31 Oct 2009

Bulan Bahasa Kebangsaan di MinnalFM

Rangka skrip daripada berita yang disiarkan menerusi MinnalFM pada 31 Oktober 2009, 12:00 tengah hari. Diterjemahkan daripada versi Bahasa Tamil. Terima kasih kepada Hemanthakumar Nagappan, editor Berita Bahasa Tamil di Bilik Berita Radio RTM. …

Penulis kaum India yang menghasilkan karya sastera Bahasa Kebangsaan boleh memberi sumbangan besar ke arah memupuk persefahaman dan perpaduan. Mereka juga menjadi pemangkin kepada kejayaan konsep “Satu Malaysia”.

Presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan, Uthaya Sankar SB berkata, kelompok berkenaan mampu mengangkat tema, budaya dan kisah hidup masyarakat India untuk difahami dan dihayati oleh masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Sempena “Bulan Bahasa Kebangsaan”, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim pada awal bulan ini berkata, kementeriannya menggalakkan Penulis Bukan Melayu untuk menulis buku Bahasa Kebangsaan, supaya perkembangan Bahasa Kebangsaan dalam khalayak Bukan Melayu akan lebih semarak lagi.

Kumpulan Sasterawan Kavyan yang diasaskan pada tahun 1999 diterajui oleh sekumpulan penulis kaum India yang menghasilkan karya sastera seperti cerpen dan sajak Bahasa Kebangsaan.

Sempena program “Bulan Bahasa Kebangsaan”, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor dan Kumpulan Sasterawan Kavyan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka menganjurkan “Baca Cerpen Dr Othman Puteh” dan “Baca Puisi Dr Lim Swee Tin”.

Kavyan juga mengendalikan siri bengkel penulisan sepanjang tahun untuk membimbing orang ramai yang berminat mempelajari teknik menghasilkan cerpen bermutu dalam Bahasa Kebangsaan.

Menurut Uthaya Sankar SB, karya sastera merupakan cara yang amat berkesan untuk membantu masyarakat pelbagai kaum saling memahami dan menghormati kepelbagaian budaya dan adat-resam yang wujud dalam kalangan penduduk Malaysia.