11 Jul 2021

Mendalami Quran: Catatan 1

Jika kita melihat buku Perlembagaan Persekutuan, akan nampak pelbagai Perkara (Artikel) yang dibatalkan dan/atau diganti (dipinda).

Maka, kita tidak boleh menggunakan versi Perlembagaan 40 tahun lalu, misalnya, untuk mewajarkan sesuatu perbuatan pada masa kini.

Dalam konteks Quran juga sebenarnya ada perkara/hukum yang dibatalkan dan/atau dipinda oleh Allah sendiri.

Sesiapa yang menuduh saya cuba menyelewengkan kitab suci agama Islam tentu tidak pernah membaca firman Allah dalam Surah Al-Baqarah (Ayat 106).

Jelas dinyatakan bahawa mana-mana ayat Quran yang Allah batalkan atau hilangkan daripada ingatan, akan diganti dengan ayat yang setanding atau lebih baik.

Hukum Minum Arak: Updated

Menerusi Surah An-Nisa’ (Ayat 43), Allah tidak menghalang dan mengharamkan minuman keras. Cuma, orang Islam diingatkan supaya tidak bersembahyang (solat) jika terlalu mabuk sehingga tidak sedar apa yang diucapkan semasa bersolat.

Jangan pula ada rakan-rakan Islam berpegang kepada firman ini untuk mewajarkan tindakan minum arak dan bermabuk-mabuk!

Allah sudah mengganti (update?) hukum itu dalam Surah Al-Ma’idah (Ayat 90). Minum arak (minuman keras) kini termasuk kategori perbuatan keji dan “perbuatan syaitan”.

Allah Maafkan Syirik?

Masih ingat kontroversi unsur syirik dalam permainan PUBG pada tahun 2020?

“Syirik” adalah istilah Arab yang merujuk kepada perbuatan menyekutukan Allah menerusi perbuatan, ucapan, atau keyakinan dalam diri.

Dalam konteks Quran, kita perlu faham bahawa Allah yang mengangkat Muhammad sebagai Rasulullah jugalah yang mengangkat Musa (Moses) sebagai Nabi lebih dahulu.

Syirik adalah salah satu dosa besar dalam Islam. Sebab itulah juga jika saya perhatikan rakan-rakan Muslim menulis/memaparkan sesuatu yang boleh mengundang syirik, saya tidak teragak-agak menegur mereka. Saya tidak mahu mereka melakukan dosa besar tanpa sedar.

Bonus: Jika Musa tidak “menasihati” Muhammad di langit keenam, orang Muslim tentu bersolat 50 kali sehari. Rujuk Riwayat Al-Bukhari (3887). Tetapi awas! Jangan terpedaya dengan Hadis Palsu. Baca juga: Mendalami Hadis - Catatan 1.

Langit Tujuh Lapis

Dalam penceritaan semula Bhagavad Gita (2021), saya nyatakan mengenai tujuh lapis neraka dan tujuh lapis syurga di Bab 8.

Ada pembaca Muslim memberitahu saya bahawa hal “hampir sama” juga terdapat dalam Quran. Memang benar. Saya ada membuat semakan dalam versi terjemahan sahih dan mendapati istilah “langit” digunakan.

Ada juga pembaca yang pernah bertanya akan logik di sebalik gambaran tujuh lapis neraka dan tujuh lapis syurga dalam kitab Hindu seperti Bhagavad Gita. Katanya, seperti cerita dongeng dan khayalan semata-mata.

Lalu, saya sebagai pengamal multifaith menyarankan supaya beliau merujuk kesemua Surah dalam Quran berkaitan topik sama.

Maryam Watak Komposit?

Menerusi esei “Jesus dan Isa: Serupa Tapi Tak Sama?” dalam buku Malaiur Manikam (2015), saya menghuraikan perbezaan nyata yang wujud antara kedua-dua versi.

Malah, sewaktu membaca kisah kelahiran Nabi Isa dalam Quran, saya mula sedikit keliru tentang watak ibunya, Maryam. Seolah-olah dua watak digabung menjadi satu. Dalam bidang penulisan, dinamakan watak komposit (composite character).

Dalam Surah Ali Imran dan At-Tahrim dinyatakan bahawa isteri Imran melahirkan Maryam. Kemudian, sebagaimana firman Allah dalam Surah Maryam, Maryam yang masih dara diberitahu oleh Jibril bahawa dia akan melahirkan Isa. Turut dinyatakan, Maryam ialah “saudara perempuan Harun”.

Makalah penuh boleh dibaca dalam kumpulan esei Kisah Sasterawan Kavyan (2022).

Quran Jadi Inspirasi

Saya dalam proses menerbitkan buku Kavya Sastra berasaskan disertasi sarjana sastera [baca di sini]. Buku berkenaan muncul sebagai bahan dokumentasi paling lengkap tentang penglibatan kaum India dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia dari zaman Munsyi Abdullah hingga Jun 2021.

Apabila anda membaca buku itu nanti, anda akan dapati:

• Susunan penceritaan tidak kronologis.

• Tidak mengikut topik atau tema khusus.

• Topik sama “disambung” dalam bab lain.

• Ada topik dan isi diulang-ulang.

• Panjang bab tidak selaras (standard).


Tolong jangan kecam saya. Saya secara penuh sedar mengambil inspirasi daripada Quran yang merupakan kalamullah, dan sedikit pengaruh Bhagavad Gita.