 2009

“Strange Things”

DBP has also translated one of my stories (Yang Aneh-aneh) into English and it was supposed to be featured in An Anthology of Malaysian Short Stories. But frankly, I would be surprised if the book gets published by 2020.
.

Demikian jawapan yang saya berikan ketika ditanya oleh wartawan akhbar theSun, Bissme S; sebagaimana disiarkan pada 16 Julai 2009.

.

[Sila KLIK DI SINI untuk membaca wawancara lengkap.]

.

Nampaknya saya memang ada alasan untuk “terkejut” kerana buku berkenaan sudah benar-benar terbit pada September 2009!

.

Saya menerima surat mengenai penerbitan In the Shadows of the Palm pada November 2009.

.

Maka, pada 30 November 2009, sewaktu ke Bahagian Hak Cipta untuk menyerahkan surat rasmi berkaitan pengambilan semula hak cipta dan hak penerbitan – itu kisah lain – saya bertanya tentang naskhah pengarang.

.

Anehnya, pegawai di situ tidak tahu mengenai antologi berkenaan. Cikgu Rishie Kumar Loganathan dari Sabah yang datang bersama saya turut terkebil-kebil kerana agaknya terkejut dengan “Budaya DBP” yang mungkin masih baru baginya.

.

Apapun, akhirnya saya menerima senaskhah In the Shadows of the Palm yang memang tebal; memuatkan 36 cerpen karya 36 penulis.

.

Ada beberapa perkara “yang aneh-aneh” dan langsung menarik perhatian saya.

.

Ketua Pengarah DBP menulis di dalam buku berkenaan bahawa antologi ini antara lain ditujukan kepada pembaca “Bukan Melayu” di Malaysia. Saya harus menyelitkan dalam mana-mana cerpen akan datang bahawa penduduk “Bukan Melayu” di Malaysia tidak tahu Bahasa Malaysia.

.

Prakata oleh Dr Wong Soak Koon pula ternyata menjurus kepada watak-watak wanita dan isu-isu femanisme dalam cerpen. Mungkinkah antologi ini sebenarnya khusus bagi pengarang femanisme dan saya “terperangkap” di dalamnya?

.

Saya suka membaca bahagian kulit belakang buku; blurb. Perkara yang menarik perhatian saya adalah mengenai kesalahan bahasa yang amat nyata – dan amat memalukan! – di mana 36 pengarang disebut sebagai “writer” dan bukannya “writers”.

.

Ada beberapa lagi perkara yang “mengusik” minda saya. Akan tetapi, biar saya simpan dahulu kerana pasti sahaja ada pihak yang akan memulakan percokcekan bahawa saya sengaja mencari kesalahan.

.

[Memang ada rakan yang sentiasa memantau blog saya untuk “melaporkan” kepada pihak berkenaan. Pada kesempatan ini, saya ucapkan terima kasih atas keprihatinan beliau.]

.

The Strange Ones!

.

Sementara itu, singgahlah di kedai-kedai buku dan beleklah In the Shadows of the Palm. Kemudian berikan reaksi saudara terhadap antologi ini yang berperanan mengangkat karya pengarang Malaysia kepada pembaca antarabangsa; atau sekurang-kurangnya kepada pembaca “Bukan Melayu” di Malaysia!

26 Nov 2009

Berjalan-jalan di Sandakan

Sekitar pukul 11:45 pagi, 25 November 2009, Encik Azulah (pemandu rasmi) menghantar saya, Puan Norhayati dan Cik Syafini ke Pasar Umum Sandakan.

Saya pernah ke sini semasa Program Galakan Membaca (5-7 Oktober 2009). Perkara pertama yang saya lakukan adalah mencari Munirah yang bekerja di sebuah gerai makan di sana dan berkata, “Hai. Apa khabar?”

.

[Sila KLIK DI SINI untuk membaca kisah pertemuan dengan Munirah.]


Puan Yati dan Cik Syafini membeli ikan, udang dan kerang untuk dibawa pulang. Saya turut teruja kerana harga amat murah. Tetapi Prabha dan Devishi kini di Kamunting kerana cuti sekolah.


Akhirnya saya membeli ikan kayu (ikan tongkol) untuk diberi kepada Rajan dan emak. Penjual di Pasar Umum Sandakan membungkus ikan, udang dan kerang dengan kemas.


(Kemudian dibungkus ke dalam kotak kertas oleh pihak Hotel Sabah sebelum dibawa oleh Azulah dan didaftar masuk di Lapangan Terbang Sandakan.)


Puan Yati dan Cik Syafini turut membeli mutiara. Saya juga membeli beberapa untuk Prabha dan Devishi. Terus-terang, saya tidak pandai dalam hal membeli cenderemata.


Pukul 1:15 tengah hari, kami bergegas ke Hotel Sabah untuk berkemas dan mendaftar keluar.


