2 Nov 2009

Baca Puisi Dr Lim Swee Tin di RTM

Walaupun bulan Oktober diisytiharkan sebagai “Bulan Bahasa Kebangsaan”, pengisiannya tentulah tidak dilakukan semata-mata pada bulan berkenaan sahaja.

Di seluruh negara, pelbagai aktiviti bahasa dan sastera dianjurkan oleh pelbagai pihak sebagai usaha berterusan memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa perpaduan.

Baru-baru ini, di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam, berlangsung aktiviti “Baca Puisi Dr Lim Swee Tin” yang disertai oleh pelajar beberapa buah sekolah, golongan penulis, peminat sastera serta pustakawan.

Puisi-puisi Profesor Madya Dr Lim Swee Tin yang termuat dalam kumpulan puisi “Mencari Indah” disampaikan dengan penuh penghayatan dan gaya tersendiri oleh para peserta yang tidak mahu ketinggalan menzahirkan kecintaan terhadap Bahasa Malaysia.

Acara “Baca Puisi Dr Lim Swee Tin” adalah anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor dengan kerjasama Kumpulan Sasterawan Kavyan sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Selangor.

Dalam ucapannya, Dr Lim Swee Tin menyatakan bahawa setiap anggota masyarakat perlu mencintai bahasa kebangsaan dan sama-sama mempertahankan kedaulatan serta kemurnian bahasa berkenaan.

Sesungguhnya, “Bahasa Jiwa Bangsa”. … Hilang bahasa, hilanglah bangsa. Semoga aktiviti bahasa dan sastera seperti ini terus menyemarakkan kecintaan terhadap Bahasa Malaysia.