12 Jun 2020

Mammootty dan Sethurama Iyer


Watak Sethurama Iyer lakonan Mammootty muncul dalam empat buah filem Malayalam, serta dijadual muncul juga dalam filem kelima.

Filem Oru CBI Diary Kurippu (ഒരു സിബിഐ ഡയറി കുറിപ്പ്, 1988) membawa makna Sebuah Catatan Diari CBI di mana CBI merujuk kepada Central Bureau of Investigation di India.

Watak Sethurama Iyer terinspirasi daripada seorang pegawai penyiasat bernama Radhavinod Raju (Hindustan Times, 18 Januari 2009). Kisah penyiasatan yang diketengahkan menerusi filem ini pula terinspirasi daripada insiden sebenar yang berlaku di Kerala, India pada tahun 1980-an. Malah, penggunaan patung oleh Radhavinod Raju dalam siasatan kes diketengahkan dalam filem ini.


Dalam filem thriller dan penyiasatan Oru CBI Diary Kurippu, kita dapat menyaksikan lakonan Urvashi dan Suresh Gopi sebagai pelakon tambahan. Suresh Gopi belum menjadi pelakon utama pada waktu itu.

Filem ini panjangnya lebih daripada dua jam. Watak utama, Sethurama Iyer (lakonan Mammootty) hanya muncul selepas sekitar 46 minit. Hal ini tentu berbeza — misalnya — dengan filem Chandramukhi (2005) di mana Rajinkanth muncul sejak awal; sedangkan dalam versi asal, Manichitrathazhu (1993), watak lakonan Mohanlal hanya muncul di pertengahan filem.

Filem penyiasatan ini juga tidak ada lagu. Tumpuan sepenuhnya kepda usaha menyiasat misteri kematian seorang wanita. Kita perlu faham bahawa filem ini terbit pada tahun 1988 dan tentulah tidak “sehebat” filem-filem sekarang.

Namun begitu, filem Oru CBI Diary Kurippu mencipta rekod tayangan pecah panggung di pawagam-pawagam seluruh Kerala dan Tamil Nadu. Filem ini dibikin semula dalam Telugu dengan judul Nyayam Kosam (1988) dan Hindi dengan judul Police Public (1990).


Malangnya, filem kedua tidak mendapat sambutan sehangat itu apabila watak Sethurama Iyer (lakonan Mammootty) muncul semula dalam filem Jagratha (ജാഗ്രത, 1989) yang membawa makna Berwaspada. Satu lagi kematian berlaku dan pasukan yang diketuai Sethurama Iyer melakukan penyiasatan untuk mendedahkan apa yang berlaku sebenarnya.

Formula penyiasatan, thriller, perubahan plot di luar jangkaan, dan unsur-unsur lain yang lazim dalam filem-filem Malayalam turut hadir dalam filem kedua dalam siri ini. Sekali lagi, kita perlu ingat bahawa filem Jagratha keluar pada tahun 1989 dan diterbitkan dengan teknik dan teknologi perfileman yang ada pada waktu itu. [Lihat pula filem Forensic, 2020]


Lima belas tahun kemudian, filem ketiga berjudul Sethurama Iyer CBI (സേതുരാമയ്യര്സിബിഐ, 2004) menemui peminat. Kalabhavan Mani muncul sebagai seorang pembunuh bersiri yang bertegas tidak melakukan salah satu pembunuhan yang dia disabitkan. Rahsia akan diketahui di akhir filem hasil penyiasatan watak utama lakonan Mammootty.

Walaupun cerita dan lakon layar ditulis oleh S. N, Swamy, Mammootty sendiri telah “mencipta” watak Sethurama Iyer. Dalam satu laporan di The Indian Express (3 Julai 2005), S. N. Swamy menceritakan bahawa asalnya, watak itu merupakan seorang polis yang agresif bernama Ali Imran.

Mammootty sendiri menyarankan supaya ditukar kepada watak lelaki Brahmin (Kerala Iyer) bernama Sethurama Iyer yang bekerja di CBI dan lebih mementingkan kepintaran otak berbanding kekuatan fizikal. Sekiranya diteliti, watak Sethurama Iyer mencampurkan juga bahasa Tamil dalam perbualan (dialog).


Kejayaan Sethurama Iyer CBI membawa kepada pembikinan filem keempat dalam siri ini dengan judul Nerariyan CBI (നേരറിയാന്‍‌ സിബിഐ, 2005). Watak Sethurama Iyer lakonan Mammootty sekali lagi terlibat dalam menyiasat misteri kematian seorang wanita di sebuah rumah yang dipercayai berhantu.

Kesemua empat filem ini tidak ada lagu; manakala muzik latar oleh Shyam. Manakala skrip ditulis oleh S. N. Swamy dan filem diarah oleh K. Madhu. Lebih ramai pelakon/watak dimasukkan dalam filem keempat. Mukesh yang melakonkan watak Chacko mengakui bahawa tugas paling berat sepanjang penggambaran filem adalah untuk memastikan identiti si pembunuh kekal misteri sehingga hujung filem (The Hindu, 26 Ogos 2005).

Watak Sethurama Iyer sudah menjadi semacam ikon dalam filem Malayalam genre thriller dan penyiasatan. Malah, siri filem ini turut mendapat sambutan hangat dalam kalangan penonton keturunan Tamil di Tamil Nadu — walaupun tidak begitu dalam kalangan kaum India di Malaysia.


Selepas filem kedua, masa 15 tahun berlalu sebelum filem ketiga muncul. Kini, selepas 15 tahun lagi, Mammootty, S. N. Swamy, dan K. Madhu dilaporkan akan “menghidupkan” semula watak Sethurama Iyer lakonan Mammootty menerusi filem kelima (dan terakhir) dalam siri ini. Menurut laporan di The New Indian Express (20 Oktober 2019), filem kelima dijadualkan menemui peminat pada tahun 2020.

Namun begitu, sehingga kini, tidak ada sebarang berita terbaharu mengenai filem berkenaan. Hal ini mungkin disebabkan wabak Covid-19 yang sedang menggegar dunia.