Destinasi seterusnya adalah Pusat Pemulihan Orang Utan di Sepilok. Kami sampai di sana pada pukul 2:40 petang. Sekitar pukul 3:00 petang, kami bersama-sama sekumpulan pelancong dari dalam dan luar negara melihat beberapa Orang Utan diberi makan di habitat semula jadi.


Seperti biasa, foto-foto boleh dilihat di Facebook.


Pada pukul 3:30 petang, kami meneruskan perjalanan. Setengah jam kemudian, kami berhenti di Batu Empat untuk makan. Saya mencuba ikan bangus. Sedap!


Sekitar pukul 5:00 petang, kami bertiga dihantar ke Lapangan Terbang Sandakan. Penerbangan pesawat MH2707 yang dijadualkan pada pukul 6:50 petang ditunda ke 7:40 malam.


Saya, Puan Yati dan Cik Syafini memang amat penat dan mengantuk. Kami hanya melangkah masuk ke dalam pesawat pada pukul 7:55 malam.


Pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 10:45 malam. Selepas mengambil barang-barang (bagasi), kotak berisi ikan dibuka kerana dua beg plastik berisi ikan kepunyaan Puan Yati ditumpang di dalam kotak saya.


Sejurus selepas itu, Rajan dan Nisha datang untuk mengambil saya. Mereka menghantar saya pulang ke rumah di Taman Sri Muda sekitar pukul 1:00 malam selepas kami singgah untuk makan dan minum.


Saya mengucapkan terima kasih kepada Rajan dan menyerahkan ikan tongkol (ikan kayu) yang saya bawa sebagai buah tangan dari Sandakan.

25 Nov 2009

Maklumat Mahatma Gandhi

Mohandas Karamchand Gandhi (2 Oktober 1869 - 30 Januari 1948) juga dipanggil Mahatma Gandhi (bahasa Sanskrit: "berjiwa hebat") adalah seorang pemimpin spiritual dan tokoh politik tersohor dari India.

Pada masa kehidupan Gandhi, banyak negara yang merupakan jajahan British. Penduduk di koloni-koloni tersebut mendambakan kemerdekaan agar dapat memerintah negaranya sendiri.

Gandhi adalah salah seorang yang paling penting yang terlibat dalam pergerakan kemerdekaan India. Dia adalah aktivis yang tidak menggunakan kekerasan, yang mengusung gerakan kemerdekaan melalui demonstrasi secara aman.

Beliau dilahirkan pada 2 Oktober, 1869, di Porbandar, sebuah pekan kecil di wilayah Gujarat. Keluarganya dari kelas pertengahan dari kasta Vaishya. Bapanya, Karamchand, merupakan seorang Dewan atau Perdana Menteri di pekan tersebut. Manakala ibunya bernama Putlibai, adalah seorang wanita yang lemah lembut dan warak, dan menjadi sumber inspirasi bagi beliau.

Semasa Gandhi di sekolah rendah, beliau tidak menunjuk sebarang petanda akan menjadi seorang tokoh yang terkenal. Disekolah beliau dianggap sebagai seorang pelajar yang "mediocre" atau sederhana dan merupakan seorang yang sangat pemalu. Namun sejak kecil lagi, beliau menunjukkan sifatnya yang berintegriti. Sewaktu suatu ujian ejaan beliau telah silap mengeja. Tetapi beliau enggan meniru kawannya, walaupun diberi peluang oleh gurunya.

Mengikut adat orang India pada waktu itu, beliau telah dikahwinkan pada usia yang muda iaitu pada umur 13 tahun kepada Kasturbai, seorang gadis yang sebaya dengannya.

Pada usia 18 tahun, beliau melanjutkan pelajarannya di Southampton, England dalam bidang undang-undang. Di samping mempelajari undang-undang, beliau mula menunjuk minat dalam bidang keagamaan. Pelbagai kitab serta buku-buku keagamaan seperti Hindu, Kristian, Yahudi dan Islam telah menjadi bahan bacaannya. Pada 1891, beliau lulus peperiksaan akhirnya dan pulang ke India sebagai seorang peguam.

Semasa di Bombay, beliau mencuba nasib sebagai seorang peguambela tetapi gagal. Beliau kemudiannya diarah untuk membela seorang klien di Afrika Selatan. Lantas beliaupun pergi ke negara yang asing ini. Disana, beliau menyaksikan diskriminasi yang sangat teruk. Bangsa India, samada peniaga mahupun buruh dianggap sebagai golongan kelas kedua dan dipanggil "kuli" atau "sami".

Pengalaman diskriminasi yang pertama berlaku di Maritzburg, ibunegeri Natal. Sewaktu didalam keretapi, seorang berkulit putih telah membantah kehadiran seorang "berwarna" di kelas pertama dan mengarah beliau untuk pindah ke kelas ketiga. Beliau enggan menurut kemahuannya kerana mempunyai tiket kelas pertama. Akhirnya beliau serta begnya telah dihumban keluar dari keretapi tersebut.

