23 Nov 2009

Kembali ke Sandakan

Sebagai susulan kejayaan Program Galakan Membaca anjuran Majlis Buku Kebangsaam Malaysia (MBKM) di Sandakan, Sabah pada 5-7 Oktober 2009, maka saya diundang semula ke Sandakan untuk mengendalikan Bengkel Penulisan pada 23-25 November 2009.

Sekitar pukul 6:15 pagi pada 23 November 2009, saya meninggalkan Taman Sri Muda, Shah Alam menuju ke Lapangan Terbang KL (KLIA). Prabhawathy dan Devishi menghantar saya ke sana.


Di KLIA, saya bertemu Puan Norhayati, Cik Syafini dan Encik Abdul Halim Ismail. Penerbangan MH2710 dari KLIA ke Sandakan mengambil masa sekitar 2 jam 45 minit; kami mendarat pada pukul 10:55 pagi.


(Dalam penerbangan, saya melakarkan peta minda bagi nota tambahan yang akan saya gunakan bagi pengenalan pada bengkel sebelah malam nanti.)


Sebaik tiba di Lapangan Terbang Sandakan, kami disambut Puan Halimah yang peramah dan pemandu rasmi, Encik Azulah. Destinasi pertama kami adalah Pasar Sim Sim untuk makan.


Selepas itu, kami ke Hotel Sabah. Saya diberikan Bilik 313. Tidak diketahui adakah saya akan bersendirian atau ada rakan sebilik. Saya terus menyiapkan peta minda menggunakan PowerPoint bagi kegunaan pada malam ini.


Pukul 2:30 petang, Bengkel Penulisan bermula dengan sesi dialog di mana peserta yang merupakan golongan pendidik sekitar Sandakan dan Tawau bertanya pelbagai soalan berkaitan penulisan dan penerbitan.


Amat nyata bahawa rata-rata mereka sangat berminat! Saya menekankan bahawa keunikan budaya dan etnik di Sabah amat wajar diangkat ke dalam karya sastera. Pengalaman unik para penddik juga boleh menjadi bahan cerita yang menarik.


Pada pukul 5:00 petang, saya bersama-sama Puan Halimah, Cik Hidayah dan Cik Atika pergi melawat Rumah Agnes Keith serta minum teh dan makan kek keju di “Tea House”. Daripada mereka bertiga, saya mendapat pelbagai maklumat dan kisah yang cukup menarik.


Seperti biasa, foto-foto boleh dilihat di Facebook.


Pukul 6:00 petang, saya balik ke Bilik 313 dan melayari internet. Sejam kemudian, selepas mandi dan bersiap, turun makan.


Saya mendapat berita baik bahawa kelima-lima set buku yang saya bawa (Surat Dari Madras, Hanuman: Potret Diri, Siru Kambam, Orang Dimensi, Rudra Avatara dan Kathakali) sudah ditempah peserta! Terima kasih kepada Cikgu Jailly Losod yang menguruskan tempahan dan kutipan wang.


Bengkel Penulisan bermula pada pukul 8:00 malam dengan perbincangan secara umum mengenai penulisan karya sastera. Seperti yang saya perhatikan petang tadi, para peserta ternyata amat berminat. Malah, ramai juga yang sudah berpengalaman menulis.


Maka, sayalah sebenarnya yang bertuah kerana berpeluang berkongsi ilmu bersama-sama mereka yang amat berpengalaman ini.