Peristiwa ini merupakan satu tamparan hebat kepada Gandhi. Beliau kemudian memutuskan untuk menjadi seorang aktivis politik agar dapat mengubah undang-undang diskriminasi tersebut. Gandhi kemudiannya membentuk sebuah gerakan bukan kekerasan disana.

Ketika kembali ke India, dia membantu dalam proses kemerdekaan India dari jajahan British; hal ini memberikan inspirasi bagi rakyat di koloni-koloni lainnya agar berjuang mendapatkan kemerdekaannya.

Rakyat dari agama dan suku yang berbeza yang hidup di India kala itu yakin bahwa India perlu dipecah menjadi beberapa negara agar kelompok yang berbeza ini dapat mempunyai negara mereka sendiri. Ramai yang ingin melihat penganut agama Hindu dan Islam berpisah dan mempunyai negara sendiri. Walaupun, Gandhi adalah seorang Hindu, beliau menyukai falsafah dari agama-agama lain termasuk Islam dan Kristian. Beliau percaya bahawa manusia tak kira agama harus mempunyai hak yang sama dan hidup bersama secara damai di dalam satu negara.

Pada 1947, India mencapai kemerdekaan dan berpisah menjadi dua negara, India dan Pakistan. Hal ini tidak disetujui Gandhi.

Prinsip Gandhi, satyagraha, sering diterjemahkan sebagai "jalan yang benar" atau "jalan menuju kebenaran", telah menjadi sumber inspirasi berbagai generasi aktivis-aktivis demokrasi dan anti-rasisme seperti Martin Luther King, Jr. dan Nelson Mandela. Gandhi sering mengatakan nilai-nilai ajarannya sangat sederhana, yang berdasarkan kepercayaan Hindu tradisional: kebenaran (satya), dan bukan-kekerasan (ahimsa).

Pada 30 Januari 1948, Gandhi dibunuh seorang lelaki Hindu yang marah kerana kepercayaan Gandhi yang menginginkan rakyat Hindu dan Muslim diberikan hak yang sama.

Gandhi tidak pernah menerima Penghargaan Perdamaian Nobel, meskipun dicalonkan sebanyak lima kali antara 1937 dan 1948. Beberapa dekad kemudian, hal ini disesali secara umum oleh pihak Jawatankuasa Nobel. Ketika Dalai Lama dianugerahi Penghargaan Nobel pada 1989, ketua Jawatankuasa Nobel mengatakan bahawa ini merupakan "suatu cara untuk mengenang jasa Mahatma Gandhi".

Sepanjang hidupnya, aktivis Gandhi telah menarik berbagai komentar dan pendapat. Misalnya, sebagai pemimpin Kerajaan British, Winston Churchill pernah berkata "Menyedihkan...melihat Mr. Gandhi, seorang peguambela daripada Kuil Tengah (Middle Temple) yang menghasut, sekarang tampil sebagai seorang fakir yang biasa dari Timur, menaiki tangga Istana Viceregal dengan badan setengah telanjang."

Begitu juga dengan Albert Einstein yang berkata mengenai Gandhi: "(Mungkin) para generasi berikutnya akan sukar mempercayai bahawa ada orang seperti ini yang pernah hidup di dunia ini."

Karya Mahatma Gandhi tidak dilupakan oleh generasi berikutnya. Cucunya, Arun Gandhi dan Rajmohan Gandhi dan bahkan anak cucunya, Tushar Gandhi, adalah aktivis-aktivis sosio-politik yang terlibat dalam mempromosikan gerakan bukan-kekerasan di seluruh dunia.

Sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Mahatma_Gandhi

Blog Penulis Sandakan

Pada 25 November 2009, saya bangun lebih lewat iaitu hanya pada pukul 7:00 pagi!

Pada pukul 8:30 pagi, sesi terakhir Bengkel Penulisan dimulakan dengan sesi bergambar beramai-ramai sebagai kenangan. Seperti biasa, foto-foto boleh dilihat di Facebook.

.

Kemudian, Puan Norhayati mendaftarkan sebuah blog khas bagi kumpulan pendidik yang menyertai bengkel ini.


Sila KLIK DI SINI untuk mengakses blog berkenaan.


Para peserta yang tidak sempat membacakan cerpen mereka pada malam tadi telah berbuat demikian pagi ini. Saya semakin terharu kerana terbukti sekurang-kurangnya 20 daripada 25 peserta bengkel ini mempunyai potensi besar untuk menjadi pengarang besar!


Puan Norhayati memberi jaminan bahawa pihak Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) akan mencari jalan untuk menerbitkan karya para peserta ini. Saya juga akan cuba menghubungi penerbitkan yang sesuai. Mungkin saya akan turut menghubungi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cawangan Sabah di Kota Kinabalu untuk mencari peluang yang ada.


Sementara itu, saya meminta peserta mengirim karya kepada saya untuk disalurkan ke akhbar dan majalah. Kini, segalanya terpulang kepada para peserta sendiri. Saya hanya boleh membantu jika mereka mengirim manuskrip kepada saya.


Saya optimis!

24 Nov 2009

Awas Para Penulis di Semenanjung Malaysia!

Saya hanya bangun pada pukul 6:30 pagi, 24 November 2009, kerana tidur amat lewat malam tadi. Selepas bersarapan, saya sempat berbual-bual dengan beberapa peserta Bengkel Penulisan.

Majlis Perasmian Bengkel Penulisan bermula pada pukul 8:30 pagi dan disempurnakan oleh Pengarah Urus Setia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Encik Abdul Halim Ismail.


[Sila KLIK DI SINI untuk membaca laporan majlis pelancaran. Seperti biasa, foto-foto boleh dilihat di Facebook.]


Pada pukul 9:30 pagi, Bengkel Penulisan diteruskan. Kalau pada malam tadi ada 25 peserta, kini ditambah pula dengan sekitar 30 lagi peserta yang hanya diundang menghadiri bengkel sehari.


Pelbagai aspek berkaitan penulisan cerpen, penerbitan, hak cipta dan seumpamanya sempat saya kongsikan bersama-sama para peserta. Mereka ternyata amat berminat dan berbakat.


Nota berupa peta minda yang saya hasilkan menggunakan PowerPoint sejak beberapa minggu lalu turut diedarkan kepada peserta sebagai panduan.


Waktu makan dan rehat dari pukul 12:45 tengah hari hingga 2:00 petang. Saya berpeluang berkongsi pelbagai lagi maklumat berguna bersama-sama para peserta. Aspek bahasa, tanda baca dan teknik penulisan turut dibincangkan.


Pukul 5:00 petang, saya ke Bilik 313 untuk berehat, melayari internet dan berendam dalam air suam di tub mandi.


Sekitar pukul 6:30 petang, Cikgu Jailly Losod datang ke bilik saya bersama-sama tiga manuskrip cerita yang sempat dihasilkannya sejak semalam! Ceritanya amat menarik dan berkesan. Cuma, kesalahan bahasa dan tanda baca perlu diberi perhatian.


Kami turun makan malam sekitar pukul 7:00 malam. Bengkel Penulisan disambung pada pukul 8:00 malam. Para peserta membacakan petikan cerpen yang ditugaskan kepada mereka semalam.


Terus-terang, karya mereka amat hebat. Para peserta yang terdiri daripada golongan pendidik ini terbukti mempunyai pengalaman, minat dan bakat kepengarangan yang malangnya kurang diberi perhatian oleh pihak penerbit. Maka, sayalah yang amat bertuah kerana berpeluang berbengkel bersama-sama mereka!


Tidak semua peserta berpeluang membacakan cerpen mereka hari ini untuk dikomen oleh saya. (Akan disambung pagi esok.) Bagaimanapun, saya terus-terang memberitahu para peserta bahawa mereka semua merupakan pengarang.


Ada yang tidak betul jika ada editor atau majalah yang tidak menyiarkan cerpen-cerpen cikgu semua,” kata saya; sambil menambah: “Tetapi tentulah cikgu perlu kirim dahulu karya cikgu mengikut format dan berdasarkan panduan yang saya berikan pada bengkel ini.”


Selepas bengkel, Jailly Losod dan Rishie Kumar Loganathan datang ke Bilik 313. Saya mengedit manuskrip cerpen Rishie. Kemudian kami bertiga berbual-bual.


Saya optimis bahawa para peserta Bengkel Penulisan akan mengirim manuskrip cerpen kepada saya melalui e-mel untuk saya semak, edit, baiki dan seterusknya salurkan ke akhbar/majalah yang sesuai.


Awas para penulis di Semenanjung Malaysia!

Guru Sebagai Pengarang Sastera

Golongan pendidik amat kaya dengan pengalaman yang wajar dikongsikan bersama masyarakat; khususnya generasi muda.

Pengarah Urus Setia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Encik Abdul Halim Ismail menyarankan supaya para guru merakamkan pengalaman mereka menerusi penulisan karya sastera seperti cerpen dan novel.


Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan kursus penulisan anjuran MBKM dengan kerjasama Pusat Teknologi Pendidikan Daerah Sandakan di Sandakan, Sabah pada 23-25 November 2009.


Encik Halim berharap, kursus tiga hari yang dianjurkan mampu meningkatkan kapasiti penulisan kreatif dalam kalangan peserta yang terdiri daripada warga pendidik sekitar Sandakan.


Sekitar 70 guru mendapat bimbingan penulisan daripada Presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan, Uthaya Sankar SB yang juga penerbit rancangan di Radio Televisyen Malaysia (RTM).


Bengkel penulisan ini adalah lanjutan daripada Program Galakan Membaca anjuran MBKM di Sandakan pada Oktober lalu.


Encik Halim menekankan bahawa keunikan budaya dan masyarakat di negeri Sabah boleh diolah secara kreatif oleh para penulis daripada kalangan guru ini.


Pengalaman mereka mengajar di sekolah-sekolah kawasan pedalaman juga boleh dijadikan bahan cerita yang unik dan menarik.

23 Nov 2009

Kembali ke Sandakan

Sebagai susulan kejayaan Program Galakan Membaca anjuran Majlis Buku Kebangsaam Malaysia (MBKM) di Sandakan, Sabah pada 5-7 Oktober 2009, maka saya diundang semula ke Sandakan untuk mengendalikan Bengkel Penulisan pada 23-25 November 2009.

Sekitar pukul 6:15 pagi pada 23 November 2009, saya meninggalkan Taman Sri Muda, Shah Alam menuju ke Lapangan Terbang KL (KLIA). Prabhawathy dan Devishi menghantar saya ke sana.


Di KLIA, saya bertemu Puan Norhayati, Cik Syafini dan Encik Abdul Halim Ismail. Penerbangan MH2710 dari KLIA ke Sandakan mengambil masa sekitar 2 jam 45 minit; kami mendarat pada pukul 10:55 pagi.


(Dalam penerbangan, saya melakarkan peta minda bagi nota tambahan yang akan saya gunakan bagi pengenalan pada bengkel sebelah malam nanti.)


Sebaik tiba di Lapangan Terbang Sandakan, kami disambut Puan Halimah yang peramah dan pemandu rasmi, Encik Azulah. Destinasi pertama kami adalah Pasar Sim Sim untuk makan.


Selepas itu, kami ke Hotel Sabah. Saya diberikan Bilik 313. Tidak diketahui adakah saya akan bersendirian atau ada rakan sebilik. Saya terus menyiapkan peta minda menggunakan PowerPoint bagi kegunaan pada malam ini.


Pukul 2:30 petang, Bengkel Penulisan bermula dengan sesi dialog di mana peserta yang merupakan golongan pendidik sekitar Sandakan dan Tawau bertanya pelbagai soalan berkaitan penulisan dan penerbitan.


Amat nyata bahawa rata-rata mereka sangat berminat! Saya menekankan bahawa keunikan budaya dan etnik di Sabah amat wajar diangkat ke dalam karya sastera. Pengalaman unik para penddik juga boleh menjadi bahan cerita yang menarik.


Pada pukul 5:00 petang, saya bersama-sama Puan Halimah, Cik Hidayah dan Cik Atika pergi melawat Rumah Agnes Keith serta minum teh dan makan kek keju di “Tea House”. Daripada mereka bertiga, saya mendapat pelbagai maklumat dan kisah yang cukup menarik.


Seperti biasa, foto-foto boleh dilihat di Facebook.


Pukul 6:00 petang, saya balik ke Bilik 313 dan melayari internet. Sejam kemudian, selepas mandi dan bersiap, turun makan.


Saya mendapat berita baik bahawa kelima-lima set buku yang saya bawa (Surat Dari Madras, Hanuman: Potret Diri, Siru Kambam, Orang Dimensi, Rudra Avatara dan Kathakali) sudah ditempah peserta! Terima kasih kepada Cikgu Jailly Losod yang menguruskan tempahan dan kutipan wang.


Bengkel Penulisan bermula pada pukul 8:00 malam dengan perbincangan secara umum mengenai penulisan karya sastera. Seperti yang saya perhatikan petang tadi, para peserta ternyata amat berminat. Malah, ramai juga yang sudah berpengalaman menulis.


Maka, sayalah sebenarnya yang bertuah kerana berpeluang berkongsi ilmu bersama-sama mereka yang amat berpengalaman ini.

20 Nov 2009

Hari Anugerah Kecemerlangan Murid

Berikut rangka skrip yang disiarkan menerusi slot “Peristiwa” di TV1 pada 20 November 2009.

Cuti hujung tahun persekolahan datang lagi. Yang paling gembira … siapa lagi kalau bukan murid-murid dan pelajar.

Penghujung penggal persekolahan juga masa untuk memberi pengiktirafan kepada murid-murid yang cemerlang dalam pelajaran sepanjang tahun.

Contohnya, “Hari Anugerah Kecemerlangan Murid” yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Muda 2, Shah Alam, Selangor pada 18 November 2009.

.
Murid-murid cemerlang Tahun Satu hingga Tahun Enam diberikan hadiah sebagai mengucapkan tahniah; sekaligus memberi dorongan kepada anak-anak ini supaya terus cemerlang pada masa hadapan.

Kehadiran ibu bapa dan penjaga pula pasti sahaja menaikkan lagi semangat murid-murid yang menerima hadiah bagi setiap mata pelajaran.

Tentu sahaja sokongan dan dorongan berterusan para guru, ibu bapa dan penjaga merupakan formula penting ke arah melahirkan generasi muda yang berilmu, berbudaya dan bercita-cita tinggi.

“Hari Anugerah Kecemerlangan Murid” di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Muda 2 turut diserikan dengan persembahan penuh ceria oleh murid-murid.

Ternyata mereka mempunyai bakat besar yang perlu diberikan asuhan berterusan.

Semoga murid-murid ini terus diberi ruang dan peluang untuk kekal cemerlang dalam aktiviti pelajaran dan ko-kurikulum.

4 Nov 2009

Dari Kota Kinabalu ke Beaufort

Apabila bangun pada pukul 5:10 pagi, 4 November 2009 di Bilik 1212, Hotel Cititel Express, Kota Kinabalu, Sabah, saya tidak lagi berasa hairan melihat suasana cerah di luar.

Sebaik sahaja saya mendaftar keluar hotel, saudara Harun (yang berasal dari Sandakan dan baru beberapa minggu ditugaskan di Kota Kinabalu) datang untuk membawa saya ke Beaufort. Sebelum itu, kami mengambil Minah Khan yang turut serta.

Jarak dari Kota Kinabalu ke Beaufort sekitar 90 kilometer. Kami sampai di Hotel Jasaria pada pukul 7:45 pagi. Saya sampai ke Beaufort buat pertama kali dalam hidup. Sebaik tiba, kami minum dan makan kuih cempedak.

Pada pukul 9:00 pagi, Bengkel Mentor Kelab Membaca Sinar Pintar Daerah Beaufort bermula dengan ucapan oleh Timbalan Pengarah, Perpustakaan Negeri Sabah, Puan Maria Sinti.

Belia memaklumkan bahawa sudah ada tujuh Kelab Membaca Sinar Pintar (KMSP) di daerah Beaufort. Bengkel Mentor KMSP ini pula turut menampilkan peserta dari seluruh negeri Sabah.

Suatu perkara penting yang dinyatakan oleh Puan Maria Sinti dan mencuri tumpuan saya adalah bahawa penglibatan sebagai Mentor KMSP bukan hanya atas dasar mahu berkhidmat kepada masyarakat; malah juga bagi menambah nilai bagi diri mentor terbabit.

Saya mengendalikan Bengkel Mentor KMSP yang disertai oleh 35 individu dari seluruh negeri Sabah. Kebanyakan mereka adalah pustakawan dan sukarelawan yang memang sudah biasa mengendalikan aktiviti berkaitan buku dan pembacaan untuk kanak-kanak dan remaja.

Maka, “tugas” saya menjadi amat mudah dalam membimbing serta memberikan maklumat lebih lanjut mengenai KMSP.

Selain mengambil foto menggunakan telefon bimbit, saya juga membuat rakaman video untuk siaran “Peristiwa” di TV1 (BACA DI SINI).

Kami berhenti untuk makan pada pukul12:30 tengah hari. Pada pukul 1:20 tengah hari, saya masuk ke bilik saya – Bilik 814 – untuk berehat sebentar.

Bengkel disambung dengan kerja kumpulan sehingga pukul 5:00 petang. Beberapa peserta membeli buku-buku yang saya bawa. Terima kasih kepada Puan Aine Naddia Samin yang menguruskannya!

Selesai bengkel, saya ke Dewan Pa’ Musa di mana majlis perasmian akan berlangsung esok.

Di sana, saya berbual-bual mengenai KMSP dan beberapa hal berkaitan buku dan budaya membaca dengan Puan Ester V. Mobilik.

Pukul 7:15 malam, saya pulang ke Bilik 814 di Hotel Jasaria. Akses internet tidak begitu baik. Saya pula teramat penat dan mengantuk. Maka, saya memilih untuk tidur awal.

3 Nov 2009

Kembali ke Sabah

Pada 3 November 2009, saya kembali ke Sabah; kali ini atas undangan Perpustakaan Negeri Sabah untuk mengendalikan Bengkel Mentor Kelab Membaca Sinar Pintar dan Ceramah Galakan Membaca.

Pada pukul 8:30 pagi, Hemantha Kumar yang sedang bertugas di Bilik Berita Radio RTM menghantar saya ke KL Sentral. Terus saya mendaftar masuk bagi penerbangan MH2614.

Kemudian, sekitar pukul 9:20 pagi, saya menaiki KLIA Ekspres selama 30 minit dan sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).

(Nota: Amat memalukan bahawa KLIA Ekspres menggunakan “Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur” pada pengumuman. Tidakkah pihak terbabit tahu bahawa namanya adalah “Lapangan Terbang Antarabangsa KL”?)

Di KLIA, saya melayari Facebook menggunakan telefon bimbit. Ternyata apa yang saya tegaskan pada ruangan “status” pada Facebook mendapat reaksi yang pelbagai daripada pelbagai pihak.

(Sila rujuk catatan berasingan bertajuk “Bahasa Malaysia di Facebook” mengenai perkara berkenaan.)

Pada pukul 11:05 pagi, semasa sedang berjalan ke Pintu B11, saya menerima panggilan daripada Puan Rosmini Ismail (Perpustakaan Negara Malaysia) yang menyampaikan suatu berita gembira!

(Akan saya kongsikan tidak lama lagi di blog ini; jika diizinkan Tuhan.)

Penerbangan MH2614 yang berlepas dari KLIA pada pukul 12:00 tengah hari membawa saya merentas Laut China Selatan menuju ke Sabah. Pasti sahaja ada foto-foto yang dirakam untuk dimuatkan dalam album di Facebook.

Apabila mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada pukul 2:20 petang dan melihat tulisan “Terminal”, saya terus terkenang akan Allahyarham Dr Othman Puteh (5 Januari 1944 - 19 Oktober 2003).

Puan Anisah Abdullah dari Perpustakaan Negeri Sabah, bersama pemandu bernama Walter sedia menanti saya di Balai Ketibaan.

Mereka membawa saya ke Hotel Cititel Express. Selepas meletakkan beg dan komputer riba di Bilik 1212, kami bertiga terus ke Perpustakaan Negeri Sabah untuk menguruskan fotokopi sedikit bahan tambahan untuk diedarkan kepada peserta Bengkel Mentor di Beaufort esok. (Sedikit lagi bahan sudah dikirim melalui e-mel beberapa hari lalu.)

Sekitar pukul 4:00 petang, saya dihantar semula ke Hotel Cititel Express. Saya berehat sebentar, menggosok pakaian, menyemak bahan-bahan bagi bengkel serta melakukan penambahbaikan terhadap slaid PowerPoint yang akan saya gunakan esok.

Tiada kemudahan WiFi percuma di hotel ini. Maka, saya menaip catatan ini menggunakan Microsoft Word untuk dimuatkan ke blog apabila ada akses internet.

Bahasa Malaysia di Facebook

Berikut kata-kata yang saya paparkan pada ruangan status di www.facebook.com/uthaya pada pukul 7:06 pagi, 3 November 2009:

“Saya memutuskan untuk tidak lagi melayan sesiapa yang tidak tahu menggunakan Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Tamil atau Bahasa Mandarin yang betul apabila berkomunikasi dengan saya menerusi Facebook. Jika saya tiba-tiba "hilang" daripada senarai rakan anda di Facebook, ketahuilah bahawa saya sudah serik melihat anda membunuh bahasa.”

Komen-komen yang diperoleh daripada rakan-rakan adalah pelbagai. Berikut saya perturunkan sepenuhnya komen-komen berkenaan untuk renungan bersama:

Hidayat Saifudin - Saya suka inisiatif ini. Teruskan Tuan!

Irma Mashadi - garangnya

Syukri Shairi - well understood, sir

Fandy Taher - Itu dia!

Wan Syahrina - wah, tiba-tiba sahaja bahasa irma mashadi lebih bertertib hari ini. bahasa saya juga. ini langkah disiplin yang berkesan, nampaknya pakcik. merakyatkan bahasa, membahasakan rakyat.

Bayani Mohd Tahet - Harap2 Pak Cik tak padam nama saya dari senarai Pak Cik. Wah.. Tiba-tiba je jadi sopan dan santun...

Hairizam Albukhari - Saya bersetuju dengan tindakan tuan

Salinah Jay - Bukankah bahasa berkembang Uthaya? Dalam proses perkembangan ini ada bahasa yang kekal dengan pelbagai pindaan, tambahan & sebagainya dan ada bahasa yang mati, bukan begitu?

LinGesz Waran - Well said Salinah ;)

Shamsul Amri Sallehuddin - menyokong hasrat tuan..bahasa jiwa bangsa...

Delano Nanang - hasrat yang baik...wajar diteruskan...tapi perlu mengambil kira faktor" dialek setempat"...bahasa orang sabah kan ada keunikannya tersendiri...kami orang sabah bah!!!

Fievelski Rensler - "Mari kita pulaukan pemerkosa bahasa!" ..Tetapi, adakah dengan kaedah memulaukan sahaja mampu membendung pemerkosaan rakus ke atas bahasa kita ini? mungkin. Ada benar pernyataan yang dilontar Salinah. Bahasa itu sifatnya harus berkembang, diperkaya dan memperkaya.

Uthaya Sankar SB - Benar, bahasa berkembang. Berkembang tidak sama dengan binasa. Saya menentang pembinasaan bahasa secara penuh sedar oleh individu berkenaan. Teruskanlah menggunakan bahasa yang tidak betul, jika itu pilihan anda - tetapi bukan di halaman Facebook saya.

Zulkifly Samad - salam 1Malaysia untuk semua

Uthaya Sankar SB - Salinah, anda ternyata membuat tafsiran yang salah terhadap kata-kata saya. Cuba baca semula kata-kata saya dan baca juga komen anda. Anda akan faham sendiri apa yang tidak kena.

Saraswathy Kannippan - saya kagum dengan anda En. Utaya Sankar.

Uthaya Shankar - wow uthayaSB, saya juga menyokong sikap tegas anda dalam perkara ini.. teruskan usaha anda dan harap kita berjumpa lagi.. ( hope i didnt make a mistake here )

Fievelski Rensler - Uthaya: Mungkin saya melihat pernyataan saudara dari perspektif lain. Tapi jika dilihat kali kedua, ada benar. saudara menghentam pembinasa yang secara sedarnya memperkosa bahasa. Saya melihat ada kewajarannya di situ. Harap saya bukan individu berkenaan yang bakal saudara pangkah kelak.haha

Uthaya Sankar SB - Walau apapun pandangan anda berhubung pendirian saya, saya amat menghormatinya - asalkan anda mampu meluahkan pandangan berkenaan dengan bahasa yang betul. Tidak sukar untuk berbahasa dengan betul; percayalah.

Fievelski Rensler -uthaya sankar SB: mungkin sedikit sukar bagi saya yang percakapannya keluar secara spontan. kerana, secara zahirnya, saya lebih selesa berdialek seperti di kampung halaman berbanding bahasa baku.

Delano Nanang - secara peibadi saya lebih selesa berbahasa seperti di kampung dengan kawan-kawan. Tapi ada hikmah juga berada dalam facebook en. uthayya, sekurang-kurangnya kita dapat memperbaiki dan meningkatkan mutu pengunaan bahasa kita sendiri. Teruskan la usaha en. uthayya.

Gopi Maria Oosay - ada baiknya buat begitu, tapi apakah nasib kami yang lebih selesa berbahasa loghat tempatan. Kalau Di Dinding sendiri bolehkah tidak En.uthaya?

Sayed Munawar - berteman biar beribu berkasih hanya empat..

Sharala Thevi - y so serious Uthaya sir???

Haritha Mukhan - "En Uthaya, sila tarik nafas".

Nizha Periaswamy - human make mistakes...

Salinah Jay - Bertenang Uthaya. Ianya hanyalah satu pandangan- boleh diterima atau ditolak.

Hamid Rahman - sebenarnya encik uthaya lagi baik kalau encik kekalkan dia orang itu, saya rasa saya seorang daripadanya, dengan adanya encik dalam list diaorg maka masih ada ruang juga diaorg tau kesalahan dn kelemahan mereka (emm tiba2 saya juga menaip guna bahasa baku sadaya upaya, bukankah ianya sesuatu yg positif encik uthaya?)

Fitri Hussin - Saudara Uthaya...jangan mudah putus asa.

Saiee Driss - Sekali sekala kehadiran orang seperti anda, menjadikan perjuangan bahasa ini meriah dan menyebabkan ramai orang menarik sesak dan bingung. Dengan itu perihal bahasa menjadi kepedulian umum. Tahniah kerana bijak mencetuskan isu.

Farah Harith - saya sangat bersetuju dengan perkara ini.... ambil ayat berikut sebagai contoh: "dugaam tul le,mak ada kursus kt kl,anak lak dmam kt umah..wat 2 do??xleh fokus lgsung skunk..hrp2 anak dlm keadaan ok!" ini merupakan status update salah seorang rakan sekolah saya, sekarang dah jadi cikgu kalau tidak silap, tetapi tengoklah penggunaan bahasanya.....memalukan, sampai saya sendiri susah nak faham.

Saya memutuskan untuk kekal dengan pendirian saya. Jika ada sesiapa yang merasakan bahawa mereka boleh sewenang-wenangnya membunuh, memperkosa, menjahanamkan dan menghina bahasa (mana-mana bahasa), maka saya secara penuh sedar memilih untuk menjauhkan diri daripada mereka.

2 Nov 2009

Baca Puisi Dr Lim Swee Tin di RTM

Walaupun bulan Oktober diisytiharkan sebagai “Bulan Bahasa Kebangsaan”, pengisiannya tentulah tidak dilakukan semata-mata pada bulan berkenaan sahaja.

Di seluruh negara, pelbagai aktiviti bahasa dan sastera dianjurkan oleh pelbagai pihak sebagai usaha berterusan memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa perpaduan.

Baru-baru ini, di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam, berlangsung aktiviti “Baca Puisi Dr Lim Swee Tin” yang disertai oleh pelajar beberapa buah sekolah, golongan penulis, peminat sastera serta pustakawan.

Puisi-puisi Profesor Madya Dr Lim Swee Tin yang termuat dalam kumpulan puisi “Mencari Indah” disampaikan dengan penuh penghayatan dan gaya tersendiri oleh para peserta yang tidak mahu ketinggalan menzahirkan kecintaan terhadap Bahasa Malaysia.

Acara “Baca Puisi Dr Lim Swee Tin” adalah anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor dengan kerjasama Kumpulan Sasterawan Kavyan sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Selangor.

Dalam ucapannya, Dr Lim Swee Tin menyatakan bahawa setiap anggota masyarakat perlu mencintai bahasa kebangsaan dan sama-sama mempertahankan kedaulatan serta kemurnian bahasa berkenaan.

Sesungguhnya, “Bahasa Jiwa Bangsa”. … Hilang bahasa, hilanglah bangsa. Semoga aktiviti bahasa dan sastera seperti ini terus menyemarakkan kecintaan terhadap Bahasa Malaysia.